Friday, March 30, 2012

Sebelum Asar Di Petang Jumaat







Tiba-tiba hati menjadi sayu. Disentuh kalimat-kalimat ini. Betapa!

Dan biarlah saya kongsikan tulisan tentang itu.

Tentang.

Perlunya Jihad Batin.

Orang-orang yang paling dekat kepada Allah ialah orang-orang mukmin dan orang-orang yang mengamalkan ajaran-ajaran al quran dan sunnah Rasulullah. Ini juga merupakan satu kepercayaan yang pasti.

Apabila seseorang itu cintakan seseorang yang lain, dia tidak akan menghiraukan segala susah jerih dan segala penat lelah. Ini juga hakikat yang sangat jelas.

Tetapi mengapa Allah menjadikan hamba-hambaNya yang mukmin itu terpaksa menghadapi berbagai-bagai cubaan dan ujian? Bukankah Allah berkuasa mengatakan, "Jadi! lantas sesuatu itu jadi?" Mengapa Allah tidak jadikan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di sepanjang jalan tanpa terpaksa menghadapi aneka penderitaan, kekalahan dan pengorbanan? Mengapa Dia tidak jadikan orang-orang mukmin mempunyai kesihatan yang paling baik dan harta yang kaya-raya?

Inilah pertanyaan-pertanyaan yang mungkin berlegar di benak-benak setengah-setengah orang. Bukankah paling mudah bagi Allah melaksanakan hal seperti itu, tetapi mengapa hal itu tidak berlaku.

Menurut hemat kita tentulah di sana ada sebab-sebab yang lahir dan ada pula hikmat yang lain, yang tidak tercakup oleh akal kita.

Seandainya segala sesuatu itu mudah belaka, setiap musuh orang-orang mukmin dapat tumpas segera tanpa perjuangan yang gigih dan setiap sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang mukmin dapat dilaksanakan tanpa usaha yang sungguh-sungguh, maka tentulah hidup ini tidak lagi mempunyai apa-apa rasa dan nilainya. Tanpa pertentangan-pertentangan, segala sesuatu tidak akan berbeda.

Anda tidak akan mengenal datangnya hari siang melainkan sesudah anda melihat kegelitaan itu hilang dan terbitnya matahari di kaki langit.

Anda tidak akan mengenal nikmat kesihatan melainkan sesudah anda mengenal penderitaan-penderitaan akibat sakit.

Bagaimana manusia boleh membuat perhubungan satu sama lain apabila nilai-nilai yang luhur itu tidak ada lagi? Bagaimana mungkin adanya seseorang mukmin yang gigih dan seorang mukmin lagi lemah seandainya di sana tidak ada perjuangan?

Perjuangan merupakan ujian dan ujian adalah satu-satunya jalan untuk mengetahui mana pelajar yang berjaya dan mana pula yang harus memasuki ujian sekali lagi.

Jaya dan gagal ada masing-masing gunanya.

Kejayaan itu suatu kebaikan dan hasil dari sesuatu perjuangan itu merupakan satu kenikmatan yang amat citarasa. Seseorang itu tidak akan mengecapi kenikmatan melainkan dari hasil usahanya sendiri, malah selepas itu dia akan merasa begitu nikmat dengan langkah-langkah usahanya yang dilakukannya di saat-saat perjuangan.

Begitu juga kegagalan akan memberi kenikmatan kepada seseorang untuk mengulangi usahanya dan menyemak kedudukan dan langkah-langkah tadbirnya.

Seluruh jihad itu baik belaka.

Perjuangan mencari rezeki merupakan satu jihad, usaha-usaha mengatasi keinginan nafsu merupakan satu jihad yang lain, usaha berkorban untuk kepentingan umum juga jihad. Dan tiap-tiap jihad itu ada darjah-darjahnya dan kemuncak dari jihad ialah mengorbankan jiwa untuk kepentingan agama Allah.

Jiwa itu pemberian dari Allah, oleh itu ketika anda sentiasa bersedia untuk memulangkannya kepada Allah dalam satu perkhidmatan luhur, suci dan mulia, maka Allah akan membelikannya dengan darjah-darjah kenikmatan syurga yang paling tinggi.

