Friday, March 30, 2012

Sebelum Asar Di Petang Jumaat







Tiba-tiba hati menjadi sayu. Disentuh kalimat-kalimat ini. Betapa!

Dan biarlah saya kongsikan tulisan tentang itu.

Tentang.

Perlunya Jihad Batin.

Orang-orang yang paling dekat kepada Allah ialah orang-orang mukmin dan orang-orang yang mengamalkan ajaran-ajaran al quran dan sunnah Rasulullah. Ini juga merupakan satu kepercayaan yang pasti.

Apabila seseorang itu cintakan seseorang yang lain, dia tidak akan menghiraukan segala susah jerih dan segala penat lelah. Ini juga hakikat yang sangat jelas.

Tetapi mengapa Allah menjadikan hamba-hambaNya yang mukmin itu terpaksa menghadapi berbagai-bagai cubaan dan ujian? Bukankah Allah berkuasa mengatakan, "Jadi! lantas sesuatu itu jadi?" Mengapa Allah tidak jadikan orang-orang mukmin mencapai kemenangan di sepanjang jalan tanpa terpaksa menghadapi aneka penderitaan, kekalahan dan pengorbanan? Mengapa Dia tidak jadikan orang-orang mukmin mempunyai kesihatan yang paling baik dan harta yang kaya-raya?

Inilah pertanyaan-pertanyaan yang mungkin berlegar di benak-benak setengah-setengah orang. Bukankah paling mudah bagi Allah melaksanakan hal seperti itu, tetapi mengapa hal itu tidak berlaku.

Menurut hemat kita tentulah di sana ada sebab-sebab yang lahir dan ada pula hikmat yang lain, yang tidak tercakup oleh akal kita.

Seandainya segala sesuatu itu mudah belaka, setiap musuh orang-orang mukmin dapat tumpas segera tanpa perjuangan yang gigih dan setiap sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang mukmin dapat dilaksanakan tanpa usaha yang sungguh-sungguh, maka tentulah hidup ini tidak lagi mempunyai apa-apa rasa dan nilainya. Tanpa pertentangan-pertentangan, segala sesuatu tidak akan berbeda.

Anda tidak akan mengenal datangnya hari siang melainkan sesudah anda melihat kegelitaan itu hilang dan terbitnya matahari di kaki langit.

Anda tidak akan mengenal nikmat kesihatan melainkan sesudah anda mengenal penderitaan-penderitaan akibat sakit.

Bagaimana manusia boleh membuat perhubungan satu sama lain apabila nilai-nilai yang luhur itu tidak ada lagi? Bagaimana mungkin adanya seseorang mukmin yang gigih dan seorang mukmin lagi lemah seandainya di sana tidak ada perjuangan?

Perjuangan merupakan ujian dan ujian adalah satu-satunya jalan untuk mengetahui mana pelajar yang berjaya dan mana pula yang harus memasuki ujian sekali lagi.

Jaya dan gagal ada masing-masing gunanya.

Kejayaan itu suatu kebaikan dan hasil dari sesuatu perjuangan itu merupakan satu kenikmatan yang amat citarasa. Seseorang itu tidak akan mengecapi kenikmatan melainkan dari hasil usahanya sendiri, malah selepas itu dia akan merasa begitu nikmat dengan langkah-langkah usahanya yang dilakukannya di saat-saat perjuangan.

Begitu juga kegagalan akan memberi kenikmatan kepada seseorang untuk mengulangi usahanya dan menyemak kedudukan dan langkah-langkah tadbirnya.

Seluruh jihad itu baik belaka.

Perjuangan mencari rezeki merupakan satu jihad, usaha-usaha mengatasi keinginan nafsu merupakan satu jihad yang lain, usaha berkorban untuk kepentingan umum juga jihad. Dan tiap-tiap jihad itu ada darjah-darjahnya dan kemuncak dari jihad ialah mengorbankan jiwa untuk kepentingan agama Allah.

Jiwa itu pemberian dari Allah, oleh itu ketika anda sentiasa bersedia untuk memulangkannya kepada Allah dalam satu perkhidmatan luhur, suci dan mulia, maka Allah akan membelikannya dengan darjah-darjah kenikmatan syurga yang paling tinggi.

Ia membelikan sesuatu yang dahulunya dikurniakan kepada kita, kerana kita tidak mempunyai apa-apa jasa terhadap wujudnya diri kita, kemudian kemurahanNya yang limpah telah memberikan pula kepada kita kenikmatan-kenikmatan yang kekal abadi sebagai ganti. Ia mengambil balik apa yang telah dikurniakan kepada kita.

Tiap-tiap sesuatu itu ada jalannya, syurga ada jalanya, neraka ada jalannya, dan jalan syurga ialah jihad. Firman Allah yang bermaksud, "Adakah kamu menyangka akan masuk syurga, sedangkan Allah belum lagi mengetahui siapa di antara kamu yang telah berjihad dan belum lagi mengetahui orang-orang yang sabar."

Sedutan dari buku Langkah-Langkah Menuju Allah oleh Mohd. Labib Al Buhi. Terjemahan oleh Yusoff Zaky Yacob. Halaman 89-91.

No comments:

Share/Bookmark