Thursday, January 31, 2013

Acapkali Memang Begitu

Acapkali memang begitulah yang terjadi.

Selagi hidup.

Banyak perkara yang sering membelenggu fikiran. Rela atau terpaksa, kita dipaksa untuk berfikir. Kecil, sederhana, besar. Penting atau tidak penting. Berkaitan atau tidak berkaitan.

Kata orang semata berfikir tidak menyelesaikan masalah. Namun mahu bertindak, 'jenuh' mencari pangkalnya.

Namun, yang sering terjadi kita tidak pernah menemui jawapan yang pasti dan cerita itu pula tidak pernah ada kesudahannya.

Bahkan plot ceritanya makin celaru dan berliku-liku. Tepu. Semacam tiada lagi pintu dan jalan keluar.

Ketika kita memejamkan untuk tidur pada malamnya, kita mengharapkan hari esok kita akan hidup lagi. Sambil mengharapkan esok akan lebih baik dari semalam. Dalam segala hal.

Namun hidup bukan matematik. Campur, tolak, bahagi serta darab, hasilnya begini dan begitu.

Yang telah terjadi.

Bila terjaga paginya, kita cuba lalui hari baru dengan harapan baru. Namun sehingga kita tidur semula malamnya, ternyata 'matematik akal' mengatakan aduh, hari ini masih seperti semalam. Dan malam ini kita mengharap lagi. Moga esok akan lebih baik dari hari ini.

Hikmah terus dicari. Dan acapkali kita buntu.

Mencari Ayyub AS di akhir zaman, barangkali sesusah mencari seekor gagak putih di celah jutaan gagak-gagak hitam di dataran Perancis.

Bagaimana mampu aku jelasnya lagi? Kerana berat bukan pada memandang, tapi berat itu pada memikulnya. Itu pasti.

Dan semoga suatu masa yang belum pasti bila, ada kesudahan pada segala cerita-cerita itu. Kesudahan yang bahagia dunia, bahagia akhirat.

Selagi nadi ini berdenyut. Hidup bagai mimpi, yang realiti.

Allah, Allah, Allah.

Monday, January 28, 2013

Adakah Cinta Memerlukan Sebab?

Yang ni saya 'kopi radix'kan. Bila baca, macam menarik untuk dikongsikan. Rasa sayalah.

Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang disediakan di tepi tasik. Kemudian si isteri bertanya kepada si suami.

Ini dialog mereka…

Isteri: Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami: Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang memang menyayangi dan mencintai Sayang!

Isteri: Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang tidak boleh menerangkannya.

Suami: Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan bahawa abang memang cintakan Sayang!

Isteri: Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.

Si suami menarik nafas panjang dan dia berkata

“Baiklah! Abang mencintai Sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga sukakan senyuman manis dan setiap tapak Sayang melangkah, di situlah cinta Abang bersama Sayang!”

Si isteri tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi. Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami kemalangan dan koma.

Si suami amat bersedih dan menulis sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.

Surat tersebut berbunyi begini:

“Sayang!

Jika disebabkan suara aku mencintai mu… sekarang bolehkah engkau bersuara? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan aku mencintai mu…sekarang bolehkah engkau menunjukkannya? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika disebabkan senyuman aku mencintai mu… sekarang bolehkah engkau tersenyum? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika disebabkan setiap langkah aku mencintai mu…. sekarang bolehkah engkau melangkah? Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang. Aku tidak mempunyai sebab mencintai mu lagi.

Adakah cinta memerlukan sebab? Tidak! Aku masih mencintai mu dulu, kini, selamanya dan cinta tidak perlu ada sebab. Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia tidak boleh dilihat, dipegang. Namun begitu… ia boleh dirasai dalam hati.”

Friday, January 25, 2013

Dari Aku Untuk Aku Dan Kamu-Kamu.

Janganlah kau tangisi sesuatu yang bukan milikmu.

Dan jangan pula kau tangisi sesuatu yang Allah telah anugerahkan kepadamu.

Putih tidak bermaksud cantik,  dan hitam tidaklah bererti  kotor kerana pastinya kafan itu menakutkan sedangkan kelambu Kaabah yang hitam itu menyenangkan. (Syair Arab)

Sesungguhnya anda tidak pernah rugi jika orang lain berbuat buruk kepada anda. Kerugian adalah ketika anda berbuat keburukan kepada orang lain.

Thursday, January 24, 2013

SMS Cinta Untuk DindaKu

Dinda,

Siapapun dalam hidup ini pasti pernah merasai pelbagai 'rasa' dalam hidup ini.

'Rasa hidup' itu yang pelbagai. Dan memang begitu.

Ada yang manis dan kadang kala terlalu manis.
Ada yang pahit dan kadangkala terlalu pahit.
Ada yang kelat dan kadangkala terlalu kelat.
Ada yang masam dan kadangkala terlalu masam.
Ada yang payau dan kadangkala terlalu payau.

Dindaku,

Antara yang manis dan terlalu manis, pahit dan terlalu pahit, kelat dan terlalu kelat, masam dan terlalu masam, payau dan terlalu payau serta pelbagai rasa lagi itu, kemamlah ia semampumu, selama mana jua pun. Dan jangan lupa, pejamlah matamu lama-lama sambil tidak putus-putus bermohon kekuatan dariNya. Agar diberi kekuatan untuk kau kemam segala rasa yang sedang ditakdirkan untuk mu.

Moga rasa yang manis dan terlalu manis terus kekal tanpa perlu engkau mengemamnya terlalu lama. Telanlah terus tanpa menunggu manisnya hilang.

Dan semoga segala rasa yang engkau 'tidak suka' itu akan hilang jua walau berapa lama pun masa yang engkau gunaka untuk 'mengemamkannya', supaya selepas itu engkau mampu menelannya dengan penuh sabar dan redha.

Dindaku,

Hidup ini tidak pernah mudah. Dan kanda pun sama-sama sedang bertatih mengemam segala rasa yang tidak kanda sukai. Tapi ingatlah, kadangkala Allah datangkan segala macam itu untuk membawa kita pulang kepadaNya. Bukankah kita manusia yang bersifat nasiya.

Mungkin banyak benda yang kita 'tidak inginkan', tapi Allah takdirkan itulah sepatutnya untuk kita buat masa ini.

Dindaku,

Bukan mudah untuk menerima kenyataan ini. Kanda tuliskan untuk memujuk hati sendiri dan tentunya untuk dinda juga. Dan moga dengan itu Allah berikan kekuatan untuk kita sama-sama melaluinya.

Dindaku,
Sebagai penutup sms pagi ini...apa kata selepas ini boleh tak kita sama-sama berhenti bertanya..kenapa...kenapa...dan kenapa..tetapi marilah sama-sama teruskan beramal. Lakukan yang wajib, tambahi dengan segala yang sunat.

Yang wajib itu modal dan yang sunat itu keuntungannya. Insyaallah.

Maaf, kanda bukanlah orang yang paling layak untuk berkata-kata. Namun sama-samalah kita terus bermujahadah.

Jika langit akan runtuh, mana mungkin kita sebatang jari ini mampu untuk menahannya.

Maafkan kanda, dindaku.

'Bakar Kisah Silam Untuk Terus Hidup'

Saya memilih tajuk entri kali ini berdasarkan satu dialog dalam siri baru  penyiasatan yang disiarkan dalam saluran AXN 701 Common Law yang saya tertonton petang semalam.

Dialog tersebut diucapkan oleh seorang suami yang sedang disiasat atas satu kes pembunuhan yang melibatkan 'bekas isterinya'. Dia amat terkejut. 'Bekas isterinya' yang telah meninggalkannya kerana mengikut lelaki yang lebih kaya telah mati dibunuh. Kerana dia adalah suaminya, maka dia salah seorang suspek utamanya. Namun dia bukan pembunuh sebenarnya.

Lelaki ini teramat kecewa kerana ditinggalkan. Dan semasa dia didatangi oleh dua pegawai penyiasat, dia sedang membakar segala macam benda yang melibatkan 'bekas isterinya' dan menembak gambar kenangan secara bertalu-talu sambil menangis-nangis. Kerana kecewa itu, malahan ia menyerahkan dirinya untuk ditembak oleh pegawai penyiasat itu dan selepas itu sanggup pun mengambil nyawanya sendiri.

Namun ia berjaya ditenangkan dan berjaya dibawa balik untuk disiasat.

Dan apabila ditanya kenapa dia membakar segala macam benda yang mempunyai hubungan dengan isterinya.

Katanya, dia 'membakar kisah silam untuk terus hidup'. Katanya, itulah yang dia pelajari dalam terapi marah yang sedang diikuti.

'Membakar kisah silam untuk terus hidup'.

Saya suka jawapan itu.

'Bakarlah kisah-kisah pahit silam kita untuk terus hidup'.

Mari cuba.

Memanjangkan 20 Amalan

'Memanjangkan 20 amalan' di bawah saya terima dari email seseorang kepada saya. Moga ada kebaikan dari usaha saya memanjangkannya. Insyaallah. Jika tidak mampu lakukan semuanya, jangan tinggal semuanya. Itu yang selalu dipesan-pesankan.

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

 Akhir kata, selawat ke atas Nabi SAW.

Wednesday, January 16, 2013

Marah Dulu Ke Doa Dulu

Saya mula merasai getarannya.

Realiti dan cabaran dalam membesar serta mendidik anak-anak. Tunas-tunas harapan agama, bangsa dan negara bahkan dunia pada masa hadapan. Kalau boleh, biarlah semua mengikut acuan kita sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya.

Cemerlang di dunia, cemerlang di akhirat. 
Fardhu Ain cemerlang, fardhu kifayah juga cemerlang.  

Itulah 'ideal'nya. Seimbang, bahasa orang sekarang. Seiring dan sejalan dalam menuju dua destinasi cemerlang itu.  

Barangsiapa yang berkehendakkan dunia, maka hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa yang berkehendakkan akhirat, maka hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa yang berkehendakkan kedua-duanya, maka hendaklah dengan ilmu. Ini pula antara pesan Rasul Junjungan.

Tapi jalan untuk mencapainya tidaklah semudah congak-congakan. Kalau begini mesti jadi begini. Kalau begitu akan jadi begitu. 

Kalau silap percaturan, yang dikejar taklah dapat, yang dikendung berciciran pula. Itu barangkali bukan impian seorang bapa dan ibu yang waras.

Tapi itu semua, bukan kerja kita sepenuhnya. Campurtangan Allah jangan dilupa.
Dicampurkan dengan sedikit sebanyak tekanan dari dalam dan luar diri, kita(baca:saya) adakalanya menjadi cepat marah dan tertekan dalam membimbing dan mendidik anak-anak. Walaupun kita bukan Tuhan, tetapi yang kita selalu mahukan adalah 'Kun Pa Yakun'. Kata jadi, maka jadilah. 

Dan apabila tidak menjadi seperti yang dikehendaki, kita menjadi marah dan tertekan. Dan sedikit sebanyak anak-anak akan kenalah sebiji dua. Habuan lepaskan geram.

Marah pun cepat, nanti menyesal pun cepat juga. Lalu Allah memberikan ilham.

Siapa yang bersalah? Perlukah mencari jawapan?

Malam semalam tiba-tiba Allah SWT membuka pintu hati saya. Memberi ilham kepada saya untuk 'duduk sebentar' melihat di mana betul salahnya tindakan yang 'bukan selalu' saya lakukan itu.

Bertanya kepada diri sendiri. Setakat ini sudah berapa kalikah kita telah berdoa secara 'secara tepat' untuk anak-anak. Menyebutkan satu-satu persatu secara jelas kepada Allah SWT apa yang kita mahukan untuk anak-anak. Mengemukakan senarai panjang kepada Allah SWT apa yang dihajatkan untuk kebaikan dunia dan akhirat anak-anak. Sedangkan kita tahu bahawa Allah SWT tidak akan pernah jemu-jemu untuk selalu menerima senarai-senarai panjang dari hamba-hambaNya.

Orang yang tidak berdoa kepadaNya, itulah orang-orang yang sombong. Itu ingatan Allah.

Yang mungkin ada, doanya hanya secara umum sahaja. Atau tiada langsung. Doa hanya untuk diri sendiri. Lalu kita memilih untuk marah-marah apabila anak-anak tidak seperti yang kita harapkan.  Patutkah kita?

Usaha yang seiring dengan doa atau doa yang seiring dengan usaha, bukan asbab untuk kita berhujah mana yang patut lebih dahulu.

Berjalanlah seiring, mudah-mudahan hidup ini selalu diberkati mengikut acuan Allah.

Selepas berazam, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.

Berdoalah Abi dan Umie, untuk anak-anak mu! Lepas tu marahlah berpada-pada.

Selayaknya. Kerana engkau juga pernah seusia mereka! Moga-moga Allah membuka jalan-jalanNya.

Tuesday, January 15, 2013

Kalau Kau Menjadi Aku, Kau Mungkin Akan Mengerti

Kesihatan dan kekayaan.

Saya pernah juga terbaca, mereka yang 'tengah berjaya' bertanya.

"Kenapa kita perlu memilih satu antara dua, sedangkan kita 'berhak memiliki' kedua-duanya?"

Sihat pun kita berhak.
Kaya pun kita berhak.
'Atas kertas' itulah yang sepatutnya berlaku. Mengikut mereka.

Atas alasan yang pelbagai, banyak yang selalu dikejar orang. Di dunia ini.

Pangkat.
Kuasa.
Jawatan.
Kedudukan.
Populariti.
Glamour
Kemewahan hidup.
Kekayaan harta benda.
Sanjungan dan pujian.
dan pelbagai lagi.

Dan banyak juga yang selalu digila dan dibanggakan orang.

Perabut-perabut antik.
Rumah besar dan tersergam indah.
Kereta-kereta mewah dengan pelbagai jenamanya.
Ada orang gilakan gajet-gajet terkini.
Berbangga dengan anak-anak.
Dan segala macam senarai panjang lagi.

Inilah yang mungkin ingin dipenuhi oleh kebanyakan manusia.
Naluri.

Naluri 'SS' itu.
Ingin selamat.
Ingin senang dalam pengertian nikmat suka, puas dan gembira. 

Senang ialah perasaan yang kita hayati kalau kita merasakan sesuatu keindahan, merasakan keseronokan, menyedapkan hati, perasaan yang kita hayati kalau kita mendapatkan  keuntungan, apabila urusan kita berhasil dengan memuaskan.

Naluri untuk keselamatan menggerakkan perjuangan hidup dan kewujudan dirinya. Naluri ingin selamat sentiasa timbul terhadap segala sesuatu yang merugikan hidup dan merosak diri.

Maka 'berpatah arang dan berkerat rotan'lah manusia demi memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut.

Dua ingin itu. Selamat dan senang.

Saya bagaimana?

Jika sekarang, saya pilih ketenangan jiwa yang mutlak dari 'kejaran, kegilaan dan kebanggaan' di atas.

Biarlah yang lain seada-adanya.

Kalau kau menjadi aku, aku yakin kau akan mengerti.

Tanpa perlu huraian panjang lagi.

Saya titikkan di sini.

Thursday, January 10, 2013

Ya Allah, Selama-Lamanya Aku Tidak Mampu.

