Thursday, November 29, 2012

Jika Engkau Tidak Temui Hikmahnya

Ya.

Akhirnya saya membuat kesimpulan bahawa bukan semua perkara yang terjadi dalam hidup ini boleh kita temui hikmah-hikmahnya. Walaupun kita cuba mencari-carinya dengan akal yang sedangkal ini.  

Tersurat atau tersirat.

Begitulah yang telah dan sedang terjadi diseputar hidup kita. Masuk akal atau tidak masuk akal, waras atau tidak, logik atau tidak, tetapi itulah yang banyak terjadi.

Dan adakalanya kita hanya perlu menerima semua takdir yang telah dan sedang kita alami dengan redha, ikhlas, sabar dan tenang. Memohon pada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan yang paling tinggi dalam segenap lapang hidup. Berdoa dan berusaha agar semuanya baik-baik belaka walaupun zahirnya semacam nasib buruk yang telah terjadi.

Semua orang hakikatnya bernasib baik mengikut cara masing-masing. Nasib baik yang berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Nasib baik acuan Allah yang kadang kala sukar untuk kita memahaminya jika pandangnya hanya dari sudut akal semata.

Barangkali inilah antara yang paling payah kita lakukannya. Memakan limau yang masam tanpa kerut pada wajah.  
 
Dan selalu juga orang berpesan, masam memang masam, tapi berusahalah untuk menjadikan buah limau itu minuman yang manis.

Dan semuanya itu tidak mudah.

Antara redha dan syukur.

Dengan baki hidup yang entah bila noktahnya.

Bukan semata kudrat kita walaupun hanya sekelip mata lamanya.

Serahkan semua pada Allah.

Ya Allah, 'peluklah' kami, 'peluklah' kami dengan segala rahmatMu.

No comments: