Wednesday, April 23, 2014

Suatu Peringatan Buat Lelaki-Lelaki

Suatu peringatan buat lelaki-lelaki. 
Seseorang perempuan pada hari kiamat nanti akan menarik empat golongan lelaki bersama-samanya ke dalam neraka. Kenyataan ini bukan untuk memperkecilkan kaum wanita tetapi sebaliknya adalah sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya menjadi yang 'sepatutnya' kepada golongan wanita. Mudah-mudahan wanita-wanita kita dan kita-kita semuanya akan menjadi penghuni Syurga yang kekal abadi. Empat golongan itu adalah :-
1. AYAHNYA, apabila si ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya semasa di dunia. Dia tidak memberikan didikan agama yang sepatutnya tetapi sebaliknya membiarkan anak-anak perempuan hidup dalam maksiat kepada Allah SWT. 

2. SUAMINYA, apabila si suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Isteri melanggar perintah-perintah Allah SWT, tetapi si suami tidak menegur dan mencegahnya. Apatahlah lagi hanya berdiam diri walaupun dia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menegur dan mencegahnya.

3. ABANG- ABANGNYA, apabila abang yang mengambilalih tanggungjawab  ayah untuk menjaga maruah wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya, tidak mengambil kisah tentang mereka. Mengambil kisah hanya kepada keluarganya sahaja tetapi membiarkan mana-mana perempuan di bawah tanggungjawabnya terpesong jauh daripada ajaran Islam.

4. ANAK LELAKINYA, apabila seorang anak tidak menasihati ibunya mengenai mana-mana perbuatannya yang terpesong dan menyimpang daripada ajaran Islam. Tidak menghalang ibunya daripada membuat perkara-perkara mungkar kepada Allah SWT. 

Ayahnya.
Suaminya.
Abang-abangnya.
Anak lelakinya. 

Itu adalah kita.

Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha menjadi Ayahnya, Suaminya, Abang-Abangnya serta Anak lelaki yang tidak termasuk ke dalam golongan-golongan yang telah dijelaskan di atas.

Perkongsian Ilmu 1-Learning Channel Atau Learning Styles

Alhamdulillah, pagi tadi telah diadakan satu sesi perkongsian ilmu seperti yang telah dirancangkan tempohari. Insya Allah jika segala-galanya mengizinkan, sesi perkongsian  seperti ini akan diadakan secara dwibulanan pada setiap pagi rabu. Setiap slot akan mengambil masa maksima 2 jam sahaja.

Pada siri kali ini, slot perkongsian diisi oleh Encik Hamdan bin Zakaria. Tajuk yang diamanahkan kepada beliau ialah mengenai Learning Channels atau Learning Styles iaitu Visual, Auditory dan Kinesthetic. Dan alhamdulillah juga, pada saya satu perkongsian yang menarik.
Testimoni secara paksa rela untuk melihat 'kejujuran' jawapan yang diberikan.

Terimakasih kepada semua yang sudi hadir pada sesi kali ini. Semoga sedikit yang kita lakukan dinilai ibadah oleh Allah SWT sama ada ibadah khusus ataupun ibadah umum.

Friday, April 18, 2014

Mulakan Yang Mudah-Mudah Hari Ini

Menulis peringatan untuk diri dan sahabat-sahabat yang dikasihi.

Mulakan dengan  yang mudah-mudah bermula hari ini untuk akhirat kita.
1. Mulakan solat witir walaupun satu rakaat sama ada selepas solat isyak atau sebelum subuh.
2. Mulakan solat sunat Dhuha walaupun dua rakaat sekali sebulan, dua kali sebulan, tiga kali sebulan dan seterus menjadi amalan harian. Setelah ada kekuatan, tambahkan pula jumlah rakaatnya. Jika belum hafal doa solat dhuha, boleh lekatkan  kat dinding atau guna buka atau simpan dalam telefon serta macam-macam cara lagi.

3. Mula biasakan diri bersedekah setiap hari serendah 10 sen tetapi istiqamah.

4. Mula beristighfar setiap hari walaupun serendah bilangan satu kemudian setiap hari berikutnya ditambahi lagi  sehingga menjadi istiqamah dengan angka seratus.

5. Mula pastikan bahawa langkah masuk ke tandas menggunakan kaki kiri dan keluar menggunakan kaki kanan.

6. Mula pastikan bahawa langkah anda masuk ke masjid atau surau menggunakan kaki kanan dan keluar menggunakan kaki kiri.

7. Mulakan berdoa sebelum  masuk dan keluar tandas.

8. Mulakan memberi salam apabila memasuki rumah.

9. Mulakan amalan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Sebagai permulaan boleh mulakan dua hari dalam sebulan dahulu, kemudian 4, 6 dan 8 hari.

10. Mula semua perkara yang baik dengan bacaan Bismillah walaupun sekecil perkara.

Semua yang disenaraikan di atas Insya Allah adalah amalan mampu milik buat kita semua. Perkara-perkara 'kecil' yang sering kita lupa. Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT melaksanakan apa yang kita cakap dan tuliskan. Usahakan sehingga semua itu menjadi rutin yang sebati.