Ya Allah.

Sungguh, selama-lamanya aku tidak akan mampu.

Aku tidak pernah salahkan zaman.
Aku tidak pernah salahkan waktu.
Aku tidak pernah salahkan keadaan.

Tidak.. Ya Allah.

Namun ku pohon padaMu dengan sesungguhnya.

Aku berlindung padaMu dari segala kesempitan hati serta sempit dada.
Aku berlindung padaMu dari segala kesedihan dan kegelisahan.
Aku berlindung padaMu dari segala kelemahan dan kemalasan.
Aku berlindung padaMu dari sifat pengecut dan bakhil.
Aku berlindung padaMu dari cengkaman hutang dan penindasan orang.

Sihatkanlah badanku.
Sihatkanlah pendengaranku.
Sihatkanlah penglihatanku.

Wednesday, January 9, 2013

Inikah Yang Jiwa Kontang Ini Dambakan

Allah menguji hambaNya dengan dosa, supaya mendengar doa dan tangisannya, penyesalannya dan rasa sesalnya, rintihan dan erangannya, pengaduan dan keluhannya, ratapan dan hibanya. Supaya si hamba menampakkan kegelisahan, ketawadhuan, kekhusyuan, kerendahannya.

Kehidupan yang baik adalah iman yang sebenarnya kepada Allah SWT, redha dengan pembahagianNya, qana'ah dengan pemberianNya, tetap gembira hatinya dengan apa-apa yang hilang, tenang jiwanya saat menghadapi setiap musibah dan merasa aman dari setiap perkara yang menakutkan.

Dipetik dari buku "38 Langkah Membina Peribadi Hebat"
Prof. Dr Taufiq Yusuf -Al Wa'iy. Yusuf Al-Uqsahari

Antara Cinta Dan Keyakinan

Ada dinyatakan bahawa di suatu tempat dalam diri sesiapapun terpendam benih yang boleh mendatangkan hasil. Kalau dirangsang dan dimanfaatkan dalam tindakan boleh membawa sesiapapun ke tahap yang tinggi seperti yang belum pernah anda harapkan.

Antara Cinta Dan Keyakinan.

Abraham Lincoln gagal dalam segala hal yang dicubanya hingga dia berumur empat puluh tahun. Dianggap sebagai orang yang tidak berguna, tidak jelas asal-usulnya hinggalah pengalaman yang besar datang dalam kehidupannya, membangkitkan kepintaran yang tidur nyenyak dalam hati dan fikirannya lalu melahirkan seorang yang benar-benar masyhur. "Pengalaman" itu berpadu dengan emosi kesedihan dan cinta. Semuanya ini datangnya melalui Ann Rutlege, satu-satunya wanita yang benar-benar dicintainya.

Seorang lelaki yang sangat termasyhur iaitu Mahatma Gandhi, dari India. Pada lelaki ini dunia memiliki salah satu contoh yang paling menakjubkan. Gandhi mempunyai kekuatan potensi yang lebih besar daripada sesiapapun yang hidup pada zamannya. Dan kekuatan itu dimilikinya walaupun dia tidak punya kekuasaan ortodok seperti wang, kapal perang, perajutit dan peralatan perang lainnya.

Gandhi tidak punya wang, tidak punya rumah, tidak punya pakaian, tetapi dia memiliki kekuasaan.

Bagaimana dia dapat memiliki kekuasaan?

Dia menciptakannya daripada pemahamannya mengenai prinsip keyakinan dan melalui kemampuannya menanamkan keyakinan ini ke dalam fikiran dua ratus juta rakyat.

Gandhi mencapai hasil yang menakjubkan mempengaruhi dua ratus juta fikiran untuk bersatu dan bertindak secara serentak sebagai satu fikiran tunggal.

Tuesday, January 8, 2013

Inilah Sebahagian Harganya

Alhamdulillah.

Hasrat isteri untuk mempunyai rumah sendiri akhirnya tertunai juga dengan izin Allah SWT. Saya seadanya, hanya ingin menumpang teduh selama hayat dikandung badan.

Saya berasal dari Terengganu. Isteri pula berasal dari Perak. Tetapi dengan ketentuan Allah SWT, kami memilih Changlun, Kedah untuk menetap buat masa ini. Entahlah ke depan-depan nanti, terserahlah kepada Allah SWT untuk menyusun apa yang baik untuk kami sekeluarga.

Namun dalam kesyukuran dengan rezeki itu, ada sedikit rasa resah bila bicara soal keselamatan.

Saya orang kampung yang lahir dan besar dalam rumah kampung yang jarang berkunci kecuali hanya pada waktu malam. Itu pun bila tiba masa untuk tidur, barulah benar-benar dikunci. Batang penyapu yang diselit pada dawai yang dibulatkan. Itulah kuncinya.  Kalau siang hari, pagi sampai maghriblah tidak berkunci. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Semasa bekerja di Sabah pun, buat pertama kalinya saya tinggal di Indah Court Likas yang mempunyai pengawal keselamatan. Bertugas 24 jam sehari. Kira-kira, semuanya memenuhi ciri-ciri keselamatan mengikut piawaian manusia walaupun kasut kerja saya yang tertinggal di luar pintu pernah 'disapu' oleh entah siapa-siapa.

Ini bukan bermaksud saya ingin menafikan campur tangan Allah SWT dalam segala urusan hidup manusia.

Namun soal keselamatan sering menimbulkan resah dalam hati ramai orang. Tambah lagi dengan pelbagai cerita yang diceritakan. Belum lagi berita yang sengaja dibaca dan yang tidak sengaja dibaca. Entahlah hati perut orang lain, tapi hati perut saya selalu resah dan gelisah tentang perkara ini.  

Perkara pertama yang selalu ditakut-takutkan ialah tentang grill. 'Pagar' semua tingkap yang ada. 'Sliding'nya, dan juga tingkap-tingkap lainnya juga.

Cerita sana, cerita sini tentang 'kesan' baik dan 'kesan' buruk memasang atau tidak memasang 'grill' menambah gusar di dada.

Cerita-cerita menakutkan itu bukan sahaja 'ditambahnilai' oleh 'pembuat-pembuat grill' tetapi juga daripada sahabat-sahabat yang telah memiliki rumah sendiri.

Dalam bahasa kampungnya, sebelum 'grill' dipasang, semuanya tak jadi kerja. Ada cerita tentang wayar tembaga yang dicuri dan macam-macam cerita lagi.

Sehinggakan penutup terowong air yang ada di tepi-tepi rumah pun tidak berani dipasang lagi kerana takut hilang. Bila duduk, baru pasang. Itu pesan wakil pemaju.

Dalam diam, kecut perut juga mendengar dan membayangkannya.

Mahu tidak mahu, itulah perkara pertama yang perlu diberi perhatian.

Ini bukan hanya cerita pasal duit yang terpaksa dihabiskan untuk hidup lebih selamat itu.

Inti ceritanya.

Tentang betapa 'selamatnya' dunia yang kita diami sekarang ini!!!!!!

Ketika inilah...nun jauh dihujung renungan senja....lambaian desa seperti memanggil-manggil.... 

Wednesday, January 2, 2013

Lelaki Ini


Kadang 'terlupa' siapa saya.

Namanya memang Razak bin Nordin, tetapi itu hanya nama saya tetapi 'bukan saya'.

Agar tidak lagi terlupa dan sentiasa sedar diri, saya notakan di sini.

Siapa saya?

Seorang hamba kepada Allah SWT. Hubungan dan tanggungjawab langsung dengan Penciptanya.
Seorang khalifah Allah SWT di atas mukabumi ini. Wakil Tuhan yang memikul amanah yang pelbagai mengimarahkan dunia dengan panduanNya.

