Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Monday, November 8, 2010

Saya Rindu Bakso







Kali ni cerita ringan-ringan sahajalah.

Sembang pasal makan-makan.
Pasal Bakso.
Perkara yang kebanyakan orang suka.
Perkara yang tidak sensitif macam politik, agama dan perkauman.

'Unlike'.

Pasal Bakso. 'Like'

Rindu sesangat kat Bakso ini.

Rindu sangat nak 'merasai' lagi.

Pertama kali saya kenal Bakso masa bekerja di Politeknik Kota Kinabalu dari tahun 1999 hingga 2003. Walaupun banyak kedai makan yang menawarkan menu Bakso, tetapi yang paling kena dengan lidah dan selera saya adalah salah satu gerai di Teluk Lipat@Likas. Berhampiran dengan Masjid Bandaraya(dengar cerita dah ada nama baru).

Sedihnya kali terakhir saya ke Sabah sekitar 2008 kalau tidak silap, gerai tersebut telah tiada. Entah pasal apa. Kawan-kawan lama di sana pun tidak pasti. Hajat saya untuk 'pekena' Bakso tersebut tidaklah kesampaian.

Walau bagaimanapun, 'kerinduan' pada Bakso tersebut sedikit terubat walaupun tidak sepenuhnya. Dapatlah juga merasa Bakso di Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu walaupun tidak setanding dengan Bakso di Teluk Lipat@Likas yang disebutkan di atas tadi.

Sesiapa yang mengetahui kedai-kedai makan yang menjual Bakso sekitar Perlis, Kedah dan Taiping, Perak, sudilah kiranya memaklumkan kepada saya melalui email ajaknordin@yahoo.com atau tinggalkan pesanan di ruang komen blog saya ini. 

Saya berbesar hati ingin mencubanya.   

Razak Nordin berpesan ; Jika ada, terima kasih kepada sesiapa yang sudi 'memaklumkan' kepada saya.

Saturday, October 2, 2010

Sekali Lagi Melanggar Pantang







Jangan terkejut pula.

Pelanggaran pantang ini insyaallah tidak menyebabkan saya bersalah dan berdosa dengan sesiapa pun. Saya mungkin hanya "berdosa" dengan diri sendiri. Menerima kesan sampingan yang mungkin ada. Tetapi saya berharap tiadalah kesan sampingan yang tidak diingini terjadi.

Antara lain pesanan doktor tempohari, jika ingin cepat sembuh telinga yang 'sakit' itu, jangan makan makanan yang gatal-gatal termasuk udang, sotong dan seumpamanya. Di samping beberapa perkara lain yang telah disebutkan terdahulu.

Manakan saya tidak tergoda dan terlanggar pantang apabila dihidangkan dengan udang 'semontok' dan 'seseksi' ini. Tambahan pula udang-udang ini 'terpaksa' pula menaiki kapal terbang Air Asia dari Sabah untuk sampai ke Semenanjung ini.

Makan seadanya tanda menghargai walaupun terpaksa melanggar sedikit nasihat doktor tersebut.

Mudah-mudahan semua selamat dan sejahtera.
Made In Sabah


Razak Nordin berpesan ; Tiba-tiba teringat kenangan-kenangan lalu bermula Julai 1999 hingga Disember 2003 semasa berkhidmat di Politeknik Kota Kinabalu.

Wednesday, September 29, 2010

Mencari Tautan Kasih Di Aidil Fitri 1431 H






Walaupun hari ini sudah memasuki 20 Syawwal, rasanya belum terlewat untuk dipersembahkan slideshow "Mencari Tuatan Kasih Di Aidil Fitri 1431 H lalu.

Paling tidak pun untuk tatapan dan kepuasan sendiri.


 
Razak Nordin berpesan ; Sesekali terfikir juga, berbaloikah adik-beradik yang lahir dari bapa dan ibu yang sama. Bersama hanya semasa kecil-kecil. Berpisah lama-lama ketika menginjak dewasa dan mempunyai haluan sendiri.

Tuesday, September 7, 2010

Tiga Hari Yang Hampir Setahun

Salah satu gambar terakhir bersama arwah ibu..menimang Razin, cucu terbaru ketika itu.


Razak Nordin berpesan ; Moga roh ibu sentiasa dicucuri rahmat Ilahi. Kepada adik-adik, maaf kerana mengambalikan nostalgia ini. Hakikatnya ia tidak pernah padam dari ingatan.

Saturday, August 7, 2010

Dari Arau Ke Kajang-Catatan Ringkas "Flashback"

Selasa. 3 Ogos 2010.

Alhamdulillah.
Saya selamat sampai di Kajang kira-kira jam 5 petang tadi dalam satu "kembara solo" dari Arau, Perlis. Bertolak dari Arau kira-kira jam 8 pagi tadi.

Semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT. Pemanduan agak lancar dan menyelesakan sepanjang perjalanan. Tiada kesesakan yang berlaku sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan hinggalah ke Lebuh Raya Elite. Sehinggalah "berpusing" semula melalui susur keluar  tol Bangi/UKM/Dengkil. Dan seterusnya ke hotel penginapan di Kajang. 

Tiada yang peliknya apabila sesekali memandu sendirian. Dalam keadaan kesihatan yang sedikit tidak menentu, kadangkala memandu sendirian terasa lebih selesa dan mendamaikan juga. Sistem perkumuhan yang kurang stabil barangkali sebab utama saya berpendapat begitu. Mudah untuk saya berhenti di mana-mana lokasi yang munasabah untuk memenuhi sebarang hajat tanpa menyusahkan sesiapa. Kerana kadangkala "hajat" itu datang tiba-tiba dan tidak menentu.

Hari Lebuh Raya "Tanpa" R&R
Kebetulan pula banyak kawasan R&R yang ditutup pada hari ini. Mengikut kain-kain rentang yang tergantung di sekitar R&R berkaitan dan yang sempat dibaca, ada R&R terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan pencucian.  Elokah juga, sesekali dibuat "major servis".

Sungguh pun begitu, sempat jugalah saya singgah di beberapa tempat untuk menunaikan "hak" masing-masing.

Pertama.
Singgah sekejap di kawasan tol Jitra untuk menambah nilai kad TnG sambil melelapkan mata barang seketika. Walaupun sekejap, dapatlah juga melepaskan rasa mengantuk yang datang tiba-tiba itu.

Antara perkara perlu ketika memandu di lebuh raya dan di mana-mana sahaja. Elakkan memandu ketika mata mengantuk. Berhenti seketika untuk melelapkan mata seketika kemudian teruskanlah pemanduan dengan selamat, insyaallah.

Kedua.
Hajat hati ingin "pekena" Bihun Sup Ayam Abu Hasan Din di R&R Gunung Semanggol tidak kesampaian kerana R&Rnya ditutup bagi kerja-kerja pembersihan dan pencucian. Tetapi menariknya saya terjumpa notis di bawah pada dinding tandas(tempat dirahsiakan tetapi bukan pada dinding tandas R&R) yang saya masuki untuk menunaikan hajat kecil. Notis yang pada saya penuh "hikmah" dan sinis kerana "kealpaan" pengguna-pengguna sebelum ini barangkali. "Pukul anak sindir menantu", dalam bahasa perpatahnya.

Ketiga.
Singgah di R&R Sungai Perak untuk makan tengahari. Sempatlah "pekena" ikan keli sambal. Cuma rasanya mungkin boleh "ditambah nilai" lagi supaya setanding dengan harganya.

Keempat.
Singgah sekejap di Agro Bazaar Ulu Bernam. Sempatlah pusing-pusing seketika sambil-sambil dapatkan air mineral bekalan sepanjang perjalanan.

Hajat hati ingin menderma kepada Pusat Tahfiz Quran yang kebetulan ada membuka(mungkin wakil) "gerai produk" di situ tidak juga kesampaian apabila tiba-tiba penjaganya mengeluarkan rokok lalu menghisapnya ketika saya "hampir-hampir" membuka pintu kereta untuk ke gerai berkenaan.



Kelima.
Singgah di R&R Sungai Buloh dengan dua hajat pada asalnya. Makan sate dan solat jamak. Sudahnya, hanya solat yang tertunai kerana kekangan masa untuk "mengejar" kemungkinan kesesakan di Kuala Lumpur. 

Alhamdulillah.
Sekitar jam 5 petang. Selamat sampai di hotel penginapan di Kajang.

Dan Kajang Yang "Tidak Pernah Berubah"

Mungkin sesiapa yang pernah menjadi warganya akan memahami maksud saya.

Pertengahan tahun 1996.
Saya tinggalkan Bangi dan Kajang dengan pelbagai cerita hidup. Ada yang suka dan banyak juga yang dukanya. Semuanya bercantum dalam satu, menjadi rencah cerita hidup. Tersimpan dalam memori dan kenangan tetapi terlalu banyak, sulit dan payah untuk "dimuntahkan" dalam bait-bait ayat untuk menjadi suatu "cerita".

Untuk rakan-rakan seperjuangan  yang pernah menjadi warga Bangi dan Kajang dan tidak berkesempatan untuk mengunjungi semula.

Mungkin gambar-gambar di bawah boleh mengembalikan sebahagian kecil kenangan silam anda.
 

Gambar diambil dari tingkat tiga hotel menggunakan kamera telefon yang tidak berapa canggih.

Razak Nordin berpesan ;

Wednesday, June 23, 2010

Tiga Hari Tiga Cerita

Isnin.
21 Jun 2010. 
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin menerima kehadiran warga barunya. Pendaftaran para pelajar baru berlangsung dengan jayanya di kafeteria kamsis PTSS. Khabarnya angkanya melebihi angka seribu orang.

Kereta-kereta yang "diparking" di padang bola. Kereta banyak, orangnya juga tentu ramai juga.

Kebetulan pula hujan turun mencurah-curah tanpa dijangka. Mungkin menjadikan padang tersebut becak sedikit dengan jumlah kereta yang banyak itu. 
Gambar-gambar yang diambil dari blok pejabat Jabatan Pengajian Am sekitar jam 12.35 tengahari.
Selasa
22 Jun 2010.
Hujan lebat melanda bumi Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. Gambar-gambar di bawah juga diambil dari pejabat JPA sekitar pukul 12 tengahari lebih sedikit.
Rabu
23 Jun 2010.
Berlangsungnya Majlis Pelancaran Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) ) Peringkat Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Majlis berlangsung di Dewan Harum Manis pada jam 9.15 pada dan berakhir sekitar jam 10.00 pagi.  

Majlis pelancaran oleh Tuan Pengarah PTSS Tuan Hj Md Noor bin Baharom
Logo pertama 5S PTSS yang juga telah dilancarkan oleh Tuan Pengarah PTSS.

Razak Nordin berpesan ; Ada peristiwa terakam dalam tulisan dan kata-kata. Ada peristiwa hanya terakam dalam memori dan kenangan semata. "Dibawa" sepanjang  hidup.

Monday, May 10, 2010

Hari Ibu Tanpamu Ibu

Ibu....
Semuanya tinggal memori dan menjadi kenangan terindah buat diriku yang sentiasa merinduimu.
Bersama Arwah Ibu selepas majlis pertunangan saya tahun 2004. Ibu paling kiri.

Dan gambar-gambar hari raya terakhir bersama arwah ibu di Pondok Pinang Merah, Paka, Dungun Terengganu tahun 2008. Meniti hari-hari terakhir perjalanan hidupnya yang pelbagai rencah itu.

Di pondok "usang" tempat ibu menumpang "teduh"
Bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucu yang semuanya ditakdirkan tinggal berjauhan.

Dan bersama hening dan bening pagi 1 Syawal tahun lepas, ibu pergi buat selama-lamanya. Yang tinggal hanyalah memori dan kenangan terindah selamanya...


Artis ” Aeman “
Ibu Bergenang Air Mataku
Terbayang Wajahmu Yang Redup Sayu
Kudusnya Kasih Yang Engkau Hamparkan
Bagaikan Laut Yang Tak Bertepian

Biarpun Kepahitan Telah Engkau Rasakan
Tak Pula Kau Merasa Jemu
Mengasuh dan Mendidik Kami Semua Anakmu
Dari Kecil Hingga Dewasa

Hidupmu Kau Korbankan
Biarpun Dirimu Yang Telah Terkorban
Tak Dapat Kubalasi Akan Semua Ini
Semoga Tuhan Memberkati Kehidupanmu Ibu

Ibu Kau Ampunilah Dosaku
Andainya Pernah Menghiris Hatimu
Restumu Yang Amatlah aku Harapkan
Kerana Disitu Letak Syurgaku

