Showing posts with label Luahan Rasa. Show all posts
Showing posts with label Luahan Rasa. Show all posts

Wednesday, June 20, 2012

Lidah Nan Sejulur Lagi

Entahlah.

Sama ada waras atau tidak, dalaman saya sering terseksa kerana lidah sendiri. Bukan kerana apa yang orang lain katakan kepada saya. Tetapi kerana apa-apa yang saya telah cakapkan.

Puncanya, selepas bercakap-cakap sama ada secara formal atau tidak formal, saya 'akan' memikirkan secara serius kembali segala kata-kata yang telah diucapkan. Sama ada ia melukakan atau tidak hati-hati orang yang mendengarnya. Walaupun sering mengelak untuk bercakap, kadang-kadang terlepas juga. Semulajadi atau dibuat-buat, tahi lalat ada dibibir bawah.

Mungkin betullah ada pesan yang mengatakan, bercakaplah ketika engkau tidak ingin bercakap dan jangan bercakap ketika engkau ingin bercakap. Mungkin, agar kita tidak berlebih-lebih dalam bercakap yang boleh menghasilkan banyak salahnya pula.  

Kadang-kadang segala kata-kata itu, terasa betul ketika ia diucapkan, namun gangguan-gangguan fikiran selepas itu acapkali  menyebabkan duduk setempat tidak melekat, tilam empuk susah juga melenakan.

Moga adalah kebaikan-kebaikan yang boleh  menghapuskan kejahatan-kejahatan yang tidak disengajakan jika ada.

Saturday, November 6, 2010

Engkau Memiliki Bukan Bermakna..







Apabila engkau 'memiliki' ;

Mulut.
Bukan bermakna engkau boleh bercakap dan berkata-kata apa sahaja yang engkau suka.

Mata.
Bukan bermakna engkau boleh melihat apa sahaja yang engkau suka.

Tangan.
Bukan bermakna engkau boleh menulis apa sahaja yang engkau suka.

Kaki.
Bukan bermakna engkau boleh berjalan ke mana sahaja yang engkau suka.

Telinga.
Bukan bermakna engkau boleh mendengar apa sahaja yang engkau suka.

Hidung.
Bukan bermakna engkau boleh mencium apa sahaja yang engkau suka.

Mulut.
Bukan bermakna engkau boleh memakan dan minum apa sahaja yang engkau suka.

Tekak.
Bukan bermakna engkau boleh menelan apa sahaja yang engkau suka.

Hati.
Bukan bermakna engkau boleh menyayangi dan membenci semua yang engkau suka dan benci.

Kuasa Dan Pengaruh.
Bukan bermakna engkau boleh membuat apa sahaja yang engkau suka.

Wang.
Bukan bermakna engkau boleh berbelanja ke mana-mana sahaja yang engkau suka.

Ingatlah bahawa sesungguhnya.

Manusia memiliki semua yang di atas dan juga tidak disebutkan,  tetapi memiliki yang ada keterbatasannya. Bukan memiliki secara mutlak.

Di dunia mungkin ada yang  terlepas kerana pelbagai sebab tetapi berwaspadalah dengan hari kemudian yang pasti . Dan keadilannya juga adalah pasti dan mutlak. Tiada lagi auta, tipu daya, loyak buruk.

Hari yang bercakap dan menjadi saksi hanyalah anggota-anggota badan sedangkan mulut dikunci serapat-rapatnya.
Hari yang apa sahaja yang engkau miliki tidak lagi menjanjikan apa-apa lagi.

Kecuali yang datang dengan hati yang sejahtera.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan....

Wednesday, November 3, 2010

Manusia(Kita)-Antara Dua Rasa







Kerana kita manusia, kita mungkin pernah, sedang dan akan merasai.

Dan semua orang mungkin pernah, sedang dan akan merasai. Cuma saat dan ketikanya sahaja mungkin berbeza.

Gembira dan sedih yang silih berganti.

Ketawa dan menangis tatkala seronok dan terluka hati.

Tenang dan tertekan, yang datang dan pergi.

Menang dan kalah, resam biasa manusiawi.

Dimuliakan dan dihina, ditinggi serta direndah maruah diri.

Disanjung dan diinjak-injak, dipuja-puji, sesekali dimaki-maki.

Dibelai dan ditampar, di kala sayang dan terguris hati.

Disayangi dan dibenci, dikala rindu dan berjauh hati.

Sihat dan sakit. Dua nikmat, dua ujian, menguji diri.

Manis dan pahit hidup dijalani . Menjadi penawar merawat diri.

Razak Nordin berpesan ; Setelah letih menggalas beban, singgah pekena sup 'batu sapi' di pekan sehari.

Tuesday, October 19, 2010

Melihat Ke Dalam Diri Di Penghujung Sesi Jun 2010

Alhamdulillah.

Secara rasminya, 15 minggu pengajian Sesi Jun 2010 sudah hampir ke penghujungnya.

Insyaallah.
Esok akan menjadi pertengahan minggu ke 15 sebelum melabuhkan tirainya pada hari Jumaat ini.

Mengikut jadualnya, peperiksaan akhir akan bermula pada 1 November 2011 dan dijangka berakhir pada 12 November 2011. Tepatnya, mengambil masa dua minggu secara keseluruhannya.

Antara alhamdulillah dan insyaallah tersebut.

Saya lalui beberapa semester kebelakangan ini dengan perasaan yang berbaur. Sebelas tahun yang telah dilalui sebenarnya bukanlah lama sangat pun. Namun adakalanya saya semacam 'keliru yang tak sudah' dengan sebahagian perjalanan hidup yang sedang dilalui.

Sama ada.

Mampu atau tidak, saya datang sebagai 'kawan dan pulang sebagai keluarga' dalam bidang yang saya berada sekarang ini.

Atas sebab itu, izinkan kali ini saya 'tabik spring' untuk tenaga-tenaga pengajar sama ada di sekolah-sekolah, IPTA-IPTA, IPTS-IPTS serta lain-lain pusat pengajian dari semua peringkat. Rendah, menengah dan tinggi. Khususnya, mereka-mereka yang telah menghabiskan sebahagian besar hidup menjadi seorang guru, cikgu, pensyarah, Prof. Madya, Profesor dan sebagainya  di bilik-bilik kelas serta bilik-bilik kuliah bersama para pelajar yang silih berganti setiap semester dan tahun.

