Monday, February 20, 2012

"Bertanya" Kepada Tuhan







Ketika mungkin sering juga bertanya?

Mengapa begini?
Mengapa begitu?
Mengapa tidak begini?
Mengapa tidak begitu?

Mengapa diriku, bukan orang lain.

Dan barangkali berapa banyak mengapa lagi.

Yang diimpikan tidak semuanya menjadi kenyataan.
Yang diharapkan kadangnya tidak juga kunjung tiba.
Yang tidak diundang, selalu sangat datang bertamu!
 Yang ditanamnya padi, tapi yang tumbuhnya pula lalang.

Dan saya temukan satu 'dialog' yang mencubit secara halus! Diri manusia bernama hamba, yang sering terlupa.

Aku: Tuhan, bolehkah aku bertanya sesuatu?

Tuhan: Tentu.

Aku: Tapi janji, Engkau tidak marah.

Tuhan: Ya, janji.

Aku: Kenapa kau mengizinkan banyak ‘hal’ terjadi padaku di hari ini?

Tuhan: Maksudnya?

Aku: Aku bangun terlambat.

Tuhan: Ya.

Aku: Mobilku membutuhkan waktu yang lama untuk menyala.

Tuhan: Oke.

Aku: Roti burger yang kupesan dibuat tidak seperti pesananku, sehingga aku malas memakannya.

Tuhan: Hmm.

Aku: Di jalan pulang, hpku tiba-tiba mati saat aku berbicara mengenai bisnis besar.

Tuhan: Benar.

Aku: Dan pada akhir, saat aku sampai rumah, aku hanya ingin sedikit bersantai dengan mesin pijat refleksi yang baru aku beli. Tapi itu tidak nyala! Tidak ada yang berjalan benar pada hari ini.

Tuhan: Biar Aku perjelas, ada malaikat kematian pagi tadi, dan Aku mengirimkan malaikatKu untuk berperang melawannya supaya tidak ada yang hal buruk terjadi padamu. Aku membiarkanmu tidur disaat itu.

Aku: Oh, tapi..

Tuhan: Aku tidak membiarkan mobilmu menyala tepat waktu karena ada pengemudi yang mabuk lewat depan jalan dan akan menabrakmu.

Aku: (merunduk)

Tuhan: Salah satu pembuat burgermu hari ini sedang sakit, Aku tidak ingin kamu tertular makanya Aku membuatnya salah bekerja.

Aku: (malu)

Tuhan: Hpmu Aku buat mati karena mereka sebenarnya penipu, Aku tidak mungkin membiarkan kamu tertipu. Dan lagipula akan mengacaukan kosentrasimu dalam mengemudi bila ada yang menghubungimu kalau hpmu menyala.

Aku: (mata berkaca-kaca) aku mengerti Tuhan..

Tuhan: Oh, soal mesin pijat refleksi, Aku tau kamu belum sempat membeli listrik, bila mesin itu dinyalakan maka itu mengambil banyak listrikmu, Aku yakin kamu tidak ingin berada dalam kegelapan.

Aku: (menangis) Maafkan aku Tuhan.

Tuhan: Tidak apa, tidak perlu meminta maaf. Belajarlah untuk percaya Aku. RencanaKu padamu lebih baik dari rencanamu sendiri.

Aku: Aku akan percaya padamu. Dan biarkan Aku untuk berterima kasih atas semuanya.

Tuhan: Sama-sama. Aku akan selalu bersamamu, menjagamu…

Disalin dari SINI versi Indonesia, tanpa sebarang perubahan sebagai bahan renungan jika ada baiknya.

Wednesday, February 15, 2012

Harap-Harap Begitulah Anakanda!

Petang tadi, secara tidak sengaja, saya dan anak perempuan saya yang baru darjah satu 'tersinggah' di gerai jualan buku di kafe pentadbiran. Asalnya sekadar mencari air seteguk dua sebagai kudap petang. Alih-alih terjumpa gerai jualan buku pulak.

Dan saya seperti biasa selalunya teruja dengan buku-buku.

Sempatlah saya membeli empat buah buku. Tiga untuk saya dan satu untuk anak perempuan saya.

Untuk saya, saya belikan :
1.  Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia, terjemahan tulisan asal Dr. 'Aidh Abdullah Al Qarni.
2. Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran, oleh Dr Danial Zainal Abidin
3. Himpunan Hadis Pilihan, oleh Harun Arrassyid Hj Tuskan.  

Bolehlah Masak Untuk Abi dan Umi.

Dan untuk anak saya, dia memilih sendiri sebuah buku yang bertajuk '23 Resepi Masakan'. Hairan juga saya, dalam usia baru mencecah 7 tahun, dia memilih buku resepi masakan. Ingatkan saja-saja.

Hairan dan kepelikan juga bagi kanak-kanak seusia itu. Dan bagi memastikan dia membelikan buku yang betul sesuai dengan usianya, saya bertanya kenapa dia memilih buku resepi tersebut.

"Bolehlah kakak masak untuk Abi dan Umi bila Abi dan Umi tua nanti"

Jawapannya ringkas, tetapi dalam ringkas itu saya terkedu antara ingin gelak dan terharu.

Harap-harap begitulah anakanda!

Tuesday, February 14, 2012

Pantai Lagikan Berubah

Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Inikan manusia yang punya hati dan perasaan. Manusia yang hatinya sentiasa berbolak balik. Manusia yang Imannya kadang bertambah, kadang berkurang.

Begitulah dengan saya.

Misalnya.

Selepas kematian ibu tercinta pada tahun 1999, saya mengubah peraturan balik kampung pada musim perayaan yang telah dimeterai bersama isteri. Kalau dahulunya, balik kampung hanya mengikut giliran yang telah dipersetujui dan bermakna suami atau isteri hanya dapat berjumpa ibu bapa, adik beradik serta saudara mara hanya sekali dalam masa dua tahun. Saya maksudkan, perjumpaan pada hari raya Aidil Fitri. Tidak termasuk balik kampung pada masa-masa yang lain.

Namun selepas itu, berlaku sedikit penyesuaian. Saya mengekalkan giliran yang sepatutnya, tetapi pada hari raya ketiga atau keempat, kami akan berkonvoi pula ke kampung pasangan masing-masing. Setelah saya tersedar selepas terantuk, bahawa kasih sayang serta hubungan silaturrahim, rupanya tiada harga jika dibandingkan dengan mata benda dunia. Kejauhan geografi bukan lagi ukurannya kepada sebuah 'gurisan hati.'

Kata orang.

Kita mungkin boleh membeli rumah, tetapi kita tidak boleh membeli sebuah kediaman.
Kita mungkin boleh membeli hiburan, tetapi kita tidak boleh membeli sebuah kegembiraan.
Kita mungkin boleh membeli tilam yang empuk, tetapi kita tidak boleh membeli lenanya tidur.
Kita mungkin boleh membeli makanan yang enak-enak serta lazat-lazat, tetapi kita tidak boleh membeli selera untuk makan.

Tentang Cuti.

Dan apabila saya bercadang untuk bercuti dan hanya berada di rumah, ada kawan-kawan yang perasan dan 'hairan' tentang perubahan 'prinsip' itu.

Kerana, dulu-dulu saya berpandangan bahawa cuti bermakna saya mesti 'melarikan diri' dari bumi PTSS. Ke mana pun tak kisahlah, yang penting PTSS tiada dalam pandangan mata kalau pun tidak hilang dari ingatan. Lama saya memegang prinsip peribadi tersebut sehinggalah ia berubah setidak-tidaknya bermula tahun 2012 ini.   

Minggu lepas saya telah mengambil cuti selama dua hari. Kononnya untuk berehat di rumah. Rupanya 'cuti rehat' itu hanyalah alasan dalam catatan. Fizikal dan mental saya tidak pula mampu berehat seperti yang sepatutnya dan diinginkan.  

Dan minggu depan, sambil-sambil mengambil kesempatan cuti semester selama satu minggu, saya bercadang untuk mengambil cuti selama lima hari.

Satu minggu penuh.

Hanya untuk berada di rumah. Kerana isteri bekerja dan anak-anak pula bersekolah.

Jangan ditanya panjang lebarnya.

"Kalau Kau Menjadi Aku, Aku Yakin Kau Akan Mengerti"

Bila sesekali air bah. Maka pantainya pun turut berubah.

Begitulah.

Bila akal semata tanpa wahyu.

Sampai masanya ia akan menemui jalan buntu.  Kesempurnaan yang diharapkan sering dikurangi oleh kecacatan yang tidak pernah difikirkan oleh keterbatasan akal. Relevennya barangkali mengikut perubahan masa, tempat dan keadaan.

Releven kelmarin, mungkin bukan hari ini dan esok.
Releven disini, mungkin tidak releven di sana.
Releven di watan ini, mungkin tidak releven di watan lain.

Tiada peliknya bagi sesuatu prinsip yang kadangkala hanya berajakan nafsu tanpa wahyu.

Seperti Titanic, Kapal Nabi Nuh tanpa atau dengan Bi A’yuninaa Wa Wahyinaa

Apakah kamu tidak melihat, berfikir dan mengambil iktibar?

Semoga Umur Kita DiberkatiNya







Sebaik-baik umur ialah yang diberkati Allah.

Adapun umur yang paling baik ialah umur yang diberkati Allah SWT, yang diberikan taufiq untuk mengerjakan amalan saleh dan kebajikan-kebajikan yang lain, baik yang umum mahu pun yang khusus. Adakalanya Allah SWT. memberikan berkatNya pada umur yang pendek bagi sebahagian hambaNya yang terpilih, sehingga amalannya lebih banyak kebaikannya dan lebih terasa manfaatnya daripada orang yang dipanjangkan umurnya.

Sebagai contoh, Imam Syafei rahimahullah, beliau berumur hanya 54 tahun. Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullah, beliau meninggal dunia dalam usia 55 tahun. Begitu pula al Imam al Quthub as Syarif Abdullah bin Abu Bakar Al Aydrus al Alawi, beliau meninggal dalam usia 54 tahun. Juga Imam Nawawi, beliau meninggal pada usia di bawah lima puluh tahun.

Dan khalifah yang saleh, Umar bin Abdul Aziz, beliau meninggal pada umur kurang dari empat puluh tahun.

Selain mereka, banyak lagi imam besar lain yang tidak dipanjangkan umurnya oleh Allah, akan tetapi mereka dapat menyebarkan kebajikan yang banyak dan di tangan merekalah terdapat bermacam-macam keberkatan yang meliputi seluruh negeri dan masyarakat, yang dapat dimanfaatkan oleh orang-orang kota mahupun orang-orang desa.

Itulah kelebihan dari Allah SWT. yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Demikianlah umat Muhammad SAW ini sentiasa mendapat keberkatan yang besar dari Allah SWT, disebabkan kedudukan utama yang tidak dipunyai oleh umat-umat lainnya, meskipun pada umumnya mereka mempunyai umur yang pendek dan kesempatan yang sedikit dalam kehidupannya jika dibandingkan dengan umat-umat sebelum.(*)

(*)Allamah Sayyid Abdullah Haddad, Renungan Tentang Umur Manusia, halaman 76-77.

Monday, February 13, 2012

O.................B..................E...


Pada 8 Februari 2012 yang baru lalu, saya telah menghadiri satu kursus singkat yang berkaitan dengan OBE yang telah disampaikan oleh En. Jamel bin Abd Baser, dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional(FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Fokus pada perkongsian singkat tersebut ialah kaedah 'Pembelajaran Berasaskan Masalah'( Problem Based Learning).