Tabahnya Melayani Kenakalan Anakmu
Mengajarku Erti Kesabaran
Kau Bagai Pelita Di Kala aku Kegelapan
Menyuluh Jalan Kehidupan

Kasihanilah Tuhan Ibu Yang Telah Melahirkan Diriku
Bagaikan Kasih Ibu Sewaktu Kecilku
Moga Bahgia Ibu Di Dunia dan Di Akhirat Sana
Kasih Sayangmu Sungguh Bernilai
Itulah Harta Yang Engkau Berikan

Ibu
Dengarlah Rintih Hatiku Untukmu Ibu

Untuk Mu Ibu

Oh! Ibu
Kau disiram bayu pagi
Kehilangan terasa kini
Dan kesepian

Dan aku
Bagai purnama gerhana
Di ibarat lautan kering
Tiada tempat ku layarkan

Hasratku ini
Masih belum sempat
Kubuktikannya kepadamu
Ibu tersayang
Kucurahkan rasa hati

Ku tatapi potret mu berulang kali
Kurenungkan kalimah yang diberi

( 1 )
Tuhan Yang Esa
Ampuni dosa ibu
Tempatkan mereka
Di antara kekasih kekasihMu

( 2 )
Oh! Ibu
Kau kasih sejati
Kutaburkan doa
Untukmu ibu

( 3 )
Ampunilah dosaku
Sejak ku dilahirkan
Hingga akhir hayatmu
Saat ini
Kuteruskan hidup
Tanpa bersamamu ibu
( ulang 1, 2, 3 )

Ibu...

Razak Nordin berpesan ; Memori dan kenangan terindah pernah menjadi milik hati ini.

Wednesday, March 31, 2010

SHAMS : Aku Pernah Menjadi Wargamu 1985-1991.

Dalam perjalanan pulang dari bercuti di kampung halaman tempohari, saya sempat singgah sebentar di hadapan sekolah lama saya untuk mengabadikan beberapa foto sebagai tanda kenangan dan ikatan yang berkekalan.

SHAMS(MATAHARI).
SHAMS adalah nama singkatan kepada Sek. Men. Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu. Letaknya di Jalan Budiman Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu. Berhadapan dengan Sek. Ren. Keb. Seri Budiman(kalau masih menggunakan nama lamanya).

Ternyata SHAMS sudah banyak yang berubah. Dulunya kebanyakan tanahnya tandus dan gersang. Tetapi sekarang ini wajah fizikalnya sudah banyak yang berubah. Moga-moga "roh-roh" lamanya terus segar.

Saya dan rakan-rakan seangkatan merupakan generasi kedua sekolah tersebut yang sebenarnya baru memasuki tahun kedua kewujudannya semasa saya mula-mula menjadi warganya. Pada mulanya kami hanya menumpang di Sekolah Menengah Seri Budiman. Kelamaan menyebabkan saya sudah lupa nama asalnya tetapi lebih "glamour" dengan nama "sekolah Bunut". Kemudian kami berpindah ke SHAMS secara tetap setelah bangunannya sudah sedia untuk digunakan. Cumanya saya masih "ingat-ingat lupa" sama ada nama SHAMS digunakan sejak dari mula-mula penubuhannya atau digunakan setelah dibuat penukaran namanya. Tetapi yang pasti dikenang dan masih kekal diingatan kini hanyalah SHAMS.

Saya kira tidaklah susah sangat menjaga dan mendidik kami pada waktu itu. Mungkin atas dua sebab sekurang-kurangnya.

Pertama : Kami generasi kedua yang masih tiada "idola" yang besar-besar lagi untuk dijadikan contoh menyebabkan kami "sedikit mudah" untuk dibentuk.

Keduanya : Mungkin kerana jumlah kami tidaklah ramai sangat ketika itu. Lebih mudah untuk mengawalnya.

Sekurang-kurangnya pula ada empat "budaya" yang cuba diterapkan oleh pihak pengurusan sekolah untuk kami pada masa itu.

Pertama   :  Setiap pagi dipasangkan kaset-kaset yang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al Quran.

Kedua     : Setiap pagi sebelum kelas kami diberikan pengisian rohani berbentuk tazkirah oleh ustaz-ustaz kami.

Ketiga      : Diperdengarkan juga bacaan ayat-ayat suci al Quran berserta dengan terjemahannya sekali setiap pagi.

Keempat  : Kewajipan menunaikan solat zohor secara berjemaah untuk semua warganya sama ada yang tinggal di rumah atau pun yang tinggal di asrama.
 
Lama juga saya di sini untuk menghabiskan zaman persekolahan menengah saya. Bermula dari tahun 1985 hinggalah tahun 1991. Kira-kira 7 tahun lamanya. Bermula dengan kelompok besar sehingga tinggallah kami "beberapa kerat" untuk menyambung pembelajaran di tingkatan enam. Dulu-dulu pernah juga rasa"terhina" jika dibandingkan dengan rakan-rakan yang berjaya memasuki matrikulasi UIA dan juga Kusza pada masa itu. Rasa terhina yang tidak patut ada pun sebenarnya.

Dan ada antara kami yang mendapat 9 agregat tetapi memilih untuk menyambung pembelajaran ke tingkatan 6. Saya masih ingat lagi sebabnya. Hanya UITM Shah Alam hajat hatinya tetapi tidak tertunai pada ketika itu atas sebab-sebab yang saya sendiri pun tidak pasti. Dan mungkin dialah antara "penawar duka" kami pada masa itu barangkalinya. Itu tidak termasuk yang mendapat 10,11 agregatnya. Dan saya pula tidak buruk benar agregatnya. 14 agregat. Untuk anak kampung serba kekurangan dari segi "fizikalnya" tetapi tidak dari segi rohani dan semangat juang, tambahan pula baru mengenal daerah kebandaran, saya kira ada patutnya saya berbangga dengan apa yang saya perolehi pada masa itu. Membesar bersama nasi berlaukkan ikan singgang dicicah dengan budu hampak berperahkan limau nipis, mengapa saya harus merasa terhina dengan pencapaian "sehebat" itu? Titik. 

Saya orang "pertengahan". Tidak banyak yang saya sumbangkan demi menaikkan nama SHAMS. Dan tentunya SHAMS pula tidak pernah menyimpan nama saya dalam memorialnya. Tetapi hati saya tidak pernah melupakan SHAMS yang pernah saya menongkah hidup di dalamnya. Belajar merangkak, bertatih dan berjalan yang perlahan-lahan itu sehinggalah saya menjadi seperti hari ini. Kira jadi oranglah juga kata orang sekarang.

Saya datang ke bumi SHAMS dengan segala kepayahan yang ada. Seperti yang saya katakan, saya adalah anak kampung yang baru mengenal daerah kebandaran. Bukan mudah untuk saya berubah dan cuba menyesuaikan diri dengan banyak cara yang berbeza. Segalanya terasa canggung dan yang banyaknya adalah ketidakselesaan. Saya kira pada masa itu semuanya banyak bertolak dari perasaan rendah diri sebagai anak kampung yang serba di "bawah". "Pitis" yang tidak pernah cukup. Bayaran yuran asrama yang sentiasa tertunggak.   Dan terlalu banyak "kisah hidup" yang tidak akan saya ceritakan di sini. Biarlah ia abadi dalam diari sendiri, untuk saya ceritakan pada anak-anak saya apabila mereka mula mengerti nanti. Bahawa inilah antara liku-liku perjalanan hidup yang pernah Abi mereka lalui. Mudah-mudahan mereka akan lebih mengerti. Titik sekali lagi.

Buat guru-guru yang pernah mengajar, mendidik, memberikan tunjuk ajar, membimbing dan semuanya lagi. Terima kasih banyak-banyak atas jasa-jasa kalian. Yang manis-manis dan yang pahit-kelat juga. Tahulah bagaimana Allah s.w.t. untuk membalasnya. Dan saya tidak bercadang untuk menyebut nama-nama guru-guru yang pernah menaburkan jasa-jasa mereka kepada saya selama menjadi warga SHAMS. Kerana semua mereka sentiasa di hati.

Dan saya tumpang berbangga kerana namamu SHAMS acapkali juga memasuki surat-surat khabar atas kejayaan-kejayaan yang telah dilakarkan oleh warga-wargamu kalaupun bukan saya.

Buat teman-teman yang pernah dan masih mengenali saya dan terbaca blog ini, sudi-sudilah berkongsi kisah-kisah lama jika masih ada yang ingat. Harapnya adalah kebaikannya walaupun sedikit cuma.
Razak Nordin berpesan ; SHAMS. Saya amat berbangga kerana pernah menjadi wargamu suatu ketika dulu.

Wednesday, March 24, 2010

Surau Tua Ini Surau Kita

Ini surau di hadapan rumah saya di Kampung Bukit Kulim 21600 Marang, Terengganu.

Saya ingat-ingat lupa bilakah tarikh rasmi ia dibina. Yang masih diingati,ketika itu saya masih kecil tetapi kecil yang sudah boleh mengingati banyak perkara, termasuk kisah surau tua ini. Seingat saya usianya sudah melangkau lebih 30 tahun tetapi surau ini masih setia berbakti untuk sesiapa yang masih sudi untuk sujud di atas sejadah di lantainya.

Surau tua ini dibina secara bergotong royong dalam semangat hidup berkampung. Berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang berat menjadi ringan, yang susah menjadi mudah. Berganding bahu menggunakan tulang empat kerat untuk membangunkan surau ini. Tapaknya adalah tanah wakaf milik penduduk setempat. Dananya dari lelahnya petani di sawah, juga dari susu yang mengalir lesu dari batang pokok getah tua di perbukitan, terbina dari semangat waja orang-orang kampung yang tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. "Berjuang" bukan kerana nama dan sanjungan manusia. Tiada sponsor, tiada tajaan, tiada sumbangan. Tiada pujian dan sanjungan melampau. Semuanya dari poket sendiri-sendiri yang tidak pernah penuh itu.

Sesungguhnya.
Saya penuh yakin bahawa selagi ada matahari yang bersinar dan bulan yang bercahaya, surau ini akan terus berbakti. Ia tidak pernah dan tidak akan pernah tewas. Selama-lamanya. Yang tewas hanyalah manusia yang mendatanginya. Adakalanya bermasam muka atas kekhilafan tetapi yang menjadi mangsanya adalah surau dan masjidnya. Di banyak tempat ia sering berlaku. Pengalaman masa lampau banyak "memaklumkan" kepada saya tentang apa yang saya maksudkan di atas. Dan saya pernah merasai "derita" itu. Tersiksa jiwa dan raga sebagai imam muda surau kecil dan tua itu dengan karenah "pengunjung" yang pelbagai. Surau ini selalu dihati dan jiwa saya selagi saya melata di bumi Tuhan ini.

Kesempatan berkunjung dikala bercuti di kampung halaman baru-baru ini menyentuh rasa yang bukan sedikit.

Seronoknya hati melihat orang-orang lama yang masih "memerah kudrat" memakmurkan surau tua itu walaupun jumlahnya tidaklah ramai mana. Cik, Abang Mad, Pok Adam, Pok We, Pok Loh, Pok Soh, Mat Robi dan lain-lain. Mereka setia dulu, kini dan mungkin selagi hayat dikandung badan. Mudah-mudahan begitulah.

Melihat anak-anak remaja penyambung warisan yang begitu ramai juga bersolat jemaah dan juga mengaji al Quran melebihi jumlah orang-orang tua yang ada, membuatkan hati saya benar-benar tersentuh, terharu gembira dan rasa "ingin" yang amat sangat. Ramai antara mereka saya tidak kenal namanya pun. Mungkin kerana saya ditakdirkan tidak membesar di kampung halaman sendiri semenjak di tingkatan satu lagi. Atau masa terlalu cepat "membawa" mereka menjadi remaja. Terasa rindu benar untuk kembali berbakti di surau kecil dan tua itu. Setidak-tidaknya boleh juga menjadi pembimbing kepada remaja-remaja tersebut yang tentunya perlukan bimbingan itu. Seterusnya untuk "merasai" kembali masa-masa indah silam yang pernah ditinggalkan itu. Bersama orang-orang kampung adakalanya lebih mudah berbanding bersama cendiakawan-cendiakawan yang hebat-hebat. Mereka adakalanya lebih mudah dibawa berbincang, lebih mudah menerima pandangan serta lebih mudah dalam banyak hal walaupun karenah manusia akan tetap ada di mana-mana. Bezanya mungkin sedikit dan banyak. Senang dan payahnya sahaja.

Terlalu banyak nostalgia.
Di Surau inilah saya belajar dan mengerti banyak perkara tentang hidup ini.

