Tuesday, February 14, 2012

Semoga Umur Kita DiberkatiNya







Sebaik-baik umur ialah yang diberkati Allah.

Adapun umur yang paling baik ialah umur yang diberkati Allah SWT, yang diberikan taufiq untuk mengerjakan amalan saleh dan kebajikan-kebajikan yang lain, baik yang umum mahu pun yang khusus. Adakalanya Allah SWT. memberikan berkatNya pada umur yang pendek bagi sebahagian hambaNya yang terpilih, sehingga amalannya lebih banyak kebaikannya dan lebih terasa manfaatnya daripada orang yang dipanjangkan umurnya.

Sebagai contoh, Imam Syafei rahimahullah, beliau berumur hanya 54 tahun. Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullah, beliau meninggal dunia dalam usia 55 tahun. Begitu pula al Imam al Quthub as Syarif Abdullah bin Abu Bakar Al Aydrus al Alawi, beliau meninggal dalam usia 54 tahun. Juga Imam Nawawi, beliau meninggal pada usia di bawah lima puluh tahun.

Dan khalifah yang saleh, Umar bin Abdul Aziz, beliau meninggal pada umur kurang dari empat puluh tahun.

Selain mereka, banyak lagi imam besar lain yang tidak dipanjangkan umurnya oleh Allah, akan tetapi mereka dapat menyebarkan kebajikan yang banyak dan di tangan merekalah terdapat bermacam-macam keberkatan yang meliputi seluruh negeri dan masyarakat, yang dapat dimanfaatkan oleh orang-orang kota mahupun orang-orang desa.

Itulah kelebihan dari Allah SWT. yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Demikianlah umat Muhammad SAW ini sentiasa mendapat keberkatan yang besar dari Allah SWT, disebabkan kedudukan utama yang tidak dipunyai oleh umat-umat lainnya, meskipun pada umumnya mereka mempunyai umur yang pendek dan kesempatan yang sedikit dalam kehidupannya jika dibandingkan dengan umat-umat sebelum.(*)

(*)Allamah Sayyid Abdullah Haddad, Renungan Tentang Umur Manusia, halaman 76-77.

No comments:

Share/Bookmark