Di dalam nota ringkas yang dibekalkan, dijelaskan bahawa kaedah pendekatan berasaskan masalah(PBL) adalah satu konsep P&P yang menambahbaik kemahiran multidisiplin berdasarkan pendekatan terancang dalam penyelesaian masalah. Ia adalah satu kaedah pembelajaran mendidik pelajar untuk menyelesaikan masalah dan dalam masa yang sama membolehkan mereka menguasai kemahiran asas. 

Fungsi PBL:
  • Masalah digunakan untuk merangsang perasaan ingin tahu dan minat terhadap tajuk yang diberi
  • Dapat mengintegrasi pengetahuan dan kemahiran berdasarkan modul pelbagai disiplin
  • Untuk mendapatkan pengetahuan secara pembelajaran kendiri
  • Untuk mendidik pelajar bekerja dan menyesuaikan diri dalam kerja kumpulan
  • Untuk membina keupayaan menyelesaikan masalah pelajar
  • Untuk menggalakan motivasi kendiri, rasa ingin tahu dan berfikir
Ciri-Ciri PBL:
  • Berpusatkan pelajar
  • Menyelesaikan masalah sebagaimana berlaku di dunia sebenar
  • Guru berperanan sebagai tutor atau fasilitator
  • Menekankan konsep kerjasama 
  • Memberi tumpuan kepada metakognitif
  • Menggunakan penialaian alternatif 
Dan pagi tadi, kurang lebihnya saya telah mencuba kaedah yang dicadangkan buat kali pertamanya. Buat masa ini saya masih dalam sesi bermuhasabah mencari sisi lebih dan kurangnya apa yang berlaku pagi tadi. Semoga 'impian OBE' untuk melihat proses P&P berpusat pelajar akan tercapai jua suatu hari nanti.

Walaupun masih baru dan perjalanannya masih panjang, tetapi pastinya semua perkara akan bermula dengan langkah pertama. Semoga hasrat-hasrat baik sentiasa diredhai dan dipermudahkan Tuhan.

Terima kasih kepada para pelajar DUP 6A atas kerjasama yang amat baik dan amat 'sporting' sepanjang sesi tersebut berjalan.

Di bawah ini adalah beberapa gambar yang sempat saya rakamkan. Dan sebahagiannya ada yang hilang tanpa sebab yang pasti. Kepada para pelajar yang gambarnya tidak disiarkan, harap dimaafkan.



Terlentang, meniarap, menyusur, merangkak, bertatih, berjalan dan akhirnya berlari-lari.

Sunday, February 12, 2012

Antara Tali Pingggang, Dompet, Stokin , Sebentuk Cincin Dan....







Empat hari yang lepas sempena meraikan hari ulang tahun ke 7 perkahwinan kami pada 8 Februari setiap tahun, isteri menghadiahkan saya satu set barangan POLO yang mengandungi tali pinggang, dompet dan stokin.

Terima kasih banyak-banyak atas ingatan itu.

Dan pada hari Khamis, setelah terlewat sehari, saya menghadiahkannya sebentuk cincin emas tidak bertatahkan belian tetapi bertatahkan 'segalanya' atas kesudiannya menempuh susah senang berkongsi hidup dengan lelaki awal 40-an ini. Umur biologinya yang bukan lagi 40-an.

Sudi menjadi isteri saya.
Sudi menjadi ibu kepada anak-anak saya.
Dan sudi 'memendan rasa' melayan karenah-karenah saya.
Dan segala-galanya yang bukan semuanya mampu dituliskan.

Tidaklah mahal, tetapi munasabahlah untuk sebuah hubungan tanpa harga ini.

Dan mungkin kerana 'kejadian' seperti inilah, lelaki selalunya dilabelkan kurang romantik dan kurang peduli serta kadang-kadang terlupa tentang 'hari-hari kebesaran serta tarikh-tarikh penting' selepas berkahwin dalam hubungan suami isteri. Kata orang, tidak seperti zaman-zaman bercinta dahulu. Tambahan pula ketika usia perkahwinan semakin bertambah 'usia'nya.