Ia membelikan sesuatu yang dahulunya dikurniakan kepada kita, kerana kita tidak mempunyai apa-apa jasa terhadap wujudnya diri kita, kemudian kemurahanNya yang limpah telah memberikan pula kepada kita kenikmatan-kenikmatan yang kekal abadi sebagai ganti. Ia mengambil balik apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Tiap-tiap sesuatu itu ada jalannya, syurga ada jalanya, neraka ada jalannya, dan jalan syurga ialah jihad. Firman Allah yang bermaksud, "Adakah kamu menyangka akan masuk syurga, sedangkan Allah belum lagi mengetahui siapa di antara kamu yang telah berjihad dan belum lagi mengetahui orang-orang yang sabar."

Sedutan dari buku Langkah-Langkah Menuju Allah oleh Mohd. Labib Al Buhi. Terjemahan oleh Yusoff Zaky Yacob. Halaman 89-91.

Thursday, March 29, 2012

Sedang Menanti Itu

Al-Munawi rahimahullah berkata, “Maksud hadis ini, barangsiapa yang terkumpul padanya kesihatan badan, jiwanya merasa aman ke manapun ia pergi, keperluan hari tersebut tercukupi dan keluarganya dalam keadaan selamat, maka sungguh Allah telah mengumpulkan untuknya seluruh jenis kenikmatan, yang siapa pun berhasil menguasai dunia tidaklah akan mendapatkan kecuali hal tersebut.” (Faidhul Qadir oleh al-Munawi, 9/387).
 
Dipetik dari SINI dengan penyesuaian beberapa perkataan setempat.

Wednesday, March 28, 2012

Andai Hati Mu Terluka

Andai hatimu terluka kerana kata-kata.

Sabarlah sekejap. 

Bukan semua kata-kata perlu dibalas dengan kata-kata.

Diam juga adakalanya sebuah balasan.

Dan tersenyumlah jika engkau mampu.

Dan biarlah putaran saat membawa kenangan pahit itu pergi. Insyaallah, suatu masa ia akan pergi jua bersama kelamaan masa yang beredar. 




Tuesday, March 20, 2012

Kawan : Antara Makanan, Ubat Atau Penyakit


Lazimnya, semua manusia menghabiskan sebahagian besar hidupnya di beberapa tempat.

Sebahagiannya di rumah kediaman bersama kaum keluarga serta saudara mara. Dan sebahagian lagi dihabiskan ditempat kerja. Ini bukan bermaksud untuk menafikan bahawa manusia selalu juga menghabiskan sebahagian hidupnya di tempat-tempat lain seperti bermain, membeli belah, bercuti dan sebagainya. Dan tempat kerja pula usah disempitkan ruang lingkupnya.

Apabila saya memilih menggunakan perkataan lazimnya, apa yang saya cuba maksudkan ialah apa yang selalunya terjadi dalam kehidupan manusia.

Dan apabila kita berada di luar rumah, sebahagian yang kita temui adalah kawan-kawan yang dipanggil dengan pelbagai gelaran.

Ada yang panggil kawan. Ada yang gelarnya sahabat. Ada yang namakannya rakan. Ada yang panggil taulan. Ada yang panggil karib. Ada yang panggil teman. Termanya juga mungkin bergantung kepada sedekat dan sejauh mana hubungan seseorang dengan seseorang.

TENTANG KAWAN

Suka saya berkongsi pesan di bawah, yang disedut dari E Book HATI..Mengenali hati, cara menjaganya dan merawatnya oleh Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil. Mudah-mudahan ada kebaikan darinya.

Kawan juga mempunyai pengaruh terhadap hati kita. Jika kita berkawan dengan orang yang bersih hatinya, hati kita juga Insya-Allah akan turut bersih. Jika kita berkawan dengan orang-orang yang hatinya kotor, akhirnya hati kita juga akan turut menjadi kotor. Kerana itu Nabi s.a.w. berpesan; “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap orang dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).

Para ulamak membahagikan jenis kawan kepada tiga;

a) Kawan yang diibaratkan seperti makanan; iaitu perlu selalu bergaul dan bersamanya sama seperti kita perlu mengambil makanan setiap hari untuk tubuh kita. Kawan seumpama ini ialah dari kalangan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh. Semakin banyak kita berkawan dengan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh, maka baik untuk hati kita.

b) Kawan yang diibaratkan seperti ubat; iaitu kita bergaul dengannya ketika perlu sahaja sama seperti kita mengambil ubat ketika kita sakit sahaja. Kawan jenis ini ialah dari kalangan orang-orang yang kita memerlukan mereka untuk urusan duniawi sahaja iaitu urusan kehidupan seperti jual-beli, perniagaan dan sebagainya. Kita tidak perlu terlalu rapat dan terlalu kerap bergaul dengan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada kebaikan agama dan hati kita. Cukup kita bergaul dengan mereka dengan kadar yang dapat menyempurnakan urusan kita sahaja. Kecualilah jika mereka tergolong dalam kelompok orang berilmu dan soleh seperti di atas, maka haruslah kita bergaul rapat dengan mereka kerana di samping memenuhi tuntutan duniawi, dapat juga kita mengambil manfaat dari keilmuan dan kesolehan mereka.

c) Kawan yang diibaratkan seperti penyakit; iaitu kita perlu menjauhi mereka sejauh-jauhnya sama seperti kita menjauhi penyakit kerana takut menjangkiti kita. Kawan jenis ini dari kalangan orang-orang fasik, kaki maksiat dan ahli Bid‟ah. Orang-orang dari jenis ini sekali-kali jangan kita berkawan dengan mereka kerana nanti sikap dan perilaku mereka akan merosakkan hati kita.

Selamat Hari Lahir Anakanda







Alhamdulillah, Ruknuddin Razin Raziq bin Razak, genap 4 tahun hari ini.

Suatu perjalanan, dulu hingga kini.


Tiada lain yang dipinta selain RahmatNya yang berkekalan di dunia dan akhirat jua.

Friday, March 16, 2012

Ketika Saya Sendiri Pun Tidak Mengerti


Usahkan orang lain, saya sendiri pun tidak mengerti apa sebenarnya kondisi saya saat ini, yang telah dibawa hampir lapan tahun lamanya. Dengan jiwa dan raga ini.

Saya memikul beratnya sendiri dengan dua bahu ini semampunya dengan bantuan Allah SWT pastinya , dan orang-orang di sekeliling  hanya melihat keberatan itu hanya pada apa-apa yang berubah pada fizikal, sikap serta tingkahlaku saya.

Namun, berat pada memandangnya tentu lebih berat lagi bahu yang memikulnya.

Syukurlah.

Hingga saat ini, Allah SWT masih memberikan saya ketabahan, kesabaran dan segala yang diperlukan untuk melaluinya di atas jalan yang lurus diredhaiNya.

Dengan sedikit Iman yang masih tersimpan di sudut hati ini. Dengan sedikit Iman itulah, alhamdulillah, Allah memberikan peluang untuk saya terus bertahan. Entahlah akan ada hujungnya di dunia ini atau ia akan dibawa sampai ke akhir hayat. Dengan segala usaha yang dilakukan, selebihnya saya serahkan pada Allah SWT yang memilikinya segala-galanya untuk menentukan apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat saya.

Sebagai manusia biasa saya sentiasa mengharapkan munculnya pelangi selepas hujan.
Mengharapkan siang akan muncul selepas malam yang gelita.
Mengharapkan mendung cepat beredar, agar cahaya datang menerangi.

Sama ada ia satu bencana atau ujian atas saya, sepatutnya kedua-duanya membawa saya semakin dekat kepada Pencipta yang Maha Segala-galanya. 

Namun realitinya, setiap keadaan, masa dan tempat, saya mungkin tidak banyak berbeza dengan manusia yang ramai. Mempunyai saat tegang dan kendurnya dalam bertahan.

Andainya ia suatu bencana, moga ia menjadi penghapus terhadap dosa-dosa yang pernah saya lakukan.

Seandainya ia suatu ujian, moga ia menambahkan lagi keyakinan, darjat serta keimanan saya kepada Allah SWT.

Bagai dikatakan orang, hidup tidak pernah mudah, tetapi ketabahan dan kesabaran yang perlu diminta dari Allah SWT untuk melalui hidup yang tidak pernah mudah itu.

Dan ketika saya sendiri pun tidak mengerti, saya pun tidak pernah meminta orang-orang di sekeliling juga ikut mengerti.

Tidak perlu.

Bukan juga bermaksud ingin mengeluh kesah dan mengulang dendang lagu-lagu lama, dogma-dogma usang yang  sudah jemu diulang pasang dan dengar.

Cuma ingin dikatakan.

Hanya kerana DIA. Yang Maha Segala-Galanya.

Mungkin penawarnya ada di sini.

Dari Abi Sa‟id al-Khudri dan dari Abu Hurairah –radhiyallahu „anhuma- menceritakan bahawa Nabi –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Tidak ada yang menimpa seorang muslim dari suatu kepayahan/kepenatan, kesakitan, kekecewaan, kesedihan, tindakan yang menyakitkan dari orang lain dan kedukacitaan hatta duri yang menusuknya melainkan Allah akan menghapuskan dengannya sebahagian dari dosa-dosanya”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Mardha).

Ulasan; 1. Melihat kepada makna umum hadis, dosa-dosa yang akan terhapus dengan kerana musibah yang menimpa itu adalah merangkumi semua jenis dosa. Namun jumhur ulamak –rahimahumullah- berpandangan; yang akan terhapus hanyalah dosa-dosa kecil sahaja. Adapun dosa-dosa besar, ia tidak akan terhapus melainkan dengan taubat nasuha. (Tuhfah al-Ahwazi, kitab al-Janaiz, bab “يب جبء فٙ ح إة ان شًٚط ”). 2. Tidak hanya dosa-dosa yang akan terhapus, malah darjat dan kebajikan juga akan diangkat dan ditambah oleh Allah sebagaimana sabda Nabi –sallallahu „alaihi wasallam- dalam hadis yang lain; : Dari „Aisyah –radhiyallahu „anha- menceritakan; Rasulullah –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Tidak mengena seorang mukmin satu duri atau yang lebih besar darinya melainkan Allah akan mengangkat dengan kerananya satu darjat atau menggugurkan darinya satu dosa”. (Soheh Muslim, kitab al-Birr wa as-Silah).


Dari Ka‟ab –radhiyallahu „anhu- menceritakan bahawa Nabi –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti batang pohon yang baru tumbuh (yang masih liut-pent.). Apabila ia ditiup angin kencang, sekali ia condong dan sekali ia kembali tegak. Adapun orang munafik, ia umpama ia seperti batang pokok arzah yang awalnya tetap tegak apabila dipukul angin kencang, namun akhirnya tercabut sekaligus”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Mardha)

Dari Abu Hurairah –radhiyallahu „anhu- menceritakan; Rasulullah –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti batang pohon yang baru tumbuh (yang masih liut-pent.) di mana bila dipukul angin, ia condong, namun bila angin reda, ia kembali tegak. Begitulah seorang mukmin yang condong ketika diuji (namun setelah reda ujian, ia kembali teguh-pent.). Adapun orang berdosa, ia seperti batang pokok arzah yang keras dan tetap lurus (bila dipukul angin-pent.) hinggalah ia dipatahkan Allah bila Ia menghendakinya”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Mardha)

Ulasan;
1. Maksud perumpamaan dalam hadis di atas ialah; orang beriman kehidupannya berlegar antara suka dan duka, kesenangan dan ujian, sihat dan sakit di mana ia meyakini semuanya adalah dari takdir Allah dan ia hadapinya dengan syukur dan sabar dan tidak pernah putus asa, ibarat pokok yang batangnya liut bila dipukul ribut ia melentur mengikut arah angin, namun tidak patah sama sekali. Bila angin reda, ia kembali tegak lurus. Berbeza dengan orang kafir di mana hidupnya penuh dengan kesenangan dan jarang ia diuji oleh Allah hinggalah bila sekali diuji terus ia tersungkur. Semasa hayatnya dia tidak pernah susah kerana kesusahan untuknya dihimpun oleh Allah bagi ia rasai sekaligus ketika hendak mati. (Rujuk; Syarah al-Karmani).