Khalifah Allah di atas muka bumi.

Seorang anak kepada kedua ibu dan bapa walaupun kedua-duanya telah tiada.
Seorang suami kepada seorang isteri.(sekurang-kurang sehingga nota ini ditulis).
Seorang Abi kepada anak-anak.(sekurang-kurang sudah dikurniakan tiga orang setakat ini)
Seorang adik kepada seorang abang.
Seorang abang kepada empat orang adik.
Seorang sahabat, teman, kawan kepada sahabat, teman dan kawan.
Seorang jiran kepada jiran-jiran lain.
Seorang rakan sekerja kepada rakan-rakan sekerja lain.
Satu-satunya menantu lelaki kepada pak dan mak mertua.
Seorang pendidik kepada anak-anak didik.
Seorang pekerja yang bukan sahaja bertanggungjawab kepada majikannya tetapi apa yang lebih penting kepada Tuhannya. Kerana itulah majikan sebenar orang-orang yang beriman.

Ya Allah, setakat itu pun, banyaknya beban dan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu seorang insan bernama Razak bin Nordin.

Mampukah saya.

Jangan sampai terantuk baru nok terngadah. Itu pesan perpatah Melayu.

Di sunyi malam tadi tiba-tiba terfikirkan. Pagi ini Allah SWT berikan kekuatan untuk mencatatkan.

Ingatan untuk diri dan sesiapa jua.

Hisab dirimu sebelum kamu dihisab di hadapanNya. Itu antara pesan Khalifah Umar Al Khattab.

Hari yang tidak memberi guna harta benda dan anak pinak, melainkan mereka yang datang mengadap Allah SWT dengan qalbun salim(jantung hati/hati yang sejahtera).  Ini pula pesan Tuhan.
Tiada kekuatan kecuali dengan kekuatanMu yang Allah walaupun hanya sekelip mata.

Tuesday, January 1, 2013

Catatan 1 Januari 2013

Ini bukan azam tahun baru.

Ini hanya sebuah catatan ringkas pagi 1 Januari 2013.

Entahlah.

Tiba-tiba jantung hati terasa sayu. Mengenang dosa-dosa semalam sepanjang sudah lebih 40 tahun menjalani hidup. Menapak satu demi satu, kecil, remaja hingga dewasa, dan kini alam tua. Dari solo sehinggalah berumahtangga dan mempunyai anak-anak.

Ibu telah pergi. Bapa pun telah pergi.
Yang tinggal hanyalah kenangan yang tidak boleh dipadamkan hingga kini walau sesaat jua pun.

Adik beradik terus berjuang meneruskan kesinambungan warisan.

Sahabat datang dan pergi.
Teman pun datang dan pergi.
Yang juga tetap tinggal hanyalah kenangan.

Yang manis dan yang pahitnya juga.  

Yang pahit(dosa) selalu membawa resah dan gelisah.

Hari ini dan selama-lamanya.

Banyak semoga yang saya harapkan. Dan biarlah ia menjadi kenyataan. Dengan khauf dan raja', tidak akan pernah berhenti berharap.  

Semoga saya dapat membahagiakan orang-orang diseputar hidup saya. Walau dalam apa jua bentuk hunbungan sekali pun.
Semoga saya tidak lagi menyakitkan jantung hati orang-orang yang saya sayangi, sahabat, teman bahkan sesiapa.
Semoga saya tidak lagi menyusahkan orang-orang yang 'terpaksa mempunyai' hubungan dengan saya walau atas posisi apa pun.

Adik beradik.
Isteri.
Anak-anak.
Sahabat.
Teman.
Rakan sekerja.
Rakan sepermainan.
Yang dicatat dan tidak dicatat di sini.

Dan semoga-semoga baik yang lainnya juga.

Dengan rahmatnya, semoga Allah SWT memberikan kekuatan.

Amin.
Share/Bookmark