Dalam banyak keadaan, susah juga untuk saya memahami  serta menyelami semangat dan kegigihan mereka menjadi murabbi, mengajar, mendidik, membimbing serta memandu anak-anak generasi yang berbeza.

Lebih-lebih untuk memahami generasi-generasi awal yang begitu tabah dalam perjuangan. Dalam bidang apa sekalipun.

Menjadi setabah.

Abu Bakar As Siddiq.
Umar Al Khattab.
Uthman bin Affan.
Ali bin Abi Talib.

Imam-Iman yang hebat.

Imam Syafei.
Imam Nawawi.
Imam Hambali.
Imam Maliki.

Tokoh-tokoh hebat lain.

Ibnu Sina.
Ar Razi.
Al Kindi.
Al Biruni.
Al Khawarizmi.
Al Haitham.
Ibnu Al Baitar.
Az Zahrawi.
Jabir bin Hayyan.

Dan tentunya banyak lagi nama yang tidak dituliskan tetapi pernah menjadi mata-mata rantai kelangsungan perjuangan ummah dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini.  

Paling tidaknya, mereka telah membuktikannya kepada Allah SWT yang mereka percaya dan sembah, RasulNya yang menjadi uswah dan qudwah sepanjang zaman dan juga generasi selepasnya.

Bahawa, mereka tidak pernah mengalah dan merajuk sebagai perjuang. Sama ada di medan yang bisa meleleh dan menumpahkan darah serta keringat di bumi kering lagi tandus. 

Juga di bidang ilmu secara khusus yang menuntut pelbagai kesabaran dengan segala macam kesusahan dan kepenatan juga.  Agar segalanya dapat diwariskan kepada generasi akan datang. Generasi sebelum kita, generasi kita dan insyaallah generasi akan datang.

Bukankah itu yang lebih baik untuk diwariskan?

Sedekah jariah.
Ilmu yang bermanfaat.
Anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan.

Bukankah semuanya itu kerana AGAMA. Dan adakah saya sedang dan makin memahami?

Tetapi hidup ini adalah realiti bukan fantasi dan khayalan.  Merasai bukan bayangan.

Sekali lagi.
Mudah-mudahan.

Dalam kepayahan ada kemudahan.
Dalam tangisan ada kelegaan.
Dalam kesesatan ada jalan keluar.
Dalam kekusutan ada keleraian.

Razak Nordin berpesan ; Ketika lelah bangat untuk berfikir dan berkritis-kritis, termangu menghisab diri. 

Monday, October 11, 2010

Al Nafs Al-Lawwamah ; Sakit Yang Masih Ada Harapan Sembuh







Kerana kita manusia.

Acapkali juga 'kemarahan' kita terlepas dari ikatan kesabaran. Namun saya masih percaya bahawa sabar sesaat lebih baik dan dapat menyelamatkan banyak perkara dalam hidup ini. Ada pengalaman peribadi yang tidak perlu rasanya saya kongsikan di sini bagi tujuan coretan ini.

Namun, tiada jaminan ianya pasti berjaya pada semua masa, keadaan dan tempat.

Menahan marah, kegeraman serta sakit hati bukanlah sesuatu yang mudah. Tersimpan di dada selalu menyesakkan. Tambahan pula jika perkara serupa yang berulang dan mengharapkan reaksi yang serupa juga berulang.

Hidup ini bukan wayang atau filem yang selalunya berakhir dengan 'happy ending'. Hidup ini adalah realiti yang berpijak di bumi nyata. Cubit yang merasai sakitnya, penampar yang merasai pedihnya.  

Menginsafi setelah 'ketelanjuran' kata dan tindakan menandakan kita sebenarnya masih beruntung. 

Dalam bahasa agama ia disebut sebagai nafsu lawwamah @ al Nafs al Lawwamah. Peringkat kedua bagi nafsu. Peringkat ini lebih baik berbanding peringkat pertama iaitu nafsu Ammarah yang dianggap sebagai yang terendah sekali. Hanya menyuruh kepada kejahatan dan keburukan. Jika membuat kebaikan pun hanyalah sebagai topeng atau jalan untuk kejahatan. Diri insan nafsaninya telah dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan dan kerendahan. Pada diri yang serendah ini nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Tetapi yang penting baginya ialah dapat menunaikan keinginan hawa nafsunya.

Malah manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatannya. Tiada sebarang kekesalan, tiada rasa bersalah dan tiada rasa terkilan atas kesalahan yang dilakukan.

Beruntunglah jika masa ada 'al Lawwamah'.

Kerana Insan Nafsani pada peringkat ini akan merasa kesal atas ketelanjuran melakukan kesalahan atau kekurangan dalam menunaikan kewajipannya. Dirasakan dalam diri insan nafsaninya semacam ada sesuatu yang mengutuk dan mencela. Adanya suara kutukan atau celaan dalam diri ini menunjukkan bahawa insan nafsaninya masih hidup, walaupun berpenyakit tetapi penyakit masih belum parah menjadi barah dan masih menerima rawatan dan pemulihan melalui usaha tazkiyah untuk kembali sembuh.

Razak Nordin berpesan ; Sesekali 'terlepas ikatan' juga. Tapi masih 'beruntung' jika ia peringkat Lawwamah. Kerana masih ada jalan pulang.

Wednesday, October 6, 2010

Apabila Saya Silap Mencari Kesempurnaan







'Putus angin'.

Mungkin itulah dua patah perkataan ringkas bagi menggambarkan perasaan saya pagi ini.

Pagi tadi. 

Seperti biasa saya memilih menggunakan bilik seminar Pusat Islam Luqman Al Hakim untuk mengadakan kelas setiap rabu dari jam 10 hingga 12 tengahari.

Sekurang-kurangnya atas tiga sebab.

Pertamanya ; Kedudukannya yang hampir dengan kamsis serta memudahkan para pelajar untuk datang.

Kedua         ; Saya tidak perlu 'menanggung' LCD serta 'memanjat' bangunan untuk ke bilik kuliah

Ketiga         ; Suasananya agak 'kondusif' berbanding bilik kuliah biasa. Berhampiran tasik serta jauh dari 'keriuhan' dan 'kebisingan'. 

Dan selalunya.

Kelas berjalan lancar tanpa gangguan. Sama ada masalah-masalah teknikal dan juga masalah-masalah lain. Dan saya cukup seronok mengadakan kelas di situ. Setidak-tidaknya saya boleh membuat persediaan awal setiap kali kelas akan berlangsung. Dan boleh juga dilanjutkan masanya jika perlu tanpa menyusahkan sesiapa.