Benarkah begitu!!

Mungkin ada benarnya, jika saya dijadikan sebagai contohnya. Jika penghargaan dari segi pemberian itu dijadikan sebagai kayu ukurnya.  

Tanpa kajian akademik tetapi berdasarkan pengalaman diri sendiri dan orang lain, lazimnya begitulah.

Perempuan lebih mengingati dan menghargai hari-hari 'kebesaran dan penting' dalam hidup berpasangan sebagai suami isteri.

Entahlah apa sebabnya yang pasti.

Barangkali kerana kelakiannya, maka sebahagian lelaki jadi begitu.

Dan kerana keperempuanannya, perempuan pula ditakdirkan jadi begitu.

Tapi itu bukan hujah akademik.

Dari sudut lain, ada orang berpandangan , bahawa lelaki dan perempuan, mungkin berbeza dalam 'menunjukkan' kasih sayangnya. 

Mungkin bagi sesetengah perempuan beranggapan, romantik, cinta, kasih dan sayang tanpa sekuntum ros merah tiada ertinya. Kasih dan sayang tidak memadai dengan kata-kata tetapi mestilah ditandai. Kasih kekasih serta kasih suami paling tidak mestilah ditandai oleh sekuntum bunga kalau pun tidak hadiah-hadiah lain termasuk 'candle light dinner'. Dan tidak mustahil kerana sekuntum bunga itulah, senyumnya semakin manis.

Dan tidak mustahil juga, kerana tiada sekuntum bunga itulah, wajahnya tanpa senyuman. Mencuka menunjuk rasa. 

Dan apabila lelaki berkata, apalah ertinya kasih sekuntum bunga. Bunga yang akan layu dan gugur dalam beberapa hari sahaja.

Apakah cinta, kasih dan sayang itu akan layu dan gugur juga seperti mana layu dan gugur bunga tersebut?

Apakah cinta, kasih dan sayang itu akan lusuh, rosak dan musnah juga seperti mana lusuhnya, rosak dan musnahnya barang-barang yang dihadiahkan tersebut?

Apalah ertinya sekuntum bunga berbanding seketul hati dan seluruh jiwa serta 'raga-raga'nya sekali yang telah diberikan itu!

Mungkin itu hanya dianggap sebagai 'madah berhelah' seorang lelaki.
'Madah-madah berhelah' di atas rasanya akan menimbulkan rasa marah dan ketidakpuasan hati perempuan barangkalinya.

Pada saya, tiada salahnya memberikan hadiah-hadiah pada hari-hari penting tersebut. Banyak ditulis dan disebutkan bahawa memberi selalunya melahirkan kegembiraan yang lebih daripada sekadar menerima. Seronok memberi daripada menerima. Dan saya boleh menerima hujah-hujahnya berdasarkan apa yang pernah saya baca sebelum ini.

Memberi itu tanda menghargai dan mengingati. Dan mungkin juga pelbagai tanda lain lagi.

Seperti ungkapan perpatah Melayu tentang memberi.

Memberi sedikit tanda ingatan, memberi banyak tandanya ada.

Namun, jika ros dijadikan simbol cinta, ia tidak akan kekal, kerana bunga akan layu dan kering dalam masa seminggu. Jika hadiah untuk mengukur cinta, itu juga tidak akan kekal kerana benda-benda itu buruk ditelan masa.

Biarlah cinta itu tanpa musim. Tidak berjadual. Dan tidak hanya pada hari dan tarikh-tarikh tertentu. Biarlah ia sentiasa menyemarak setiap saat sepanjang masa.

Buat isteri.

Terima kasih atas hadiah tersebut. Terima kasih atas segala susah payah menjadi seorang isteri kepada seorang suami yang seadanya ini. 

Kadang-kadang tanpa senyum. Kadang-kadang tanpa kata-kata. Kadang-kadang tanpa ros dan hadiah yang mahal-mahal.

