Wednesday, December 29, 2010

Kerana Kita Bukan Immortal Jellyfish


'Benda' dalam gambar di atas dikenali sebagai Immortal Jellyfish atau Jellyfish


Menurut sumber yang boleh dipercayai, Immortal bermakna abadi, dan ubur-ubur ini dikatakan memang seperti namanya, tidak boleh mati. Ia lahir dan membesar seperti biasa. Namun hidupnya dikatakan tiada pengakhiran. Ia akan kembali ke bentuk polyp atau bayi ubur-ubur dan hidupnya akan bermula semula dari awal!

Kerana Kita Bukan Immortal Jellyfish

Tetapi kita adalah manusia.
Hayawanun Natiq yang boleh berfikir dan bertutur.
Makhluk Mukallaf yang dipertanggungjawabkan atau dibebankan ke atasnya segala amanah dan tanggungjawab.

Amanah dan tanggungjawab yang mesti dipertanggungjawabkan setelah manusia diberi pilihan untuk memilih antara dua jalan. Iaitu jalan kebaikan atau jalan kejahatan.

Kita adalah hamba dan khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab kepada Allah, bertanggungjawab sesama manusia dan juga alam.

Manusia yang ada kesudahan dan pengakhiran.

Ada tempat kembali yang kekal lagi abadi.

Waimma Syurga, Alhamdulillah.
Atau.
Neraka, Nauzubillah, minta dijauhkan.

Maka sepatutnyalah kita menjadi apa yang sepatutnya kita jadi.

Menjadi hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi yang tahu bahawa manusia akan ada kesudahan dan hari pembalasan.

Bukan seperti Jellyfish yang tiada pengakhiran.

Sepatutnya manusia yang faham dan reti.

Tidak berbangga dan riak dengan sedikit kelebihan diri kerana sebenarnya masih banyak kelemahan yang mungkin terselindung.

Siapa pun kita.

Sama ada kita orang besar atau orang kecil, kelebihan yang sedikit dan kekurangan yang bertimbun sentiasa seiring bersama. Lebihnya mungkin satu, dua atau tiga tetapi kekurangan tidak terhitung oleh jari-jemari kaki dan tangan.

Kalau pun  kita pakar dan dikenali ramai dengan kebolehan yang ada, tetapi mungkin hanya dalam beberapa bidang bukan semua bidang hidup yang tidak terhitung itu.

Sebagai bandingan.

Belum tentu seorang panglima perang yang gagah perkasa mampu mendodoikan anak-anak kecil dengan sabar dan tanpa terbakar hatinya.

Belum tentu seorang pakar sakit puan mampu membuat kek strawberi yang sedap lagi enak untuk 'puan'nya di rumah.

Belum tentu seorang tukang masak yang hebat mampu menggubah hantaran perkahwinan yang cantik lagi menarik.

Belum tentu seorang pemidato yang hebat mampu menyediakan kek lapis yang enak dan lazat.

Belum tentu seorang  pengarang yang hebat mampu menyediakan teh tarik yang secukup rasa lidah merasai dan tekak menelannya.

Dan pelbagai belum tentu lagi.

Jika susah sangat untuk memahami, lihatlah diri sendiri.

Jika perlu, senaraikan apa sahaja yang berlaku di sepanjang perjalanan hidup yang telah dan sedang dilalui, perkara-perkara yang kita memerlukan orang lain untuk membantu. Kecil atau besar. Sedikit atau banyak.

Berapa banyak kita memerlukan bantuan orang lain, bermakna sebanyak itulah juga kekurangan yang sedang kita miliki.

Cumanya.

Mungkin kebanyakan manusia sedang terlupa.

Razak Nordin berpesan : Berpesanlah pada diri sebelum berpesan kepada orang lain. 

No comments: