Sunday, January 22, 2012

Moga CintaNYA Mengiringi Cinta Kami








Kalau ikutkan rasa hati, seperti tidak mahu ke mana-mana.

Berjuang membetulkan emosi yang acapakali tersasar ini masih memerlukan mujahadah dan kesungguhan yang berterusan. Moga suatu hari nanti, ketenangan itu sentiasa menjadi milik hati ini selama-lamanya. Kata orang, doa yang ditangguhkan, tandanya Allah SAW mahu hati itu terus berbicara denganNYA hingga ke suatu hari yang ditentukan olehNYA.

Mudah-mudahan.    

Namun, kewajipan serta amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi  acapkali mengatasi 'ikutkan rasa hati' tersebut.

Sebagai hamba dan khalifah, sekurang-kurangnya kita mempunyai amanah yang perlu ditunaikan kepada Allah dan sesama manusia serta alam.

Dan pagi ini, Insyaallah kami sekeluarga akan ke Kamunting atas amanah tersebut.

Saya menunaikan amanah sebagai menantu. Isteri menunaikan amanah sebagai anak. Dan anak-anak saya, menunaikan amanah sebagai cucu.

Semoga semangat hadis di bawah mengiringi ziarah kali ini.

Sayang kerana Allah, Insyaallah membawa cintaNYA jua.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Seorang lelaki telah pergi menziarahi saudaranya di sebuah pekan. Lalu Allah hantarkan Malaikat untuk mengekorinya di perjalanan itu. Apabila Malaikat itu bertemu dengan pemuda lelaki tersebut, dia bertanya: Kamu mahu ke mana? Lelaki itu menjawab: Aku mahu menziarahi saudaraku di pekan ini. Malaikat tersebut bertanya lagi: Apakah engkau mempunyai sebarang kepentingan yang ingin diperolehi daripadanya? Lelaki itu menjawab: Tidak, aku menziarahinya semata-mata kerana aku sayangkan dia kerana Allah. Malaikat tersebut berkata: Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepadamu. Aku diperintahkan untuk memberitahumu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya” (riwayat Muslim 2567)

Ya Allah, seandainya kami lakukan semua ini hanya keranaMU, limpahkanlah kebaikan serta rahmatMU untuk kami semua.

Engkaulah yang menentukan apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat kami.

No comments:

Share/Bookmark