Tapi ketahuilah, bahawa di hati ini selepas Allah dan Rasul serta yang selayaknya bertakhta dahulu, cinta mu sentiasa mekar dihati.

Semoga saya tidak berdosa kerana acapkali gagal mempamerkannya!

Saya Kebingungan!







Setakat ini.

Saya tidak pernah berputus asa.

Saya tidak pernah berhenti berdoa.

Saya tidak pernah berhenti mencuba.

Saya tidak pernah berhenti berusaha.

Saya tidak pernah berhenti mencari jawapannya.

Cumanya.

Saya sedikit kebingungan. Kalau boleh dikatakan begitu.

Bukan bingung kenapa doa saya masih belum dikabulkan Allah.

Bukan bingung kenapa ubat yang ditelan tidak memberikan kesan.

Bukan bingung kenapa usaha saya masih belum berhasil.

Dan bukan juga, bingung kerana sebab-sebab yang lain.

Yang saya bingungkan ialah apakah sebab sebenarnya setiap saat lelap mata saya  akan diganggu mimpi-mimpi yang memenatkan mental dan fizikal. Sudah beberapa tahun lamanya. Siang dan malamnya juga.

Yang saya bingungkan ialah apakah sebab sebenarnya 'kepala otak' saya sentiasa 'berfikir 24 jam' sehari. 'Berfikir-fikir' yang banyak yang merosakkan jiwa positif saya.

Ketika saya tidak mahu 'berfikir' pun, 'kepala otak' ini terus juga 'berfikir'. Dan banyaknya adalah yang bukan-bukan.

Akhirnya yang menerima kesannya adalah mental dan fizikal saya.

Sehingga segalanya kembali normal, dengan izin Tuhan.

Saya memohon maaf kepada yang turut menerima tempiasnya.

Terutama buat isteri dan anak-anak, orang-orang yang paling dekat dalam hidup saya setiap hari.

Tidak lupa kepada adik beradik serta rakan-rakan. 

Berat bukan sekadar pada memandang, tapi berat lagi pada memikulnya. Itulah yang sedang saya rasanya.

Namun sebagai hambaNya. Rahmat Allah sentiasa diharapkan. Semoga Allah memberikan saya kekuatan untuk melalui perjalanan seterusnya. Kepada Allah jualah saya pasrahkan untuk mengurus dan menyusun apa yang terbaik untuk saya seterusnya.

HambaNya yang amat lemah ini.

Friday, February 10, 2012

Antara 8 Dan 10







Bukan mudah menulis 'tanpa hati.'

Namun, pagi ini saya gagahkan jua untuk menulis sebaris dua.

Pertamanya, untuk mengucapkan kepada diri sendiri dan isteri, "Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke 7 Perkahwinan."

Yang berlalu telah berlalu dengan segala macam ceritanya.

Semoga perjalanan yang bakal dilalui seterusnya dilindungi serta dirahmati Allah SWT dari segala sudutnya.  

Ulang Tahun perkahwinan kami yang jatuh pada 8 Februari setiap tahun. Ucapan ini telah terlewat dua hari, tetapi masih belum terlambat rasanya.

Setelah berusaha dan bertawakal, biarlah Allah SWT. yang menyusun apa yang sepatutnya berlaku selepasnya.

Insyaallah.

Keduanya, untuk mengucapkan "Selamat Menyambut Ulang Tahun Pertama" untuk anakanda perempuan saya, Nursyamimi Hayani binti Razak.

Alhamdulillah, hari ini 10  Februari 2012 merupakan hari ulang tahun kelahiran pertamanya. Doa untuknya, mudah-mudahan perjalanan hidup anakanda sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT. selama-lamanya. Begitulah hendaknya. Dunia dan akhiratnya jua.

Doa.

Ya Allah, Janganlah engkau serahkan diri kami kepada kami yang menguruskannnya walaupun sekelip mata, nescaya kami tidak mampu melakukan, dan janganlah engkau serahkan kepada orang lain untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakanya.

Amin.
Share/Bookmark