"Salam...Mohon sumbangan dari Tabung Kebajikan Pusat Islam utk saudara kita ust. Safuan atas kebakaran rumah ptg ini...tinggal sehelai sepinggang..sempat jumpa beliau jap td"
Begitulah kurang lebih bunyi SMS dari seorang sahabat yang saya terima petang semalam. Dan 'dengan segera' saya panjangkan SMS tersebut kepada AJK-AJK 'tertinggi' untuk mendapatkan persetujuan bersama. Meringankan walaupun sedikit bebanan buat sahabat yang sedang diuji oleh Allah SWT.
Hari ini hari orang, esok-esok hari kita pula.
Mana tahu.
Inikan kehidupan dunia.
Saya turut bersimpati dengan sahabat lama ini. Atas ujian Allah yang telah ditakdirkan untuknya seisi keluarga. Walaupun beratnya hanya pada memandang, tetapi mudah-mudahan panggilan telefon saya pagi tadi dapat meringankan serba sedikit bebanan yang sedang ditanggungnya.
Walaupun hanya suara, tetapi tawa gelak ringkasnya dapat juga melegakan perasaan saya di kejauhan ini.
Begitulah kita.
Manusia yang sentiasa akan diduga dan diuji oleh Allah SWT. dengan pelbagai cara, bentuk dan keadaan.
Setelah berusaha membuat yang terbaik dalam setiap gerak kerja hidup kita, berdoa, berazam serta bertawakkal kepadaNya, apalah upaya kita untuk menidakkan apa yang telah ditakdirkan untuk kita semua.
Hamba-hambaNya.
Berusaha adalah 'hak' kita selagi upaya,tetapi ketentuan adalah milik Allah SWT. jua.
Semoga Ustaz Safuan serta keluarga dan kita semua diberikan kekuatan yang berpanjangan dalam mendepani perjalanan hidup yang pelbagai ragam ini. Dengan pelbagai ujian dan dugaan dari Allah SWT. yang adakalanya silih berganti.
Berat dan ringan.
Lama atau sekejap cuma.
Semuanya meninggalkan 'rasa', sama ada di jiwa atau fizikal jua.
Hanya kepadaMu kami mengadu dan memohon wahai TUHANKU.
Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kepada sesiapa yang mengenali atau tidak serta berhajat untuk memberikan sumbangan bolehlah menghubungi Ustaz Safuan di talian : 013-9697099.
Razak Nordin berpesan ; Ya Allah. Berikanlah kami semua kekuatan selama-lamanya. Untuk menghadapi ujian mental dan fizikal juga.
No comments:
Post a Comment