Di sini ;
Di sinilah saya belajar mengenal Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w.
Di sinilah saya belajar mengenal agama.
Di sinilah saya belajar mengenal al Quran.
Di sinilah saya belajar hidup bermasyarakat.
Di sinilah saya belajar menjadi pemimpin kecil kepada masyarakat besar. 
Di sinilah saya belajar menjadi bilal dan imam muda.
Di sinilah saya belajar solat berjemaah.
Di sinilah saya belajar erti saling menghargai.
Di sinilah saya belajar bersetuju untuk tidak bersetuju.
Di sinilah saya belajar tentang payahnya memimpin manusia yang pelbagai karenah dan pandangan hidup.
Dan sinilah saya belajar banyak perkara sama ada tersurat dan tersirat. Yang boleh dikongsi dan yang tidak boleh dikongsikan.

Saya "mengambil alih" menghidupkan surau ini selepas tamat pengajian di UKM sekitar tahun 1996 hingga bulan Julai tahun 1999 apabila mula berkhidmat secara rasmi dengan kerajaan Malaysia. Sebelum itu bapa saya yang menjadi imam di situ dan dia ditakdirkan sakit panjang selama lebih 10 tahun lamanya. Lama surau ini mengalami masa suramnya. Sekali terang, sesekali suram dan sesekali pula gelap gulita.

Bukan mudah rupanya menghidupkannya kembali walaupun ianya hanyalah sebuah surau kecil. Anak muda yang masih mentah dengan pengalaman dan ilmu, belum berkahwin dan tentunya belum mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Saya pernah katakan pada mereka yang masih setia. Biarlah kita bangun dan jatuh bersama. Kalau rebah, kita rebah bersama. Namun untuk kita tinggalkan surau ini saya tidak akan "membenarkannya" sama sekali. Surau ini adalah maruah kita. Surau ini adalah harga diri kita. Kita bina bersama dengan betapa banyaknya keringat dan airmata yang pernah mengalir untuk ia menjadi seperti hari ini. Kita pejuang bermaruah. Demi agama bukan yang lain. Titik.

Biarlah saya pendamkan segala pengalaman pahit maung dan saya hanya sudi berkongsi pengalaman yang manis-manis sahaja. Saya tidak bercadang untuk meluahkan segalanya di sini.

Ketika itu.
Sayalah Imamnya.
Walaupun arwah emak amat tidak bersetuju saya menjadi Imam ketika itu kerana bimbang tentang salah betulnya bacaan al Quran saya. Tapi saya katakan pada emak baik-baik. Kalau bukan saya siapakah lagi yang akan memimpin jemaah ini. Betul. Saya bukan gading tetapi hanya tanduk muda. Tetapi tanduk berguna juga ketika gading bertuah tiada bersama. Saya bukan rotan, cuma akar muda tetapi akar berguna juga jika tiada rotan dalam simpanan.  Ingin mencari semuanya seperti Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat nabi, mereka semua telah tiada. Dalam keberatan itu, arwah ibu menerima juga alasan saya. Dan dengan kudrat yang ada saya berusaha memimpin jemaah itu sebaiknya. Dan sejak itu hati saya sentiasa resah. Antara kebimbangan arwah ibu dan tuntutan fadhu kifayah mesti saya laksanakan. Dan sehingga ibu pergi menemui Ilahi kira-kira 6 bulan yang lalu. Kerelaan dan kebenaran itu tidak pernah diberikan dan saya pula tidak sempat meminta keizinan baru.

Dan sayalah bilalnya dalam kebanyakan masa yang ada.
Saya azan dan kemudian sayalah menjadi imam solatnya. Dengan penuh keberatan tetapi penuh azam saya memimpin jemaah yang ada secara merangkak, bertatih, berjalan dan jarang-jarang sekali mampu berlari. Saya tidak rela surau kecil ini yang dibina dengan segala kepayahan dan kesusahan orang-orang terdahulu dibiarkan usang tidak berpenghuni. Saya akan pastikan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha di tunaikan di sini semasa saya berada di kampung. Biarlah yang berkereta, yang mempunyai motor dan kenderaan sendiri mencari masjid yang lebih selesa, nyaman dan mendamaikan.

