Saturday, January 8, 2011

Kembar Tak Jadi Takperlah







Kandungan anak ketiga kami kali ini dibayangi satu dua 'kontroversi'.

Di awal kandungan sekitar bulan ke 3 atau 4 dikatakan bahawa kandungan tersebut adalah kembar. Namun 'semakan semula' doktor mengesahkan bahawa kandungan tersebut bukanlah kembar tetapi berlaku kesilapan 'teknikal' pada pemeriksaan kali pertama.

Dan sebagai manusia bertaraf hambaNya, kami menerima segala ketentuannya. Tidak kiralah sama ada kandungan tersebut kembar atau tidak, apa yang penting bagi kami adalah semuanya baik-baik belaka. Ibu yang mengandung dan juga anak yang sedang dikandung. Dari segala seginya. Jasmani dan rohani juga.

Dan pada hari Rabu yang baru lalu, kontroversi serupa berulang lagi. Pemeriksaan 'tidak rasmi' di sebuah klinik swasta 'mengesahkan' bahawa kandungan isteri saya adalah kembar. Dan ketika kandungan sudah memasuki minggu ke 35, 'pengesahan' itu menyebabkan isteri saya tidak lena tidur malam dan saya pula 'sejuk kaki tangan' dalam dua tiga hari ini.  Antara teruja dan gelisah jiwa hanya Tuhan yang tahu.

Antara teruja dan gelisah jiwa itu, seawal pagi tadi kami 'bergegas' ke salah sebuah pusat pemeriksaan pakar di Alor Setar untuk mendapatkan pengesahan. Dari orang yang lebih pakar dalam bidangnya. Mudah-mudahan teka-teki yang sedang membelenggu jiwa tersebut bakal terjawab. Agar bebanan jiwa tersebut menjadi ringan sedikit selepas itu.

Perjalanan dari Ulu Pauh ke Alor Setar pagi tadi penuh 'suspen' dan serba gelisah. Jiwa, hati dan perasaan juga. Namun saya sembunyikan semua itu dari isteri sekurang-kurang untuk memberikan keyakinan kepadanya yang sudah terlalu 'terganggu' antara rasa percaya dan tidak dengan berita yang diterimanya tempohari.  

Dan ketika isteri masuk membuat pemeriksaan, saya kelu di kerusi hujung, sesekali menelan liur kerana gelisah dan berdebar-debar sambil memantau anak-anak yang sedang bermain sesama mereka. Sesekali menjeling pintu bilik pemeriksaan. Adakala mata memandang merata tetapi fokus minda saya hanya pada isteri. Berita apakah yang bakal dibawanya keluar dari bilik pemeriksaan tersebut. Dan jadinya, jiwa sedikit kacau dan dada pula berdebar-debar.

'Macam mana, seorang ke kembar', soalan pertama yang terpacul dari mulut saya sebaik sahaja isteri keluar dari bilik pemeriksaan. Seakan tidak sabar kerana teruja dan gelisah jiwa itu.

'Sorang je, XX, perempuan', jawab isteri menyelesaikan teka-teki tersebut.

'Baru lega rasa hati, tak kiralah seorang atau kembar, yang penting selamat dan baik-baik belaka', saya menambah, sambil kami menuju ke kereta.

Dan tangan serta kaki saya, sejuknya semakin berkurang sedikit demi sedikit.

Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Terang atau tersembunyi.

Dan semoga seorang yang bakal dilahirkan itu baik-baik belaka hendaknya. Hanya kepadaMu wahai Tuhan, kami bermohon.

Dengan sabar menanti tarikh 3 Febuari 2011 dan 'sekitarnya'. 'Due date' baru yang diberikan oleh doktor tadi.

Seminggu lebih awal berbanding 'due date' sebelum ini iaitu pada 8 Februari 2011.

Razak Nordin berpesan : Permudahkan untuk kami semuanya wahai Tuhan yang Maha Berkuasa.

No comments:

Share/Bookmark