Thursday, September 26, 2013

Lihatlah Bagaimana Allah Menyusunnya

Kisah Tertinggal Ubat Dalam Kereta

Begini kisahnya.

Malam tadi, anak lelaki saya mencari ubat-ubat yang ingin dimakannya kerana masalah alahan dan gatal-gatal. 

Rupa-rupanya ubat tersebut tertinggal di dalam kereta saya ketika pulang pada sebelah petangnya. Dengan penuh kemalasan atas paksaan anak lelaki saya, saya gagahkan diri jua bangun untuk mengambil ubat-ubat tersebut. 

Semasa ingin membuka pintu dan grill, saya perasaan bahawa kunci saya tiada pada tempat biasa kunci tersebut disangkut. Begitu juga ditempat kunci yang satu lagi. Kebetulannya kami mempunyai dua tempat untuk menyangkut kunci-kunci. 

Sambil mulut bising-bising bertanyakan isteri di mana dia telah meletakkan kunci saya, saya menggunakan kunci milik isteri untuk membuka grill tersebut. Kerana sebelum itu, kami sekeluarga keluar dan baru pulang ke rumah. Isteri saya yang membuka pintu pagar dan juga pintu rumah.

Ketika saya sedang mengambil ubat di dalam kereta, isteri saya 'terjumpa' kunci yang tersangkut elok di pintu utama di sebelah luarnya. Barangkali semasa membuka pintu dan grill, dia menggunakan kunci milik saya tetapi semasa menguncinya dari dalam dia menggunakan kunci miliknya. Dan kami sama-sama tidak perasan kunci yang tertinggal itu. Pintu dan grill dikunci tetapi kunci-kuncinya ditinggalkan dipintu sebelah luarnya, apalah ayat paling sesuai yang boleh saya susunkan bagi situasi ini.

Namun, syukur alhamdulillah. 

Allah sengaja membuatkan kami lupa ubat tersebut yang tertinggal di dalam kereta. Rupanya Allah ingin memberitahu bahawa ada kunci yang tertinggal di pintu melalui ubat yang tertinggal tersebut. Dan keduanya, Allah menolak saya untuk mengambil ubat tersebut atas paksaan dengan tangisan anak saya walaupun pada mulanya saya amat-amat keberatan untuk mengambilnya.

Selepas itu saya tersedar. 

Sungguh. Betapa halusnya Allah telah menyusunnya untuk kami, terutamanya saya.

Kisah Stiker Baru Dan Mesin Faks

Begini kisahnya.

Pagi tadi saya telah ke kedai koperasi untuk menghantar surat melalui faks. Namun malangnya faks di koperasi mengalami masalah talian. 

Dengan sedikit rasa kecewa saya balik semula ke jabatan untuk menyelesaikan kerja-kerja lain yang sepatutnya. 

Dengan ilham daripada Allah, tiba-tiba saya teringat untuk mendapatkan stiker kereta yang baru di Jabatan Hel Ehwal Pelajar. Tanpa berlengah saya terus ke pejabat HEP setelah mencabut stiker lama di kereta untuk ditukarkan dengan stiker baru. 

Namun sekali lagi saya kecewa kerana stiker tersebut telah kehabisan dan diberitahu akan sampai pada petang ini. Rasanya seolah-olah rasa kecewa itu datang bertindih, sudahlah mesin faks ada gangguan talian, bergegas ke HEP, stiker pula kehabisan. 

Susunan Allah.

Entah macam mana, mulut saya gatal bertanya mengenai mesin faks. Ada katanya. Atas budi bicara pegawai tersebut dapatlah saya menghantar surat tadi melalui mesin faks tersebut. 

Sekali lagi. Syukur alhamdulillah.

Tahulah saya. Rupanya Allah menghantar saya ke HEP bukan untuk mendapatkan stiker baru, tetapi untuk sesuatu yang lebih penting kepada diri saya pada masa ini. Fakskan surat tidak dapat difakskan sebentar tadi.

Kisah ubat, kunci, mesin faks dan stiker. Antara pelbagai cara Allah mahu mendidik manusia-manusia.

Kedua-dua kisah ringkas ini saya tuliskan sebagai ibrah untuk saya dan sesiapa sahaja yang membaca kisah ini.

1 comment:

rakshaoare said...

Harrah's Lake Tahoe Casino & Hotel - MapYRO
Find Harrah's 태백 출장마사지 Lake Tahoe Casino & Hotel reviews 속초 출장안마 and prices 성남 출장안마 online. 대전광역 출장마사지 Harrah's Lake Tahoe Casino and Hotel, Stateline. Map. Map. 포천 출장샵