Tuesday, November 23, 2010

Anak-Anak : Antara Garam, Gula Dan Sambal Belacan

Sekadar berkongsi cerita hidup.

Andainya ada kebaikan untuk dikongsikan.

Menjadi 'bapa fantasi' mungkin lebih mudah berbanding menjadi 'bapa realiti.'

Kalau boleh saya katakan begitu.

Sesiapa yang sudah mendirikan rumahtangga serta mempunyai anak-anak mungkin memahami maksud ayat di atas. 

Rupanya mendidik anak-anak bukanlah sesuatu yang senang dan mudah. Semuanya adalah realiti nyata bukannya fantasi dan angan-angan tanpa rasa dan merasai.  

Ketika belum mendirikan rumahtangga dan memiliki anak-anak dari zuriat sendiri, saya selalu juga menjadi 'sakit hati' dan 'geram' melihat karenah anak-anak orang lain yang tidak suka mendengar serta mengikut 'arahan' ibu dan bapa. Dan adakalanya 'sakit hati' juga melihat ibubapa yang dilihat terlalu 'memanjakan' anak-anak.

Hanya mengubah dengan hati dan lisan yang bising-bising, sedangkan kuasa tangan dibiarkan terikat entah kenapa.  Kadang-kadang hanya melihat sahaja.

Lalu seketika saya cuba 'mengambil alih'. Juga dalam fantasi. Seketika menjadi 'bapa fantasi' yang 'begitu mudah' menyelesaikan masalah tersebut. Juga menggunakan fantasi juga.

Marah.
Cubit telinga.
Penampar.
Jerkah.
Pukul.
Belasah.

Selesai masalah.
Semuanya dalam 'fantasi dan khayalan.'
'Semudah' itu tetapi malangnya semua itu hanyalah 'dunia fantasi'. 

Bukan 'dunia realiti.'

Apabila Mempunyai Anak-Anak Sendiri


Apabila mempunyai anak-anak dari zuriat sendiri, barulah saya mengerti bahawa menjadi 'bapa realiti' bukanlah semudah yang disangkakan. Kerana kita bukan 'bapa fantasi' tanpa rasa dan merasai.

Kadang-kadang ia menjadi gula manis secukupnya.

Senyum, gelak, senda gurau, hilai tawa, telatah, mimik muka dan segala macam lagi 'penemuan-penemuan' baru yang bisa menjadi penenang jiwa, menghilang resah di dada serta memberikan rasa bahagia.

Kadang-kadang ia menjadi garam tanpa gula.

Kenakalan, kedegilan, pelbagai karenah, peel dan ragam mereka, adakalanya menuntut kesabaran yang menyesakkan dada dan minda juga.

Kadang-kadang ia menjadi 'sambal belacan' secukup rasa.

Rasa 'geram, marah, tertekan dan segala macam rasa lagi'' dengan pelbagai macam karenah anak-anak bertembung dengan sulaman kasih serta sayang dan aliran darah penyambung warisan. Dan berbagai rasa yang tidak mampu diungkapkan melalui ungkapan bahasa dan kata-kata.

Rasa 'pedas, manis, masin, masam' yang sebati dan secukup rasa melengkapkan perasaan ' benci tapi rindu'.  

Apabila mulut memakannya.
Lidah pula terasa pedasnya.
Mata turut melelehkan air matanya.
Dahi dan hidung mengeluarkan peluhnya.

Antara garam, gula dan kepedasan yang saling melengkapi itu, menambah selera, penyeri hidangan. Menghilangkan rasa hambar lidah menelannya.

Pedas-pedas sambal belacan.
Pedasnya hanya seketika, hilang pedas teringinlah pula.
Kenikmatannya yang lebih utama.
Kadangkala terlupa bisa dan pantangnya juga.

Akhirnya.

Dan dalam banyak keadaan, saya hanya mampu menyimpan geram di dalam hati dengan sesekali lisan mengomel sakan, sedangkan kuasa tangan dibiarkan terikat memendam rasa.

Salahkah saya?

Kadang-kadang keliru juga!!!

Orang putih kata 'try and error'.

Moga-moga tidak tersilap pula.

Razak Nordin berpesan ; Kerana saya  bapa realiti, saya bukan bapa fantasi.

No comments: