Wednesday, November 11, 2009

"Umpan" Dan "Ugutan"-Wajarkah

Sekadar perbandingan kecil ; Barangkali untuk melihat kepentingan "umpan" dalam aspek yang pelbagai.

Dalam perlawanan takraw antara regu "semestinya" "killer" perlukan "umpan" yang baik untuk "membunuh" bola itu. Rejaman yang baik tentunya memerlukan "umpan" yang baik juga.Walaupun ada kalanya "sangkut" juga.

Memancing ; Pemancing tentunya perlukan umpan yang terbaik untuk "menarik" ikan-ikan, udang-udang atau apa sahaja yang dipancing yang terbaik juga. Walaupun adakalanya "kecewa" juga.

Memancing hati wanita ; "Umpan"nya pun mesti "baek" punyer. Bahasa orang muda-muda sekarang. Walaupun adakalanya "kantoi" juga.

Apa umpannya, terpulanglah kepada "keselesaan" dan "kemampuan" masing-masing. Terimalah hakikat bahawa belum tentu "umpan" terbaik menghasilkan "hasil" yang terbaik juga.

UMPAN DAN UGUTAN
Antara wajar atau tidak. Saya memilih untuk mencuba teknik "umpan" dan "ugut" dalam "menyelesaikan" beberapa "karenah" kecil anak-anak semasa ketiadaan Uminya. "Kecil" tetapi agak "melemaskan" juga. Pertama kali mencuba. Dan Alhamdulillah untuk kali ini."Berjayalah kiranya".

Tetapi "kerisauan" kecil tetap bersarang di hati seorang "Abi separuh tua" seperti aku. Bukan soal mampu atau tidak. Untuk sekadar "gula-gula getah" dan "ring-ring" rasanya masih mampu.

Saya memasang strategi. Kalau masih "berdegil" juga, segala "keduniaan" yang telah dibeli itu  akan ditarik balik serta merta. Dan esok tiada lagi "gula-gula getah" dan "ring-ring". Dengan riak muka yang agak kecewa dan sedikit "pemberontakan" kecil, akhirnya Along akur. Dan sebenarnya jauh disudut hati, saya "kurang selesa" dengan cara ini. "Umpan Dan Ugut". Membantutkan pemikiran "segar' manusia.

UNDILAH SAYA UNTUK GULA-GULA GETAH DAN RING-RING ATAU TUNGGULAH APA AKAN JADI JIKA SAYA KALAH.  

 Wajarkah saya berkata begitu kepada "pengundi-pengundi saya". Kerana saya bukan Tuhan pemberi rezeki. Saya pun "menumpang" rezeki milik Tuhan Yang Maha Esa.

"Kebimbangan" saya sekurang-kurangnya atas dua sebab ;

Pertama   ; "Nilai" dan "khasiat" makanan yang "diminta" oleh anak-anak yang sedang membesar dari sudut kesihatan jangka panjang. Walaupun sikit-sikit. Lama-lama banyak juga.

Keduanya ; Takut "tersalah" dalam mendidik anak-anak dengan nilai "kebendaan" dan "keduniaan" sedari kecil lagi. Sedangkan "kebendaan" dan "kedunian" itu bukan matlamat. Sekadar "alat" untuk mencapai matlamat yang hakiki dan abadi. Kebimbangan utama tetapi di tulis di bilangan dua.

Saya maksudkan begini. Kerisauan saya takut "sikap-sikap tersebut" terus di bawa ke "masa depan"nya. Semuanya perlu "diumpan" dan "diugut". Orang sekarang kata "Ada wang, ada kerja". Saya tidak bermaksud untuk menafikan segala kepentingan "kebendaan" dan "keduniaan". Sesiapapun "memerlukan" dalam meneruskan kelangsungan hidup ini walaupun tidak "semestinya". Bimbangnya "Mendengar kata" hanya bila ada "habuan keduniaan" yang dijanjikan. Bimbang "Menjadi pahat dengan penukul". Semuanya tidak elok untuk "dimiliki" oleh sesiapun.

Dalam dunia moden orang selalu sebutkan begini. "Semuanya perlu disogokkan untuk mencapai matlamat". Sama ada rela dan terpaksa. Matlamat mesti dicapai.

"Cari makan Jak(nama timangan aku). Nak hidup, nak buat macam mana Jak." Suatu pernyataan bukan pertanyaan.

Antara kata-kata yang pernah masuk ke telinga saya. Dari mulut kawan-kawan saya yang telah "berjaya" kerana "cari makan" dan "nak hidup" itu.

Matlamat adakalanya mendorong manusia "menghalalkan" cara yang tidak halal. Titik.

Masih dalam ingatan. Sesekali arwah ibu pernah juga menegurkan kami erti "pengkongsian sebiji roti" untuk cucu-cucunya. "Kesulitan" membesarkan kami anak-anaknya mungkin salah satu sebab yang "menjadikan" ibu begitu. Hakikatnya ia nilai yang baik. Bukan kedekut. Mendidik sedari rebung sebelum menjadi buluh runcing boleh mencedera dan membunuh. Melatih anak-anak nilai "menghargai" sedari kecil lagi. Takut-takut "kemewahan" yang tidak "dipandu secara betul" akan merosakkan. Sama ada hari ini. Esok atau lusa. Lambat laun dia akan singgah jua jika tidak dijaga sedari awal kenal dunianya.

Saya bagaimana? Entahlah.

Realiti dunia akhir zaman semakin menakutkan saya. Untuk anak-anak saya juga.


Razak Nordin berpesan ; Ya Allah, Jika hambaMu tersilap dalam memilih kaedah mendidik anak-anak . Kau ampunkanlah hambaMu ini. Kerana aku insan lemah. Bimbinglah aku ke jalan lurus dan diredhai.

No comments: