Wednesday, October 19, 2011

Tanpa Tajuk, Dengan 'Rasa'

Sejak akhir-akhir ini, saya menyebutkan secara khusus dalam doa-doa saya supaya dikurniakan oleh Allah SWT. sifat redha, tenang, sabar dan ikhlas. 

Dari bacaan-bacaan yang saya temui dan baca, dikatakan inilah tingkat teragung bagi seorang manusia yang bergelar hamba dan khalifah Allah SWT. di atas muka bumi ini.  

Dan dikatakan, apabila seseorang manusia sudah sampai ke tingkat ini, semua yang berlaku di dalam hidup mereka sudah tidak memberi 'bekas' lagi. Luka yang terbuka mungkin agak susah untuk pulih dan sembuh. Namun kepada orang-orang yang mempunyai sifat redha, tenang, sabar dan ikhlas, hirisan setajam mana pun tidak akan melukakan, apatah lagi sehingga meninggalkan luka terbuka yang tidak akan pulih dan sembuh.

Kalau pun terguris, darahnya tidak mengalir dan kesannya teramat cepat sembuhnya. Tanpa sapuan merawat luka, tanpa makan merawat dari dalam atau tanpa suntikan yang menyerikan. 

Manusia bukan sekadar hamba yang mempunyai tanggungjawab dengan Tuhan. Malah manusia juga berperanan sebagai khalifah yang 'terpaksa' berhubungan dengan manusia-manusia lain. Selain menjadi khalifah kepada diri sendiri.

Dan ketika inilah, manusia sering diuji dengan pelbagai perkara yang mungkin menyempitkan dada, menyakitkan hati serta menganggu emosi. Adakalanya yang sedikit, dibanyak-banyakkan, yang kecil diperbesarkan, yang pendek dipanjang-panjangkan.

Dan akhirnya, kehidupan ini akan dikelilingi oleh perkara-perkara yang perlu dan juga perkara-perkara yang tidak perlu, tetapi 'diperlukan' oleh orang-orang yang merasakan ianya perlu.

Dan kadangkala, perkara-perkara yang tidak perlu, tetapi telah 'diperlukan' oleh orang-orang yang merasakan ianya perlu, menjadikannya susah untuk difahami. Pertanyaan boleh diajukan tetapi jawapan belum pasti dapat diberikan. Jawapan boleh diberikan, belum pasti betul serta sahihnya. Jawapannya sudah dipastikan, namun belum pastinya, ianya dari hati atau hanya di mulut sahaja.

Dengan kesabaran yang kunjung malap tahap imunitinya, serta kewarasan aqal yang kadangkala hilang kawalan ketika amarahnya memuncak. Acapkali, kita terpaksa memilih untuk menelan pahit dengan hempedunya sekali. 

Entahkan benar, entahkan tidak.

Kata orang juga, 'melayan' orang 'bodoh',  kita pun akan menjadi 'bodoh' juga.
Melayan orang 'gila', kita pun akan jadi 'gila' juga.

Ibarat melontar bola pingpong ke dinding, ke mana lagi ia melantun kalau tidak ke 'muka' kita juga.

Dan selalu disebutkan juga bahawa kemaafan baik untuk kesihatan. Dan kemaafan terbaik adalah ketika kita mampu membalasnya. Dan ianya bukanlah sesuatu yang senang dan mudah.

Ketika bersedia memberikan kemaafan kepada perkara-perkara yang sedia ada. Yang menunggu berbaris-baris pula 'minta' dimaafkan.

Mencegah adalah lebih baik dari merawatnya. Itu yang selalu diulang sebut.

Merawat penyakit, tanpa merawat umbi akarnya masalah juga. Ia mungkin berulang kerana umbi akarnya terus membiak 'virus-virus' yang menyebarkan penyakit.

Falsafahnya, apabila sebahagian orang tidak mengotorkan, sebahagian lagi tidak perlu pula untuk membersihkannya. Kerana jarang terjadi, yang mengotorkan akan membersihkannya kembali. Dia hanya melakukan, dan mangsanya adalah orang-orang lain.

Kesempatan yang dikurniakan Allah tersebut bolehlah dimanfaatkan untuk menunaikan amanah-amanah lain yang masih banyak untuk ditunaikan.

Kata orang lagi.

Lalat akan sentiasa akan mencari kekotoran walaupun ketika ia berada di taman-taman bunga.
Tapi lebah, mencari bunga-bungaan untuk mengambil madunya walau di mana ia berlegar.  

Bijak pandai selalu menyebutkan, bahawa kesulitan, kepayahan, kepedihan dan segala macam perkara yang 'kurang baik' yang telah ditakdirkan untuk kita, bertujuan untuk meningkatkan martabat manusia di sisi Tuhannya.

Syaratnya, redha, tenang, ikhlas dan sabar.

Harap-harapnya begitulah.

Kepada siapa hendak diharap lagi.

Jika ;
Harapkan pagar-pagar makan padi
Harapkan haruan, haruan makan anak
Harapkan guru, guru pula kencing berdiri
Harapkan ketam, ketam pun berjalan bengkok..

Hanya kepadaMU.. Tuhan.
Kurniakanlah kepada kami sifat redha, tenang, ikhlas dan sabar...selagi nyawa dikandung badan.

Dengan khauf dan raja', moga permohonan kami diperkenankan.

No comments:

Share/Bookmark