Dari Abu Hurairah –radhiyallahu „anhu- menceritakan bahawa Rasulullah –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; “Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan untuknya nescaya Allah akan timpakan ujian untuknya” (Soheh al-Bukhari, kitab al-Mardha) Ulasan; 1. Menurut Abu „Ubaid al-Harawi –rahimahullah-; Maksud hadis di atas ialah; Allah akan ujinya dengan musibah-musibah untuk memberi pahala kepadanya. (Fathul-Bari) Mengikut syarah Dr. Mustafa al-Bugha; Allah akan mengujinya dengan musibah-musibah untuk menyucinya dari dosa-dosa ketika di dunia di mana ia akan bertemu Allah di akhirat dalam keadaan bersih-suci. (Minhatul-Bari).

Dari Anas bin Malik –radhiyallahu „anhu- menceritakan; Aku telah mendengar Nabi –sallallahu „alaihi wasallam- bersabda; Sesungguhnya Allah berfirman; “Bila Aku menguji hambaKu dengan kehilangan dua anggota yang dikasihinya (iaitu dua matanya), lalu ia bersabar, Aku akan gantikan untuknya bagi dua mata yang hilang itu dengan syurga”. (Soheh al-Bukhari, kitab al-Mardha)

Ulasan; 1. Allah menyebutkan mata kerana dua mata adalah anggota yang paling dikasihi manusia di mana dengan mata ia dapat melihat. Allah menguji hambaNya di dunia tidak bermakna Ia membencinya, akan tetapi untuk membuang perkara yang dibenci darinya, atau untuk penghapusan dosa atau untuk mengangkat darjatnya. Maka apabila hamba menghadapinya dengan redha, maka tercapailah maksud Allah darinya. Jika tidak (yakni jika ia tidak redha), ia akan menjadi sebagaimana yang disebut dalam hadis; “Penyakit seorang mukmin Allah akan menjadikannya sebagai kaffarah untuknya dan semoga ia menyedari kesilapannya dan mencari redha Allah. Adapun penyakit orang jahat, ia seperti unta yang diikat tuannya kemudian ia melepaskannya di mana unta itu tidak tahu kenapa ia diikat dan kenapa pula ia dilepaskan” (Riwayat Imam al-Bukhari –rahimahullah- dalam al-Adab al-Mufrad dengan sanad yang mauquf kepada Salman –radhiyallahu „anhu-, lihat; Fathul-Bari).

Hadis-hadis serta ulasan-ulasan dipetik dari EBOOK 100 Hadis Pengubatan Nabi (Dari Soheh Imam al-Bukhari Terjemahan dan ulasan ; Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

Thursday, March 8, 2012

Tanpa Tajuk, Mencari Rasa







Entahlah pasal apa.

Selalunya saya suka bercerita-ceriti melalui blog ini, walaupun 'cerita-ceriti'nya mungkin entah apa-apa pada pandangan orang lain yang  membacanya. 

Namun pada saya, semua yang saya tuliskan di dalam blog ini tetap mempunyai motto yang serupa iaitu "Setiap cerita ada ibrohnya".  Kecil atau besar, sedikit atau banyak.

Paling tidak pun sebagai 'diari bergerak' saya. Dan ketika-ketika tertentu, saya seronok membaca kembali apa-apa yang pernah saya coretkan di dalam blog ini.

Sedihnya, ketika bulan Mac 2012 sudah masuk hari kelapan, saya belum mempunyai kekuatan untuk 'menconteng' blog ini, walaupun banyak juga perkara yang berlaku sepanjang tempoh tersebut tersebut, boleh dikongsikan di blog ini.

Dan mudah-mudahan, 'contengan' pertama hari ini, menjadi titik mula 'contengan-contengan' seterusnya bagi bulan Mac 2012.

Kerana kadangkala, 'KPI' turun naiknya emosi saya boleh dilihat dari jumlah 'entry' di blog pokok-kayu ini.

Dari mata turun ke hati.
Dari hati singgah di hati.

Begitulah harapnya.
Share/Bookmark