Wednesday, May 16, 2012

Untuk Sang Mu...Mu..Mu..Mu.







Untukmu para Mu'allim, Murabbi, Muaddib, Muthabbit.

Selamat Hari Guru 2012.

'Salin dan tampal' dari versi lama, tetapi masih dengan rasa yang sama.
Versi 2011.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari guru tahun 2011; 

1. Kepada bekas guru-guru sekolah rendah saya di Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong, Marang, Terengganu.


3. Kepada bekas guru-guru saya semasa di UKM dan juga Maktab Perguruan Kuala Terengganu Batu Rakit, Terengganu.

4. Kepada semua ahli keluarga, isteri, abang serta adik beradik serta kenalan yang masih sudi menjadi guru.

Kepada semua, semoga hidup serta kerjaya yang dipilih terus dirahmati Ilahi hendaknya.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat serta bekas-bekas pelajar atas ingatan dan ucapan selamat hari guru walaupun di mana kalian berada.

Walau bagaimana caranya jua pun ucapan tersebut disampaikan.

Terima kasih, buat semua.

Yang memberi dan menerimanya juga.


Dikesempatan ini, saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada :

1. Semua guru yang pernah mengajar dan mendidik saya semasa bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Jejulong, Marang, Terengganu, juga semasa persekolahan menengah saya di SHAMS, Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Maaf kerana saya tidak mampu untuk menyenaraikannya seorang demi seorang walaupun sebahagian besar nama-nama guru kalian masih terpahat di hati ini.

2. Isteri saya yang penuh tabah menukar opsyen menjadi Guru Pendidikan Khas. Tiada hari tanpa cerita tentang "kemeriahan" menjadi Guru Pendidikan Khas dan juga "kemeriahan" di pendidikan khas itu sendiri. Manis, masam, kelat, pahit, tawar, maung, masam. Semuanya ada dan terangkum menjadi pelbagai cerita.

3. Abang dan adik saya yang juga merupakan seorang guru.

4. Semua kawan-kawan yang sedang menjadi guru dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Tiada "glamour", hanya kesabaran dan ketabahan yang banyak dalam mendidik serta menghadapi pelbagai karenah pelajar-pelajar zaman moden dan penuh kecanggihan ini. Meraikan zaman mereka yang perlukan bukan sedikit kebijaksaan dan penuh hikmah.

Razak Nordin berpesan ; Untuk anda semua, terimalah ucapan :-

SELAMAT HARI GURU.

Saturday, May 5, 2012

Rasulullah : Diam, Tersenyum Dan Menangis


Ibnul Qayyim Al Jauziyah di dalam  Zaadul Ma'ad( Bekal Menuju Akhirat) telah menukilkan tentang saat diam, saat tersenyum dan saat menangis baginda Rasulullah SAW. Pedoman dari seorang Rasul yang padanya ada uswatun dan qudwatun hasanah.

Rasulullah SAW adalah makhluk Allah yang paling fasih, paling merdu kata-katanya, paling lembut tutur katanya, sehinggakan perkataan baginda dapat mempengaruhi hati sekian banyak manusia dan menawan jiwanya. Bahkan musuh-musuh baginda juga mengakui hal ini. Jika berkata, perkataan baginda terinci dan jelas, terkadang diulang-ulang, tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat, tidak terputus-putus atau tersela dengan diam. Terkadang baginda mengulang hingga tiga kali, agar perkataan baginda benar-benar boleh difahami.

Baginda lebih banyak diam jika memang tidak diperlukan untuk berkata-kata. Mengawali dan mengakhiri perkataan dengan hujung bibirnya, berkata-kata dengan menggunakan kata-kata yang banyak kandungan maknanya, tidak terlalu banyak, dan tidak pula terlalu sedikit, tidak membicarakan sesuatu yang tidak diperlukan, tidak berkata kecuali yang diharapkan pahalanya. Jika baginda tidak menyukai sesuatu, maka perkara itu dapat diketahui melalui raut wajah baginda. Tawa baginda berupa senyuman, bahkan semuanya berupa senyuman. Puncak senyuman baginda ialah gigi geraham baginda kelihatan. Baginda tersenyum kerana memang ada sesuatu yang membuat baginda tersenyum, iaitu perkara-perkara yang membuat baginda takjub atau perkara-perkara yang jarang terjadi atau aneh. Baginda juga tersenyum kerana gembira, kerana melihat sesuatu yang menggembirakan  atau ikut dalam kegembiraan itu.

