Thursday, November 12, 2009

Sesekali Acapkali



"Pelangi Petang Dari D1.1.1 Kuarter PTSS"

Sesekali atau acapkali. Kita harus juga melihat ke "bawah" dan mendengar serta menerima apa-apa yang datang dari "bawah". Melihat dari sudut pandang "orang-orang kecil" dan golongan marhain.  Kata orang "terpesona dengan pelangi di langit luas, rumput di bumi di lupa jangan". Takut-takut dalam keasyikan memandang ke atas, tersepak batu "dijalanan" lalu muka tersemban ke tanah, mulut pula "termakan" rumput yang telah dicemari tahi lembu. Malangnya.

Terowong dan Lori

Saya pernah mendengar dari seseorang tentang cerita sebuah lori yang tersangkut di terowong. Barangkali pemandunya silap percaturan. Ingatlah lepas, rupanya tidak. "Kelamaan" menjadi pemandu mungkin mendorongnya menjadi manusia "sembrono". Ikut kepala dan suka dia sahaja. Terpesona dengan "kelamaan" menjadi pemandu barangkali. Bila sangkut, "susah"kan semua orang. Tolak ke depan tidak "maju". Undur ke belakang pun tidak ber"ensot". Sama ada ia kisah yang betul-betul terjadi atau sekadar cerita-cerita "Israiliyat Melayu", saya tetap ingin berkongsi dari sudut nilai pengajarannya.

Makanya ramailah "orang-orang besar" memberikan pandangan masing-masing. Dan ternyata idea-idea mereka masih "fantasi" walaupun mereka "orang-orang besar".  Semua tidak boleh "pakai" kerana mereka "orang-orang besar" dan tentunya idea-idea mereka pun "besar-besar" juga. Kerana mereka "orang-orang besar" mereka hanya memandang ke atas dan lupa memandang ke bawah sesekali. Padahal masalahnya "cuma" bumbung lori tersebut terlekat "sikit sahaja" di bumbung terowong. Dan penyelesaiannya tidak "semestinya" berada di bumbung juga.

Dengan takdir Tuhan, tiba-tiba seorang budak kecil muncul dan bersuara dalam "kekalutan orang-orang besar itu". Dari mana datangnya budak kecil entahlah. Rasanya tidaklah penting sangat. 

"Macam mana kalau kita buang saja angin tayar lori ini seketika, rasa saya Insyaallah boleh lepas kot terowong ini". kata budak kecil itu "takut-takut" dengan bersandarkan Insyaallah kepada "orang-orang besar".

" Nanti bila dah ok semuanya, kita bubuhlah semula anginnya, tidaklah payah sangat dan tidaklah pula memakan belanja yang besar."  si kecil itu menambah.

Oh ye tak ye juga kan? Sebahagian kecil "orang-orang besar itu"  seakan menyetujui idea dari anak kecil itu. Dan sebahagian lagi masih dalam "dunia orang-orang besarnya".

Dan dalam kebuntuan idea-idea besar itu, idea si kecil itu benar-benar terbukti. Semuanya berakhir dengan selamat, berjaya melepasi terowong  dan hanya kerosakan kecil sahaja yang terjadi.

"Mana mana anak terfikir idea buangkan angin tayar lori ini" tanya seorang orang besar di kalangan orang-orang besar yang terkedu itu. Masih dengan "bahasa orang-orang besarnya".

"Entahlah, mungkin kerana saya budak kecil, saya tak mampu melihat ke atas macam tuan-tuan, jadi saya tengoklah ke bawah dan saya ternampak tayar dan timbullah idea itu" jawab budak kecil itu bersahaja.

'Orang-orang besar' terkedu seketika. Menggaru-menggaru kepala yang tidak gatal selepas seketika. Dan berlalu tanpa ucapan terima kasih pun kecuali beberapa orang sahaja. Itulah "orang-orang besar". Masih dalam "dunianya".

Razak Nordin berpesan ; Sesekali atau acapkali. Kembalilah "menjadi anak kecil" untuk lebih memahami.

Cerita ini telah digarap kembali menggunakan bahasa saya. Terimakasih kepada empunya idea asal cerita ini.

No comments: