Tuesday, May 14, 2013

Alhamdulillah, Lebih Baik

Alhamdulillah, lebih baik dari sebelum ini.

Itulah jawapan yang selalu saya berikan apabila ada sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja yang bertanya tentang keadaan kesihatan saya ketika ini. Mereka yang telah maklum sama ada secara langsung atau tidak apa yang telah saya alami sebelum ini.

Semoga jawapan itu mengandungi maksud redha dan syukur sekaligus.

Redha dengan segala takdir yang telah ditentukan untuk saya sebelum ini. Dan biar apapun keadaannya, semoga Allah SWT sentiasa memberikan kekuatan untuk kita redha dengan segala yang telah, sedang dan akan ditakdirkan.

Dan dengan rasa syukur atas tahap kesihatan yang lebih baik, semoga Allah SWT akan menambahkan nikmatNya kepada kita semua.

Mengambil ingat dari dari pesanan Allah.

Jika kita bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah, nescaya Allah akan tambah nikmat-nikmat itu. Dan sekiranya kita kufur dengan segala nikmat Allah, ingatlah azab Allah itu amatlah pedih.

Mencapai makam redha dan syukur bukanlah mudah, namun mujahadah itu perlu. 

Dan biarlah selebihnya yang masih tinggal itu, menjadi peringatan kepada diri.

Bahawa engkau bukan milikimu, bahkan engkau tidak pernah memiliki apa. 

Bahkan engkau tidak pernah menguasai.

Apa jua pun.