Sunday, February 12, 2012

Antara Tali Pingggang, Dompet, Stokin , Sebentuk Cincin Dan....







Empat hari yang lepas sempena meraikan hari ulang tahun ke 7 perkahwinan kami pada 8 Februari setiap tahun, isteri menghadiahkan saya satu set barangan POLO yang mengandungi tali pinggang, dompet dan stokin.

Terima kasih banyak-banyak atas ingatan itu.

Dan pada hari Khamis, setelah terlewat sehari, saya menghadiahkannya sebentuk cincin emas tidak bertatahkan belian tetapi bertatahkan 'segalanya' atas kesudiannya menempuh susah senang berkongsi hidup dengan lelaki awal 40-an ini. Umur biologinya yang bukan lagi 40-an.

Sudi menjadi isteri saya.
Sudi menjadi ibu kepada anak-anak saya.
Dan sudi 'memendan rasa' melayan karenah-karenah saya.
Dan segala-galanya yang bukan semuanya mampu dituliskan.

Tidaklah mahal, tetapi munasabahlah untuk sebuah hubungan tanpa harga ini.

Dan mungkin kerana 'kejadian' seperti inilah, lelaki selalunya dilabelkan kurang romantik dan kurang peduli serta kadang-kadang terlupa tentang 'hari-hari kebesaran serta tarikh-tarikh penting' selepas berkahwin dalam hubungan suami isteri. Kata orang, tidak seperti zaman-zaman bercinta dahulu. Tambahan pula ketika usia perkahwinan semakin bertambah 'usia'nya.

Benarkah begitu!!

Mungkin ada benarnya, jika saya dijadikan sebagai contohnya. Jika penghargaan dari segi pemberian itu dijadikan sebagai kayu ukurnya.  

Tanpa kajian akademik tetapi berdasarkan pengalaman diri sendiri dan orang lain, lazimnya begitulah.

Perempuan lebih mengingati dan menghargai hari-hari 'kebesaran dan penting' dalam hidup berpasangan sebagai suami isteri.

Entahlah apa sebabnya yang pasti.

Barangkali kerana kelakiannya, maka sebahagian lelaki jadi begitu.

Dan kerana keperempuanannya, perempuan pula ditakdirkan jadi begitu.

Tapi itu bukan hujah akademik.

Dari sudut lain, ada orang berpandangan , bahawa lelaki dan perempuan, mungkin berbeza dalam 'menunjukkan' kasih sayangnya. 

Mungkin bagi sesetengah perempuan beranggapan, romantik, cinta, kasih dan sayang tanpa sekuntum ros merah tiada ertinya. Kasih dan sayang tidak memadai dengan kata-kata tetapi mestilah ditandai. Kasih kekasih serta kasih suami paling tidak mestilah ditandai oleh sekuntum bunga kalau pun tidak hadiah-hadiah lain termasuk 'candle light dinner'. Dan tidak mustahil kerana sekuntum bunga itulah, senyumnya semakin manis.

Dan tidak mustahil juga, kerana tiada sekuntum bunga itulah, wajahnya tanpa senyuman. Mencuka menunjuk rasa. 

Dan apabila lelaki berkata, apalah ertinya kasih sekuntum bunga. Bunga yang akan layu dan gugur dalam beberapa hari sahaja.

Apakah cinta, kasih dan sayang itu akan layu dan gugur juga seperti mana layu dan gugur bunga tersebut?

Apakah cinta, kasih dan sayang itu akan lusuh, rosak dan musnah juga seperti mana lusuhnya, rosak dan musnahnya barang-barang yang dihadiahkan tersebut?

Apalah ertinya sekuntum bunga berbanding seketul hati dan seluruh jiwa serta 'raga-raga'nya sekali yang telah diberikan itu!

Mungkin itu hanya dianggap sebagai 'madah berhelah' seorang lelaki.
'Madah-madah berhelah' di atas rasanya akan menimbulkan rasa marah dan ketidakpuasan hati perempuan barangkalinya.

Pada saya, tiada salahnya memberikan hadiah-hadiah pada hari-hari penting tersebut. Banyak ditulis dan disebutkan bahawa memberi selalunya melahirkan kegembiraan yang lebih daripada sekadar menerima. Seronok memberi daripada menerima. Dan saya boleh menerima hujah-hujahnya berdasarkan apa yang pernah saya baca sebelum ini.

Memberi itu tanda menghargai dan mengingati. Dan mungkin juga pelbagai tanda lain lagi.

Seperti ungkapan perpatah Melayu tentang memberi.

Memberi sedikit tanda ingatan, memberi banyak tandanya ada.

Namun, jika ros dijadikan simbol cinta, ia tidak akan kekal, kerana bunga akan layu dan kering dalam masa seminggu. Jika hadiah untuk mengukur cinta, itu juga tidak akan kekal kerana benda-benda itu buruk ditelan masa.

Biarlah cinta itu tanpa musim. Tidak berjadual. Dan tidak hanya pada hari dan tarikh-tarikh tertentu. Biarlah ia sentiasa menyemarak setiap saat sepanjang masa.

Buat isteri.

Terima kasih atas hadiah tersebut. Terima kasih atas segala susah payah menjadi seorang isteri kepada seorang suami yang seadanya ini. 

Kadang-kadang tanpa senyum. Kadang-kadang tanpa kata-kata. Kadang-kadang tanpa ros dan hadiah yang mahal-mahal.

Tapi ketahuilah, bahawa di hati ini selepas Allah dan Rasul serta yang selayaknya bertakhta dahulu, cinta mu sentiasa mekar dihati.

Semoga saya tidak berdosa kerana acapkali gagal mempamerkannya!

No comments:

Share/Bookmark