Dan biarlah kami, yang capet dan datang berpimpin, yang buta dan datang bertongkat, yang uzur dan datang merangkak, ibu-ibu bersama anak-anak, nenek-nenek bersama cucu-cucu serta anak-anak terus setia di surau ini. Biar pun adakalanya hati kecil ini sering juga terluka tetapi cepat-cepat dihiburkan dengan muka-muka ceria yang masih sudi dan setia di surau ini.

Kerana.
Surau ini adalah surau kita.
Maruah kita.
Harga diri kita.
Maruah agama kita.
Dan semua orang pun mahu ke syurga juga. Bukan kita seorang sahaja.

Razak Nordin berpesan ; Sesungguhnya pada segala kejadian terdapat tanda-tanda untuk orang-orang yang berakal.

Sunday, March 14, 2010

Kampungku ; Nostalgia Di Sebalik Banyak Yang Sudah Berubah

Sesekali pulang ke kampung halaman.

Petang tadi.

Saya bersama isteri dan anak-anak mengambil kesempatan "pusing-pusing" sekitar tempat-tempat di mana saya membesar, yang dahulunya sawah padi dan sungai yang airnya mengalir agak deras. Tempat saya mengenal hidup ber"teman"kan lumpur, tanah liat, selut, lintah, pacat, unggas dan pelbagai macam lagi.

Hati bagaikan hiba tersentuh kenangan lalu. Dan ternyata semuanya sudah banyak yang berubah.

 Menyelusuri, mengembalikan nostalgia lama anak kampung. Memang saya asal dari kampung.
Saya merenung masa lampau bersama kenangan-kenangan yang tidak mungkin kembali lagi.

Sawah padi yang berubah wajah bergantikan kelapa sawit.
Di sinilah, saya membesar bersama hanyirnya selut.
Di sini juga betapa banyak darah saya tertumpah di "baham" lintah dan pacat. 
Di sini, saya belajar "cedong"(menanam padi) bersama arwah ibu.
Di sini, juga saya pernah "mukul padi" (membanting padi) demi kelangsungan hidup, demi sesuap nasi dan seteguk air.
Di sini, saya belajar erti kemiskinan, susah senang menjalani hidup sebagai anak tani yang serba kekurangan.
Di sini, saya belajar erti ketabahan arwah ibu di sebalik tubuh kecilnya.
Di sini, saya belajar memahami karenah hidup sebagai anak kampung yang adakalanya penuh perit dan jerih. 

Bersyukurlah.
Masih ada yang sudi berbudi pada tanah ketika orang-orang lain berlumba-lumba membina pencakar langit. Secara tidak sengaja saya berjumpa Mat Zali yang mengusahakan tanaman tembikai. Salah seorang anak muda yang masih sudi berbudi pada tanah. Terharu juga berjumpa anak muda ini. Kawan lama yang dipisahkan oleh haluan hidup yang berbeza. Jarak umur tidak pernah membataskan "lepak-lepak" di zaman muda-muda dahulu.
Daun nyiur yang masih sudi melambai-melambai bagaikan memanggil segala kenangan lama agar datang kembali. Tempat kami bermain layang-layang buatan sendiri. Berpanas, berpeluh tapi kami seronok dengan dunia kanak-kanak kami.
Jambatan batu yang sudah hilang ditelan zaman. Tempat kami menahan "tuo"(sejenis perangkap udang atau ikan)
 Semuanya sudah tohor dan mengalir lesu. Tempat kami menangkap udang dan ikan pada musim kemarau.
Pokok nyiur manisnya. Semuanya manis pada sebiji kepala. Satu-satunya yang ada dulu dan kini sudah mula mempunyai generasi kedua.
Pokok manggis yang entah berapa usianya. Tempat kami menjadi "monyet". Memanjat melalui dahan-dahan yang berjuntai.
Pokok duku yang banyak berjasa. Terus hidup untuk menabur budi. Salah satu sumber kewangan keluarga kami.
Sungai tempat kami mandi-manda. Tidak seperti dulu lagi. Tiada lagi pokok jambu air tempat kami mencari  makan apabila lapar. 
Saya pulang sore itu dengan pelbagai rasa yang tidak mampu dituliskan dalam bentuk perkataan dan diungkapkan melalui kata-kata. Kedamaian lama yang masih membekas di hati.

Razak Nordin berpesan ; Memang asal saya dari kampung. Kampung Bukit Kulim 21600 Marang, Terengganu.