Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts
Showing posts with label Kekeluargaan. Show all posts

Wednesday, March 20, 2013

Dah Pun Lima Tahun Anak Jantanku

Allhamdulillah.

Itulah ucapan terbaik yang boleh saya ucapkan.

Atas segala rahmatNya, satu-satunya anak jantan saya buat masa ini, telah 'ganjil' umurnya lima tahun pada hari ini.

Doa saya, moga rahmatNya terus mengiringi perjalanan hidupnya selagi hayat dikandung badan.

Moga bahagia di dunia, bahagia juga di akhirat.

Anak soleh, seperti yang selalu disebut-sebutnya.

Mudah-mudahan.

Sudut Saya

Harapnya sepanjang lima tahun itu, saya telah menunaikan amanah Allah SWT yang telah dipertanggungjawabkan ke atas bahu saya sebagai seorang Abi kepada seorang anaknya.

Sepanjang lima tahun itu, adakalanya saya berlari, adakalanya saya berjalan, adakalanya saya bertatih,  acapkali juga merangkak-merangkak, dan sering juga bertongkat paruh.

Ketika saya terpaksa bertatih, merangkak dan bertongkat paruh, walaupun saya sendiri sering 'kehabisan oksigen', sedaya upaya saya cuba menunaikan segala amanah itu sebaik mungkin.

Buat mana yang mampu, dengan kekuatan rohani dan jasmani kurniaan Allah yang masih ada.

Tiada kekuatan melainkan kekuatan yang Allah SWT berikan.

Dulu.
Sekarang.
Dan juga akan datang.

Semoga rahmatNya juga sentiasa bersama saya dan kami sekeluarga, kaum keluarga serta muslim muslimat sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia.

Moga Allah SWT menyucikan hati-hati kami dari segala sifat mazmumah dan menggantikannya dengan segala sifat mahmudah.

Dengan khauf dan raja'.

Tuesday, March 20, 2012

Selamat Hari Lahir Anakanda







Alhamdulillah, Ruknuddin Razin Raziq bin Razak, genap 4 tahun hari ini.

Suatu perjalanan, dulu hingga kini.


Tiada lain yang dipinta selain RahmatNya yang berkekalan di dunia dan akhirat jua.

Wednesday, February 15, 2012

Harap-Harap Begitulah Anakanda!

Petang tadi, secara tidak sengaja, saya dan anak perempuan saya yang baru darjah satu 'tersinggah' di gerai jualan buku di kafe pentadbiran. Asalnya sekadar mencari air seteguk dua sebagai kudap petang. Alih-alih terjumpa gerai jualan buku pulak.

Dan saya seperti biasa selalunya teruja dengan buku-buku.

Sempatlah saya membeli empat buah buku. Tiga untuk saya dan satu untuk anak perempuan saya.

Untuk saya, saya belikan :
1.  Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia, terjemahan tulisan asal Dr. 'Aidh Abdullah Al Qarni.
2. Tip-Tip Cemerlang Daripada Quran, oleh Dr Danial Zainal Abidin
3. Himpunan Hadis Pilihan, oleh Harun Arrassyid Hj Tuskan.  

Bolehlah Masak Untuk Abi dan Umi.

Dan untuk anak saya, dia memilih sendiri sebuah buku yang bertajuk '23 Resepi Masakan'. Hairan juga saya, dalam usia baru mencecah 7 tahun, dia memilih buku resepi masakan. Ingatkan saja-saja.

Hairan dan kepelikan juga bagi kanak-kanak seusia itu. Dan bagi memastikan dia membelikan buku yang betul sesuai dengan usianya, saya bertanya kenapa dia memilih buku resepi tersebut.

"Bolehlah kakak masak untuk Abi dan Umi bila Abi dan Umi tua nanti"

Jawapannya ringkas, tetapi dalam ringkas itu saya terkedu antara ingin gelak dan terharu.

Harap-harap begitulah anakanda!

Friday, February 10, 2012

Antara 8 Dan 10







Bukan mudah menulis 'tanpa hati.'

Namun, pagi ini saya gagahkan jua untuk menulis sebaris dua.

Pertamanya, untuk mengucapkan kepada diri sendiri dan isteri, "Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke 7 Perkahwinan."

Yang berlalu telah berlalu dengan segala macam ceritanya.

Semoga perjalanan yang bakal dilalui seterusnya dilindungi serta dirahmati Allah SWT dari segala sudutnya.  

Ulang Tahun perkahwinan kami yang jatuh pada 8 Februari setiap tahun. Ucapan ini telah terlewat dua hari, tetapi masih belum terlambat rasanya.

Setelah berusaha dan bertawakal, biarlah Allah SWT. yang menyusun apa yang sepatutnya berlaku selepasnya.

Insyaallah.

Keduanya, untuk mengucapkan "Selamat Menyambut Ulang Tahun Pertama" untuk anakanda perempuan saya, Nursyamimi Hayani binti Razak.

Alhamdulillah, hari ini 10  Februari 2012 merupakan hari ulang tahun kelahiran pertamanya. Doa untuknya, mudah-mudahan perjalanan hidup anakanda sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah SWT. selama-lamanya. Begitulah hendaknya. Dunia dan akhiratnya jua.

Doa.

Ya Allah, Janganlah engkau serahkan diri kami kepada kami yang menguruskannnya walaupun sekelip mata, nescaya kami tidak mampu melakukan, dan janganlah engkau serahkan kepada orang lain untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakanya.

Amin.

Friday, January 27, 2012

Pada Menyayangi Binatang







Semasa saya menulis cerita tentang Arnab : Antara Dua Sifat, saya tidak pernah terfikir bahawa suatu masa arnab akan menjadi sebahagian dari 'ahli keluarga' kami.

Dan, alhamdulillah, bermula semalam dua ekor arnab telah menjadi sebahagian dari keluarga kami. Semoga ada rahmat yang turun kerana berkasih sayang sesama makhluk.

Dengan takdir Allah dan juga meraikan minat anak-anak, akhirnya ia menjadi sebuah kenyataan yang telah ditakdirkan.

Mungkin inilah yang dirangkapkan dalam pantun Melayu.

Dari mana punai melayang
Dari paya turun ke padi
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati.

Mungkin inilah antara contoh bagaimana rakan sebaya boleh mempengaruhi. Keinginan anak-anak untuk memiliki 'rabbit' sendiri menjadi 'semakin memuncak' apabila kami sekeluarga berkunjung ke rumah ipar saya di Ipoh, Perak, lebih kurang sebulan yang lalu.

Kebetulan pula, sepupu kepada anak-anak saya juga membela arnab. Dan sejak itu anak-anak selalu menyebut-nyebut untuk memilikinya juga.

Dan seperti biasa, isteri yang selalunya lebih prihatin dengan kehendak anak-anak. Ketika saya sudah ingat-ingat lupa tentang permintaan anak-anak tersebut, saya diberitahu oleh isteri bahawa dia telah menempah dua ekor arnab untuk anak-anak.

Dan tengahari semalam, semua itu telah tertunai.

Kasih pada binatang pernah membawa pelacur ke Syurga, apakah manusia tidak mengambil fikir.

Dan kerana menganiaya binatang, seorang perempuan pernah dihumban ke Neraka, semoga ia menjadi iktibar yang baik untuk semua.

Selamat datang, arnab masih tanpa nama ke dalam keluarga kami dengan segala rahmatNya.

Insyallah.

Sunday, January 22, 2012

Moga CintaNYA Mengiringi Cinta Kami








Kalau ikutkan rasa hati, seperti tidak mahu ke mana-mana.

Berjuang membetulkan emosi yang acapakali tersasar ini masih memerlukan mujahadah dan kesungguhan yang berterusan. Moga suatu hari nanti, ketenangan itu sentiasa menjadi milik hati ini selama-lamanya. Kata orang, doa yang ditangguhkan, tandanya Allah SAW mahu hati itu terus berbicara denganNYA hingga ke suatu hari yang ditentukan olehNYA.

Mudah-mudahan.    

Namun, kewajipan serta amanah sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi  acapkali mengatasi 'ikutkan rasa hati' tersebut.

Sebagai hamba dan khalifah, sekurang-kurangnya kita mempunyai amanah yang perlu ditunaikan kepada Allah dan sesama manusia serta alam.

Dan pagi ini, Insyaallah kami sekeluarga akan ke Kamunting atas amanah tersebut.

Saya menunaikan amanah sebagai menantu. Isteri menunaikan amanah sebagai anak. Dan anak-anak saya, menunaikan amanah sebagai cucu.

Semoga semangat hadis di bawah mengiringi ziarah kali ini.

Sayang kerana Allah, Insyaallah membawa cintaNYA jua.

Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Seorang lelaki telah pergi menziarahi saudaranya di sebuah pekan. Lalu Allah hantarkan Malaikat untuk mengekorinya di perjalanan itu. Apabila Malaikat itu bertemu dengan pemuda lelaki tersebut, dia bertanya: Kamu mahu ke mana? Lelaki itu menjawab: Aku mahu menziarahi saudaraku di pekan ini. Malaikat tersebut bertanya lagi: Apakah engkau mempunyai sebarang kepentingan yang ingin diperolehi daripadanya? Lelaki itu menjawab: Tidak, aku menziarahinya semata-mata kerana aku sayangkan dia kerana Allah. Malaikat tersebut berkata: Sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepadamu. Aku diperintahkan untuk memberitahumu bahawa Allah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana-Nya” (riwayat Muslim 2567)

Ya Allah, seandainya kami lakukan semua ini hanya keranaMU, limpahkanlah kebaikan serta rahmatMU untuk kami semua.

Engkaulah yang menentukan apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat kami.

Thursday, December 8, 2011

Selamat Hari Lahir Anakanda








Alhmadulillah.

8 Disember 2011, bermakna genaplah 6 tahun umur anak sulung saya, Nursyuhada Najihah.
Sebagai Abi, saya sentiasa mendoakan semoga perjalanan hidupnya dari dunia sampai ke akhirat sentiasa dirahmati serta diredhai oleh Allah SWT.

Di dunia pun baik dan di akhirat pun baik juga.

Ya Allah, berikan kepada kami kehidupan yang baik di dunia dan kehidupan yang baik di akhirat dan bebaskan kami dari azab neraka.

Ya Allah, janganlah engkau serahkan diri kami untuk kami yang menguruskannnya, nescaya kami tidak mampu melakukan, dan janganlah engkau serahkan kepada manusia untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakanya.

Amin.

Thursday, July 7, 2011

Basikal Merah Di Hari Jadi Ku







Terima kasih kepada semua yang mengucapkan selamat hari lahir kepada saya dalam beberapa hari ini melalui Facebook atau pun secara 'live'.

Terima kasih juga ada segala doa yang telah dipanjatkan untuk saya. Moga-moga ianya diperkenankan oleh Allah SWT. Doa sahabat kepada sahabat dan juga bekas pelajar-pelajar saya. 

Walau bagaimanapun, berbanyak-banyak kemaafan saya pohonkan kepada semua yang mengucapkannya melalui Facebook kerana saya tidak memberikan respon segera melalui Facebook kerana semenjak akhir-akhir ini jarang benar saya membuka Facebook kecuali untuk berkongsi 'entry' saya di pokok-kayu. Dan semua ucapan tersebut saya telah membacanya hanya melalui email sahaja.

Apa pun terima kasih buat semua. 

Teristimewa ucapan terima kasih ini buat isteri dan anak-anak yang menghadiahkan cinta,kasih serta sayang buat Abi sepanjang perjalanan yang dilalui bersama selama ini. Susah senang, pahit maung kehidupan dihadapi bersama dengan segala kesabaran dan ketabahan yang masih berbaki ini.

Terima kasih juga buat isteri dan anak-anak yang dari segi fizikalnya telah menghadiahkan Abi dua biji kek serta sebuah basikal berwarna merah.

Sekali lagi.
Terima kasih buat semua.

Wednesday, July 6, 2011

Aksi-Aksi Yang Ummi Niza Belum Lihat

'Spider Man' Ruknuddin Razin Raziq
'Spider Women' Nursyuhada Najihah

Anak-anak perhiasan dunia yang selalu memberikan rasa indah dan bahagia pada sekeping hati milik Abi dan Umi di sebalik pelbagai ragam serta karenah. Semuanya menjadi rencah yang dicampur, lalu menjadikan kehidupan ini mempunyai pelbagai rasa. Ketentuan yang ditakdirkan.

Seketika, biarlah mereka menjadi kanak-kanak.

Usah memaksa mereka terlalu cepat untuk menjadi dewasa.  

Monday, June 20, 2011

Terpaksa Bercuti







Hari ini saya terpaksa mengambil cuti untuk menjaga Ruknuddin Razin Raziq yang masih demam. Anak jantan saya yang seorang ini.

Alhamdulillah.
Demam yang bermula pagi semalam, semakin beransur pulih setelah beberapa kali memakan ubat. Sekejap ok, lepas itu datang balik demamnya. Harap-harap demamnya kali ini tidaklah mengambil masa yang lama.

Abi doakan semoga Allah SWT memberikan anakanda kesembuhan yang cepat.

Ya, Allah.
Kurniakanlah kepada kami kesembuhan dan kesihatan yang berpanjangan serta lindungilah kami dari segala bala bencana yang merosakkan ke atas batang tubuh dan juga harta benda yang engkau telah pinjamkan kepada kami buat sementara waktu itu.

Amen. 

Monday, May 30, 2011

Ku Rasa Sepi Tanpa Cintamu







Belum pun sampai 24 jam berpisah dengan anak-anak, terasa ada satu kekosongan teruang di sudut hati.


Anak-anak, perhiasan kehidupan dunia yang boleh menjadi penambah seri kehidupan jika 'didekorasikan' dengan baik dan betul.

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan kehidupan dunia dan amalan-amalan salih yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Al-Kahfi: 46)

“Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah-lah jualah pahala yang besar.” (At-Taghabun: 15)

Kekosongan teruang yang menyebabkan mata mengantuk tidak juga mampu untuk lena. Pejam celik, pejam celik yang banyak memanggil kenangan semalam datang. Menggamit sebuah rindu pada gelak tawa, tangis rintih serta wangi masam anak-anak.

Perhiasan dunia itu.

Anak-anak, perhiasan dunia yang diperlukan. Tetapi janganlah dijadikan anak pinak itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan dan alat-alat bagi menerbitkan amal-amal salih yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sana.

Sungguh beruntunglah orang-orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya.

Semoga ada kebaikan daripada perpisahan sementara ini.

Menambah erti rindu, kasih dan belajar menghargai pada sebarang nikmat kurniaanNya.

Salam sayang dan rindu dari Abi.
Pauh Putra, 02600 Arau, Perlis.

Thursday, May 5, 2011

Wednesday, April 27, 2011

Membina Kepercayaan Dengan Nilai Positif Dan Pujian?







Permulaan yang positif.

Setelah dua malam melaluinya, mungkin itulah ungkapan yang boleh saya katakan terhadap apa yang ditunjukkan oleh Nursyuhada Najihah, anak sulung saya.

Setakat dua malam yang telah berlalu, percubaan kami melatih anak-anak untuk tidur berasingan dengan kami di bilik mereka sendiri nampaknya menghasilkan sesuatu yang positif.

Cuma barangkali untuk Angah Razin belum mencapai 'target' yang dikehendaki seratus peratus.

Halangannya utamanya setakat ini mungkin kerana dia masih meminta susu pada setiap malam.

Dan setiap kali dia terjaga di tengah-tengah malam untuk meminta dibuatkan susu, si Angah datang mengejutkan saya dan terus 'landing' di bilik kami.

Namun kami yakin, dalam sedikit masa lagi si Angah Razin akan mengikuti jejak langkah kakaknya juga.

Insyaallah.

Untuk malam pertama, saya menemani anak-anak sementara mereka belum lena. Sekurang-kurangnya untuk memberikan semangat serta membina keyakinan diri sebelum menjadi biasa.

Dan untuk malam yang kedua, saya tidak perlu lagi menemani Along Syuhada. Dengan keinginan dan kemahuannya sendiri dia masuk ke bilik untuk tidur.

Barangkali seronok dengan katil baru serta pujian dan nilai-nilai positif yang kami berikan setiap pagi. Soalan positif serta pujian yang bertujuan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dirinya.

Soalan-soalan serta pernyataan yang diharap boleh membina nilai positif untuk anak-anak.

Seronok tak?
Baguslah kakak ni?
Nanti Abi belikan hadiah kerana kakak bagus sangat!

Itulah ungkapan paling popular saya dalam dua hari ini untuk Along Syuhada. Cuba membina suatu kepercayaan positif kepada anak yang belum mengerti banyak perkara. Yang belum mampu berimiginasi yang bukan-bukan, sehingga melahirkan sesuatu yang bukan-bukan juga.

Mengelak dari bertanya soalan-soalan serta pernyataan-pernyataan yang berbentuk negatif juga.

Soal takut atau tidak tidur sendiri-sendiri tidak ditanyakan.

Kerana pada saya, soalan seperti itu akan mula membina nilai-nilai negatif untuknya. Secara sedikit sedikit.

Dan Alhamdulillah, setakat ini masih positif.

Sementara Razin pula untuk malam yang kedua, terpaksa diusung kerana 'tertidur' di bilik kami lebih awal. Lebih kurang jam 3 pagi barulah dia datang meminta dibuatkan susu dan terus terlena di bilik kami.

Sesuatu yang dikira berjaya untuknya dalam tempoh percubaan dan peralihan ini.

Mudah-mudahan, kami dapat mengutip sedikit demi sedikit pengalaman dari apa yang sedang kami lakukan.

Melakukan serta merasainya secara praktikal 'hand on' setelah lama 'memahaminya' secara teori.

Semoga ianya akan terus positif.

Suatu pengalaman kecil yang seronok untuk dikongsikan.

Tuesday, April 26, 2011

Hayani Dah Pun 76 Hari

Alhamdulillah.

Dengan rahmat Tuhan yang Maha Segala-galanya.

Hari ini Nursyamimi Hayani binti Razak sudah pun berumur 76 hari.

Dan alhamdulillah juga kerana setakat ini Hayani tidak banyak ragamnya. Harapnya begitulah seterusnya.

Hayani mungkin lebih beruntung berbanding kakak dan abang, kerana mendapat rezeki 'neneng' Uminya. Syukur tidak terhingga pada Allah SWT atas kurniaan susu ibu yang tentunya susu terbaik bagi setiap bayi untuk membesar.

Semoga terus membesar dengan iringan doa agar sentiasa mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Sihat rohani dan sihat juga jasmaninya. 

Syukur kepada Allah SWT atas segala kurniaannya dan terima kasih kepada isteri yang banyak berkorban dalam membesarkannya.

Juga kepada pengasuh-pengasuh yang bersusah payah menjaga anak kecil kami.

Tidak lupa kepada semua yang memberikan sokongan.

Dekat dan jauh.

Alhamdulillah.

Amin.

Monday, April 25, 2011

Bilik Tidur Baru Along Dan Angah







Perancangan untuk 'membina' bilik tidur asing untuk anak-anak sudah lama saya dan isteri bincangkan.

Namun, baru semalam perancangan tersebut menjadi kenyataan. Isteri yang memulakan 'gotong royong'. Sisih, susun, sapu serta memunggah mana-mana yang perlu. Selain bertindak sebagai pereka dalaman tidak bertauliah.

Walaupun mungkin 'agak terlambat', namun bukan bermakna ia tidak boleh dimulakan.
Dan saya menyumbang tenaga mana yang diperlukan. Antaranya mengubah kedudukan almari serta membawa keluar katil yang tidak diperlukan serta 'kerja-kerja berat' yang lain.

Anak-anak nampak macam teruja walaupun hiasan dalamannya belum siap sepenuhnya.

Insyaallah, kalau ada rezeki, hari ini katil baru akan sampai.
Belum sempat dihias, teruja sangat..
Dan malam ini harapnya Along dan Angah akan mula belajar hidup berdikari. Belajar membawa diri serta melatih diri untuk lebih berani.

Tengoklah malam karang, menjadi ke tidak. Harap-harap semuanya akan beres semuanya.

Mengharapkan output yang baik dari perubahan sekecil ini.

Perubahan memang payah dan susah tetapi adakalanya ia adalah perlu.

Setidak-tidaknya, ianya telah bermula dengan langkah pertama.

Di rumah Pun Boleh!!!







Hajat hati untuk memiliki mesin gunting rambut sendiri tertunai juga pada hari Sabtu yang lalu.

Dibeli dengan harga RM 85 di sebuah kedai di pekan Arau, ianya telah memberikan sumbangan pertamanya pada petang tersebut.

Dan kepala saya menjadi 'testimoni' pertama oleh tukang gunting tidak bertauliah iaitu isteri saya.

'Not bad' kata orang putih, bagi cubaan kali pertama. Kemahiran adalah sesuatu yang perlu diasah acapkali dan bukannya sesuatu lahir bersama lahirnya manusia.
Dan selepas ini harapnya saya tidak perlu lagi ke kedai gunting untuk 'kemaskan bojeng'.

Dan tidak perlulah ke 'salon' untuk dapatkan tukang gunting wanita.

Di rumah pun boleh!

Buat isteri, terima kasih kerana sudi dan berani mencuba.

Selamat datang ke Ummi Niza Salon.

Kecil pada perbuatan tapi besar pada hakikat.

Thursday, April 14, 2011

Selamat Hari Lahir Ummi Niza







Selamat menyambut ulang tahun kelahiran buat isteri Ummi Niza pada 12 April 2011 yang lalu. Semoga perjalanan hidup Ummi Niza sentiasa dirahmati Allah SWT hendaknya. Mendapat kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat yang kekal lagi abadi.
Buat Ummi,
Terima kasih kerana sudi berkongsi cinta, kasih dan sayang sepanjang kita bergelar suami dan isteri. Saling melengkapi antara kelebihan dan kekurangan yang ada. Kerana kita  adalah insan bernama manusia yang serba kekurangan dan acapkali juga terlalai dan terlupa.

Memanfaatkan sebaiknya titik persamaan. Mengharmonikan sebaiknya perbezaan yang ada.

Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit. 

Tetapi pastinya, tergigit itu hanya sesekali tetapi yang banyaknya adalah saling bekerjasama antara satu sama lain.   

Atas rahmat Ilahi, yang Allah SWT takdirkan melalui Ummi, lahirlah zuriat-zuriat penyambung generasi kita.

Mudah-mudahan, mereka akan menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa dirahmati. Dunia dan akhirat jua.

Terima kasih atas segala pengorbanan dan susah payah, mengandung, membesarkan, mengasuh, mendidik dan segala-galanya,  sehingga mereka menjadi seperti hari ini.
Terima kasih atas segalanya.

Razak Nordin berpesan : Ya Allah, semoga keluarga yang kami bina bersama ini akan sentiasa dirahmati dari dunia sampailah ke akhirat.

Sunday, March 20, 2011

Selamat Hari Lahir Anakanda Ruknuddin Razin Raziq






Alhamdulillah, segala puji dan syukur atas segala nikmatNya.

Dengan iziNya jua, anakanda kedua saya telah 'ganjil' berumur tiga tahun pada hari ini, 20 Mac 2011 jika mengikut kalendar tahun masihi.

Jika mengikut kalendar tahun hijrah pula ianya lebih awal iaitu pada 12 Rabi'ul Awwal.

Doa Abi, mudah-mudahan anakanda diberikan kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat serta dipelihara dari azab nerakaNya.

Amen.

Razak Nordin berpesan :  Mudah-mudahan juga, menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan Abi dan Umi.

Sunday, February 20, 2011

Selamat Datang Nursyamimi Hayani







Alhamdulillah.

Isteri saya selamat melahirkan anak ketiga kami pada 10 Februari 2011, sekitar jam 7.50++ malam.

Syukur pada Allah SWT atas segala rahmatnya.

Dan terima kasih kepada semua yang telah membantu.

Terutama buat bapa dan ibu mertua yang telah menghantar isteri saya yang sedang sakit ke Wad Bersalin, serta menjaga anak-anak yang lain sebelum saya sampai di sana sekitar jam 11 malam.

Terima kasih juga kepada doktor serta jururawat-jururawat yang terlibat sebelum, semasa dan sehingga isteri saya dibenarkan keluar wad pada keesokkan harinya.

Buat kaum keluarga, sahabat-sahabat serta sesiapa sahaja yang sudi mendoakan.

Selang bunga dan bayi perempuan yang diberi nama NURSYAMIMI HAYANI BINTI RAZAK.


Razak Nordin berpesan : Kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat jua yang sentiasa diharapkan.