Tapi adakalanya baginda tersenyum justeru pada saat yang seharusnya beliau marah. Baginda tersenyum kerana dapat menguasai rasa amarah. Sedangkan tangis baginda juga tidak berbeza jauh dengan senyum baginda, tidak dengan sedu sedan, ratapan dan suara, sebagaimana tawa baginda tidak disertai suara mengekek, tapi hanya berupa senyuman. Saat menangis air mata baginda mengalir hingga bercucuran dan dari dada terdengar suara menggelegak. Tangis baginda terkadang kerana gambaran kasih sayang kepada orang yang meninggal dunia, terkadang kerana rasa takut atas umatnya dan rasa sayang, terkadang kerana takut kepada Allah. Terkadang saat mendengar Al Quran, iaitu merupakan tangis cinta dan pengagungan, yang disertai rasa takut dan khuatir. Ketika putera baginda, Ibrahim meninggal dunia, maka kedua mata baginda menangis dan mencucurkan air mata, sebagai luapan rasa kasih sayang kepadanya. Baginda bersabda saat itu.

"Mata boleh berlinangan air mata, hati boleh bersedih, namun kami tidak mengatakan kecuali yang membuat Rabb kami redha. Sesungguhnya kami benar-benar bersedih atas kematian Ibrahim."(Ditakhrijka Al Bukhari dan Ahmad)

Baginda menangis ketika menyaksikan salah seorang puterinya, ketika Ibnu Mas'ud membacakan surah An Nisa' di hadapan baginda hingga ayat 41, menangis saat Usman bin Mazh'um meninggal dunia, menangis saat ada gerhana matahari, menangis ketika solat gerhana, menangis ketika solat, menangis saat duduk di dekat kuburan salah seorang puteri baginda.

Secara keseluruhannya, tangis baginda itu menggambarkan beberapa keadaan iaitu tangis kasih sayang, takut dan harap, cinta dan rindu, senang dan gembira, sedih kerana menggambarkan siksaan, kesedihan, merasa lemah dan tidak berdaya.

Rasulullah SAW datang bukan sahaja untuk menjadi contoh tetapi juga menunjuk contoh.

Friday, May 4, 2012

Apabila Kamu Merasa...

Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal-Saidina Ali bin Abi Thalib.

Wednesday, May 2, 2012

Coretan Seorang Teman

Kunukilkan coretan seorang teman...

Teman,
Apakah yang selalu difikirkan sebelum tidurmu.
Tentang rezeki, anak-anak, out station, kerja yang berlambak-lambak, perniagaan dan sebagainya. Lalu bangkitnya adalah pada jadual untuk ke tempat kerja bukannya jadual untuk solat. Solat fajar sering terabaikan sehingga terlupa pesan Rasulullah SAW ' dua rakaat di waktu fajar itu lebih baik dari dunia dan seisi-isinya". (HR Muslim)

Teman,
Masihkah kau ingat bilakah hari terakhir engkau berpuasa sunat. Ia masih segar dalam ingatan atau sudah mulai kabur kerana kelamaan masa itu. Masihkah kau ingat bilakah malam terakhir engkau pernah bertahajjud. Engkau masih ingat bahawa malam itu adalah pada suatu malam di bulan Ramadhan yang lalu.

Teman,
Masihkah kau ingat bilakah kali terakhir engkau membaca Kitab Suci itu? Kerana debu-debunya kelihatannya makin membaluti. Engkau pun masih ingat, bahawa kali terakhir itu juga pada suatu malam di bulan Ramadhan yang lalu. Dan kitab-kitab serta buku-buku yang kau susun rapi di dalam almari bagaikan sedang menangis kerana rasa disisihkan. Setelah cinta tuannya beralih arah. Dan zikirnya hanyalah pada waktu-waktu sempena tertentu sahaja.

Teman,
Berapa lamakah engkau bekerja dalam sehari? Dari pagi sampai asar? Selepas asar disambung lagi dengan tugasan-tugasan yang lain sehingga isyak atau sehingga larut malam atau sampai ke pagi. Setelah pulang ke rumah dan bermimpi di katil, engkau bangun lagi dan pergi bekerja lagi. Hari-hari seperti yang pernah diungkapkan hukama' :

"Kita menampal dunia dengan mencarikkan agama, maka agama pun hilang, yang tampal juga tidak ada"

Teman,
Imam Al Ghazali pernah berpesan : "Antara kepelikan adalah apabila kita inginkan harta di dunia, kita bertanam, berniaga, merempuh lautan, merentas padang pasir, berfikir, berjuang dan berpenat lelah demi mencari rezeki kita dan kita tidak thiqah dengan jaminan Allah kepada kita".

Apabila mata kita tamakkan milik kekal dan bermukim, kita cukup hanya mengungkapkan kepada diri kita, ya Allah ampunilah kami dan rahmatilah kami". Padahal tempat pergantungan dan sandaran kemuliaan diri kita sentiasa menyeru kita bahawa : "Tidak adalah bagi manusia itu melainkan apa yang telah diusahakannya". (An Najm : 39)

Manakala sebuah syair ada mengungkapkan : "Aku melihat ramai lelaki berpuas hati dengan secebis agama, sedangkan aku tidak melihat mereka berpuas hati dengan secebis kehidupan".

Kata Hassan : Allah merahmati seseorang yang memandang terhadap dirinya sendiri lalu menangisi dosa-dosa yang dilakukannya.

Teman,
Bukankah Abu Darda seorang sahabat Rasulullah SAW yang sempat bersama generasi tabein, ketika melihat dirinya jauh kekurangan berbanding para sahabat lalu diungkapkan satu nasihat yang dihalakan kepada dirinya sendiri.

Kata Abu Darda' : "Rasulullah SAW bersabda : Kalaulah kalian tahu apa yang aku tahu nescaya kalian akan sedikit ketawa dan akan banyak menangis, dunia adalah terlalu lekeh untuk kalian dan pasti kalian akan melebihkan akhirat".

Kemudian Abu Darda' berkata lagi bagi pihak dirinya : "Jika kalian mengetahui apa yang aku tahu nescaya kalian akan keluar ke jalanan menyesali dan menangisi diri sendiri, meninggalkan harta kalian tanpa pengawas dan tanpa kembali kepadanya kecuali apa yang dharuri, tetapi malangnya hati-hati kalian telah hilang ingatannya terhadap akhirat bahkan didominasi oleh angan-angan. Lantas dunia menguasai amal-amal kalian dan kalian menjadi seperti orang-orang yang tidak pernah mengetahui. Setengah kalian menjadi lebih teruk daripada haiwan yang tidak meninggalkan hawa nafsunya lantaran takutkan akibat perbuatannya. Kenapa kalian tidak asling berkasih sayang, tidak saling menasihati sedangkankalian adalah bersaudara di atas agama Allah. Tidak ada bezanya antara nafsu-nafsu kalian selain kejelikan kalian. Sekiranya kalian berkumpul di atas dasar kebaikan pastinya kalian akan saling berkasih sayang".

Bagaimana kalian boleh saling menasihati dalam urusan keduniaan dan tidak saling menasihati dalam urusan akhirat?

Teman,

Bukankah al Hassan al Basri juga pernah menasihati orang ramai : "Wahai hamba yang melarikan diri, kembalilah kepada Tuanmu yang siang malam menyerumu : Sesiapa yang datang kepadaku dengan berjalan nescaya aku akan datang kepadanya dengan berjalan lebih cepat. Padahal anda berpaling daripadaNya dan menerima yang lain. Sesungguhnya anda telah rugi yang paling jelik dan paling besar. Ingatlah wahai orang yang lupa!! Anda adalah hari-hari yang boleh dihitung. Apabila berlalu satu hari, maka pergilah sebahagian dari anda. Dikhuatiri apabila sebahagian yang pergi maka semuanya akan pergi sedang anda tahu. Oleh itu beramallah! kerana hari ini adalah amal tanpa hisab, sedang besok adalah hisab tanpa amal". 

Teman,
Tuhanmu juga pernah berfirman yang maksudnya : "Apakah belum tiba masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk hatinya mengingati Allah". (Al Hadid : 16). 

Dan engkau tidak akan mampu berjalan seorang diri melainkan mereka yang dirahmati Allah. Rasulullah SAW bersabda : "Syaitan itu bersama yang keseorangan dan ia dengan yang berdua itu lebih jauh'.  

Teman-temanku yang dikasihi, marilah sama-sama kita mengeluarkan dunia dari hati-hati kita dan letakkan dunia ini hanya di tangan-tangan kita. Kita memperbaharui janji dengan Allah. Dan buat terakhirnya, ingatlah pesan dari Abu Hurairah, beliau berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda :...Ingatlah sesungguhnya barangan Allah itu mahal, ingatlah sesungguhnya barangan Allah itu Jannah".

Teman,
Maafkan jika ada kekurangan dan kekhilafan dalam coretan ringkasku ini.

Begitulah seadanya, coretan seorang teman.
Share/Bookmark