Baru kali ini. Pertama kali berlaku. Gangguan teknikal  berlaku acapkali juga. Elektriknya sekejap terputus, sekejap ada.

Dicampur dengan sakit-sakit badan, kepala yang seakan melayang, leher dan kepala terasa 'tegang dan penuh', serta keadaan telinga yang sedikit 'merimaskan', semuanya itu menyumbang secara tidak langsung kepada lagi cepat 'putusnya angin' saya pagi tadi.

Kemuncak kepada semua itu, kelas terpaksa diberhentikan lebih awal dari yang sepatutnya sebelum tekanan darah saya naik mendadak. Dan juga bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

'Nasib baiklah'.

Kebetulan kali ini saya membawa 'handout' bagi sub topik berkenaan. Dapatlah juga diserahkan kepada wakil kelas untuk salinan mana-mana ahli kelas yang berminat.

Tetapi kepuasaannya tetap juga tidak sampai ke kemuncak. Anti klimak selalunya akan mengganggu jiwa dan emosi saya sehingga kelas yang akan datang. 

Itulah antara masalah saya.

Dalam banyak kerja buat dan tindakan yang dilakukan. Saya 'terlalu' mencari kesempurnaan sehingga 'kepincangan' kecil selalunya banyak mengganggu fikiran dan emosi sendiri.  

Sehingga seakan terlupa kuasa dan 'campur tangan' Tuhan dalam segala kerja buat dan tindakan manusia.

Yang berlaku pagi ini hanyalah satu contoh dari banyak-banyak contoh yang boleh saya kongsikan di sini.

Razak Nordin berpesan ;  Bukan salah sesiapa. Mungkin itu sudah takdirnya. Peringatan dari Tuhan untuk hamba dan khalifahnya di muka bumi.

Friday, October 1, 2010

Dilema Hidup Seronok 'Kontroversi'






Cerita lama. Kisah dulu-dulu.

Saya pernah duduk serumah dengan "seorang kawan ini" dan seorang kawan lagi. Atas beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan, nama 'seorang kawan ini' dan tempat 'kejadian" perlu dirahsiakan. Kerana tujuan perkongsian ini bukan untuk mencari aib sesiapa tetapi sebaliknya mencari iktibar dari satu peristiwa yang telah berlaku walaupun sedikit jika ada.

Dan selalunya saya memang gemarkan memasak. Walaupun ringkas dan tidak sesedap mana pun. Cuma semenjak berkahwin, minat saya terhadap dunia masak-memasak semakin hari semakin pudar.

Hendak dijadikan cerita, sehingga diingat sampai hari ini.

Suatu hari, saya masak ringkas sahajalah. Goreng ikan dan beberapa menu lain. Sementara menunggu ikan goreng masak, saya mengambil peluang ke ruang tamu sebentar untuk menonton tv seketika.

Tiba-tiba dalam "keasyikan" menonton itu, datanglah 'seorang kawan ini' memberitahu bahawa ikan goreng sudah masak dan hampir hangit.

"Dah tu angkat tak", tanya saya spontan.

"Tak pun", jawapnya sambil tersenyum. 'Sardin' saja mukanya.

Fuh...terbakar juga hati ini. Kalau sudah tahu nak hangit, angkat jelah. Paling tidak pun, 'tutuplah apinya' dahulu.

Inikan tidak.

Sudahlah hubungan yang sedia ada tidaklah sehangat mana pun. Lalu apa yang berlaku itu menambah kedinginanlah jadinya.

Padahal sama-sama ingin makan. Lagi pun bukan berat sangat pun kalau sekadar 'tutup api' dapur gas atau angkat ikan goreng dari kuali tersebut. Semuanya sudah tersedia.

Kehidupan Dan Kontroversi

Barangkali begitulah yang banyak berlaku diseputar hidup kita kini. Orang lebih suka berkontroversi daripada berusaha menyelesaikan masalah.

Mencari kesilapan orang bukan untuk diperbaiki. Bukan untuk menukar kelam kepada cahaya, tetapi untuk dicaci maki dan di'wajah hodoh'kan dengan pelbagai cara. Supaya orang lain dilihat busuk dan jijik. Tidak sesuci dirinya.

Jika dalam kes tadi.
Matikan api, angkat ikan dan sama-sama makan. Selesai. Kenapa perlu yang menggorengnya juga untuk buat semuanya kalau sekiranya kita sudah melihat keadaan 'genting' itu terjadi di hadapan mata kita?

Kalau terbakar sungguh macam mana. Sama-sama kempunanlah jawabnya.

Kenapa perlu diriuh-ruihkan jika kita sudah mampu menghalau lalat yang seekor itu seorang diri?

Kenapa perlu diisukan sesuatu perkara sekiranya perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik?

Kenapa bertelur sebiji riuhnya sekampung, sedangkan padi, biji penuh di tangkai, menunduk merendah diri. Walaupun ia pula adalah makanan asasi.

Dan banyaknya kenapa, kenapa, kenapa yang berada dalam kepala saya ini. Dan saya tidak bercadang untuk menyenaraikannya satu persatu.

Menganggap itu dan ini hanya untuk orang itu dan ini sahaja. Dan kita hanyalah menilai tanpa berbuat apa-apa.

Cukup saya katakan kali ini.

Kalau kita mampu.

Lakukanlah.
Laksanakanlah.
Sempurnakanlah.
Tidak perlulah menunggu orang lain berbuat sesuatu bagi memuaskan hati kita. 

Semakin kita mencari kesempurnaan maka kepincanganlah yang selalunya kita akan nampak. Dan melihat kepincangan itu pula berpunca dari orang lain, bukan dari kita.

Kerana kita adalah pengkritik tanpa alternatif.

Razak Nordin berpesan ; Kita hanyalah salah satu mata rantai dari mata-mata rantai yang entah berapa banyak itu. Apa sangat yang kita ingin 'bangga'kan? 

Thursday, September 30, 2010

Dan Apabila Saya Bersetuju Dengan Abraham Lincoln






"Saya tidak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya, tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya; sebab jika saya menyibukkan diri untuk membaca cercaan tersebut, saya akan kehabisan waktu untuk berbuat sesuatu bagi rakyatku," Abraham Lincoln. SELANJUTNYA

Razak Nordin berpesan ; Apabila 'merasai' sakit hanya dengan pandangan mata semata, kita mungkin tersilap.

Monday, September 27, 2010

Pokok-Kayu Bujang Lagi






Hari ini pokok-kayu bujang lagi.

Kali ini pokok-kayu terpaksa dibujangkan sementara kerana Uminya bersama-sama anak-anak istimewa ditakdirkan untuk melawat negeri Sabah, negeri di bawah bayu. Negeri yang pertama kali saya di"posting"kan sebagai penjawat awam di Politeknik Kota Kinabalu pada 1 Julai 1999.

Tidaklah lama sangat. Dalam seminggu je. Huhuhu.Wawawa. Bukan sedih, bukan terkilan.

Pokok-kayu mendoakan semoga semua ahli rombongan selamat  pergi dan kembali. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT hendaknya.

Tetapi pokok-kayu tidak kisah sangat pasal dibujangkan itu. Yang dikisahkan barang sedikit adalah melayan karenah putera Razin yang pada hari pertama pun sudah macam-macam karenah peliknya. Si Kakak pula tidaklah payah sangat melayan peelnya itu.

Ketika pokok-kayu sedang menulis entry ini, dua beradik sehati sejiwa itu dibiarkan "berkubang" dalam bilik air. Berkubanglah wahai anak-anak Abi, janji jangan menangis sudah. Tidak larat Abi mendengarnya.

Dan malam ini, mereka berdua akan dibawa bersama pokok-kayu untuk ke kelas gantian pula. Apa nak buat, terpaksa.

Alang-alang sudah membuat janji dengan para pelajar minggu lepas, redah sahajalah. Harap-harap semuanya berjalan tanpa gangguan. Jika dibatal pun, susah juga mencari masa lain untuk dibuat penggantiannya.

Saat beginilah barulah terasa besarnya pengorbanan seorang isteri di samping suami untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan serta kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan sepanjang minggu semasa pokok-kayu dibujangkan ini.

Dan harapnya pokok-kayu tidak menggatal tidak tentu hala sepanjang minggu ini.

Razak Nordin berpesan ; Takbir3X.

Tuesday, August 24, 2010

Seloka Zaman Ini






Seloka Zaman Ini

Zaman ini.
Kebenaran itu.
Belum tentu engkau boleh katakan ia benar.
Kalau tidak semuanya, ada kebenaran yang terpaksa engkau pendamkan di sudut hati "kecil" mu itu.
Kalau engkau berani serta sanggup menerima risiko, engkau katakanlah sahaja.

Tapi ingat!!!!
Kerana adakalanya kebenaran amat pahit rasanya dan mungkin juga pahit "akibatnya".
Jika engkau "kurang berani", simpanlah "kepedihan itu" di ruang takut hatimu.
Dan engkau akan menderita dalam diam jika engkau takdirnya pencinta kebenaran.  

Yang salah atau batil.
Belum tentu engkau boleh katakan ia salah.
Kalau tidak semuanya, ada kebatilan yang hanya mampu engkau membenci dengan hatimu.
Dan itu, hanya milik orang-orang yang selemah-lemah Imannya.

Jika engkau berani serta sanggup menerima risiko, engkau katakan sahaja.
Pahit dan "manis"nya pun mungkin hampir serupa.
Jika engkau "kurang berani", simpanlah juga "kepedihan" itu di ruang takut hatimu.
Dan bertambahlah lagi luka dan derita sengsara hati jujurmu.

Zaman ini.
Yang benar, bukan "hidup" semata-mata kerana kebenarannya.
Yang batil, bukan "mati" semata-mata kerana kebatilannya.

Zaman ini.
Yang kecil, adakalanya diperbesar-besarkan.
Yang besar, buat "semacam" terlepas pandang.

Banyak perkara.
Mungkin.
Dinilai kerana kepentingan.
Atau.
Dinilai juga kerana keuntungan.

Dunia
Atau
Akhirat jua...

Oleh mereka yang punyai "segala-gala"nya.
"Pemberian"  Allah yang sementara ini.

Razak Nordin berpesan  ; Biarlah ianya berselindung di sebalik Seloka Zaman Ini.

Alur kecil yang mengalir jika disekat dalam tempoh yang lama dan panjang boleh melimpah empangan juga akhirnya. Harap-harap kesabaran dan ketabahan sentiasa bersama mu, pencinta kebenaran.

Friday, July 2, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah

Sudah sebelas tahun rupanya. Semuanya antara "sedar dan tidak".

Ya.
Hari ini 2 Julai 2010.
Bermakna semalam, genaplah 11 tahun saya berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia khususnya sebagai staf di politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.  

1 Julai 1999.
11 tahun yang lalu saya mendaftarkan diri untuk berkhidmat di Politeknik Kota Kinabalu yang pada masa itu beroperasi sementara di Likas, Kota Kinabalu Sabah. Bersebelahan dengan Stadium Likas, Kota Kinabalu. Tinggal di Indah Court, yang tidak jauh dari kampus sementara yang menumpang Sekolah Menengah Teknik Likas.

Pada awalnya, menumpang seketika di rumah kawan-kawan baru dan akhirnya menjadi kawan-kawan seperjuangan sampai sekarang pun. Perbezaan bidang pengajian dan pengajaran tidaklah memisahkan sangat hubungan yang bermula di situ.
 
Antaranya ;
Cik Car.
Ashok.
Ad.
Mat.
Zaini.
Dan ramai lagi yang tidak tersebut nama-nama mereka di sini.

11 tahun yang dilalui.
Mungkin bagi sesetengah orang, lama juga masanya. Dan bagi sesetengah orang, 11 tahun itu mungkin tidaklah lama sangat. Terpulanglah pada penilaian dan anggapan masing-masing.

Namun, 11 tahun yang berlalu itu, saya laluinya dengan pelbagai cerita hidup.
Ada suka.
Ada duka.
Ada pahit.
Ada kelat.
Ada masam.
Ada manis.
Ada masin.
Ada hambar.
Ada tawar.
Dan segala macam lagi.
Tidaklah pasti "rasa" mana yang paling banyak dan "rasa" mana pula yang paling sedikit.
Yang pastinya, semua rasa itu bersilih dan berganti.
Datang dan pergi.
Bertamu dan sampai masanya mengundur diri.  

Sesetengahnya diluahkan.
Dan sesetengah lagi dipendam dilubuk jiwa. Semuanya menjadi asam garam kehidupan yang mesti dilalui barangkali(mesti).

Moga-moga asam garam selama 11 tahun itu boleh dijadikan sebagai panduan untuk saya melalui tahun ke 12 dan seterusnya, dalam perkhidmatan kerajaan bermula Isnin nanti. Ataupun secara matematiknya bermula pukul 12 tengah malam ini.

Seronok ke 11 tahun tu?
Mampukah saya melalui "perjuangan" yang masih berbaki itu? 

Jawapan untuk kedua-duanya.

Entahlah.
Jiwa dalaman banyak meronta-ronta daripada menikmati bahagia.
Banyak mencuka, berbanding senyum melebar pipi.
Ada senyum, tetapi hanya banyak yang berpura-pura.

Sampai masanya.
Insyaallah, saya akan "melarikan" diri juga. 
Moga dipermudahkan untuk saya "mencari" kehidupan yang mungkin lebih baik untuk saya. 

Ya.Sungguh.
Betul-betul saya maksudkannya.  

Razak Nordin berpesan ;....

Makna Julai Pada Saya.

Barangkali salah satu sebab istimewanya bulan Julai setiap tahun @ 4 Julai  pada diri ini adalah kerana ini.  

4 Julai setiap tahun merupakan ulang tahun kelahiran saya ke dunia ini. Dan tahun ini, bermakna umur saya telah bertambah menjadi angka 38.

Banyak ketika dan masa lalu yang telah dilalui dan ditinggalkan. Soalnya, tertunaikah amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi sepanjang perjalanan telah dilalui dan ditinggalkan itu. Umur yang berbaki tersimpan di sisi Allah s.w.t. Tentunya Allah s.w.t yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya.  

Mudah-mudahan.
Biarlah rahmat Ilahi sentiasa memayungi perjalanan masa hadapan yang "belum tentu" itu. Manusia hanya mampu membuat persepsi dan perkiraan dengan segala keterbatasan kemampuan akal yang ada, tetapi Allah s.w.t membuat perkiraan yang maha tepat. Tiada persepsi-persepsi lagi.

Supaya perjalanan ini sentiasa di landasan sebenar. Bukan tergelincir kerana kealpaan dan kesilapan.

1. Syukur kepada Allah s.w.t yang telah mentakdirkan saya dilahirkan ke dunia ini sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di atas agama fitrah ini.
2. Terima kasih kepada semua insan-insan yang pernah memberikan "sumbangan" sehingga saya menjadi seperti hari ini. Dulu, kini dan sekarang. Tanpa perlu saya menyebutkan nama-nama mereka satu persatu. 

Istimewa atau tidak.
Penting atau tidak. 
Biarlah hati saya memberikan hak-hak mereka.

Hadiah paling istimewa tentunya doa-doa dari semua insan yang dikenali dan mengenali, semoga masa-masa hadapan yang akan dilalui sentiasa dengan rahmat Ilahi.

Razak Nordin berpesan ; Terima kasih buat semuanya.

Dari saya ;

Saturday, June 26, 2010

Harap-Harap "Tsunami" Itu Terus Melanda

"Tsunami" ini tidak mencetuskan gegaran dan ombak yang kuat sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan dan kemusnahan harta benda, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang malahan manusia-manusia juga.

"Tsunami" ini hanya mewujudkan "suasana baru" di Pusat Islam Luqman Hakim Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Barangkali inilah kali pertama tanpa sebarang paksaan atau terpaksa yang pernah saya temui, para penghuni kamsis memenuhi hampir tiga saf untuk solat maghrib berjemaah. Begitu juga dengan solat Isyak.

Dari pemerhatian rambang saya, rata-rata mereka adalah muka-muka baru  iaitu para pelajar semester satu yang baru mendaftar awal minggu ini.

Saya menyimpan harapan tinggi agar "tsunami" ini bukanlah sementara sahaja tetapi akan terus berpanjangan sampai bila-bila pun.  

Kerana tsunami ini tidak merosak dan memusnahkan. Tetapi "tsunami" ini diharapkan akan melahirkan fenomena baru kepada Pusat Islam Luqman Hakim, PTSS.

Sama-sama kita panjatkan doa kepada Allah s.w.t. 
Semoga semangat "hangat-hangat tahi ayam" tidak terpakai di sini.

Kata orang.
Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir

Razak Nordin berpesan ; "Pelan". "Pelan". Sikit. Sikit. Jangan menekan sangat sehingga yang lembut menjadi pecah dan berkecai.

Monday, June 7, 2010

Alqamah : Kerana Sekali Hati Ibunya Pernah Terluka.

Warkah Untuk Ibu 
Ibu,
Sudah acapkali.
Ya, acapkali.


Bahkan berulang kali.
Tidak terhitung lagi banyaknya.
Anakanda telah mendengar dan membaca kisah di bawah ini.

Cuma baru kali ini anakanda benar-benar terguris hati. Dan tanpa sedar airmata ini menitis di birai kelopak mata. Tiba-tiba diri ini dibawa ke masa silam yang penuh nostalgia bersama arwah ibu. Terbayang pelbagai kenangan-kenangan lampau bersamamu. Hakikatnya menahan kerinduan pada arwah ibu bukan sesuatu yang mudah. Namun, kenangan-kenangan indah itu biarlah ia berlalu dan "terlarut" bersama lamanya masa.

Lebih menakutkan dan merisaukan dari itu adalah takut-takut anakanda pernah sekali atau lebih dari sekali dalam hidup ini, anakanda melukakan hati ibu semasa hayat ibu di dunia ini. 

Ibu,
Maafkan anakanda seandainya anakanda pernah melukakan hati ibu walau sekecil dan sehalus mana pun garis luka itu. Kerana anakanda tidak mahu menjadi seperti Alqamah.

"Tuan-tuan, kalaulah Alqamah tidak boleh mengucap dua kalimah syahadah hanya kerana pernah sekali sahaja hati ibunya terguris kerana isterinya tidak menghidangkan kuih yang telah dibawa oleh ibunya, macam mana dengan orang-orang zaman sekarang, ada yang sepak ibu, pukul bapa, buang ibu ayah dan sebagainya. Marilah sama-sama kita bermuhasabah dengan kisah ini. Sedangkan kalau ikutkan Alqamah "tidak bersalah" kerana dia tidak mengetahui perkara itu, lagi pun isterinya yang tidak menghidangkan kuih yang telah di bawa oleh ibunya itu. Ini adalah kerana lelaki itu pemimpin kepada perempuan. Kesalahan isteri turut ditanggung oleh suaminya ". Kurang lebih, ungkapan-ungkapan perlahan dan penuh kelembutan Ustaz semasa kuliah Maghrib dua hari lepas di sebuah surau, Taman Lela Satu, Kamunting yang sungguh-sungguh menusuk kalbu kecil saya.

Kisahnya.
‘Alqamah pula adalah anak yang baik. Setiap kali pergi ke masjid, dia akan menziarahi ibunya. Cuma pada suatu hari, ibunya memberitahu ingin pergi ke rumah ‘Alqamah. ‘Alqamah dan isterinya amat gembira mendengar berita tersebut. Mereka pun menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai menyambut kedatangan ibu ‘Alqamah. Rupa-rupanya, ibu tadi membawa makanan yang telah dimasaknya untuk dinikmati di rumah ‘Alqamah. Bagaimanapun, isterinya menyimpan makanan tersebut dan menghidangkan apa yang dimasaknya. Disebabkan perkara itu, ibu ‘Al`qamah berkecil hati sehingga menyukarkan anaknya itu menyebut kalimah tauhid semasa sakaratul maut. Rasulullah pun diberitahu tentang hal tersebut dan baginda bertanya kepada ‘Alqamah bagaimana hubungannya dengan ibu. Lalu beliau menjawab, ada sedikit salah faham. Rasulullah kemudiannya memanggil ibu ‘Alqamah dan memintanya memaafkan anaknya supaya boleh mengucap syahadat. Bagaimanapun, ibunya enggan kerana hatinya sangat terguris akibat peristiwa tempoh hari. Oleh sebab itu, Rasulullah mengarahkan para sahabat mengumpul kayu untuk membakar ‘Alqamah. Sabda baginda, sebelum dibakar di akhirat aku ingin tunjukkan dia dibakar di dunia.Melihatkan keadaan itu, barulah ibunya memaafkan ‘Alqamah. Sejurus itu, barulah ‘Alqamah boleh mengucap dengan lancar.

Ibu,
Walaupun kisah ini dianggap dhaif oleh sesetengah riwayat tetapi anakanda tetap mendambakan kemaafan dari segala kesalahan dan kesilapan yang mungkin pernah mengguriskan hati kecilmu.

Razak Nordin berpesan ; Muhasabah untuk anak-anak di pinggir kosmos milik Tuhan ini.

Dan ingatlah juga ;
Kisah Juraij, seorang ahli ibadat yang menjadi mangsa fitnah perempuan zina sebagai suatu pengajaran dari Allah s.w.t untuknya dan orang-orang terkemudian. Salahnya "hanya", kerana beliau tidak menjawab salam ibunya kerana khusyuk meneruskan solat sunat. Ini menyebabkan ibunya berkecil hati dan berdoa supaya anaknya dipertemukan dengan wanita jahat. Akhirnya beliau difitnah oleh perempuan yang berzina dengan lelaki lain dan mendakwa bahawa bayi yang dikandung dan dilahirkan itu adalah anak hasil hubungannya dengan Juraij. Difitnah sebagai ahli ibadah yang bertopengkan agama. Berpura-pura baik tetapi melakukan zina sehingga perempuan itu mengandung dan melahirkan anak.

Akhirnya, Juraij meminta kebenaran untuk bertanya dengan bayi itu siapakah bapanya yang sebenar. Dengan kuasa Allah, bayi yang masih merah itu boleh berkata-kata dan menceritakan hal yang sebenarnya. Dalam keadaan yang amat genting itu, takdir Allah s.w.t. telah menyelamatkan Juraij. Barulah Juraij dilepaskan oleh penduduk kampung.

INGATLAH, REDHA ALLAH ATAS REDHA KEDUA IBUBAPA
TERLEPASKAH BEBANAN SEBERAT INI UNTUK ANAK-ANAK ZAMAN IPOD INI

Catatan
Kisah ‘Alqamah itu dinukilkan oleh al-Imam al-Dhahabi Rahimahullah, di dalam kitab al-Kabaair. Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami di dalam al-Zawaajir. Riwayat itu dinisbahkan kepada al-Thabarani dan Ahmad, tanpa sebarang komentar ke atas sanadnya atau menyatakan apa-apa hukum ke atas riwayat itu. Akan tetapi al-Sheikh al-Albani di dalam komentarnya ke atas kitab al-Targheeb wa al-Tarheeb oleh al-Imam al-Hafeedz al-Mundhiri berpandangan bahawa kisah ‘Alqamah ini sangat dhaif. Riwayat ini pada kitab yang dinyatakan tersebut diangkakan sebagai 1487.

http://saifulislam.com/?p=3159

Saturday, May 29, 2010

Sehiris Peria Secawan Madu


Razak Nordin berpesan ; Pahit dan manis....tidak mengapa seandainya kedua-duanya adalah penawar. Asalkan bukan pahit dan manis yang menjadi racun merosak diri.

Wednesday, May 26, 2010

Susah Juga Ye!

Dalam hidup ini.
Adakalanya susah juga ye!!!




Bila disapa dan ditegur, dikatakan menyibuk.
Bila tidak disapa dan ditegur, dikatakan sombong pula.
Bila ambil kisah, dikatakan jaga tepi kain orang.
Bila tidak peduli, dikatakan tidak pedulikan orang keliling dan pentingkan diri sendiri.
Bila lembut-lembut, ada yang ambil kesempatan.
Bila tegas pula, dikatakan keras sangat dan kejam macam Firaun.
Bila buat-buat tidak tahu, dikatakan bodoh dan tidak prihatin.
Bila terlalu ambil tahu, nanti ramai pula yang kantoi dan jadi mangsanya.

Dan macam-macam umpat-umpatan yang muncul.

Dan lagi.
Pergi pun susah, tidak pergi pun susah.
Datang pun susah, tidak datang pun susah.
Keluar pun susah, tidak keluar pun susah.

Razak Nordin berpesan ; Masih relevenkah cerita Pak Pakdir dan Mak Andehnya.......macam-macam masih releven, cuma dalam versi yang sedikit berbeza.

Antara Banyak Cakap Dan Cakap Apabila Perlu


Maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja.  Nabi pernah berpesan lebih kurang begitulah bunyinya.



Suatu Ketika Dulu.
Seingat saya, semenjak zaman persekolahan lagi saya sudah terlalu acapkali bercita-cita dan berazam untuk menjadi seorang manusia yang pendiam. Dan setiap kali itu jugalah, saya tidak pernah berjaya menunaikan cita-cita dan keazaman saya tersebut.  Kalau pun berjaya, hanyalah seketika sahaja.

Lepas seketika itu, saya akan kembali menjadi Razak Nordin seperti mana saya dilahirkan. Suka bercakap dan memberikan "pandangan" yang kadangkala pandangan tersebut tidak diminta pun. Dan setiap kali itu jugalah, saya sedar bahawa banyaknya hati-hati yang terluka hati dan perasaannya. Oleh kata-kata saya tersebut.

Kepada hati-hati yang pernah terluka oleh kata-kata saya. Pohon maaf saya minta. Sebetulnya, saya tidak pernah bercita-cita dan berazam untuk berbuat begitu.  

Pendiam Dan Tidak Suka Campur Luar "Kawanan"

Dari sudut lain pula, saya sering juga dilihat pendiam dan tidak banyak cakap. Terutama ketika saya dikelilingi oleh orang-orang yang saya tidak kenali. Ketika itu saya lebih selesa menjadi pendengar yang baik dan hanya membuat kesimpulan dalaman sahaja. Faktornya mungkin pelbagai.

Antaranya;
Saya sesekali tidak akan menyertai perbualan orang-orang yang saya tidak kenali walaupun saya "tahu sangat" dan berminat dengan topik yang diperkatakan itu.

Lagi-lagilah jika topik perbualan itu berkisar kepada isu-isu yang saya tiada nafsu dan selera untuk menjamahnya, tambahan pula jika ianya tidak memberikan faedah sangat kepada "kepentingan" saya.

Dan ketika saya masih tersedar akan mesej di bawah ini :-

Dan seperti biasalah, Razak Nordin berpesan lagi. Untuk dirinya dan orang lain juga.
Razak Nordin berpesan ; Dan hari ini buat kesekian kalinya saya bercita-cita dan berazam lagi untuk menjadi manusia pendiam dan bercakap hanya apabila perlu. Sekali lagi saya berazam.

Saturday, May 22, 2010

Dilema Manusia "Bertamadun"

Salah satu koleksi di hadapan rumah saya. Koleksi lain sedia dimasukkan dalam "facebook" jika keadaan masih tidak berubah dalam masa terdekat. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegurnya secara lisan. Biarlah "facebook" yang menegurnya bagi pihak saya.
Koleksi di tempat awam dalam "wilayah" yang sama. 

Saya tidak mempunyai bahasa yang indah-indah dan mulus-mulus untuk menjelaskan perlakuan "bertamadun" di atas.

Tetapi sebagai manusia biasa, saya kecewa dengan apa yang terjadi kerana ia berlaku di tempat awam dan umum. Kalau di dalam rumah sendiri, terpulanglah kepada "bidang kuasa" tuan rumah tersebut.  Jika di tempat umum, kepentingan bersama perlu dijaga secara kolektif juga. Hak masyarakat awam mestilah dijaga. Bukan sunat, harus dan makruh lagi. Malahan wajib. Apabila ia adalah hak, maksudnya ia adalah suatu kewajipan yang mesti ditunaikan. Dan berdosa jika diabaikan.

Susah Sangat Ke? Suatu Bandingan.
Susah sangat ke???

Untuk membuang air kecil atau membuang air besar dalam mangkuk tandas yang disediakan. Kenapa memilih untuk di"sembur" di dinding tandas atau di bawah tangga!!! Antara realiti yang ada berlaku dalam masyarakat "bertamadun" ini yang pernah saya jumpai. Di banyak tempat, masa yang berbeza.

Walaupun saya tahu bahawa kedua-dua air itu adalah air milik "peribadi". Saya tidak peduli jika ia berlaku di dalam rumah empunya air-air itu sendiri. Di dalam rumah sendiri, terpulanglah di mana sahaja yang disukai untuk dibuang air kecil dan besar itu. Tetapi jika di tempat awam kedua-dua air tersebut mestilah dibuang di dalam mangkuknya supaya ia tidak menganggu kebahagiaan dan kedamaian hidup orang lain.

Begitu Jugalah Dengan Sampah!!!
Dan susah sangat ke???

Untuk membuang sampah ke dalam tong sampah. Di rumah sendiri buanglah sampah di atas tilam di bilik tidur utama jika "kemaruk" sangat. Buanglah air kecil dan air besar milik peribadi itu, di mana sahaja yang dikehendaki. Tiada siapa yang ingin ambil peduli pun. Dan tidak ada manfaat pun kepada kepada orang lain untuk diambil tahu walaupun sekecil zarrah. Di dalam bilik tidur boleh, di dapur boleh, di ruang tamu boleh, dalam periuk boleh, atas meja makan pun boleh.

Pilih mana-mana tempat yang sesuai dengan selera masing-masing. "Selamat berbahagia" diucapkan.

"Ikut akulah"
Pada saya hanyalah "boleh digunakan" di dalam rumah sendiri. Bukan diluar rumah sendiri atau ditempat awam.

Cukuplah.

Razak Nordin berpesan ; Hayatilah hadis-hadis di bawah. Mudah-mudahan masih ada jalan pulang untuk kita yang pernah tersesat :-

1. Hadis Anas bin Malik r.a:

Nabi s.a.w telah bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 64
(Sumber)


2. Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 67
(Sumber)

3. Hadis Abu Syuraih Al-Khuza'iy r.a:
Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 69
(Sumber)

Monday, March 29, 2010

Seorang Manusia Bergelar Hamba.

Saya menerima apa yang telah terjadi sebagai takdir. Kerana saya seorang manusia bergelar hamba. Akur dengan kehendak Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.

Pagi tadi.
Dalam keadaan kesihatan diri yang masih kurang menentu, saya gagahkan jua diri ini untuk melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya sebaik mungkin. Dan seperti biasa saya akan "mengusung" laptop dan LCD projector untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berjalan. Menyahut saranan.

Tetapi pagi tadi lain pula jadinya dan ini kali pertama ia berlaku. Plug di dalam kelas yang digunakan pagi tadi tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Kesihatan yang kurang baik menyebabkan saya mengambil keputusan mengubah lokasi kebiasaan asalnya di tingkat 4 ke tingkat 2 di bangunan yang berlainan. Dan akhirnya saya jadi mangsa keadaan. Tidak berbaloi kata orang sekarang.

Semuanya menjadi "lemas, terbantut dan menyakitkan hati". Kesempurnaan yang dihajati menjadi "kecacatan" yang tidak dirancang. Mempositifkan apa yang telah berlaku sedapat mungkin supaya tidak menganggu "mood" yang sememangnya sudah cukup melantai. Komitmen saya adalah memberikan yang terbaik setiap kali memasuki kelas. Dan apa yang berlaku tadi sedikit sebanyak mengganggu juga jiwa dan perasaan saya. Dan selalunya ia mengambil masa untuk sembuh. Itulah antara masalah dengan diri saya. Ketidakpuasaan yang menderitakan jiwa dan perasaan sendiri. Mungkin ia tidak berlaku kepada semua orang tetapi takdir itu berlaku kepada diri saya. Apa yang mampu saya lakukan?

Akhirnya saya menjadi tidak puas dan mungkin para pelajar pun tidak puas juga.

Kepada semua pelajar DSK 4. Maaf atas apa yang terjadi. 

Razak Nordin berpesan ; Kekurangan tidak diminta tetapi adakala ia berlaku dengan hikmat yang jelas nyata ataupun tersembunyi di sisi Allah s.w.t. Untuk mengajar kita semua. Manusia yang serba kekurangan.

Monday, March 22, 2010

Jabatan Pengajian Am; Relevenkah Wujud Di Politeknik.

"Payah rupanya mengajar subjek yang orang tak suka ni, baru tau, selama ini ingatkan macam mana", begitulah lebih kurang cakap ajuk yang pernah diucapkan oleh seorang pensyarah yang bukan dari Jabatan Pengajian Am apabila beliau mencuba untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Hampir 11 tahun lamanya.
Itulah antara "perasaan dan pilu" yang saya alami selama menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Am di politeknik.
Bukan setakat pahit, saya telan segala kepahitan bersekali dengan hempedu-hempedunya juga.  Betapa pahitnya.

Bukan mudah.
Memulakan kerjaya di Politeknik Kota Kinabalu Sabah pada Julai 1999, sehinggalah sekarang ini sudah mencecah tahun 2010. Bermula Disember 2003 sehingga kini masih setia meneruskan khidmat bakti di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. 

Jabatan sokongan, nama jolokan yang cukup sinonim. Entahlah apa yang disokongnya saya pun tidak pasti. 

Mengajar subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Tamadun Islam. Subjek yang "kurang" nilai "komersial".
Ibarat susahnya memberi makan anak-anak kecil antibiotik yang berbau busuk tetapi ia perlu dan wajib dihabiskan.
Ibarat susahnya memaksa kuda untuk minum air, tidaklah sepayah untuk membawanya ke air.  
Ibarat menyediakan hidangan yang tidak disukai oleh jemputan pada majlis keraian. Makanan tidaklah habis, sisanya pula dibiarkan bertimbun di dalam pinggan dan mangkuk.
Ibarat perkahwinan secara paksaan tanpa kerelaan empunya badan, bahagianya tiada, yang banyaknya hanyalah resah dan gelisah. Setiap tahun mengandung  dan melahirkan anaknya juga. Tetapi cinta dan sayangnya pula berkala-berkala.

Payahnya bukan pada mendapatkan antibiotik, tetapi payahnya pada memberikan anak-anak kecil makan antibiotik yang "berbau busuk" itu.
Payahnya bukan pada membawa kuda ke air, tetapi payahnya adalah untuk "menyuruh" kuda itu minum air. 
Payahnya bukan pada menyediakan makanan, tetapi payahnya pada menyediakan makanan yang memenuhi selera semua orang.  
Payahnya bukan pada melangsungkan perkahwinan, tetapi payahnya pada memaksa dua hati yang tiada "rasa" untuk saling cinta menyintai serta saling sayang menyanyangi.
"Payah"nya bukan pada subjek yang diajar, tetapi payahnya pada "memaksa orang untuk menyintai pilihan keluarga sedangkan dia sudah mempunyai pilihan hati yang sudah bertahun lamanya menyulam cinta dan rindu".
Payahnya untuk belajar sesuatu yang tidak berapa disukai dan diminati. Adat manusia memang begitu. Kita dan mungkin orang lain juga.

Sepanjang hampir 11 tahun itu.
Saya melaksanakan amanah itu dengan "sesungguhnya". Cuba memberikan yang terbaik dicelah-celah kehampaan yang acapkali juga bertandang. Saya pendamkan segala keresahan dan kegelisahan yang selalu bertandang. Berbakti di dunia demi kesinambungan di akhirat kelak. Melebarkan senyum selagi mampu, menutup segala gundah yang selalu mendatang.

Kadang itu saya terfikir juga.
Berbaloikah "mengusung" laptop dan LCD sampai ke tingkat 4.

Kepuasan?

Pada saya semuanya terletak kepada kepuasaan. Saya puas apabila maklumat dapat disampaikan dengan cara yang paling baik, sistemetik dan berkesan. Sementara kepuasaan pula memerlukan reaksi dua hala. Kepuasaan pada memberi dan juga kepuasaan pada menerimanya juga. "Hukum" memang begitu. Suami puas, isteri pun perlu puas juga (bacaan 18 tahun ke atas sahaja). Pengajar "puas", pelajar pun "puas" juga.

Baru berbaloikan?
Seronoknya mengusik anak-anak kecil ialah apabila adanya tindakan balas yang diberikan. Lagi "kecoh" tindakbalasnya, maka lagi seronoklah usik-mengusiknya. Puasnya apabila ada tindakbalas itu. Sebab itu saya tidak pernah menemui orang-orang usik-mengusik dengan batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain. Kerana batang kayu atau benda-benda bukan hidup yang lain tiada naluri untuk bertindakbalas yang "kecoh-kecoh".

"Tindakbalas" yang baik selalunya merangsang tindakbalas yang baik juga tentunya. Dalam ilmu pendidikan yang saya pernah belajar dahulu dinyatakan bahawa peneguhan itu ada dua jenis ; peneguhan positif dan peneguhan negatif. Dan selalunya peneguhan positif banyak merangsang ke arah pencapaian yang lebih baik berbanding peneguhan negatif yang adakalanya bersifat membunuh.

Selalu saya katakan.
Terbaik pada saya tidak semestinya terbaik pada penerimaan orang lain. Tetapi setiap kali saya berbuat sesuatu saya pastikan ia adalah yang terbaik dari saya. Saya tidak suka main-main dalam memberi.

Dalam kelamaan masa itu.
Adakalanya puas juga. Terima kasihlah pada yang pernah, sedang dan akan menghargai.

Sehingga ini.
Relevenkah Jabatan Pengajian Am di Politeknik?

Razak Nordin berpesan ; Cukuplah. Antaranya sahaja. Tergantung dan perlukan kesudahan.