Sunday, November 29, 2009

Cinta Di Hujung Pelangi

Saya sebenarnya bukanlah peminat filem-filem "buatan" Malaysia. Untuk rekod, bagi tahun 2009, inilah kali pertama saya menonton drama Melayu dari awal sehingga tamat. Sekadar perkongsian.

Bertarikh 27 November 2009. 10 Zulhijjah 1430H. 10 malam. TV3.

Barangkali atas dua sebab ;

Pertama ; Ditakdirkan bilik "homestay" kami di rumah 203 Jalan Limbat, Taman Lela 1, Kamunting, Perak tiada siaran astro.

Kedua   ; Drama tersebut paling "menarik perhatian saya" jika dibandingkan dengan saluran-saluran lain ketika itu.
Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan telemovie  Taubat Nasuha.

Dan pertama kalinya saya menitiskan sedikit airmata di penghujungnya.

Sejak dari awalnya lagi watak yang di bawa oleh Fauzi Nawawi mengundang rasa marah saya yang bukan sedikit. Saya bermonolog sendirian dalam bilik gelap itu ketika isteri dan anak-anak sudah lena diulit mimpi malam Aidil Adha. Semuanya berbaur kemarahan ; 

"Jika tak boleh nak jaga anak, kenapa dulu gatal nak kawin".

"Jika tak sanggup nak menghadapi karenah anak-anak, takyahlah kawin awal-awal".

"Orang lain pun sibuk jugok, tapi ada jugok masa untuk anak-anak".

"Apa kejadahnya orang tua ni, asyik nak marah je". 

Dan macam-macam lagi seranah yang tidak ditulis di sini kerana tidak sesuai untuk bacaan umum. Ketika itu hanya diri sendiri yang mendengarnya selain Allah s.w.t dan para malaikatnya. Semuanya berpunca dari "kemarahan" saya terhadap watak bapa yang "haprak" itu.

Yalah. Bila balik ke rumah asyik marah-marah kepada anak-anak dan isteri. Tiada senyuman. Hanya tengkingan dan maki hamun. Sedangkan di luar bukan main "beradab dan bersopan" dengan betina lain. Apa tidaknya, bila di rumah, pantang anak-anak tersilap sedikit pun diberinya penampar serta ditarik-tariknya telinga-telinga kecil itu. Dikipasnya kepala lembut itu. Jiwa-jiwa kecil yang "selalu dan masih" mendambakan kasih sayang seorang bapa.

Kata orang, drama itulah cerminan realiti masyarakat hari ini. Dan saya mula berfikir. Masih adakah bapa-bapa seperti itu di dunia ini. Entahlah. Jika tiada masakan ia boleh menjadi sebuah drama. Dan seandainya ia betul-betul terjadi, akal waras saya masih tidak dapat menerimanya.

Dan kesudahannya. Anak-anak serta isteri yang tidak "dikehendaki" itu menemui Tuhan mereka dalam keadaan yang cukup tragis. Dibunuh oleh sekumpulan perompak yang memasuki rumah mereka sedangkan si suami dan bapa haprak itu "tidak sudi" pun menjawab panggilan isteri yang dalam keadaan cukup terdesak itu.

Sudahnya ; dialog ini menyebabkan sedikit air mata saya menitis.

"Anak-anak adalah pemberian dari Tuhan, jika kita tidak "menghendakinya", Ia akan mengambilnya semula dari kita setelah Ia memberinya seketika".  ujar bapa kepada anaknya. Suami dan bapa yang "haprak" itu. Si datuk berlinang air mata kerana kehilangan anak dan cucu-cucu tersayang. Si bapa "haprak" pula berteriak kerana kehilangan isteri dan anak-anak yang tidak "dikehendaki" itu. Hakikatnya air mata dan teriakan itu tidak akan mengubah ketentuan yang telah pasti.

Dan saya tersandar dibirai katil bersama linangan air mata. Menoleh ke dalam diri seketika. Serentak itu ingatan ini "mencari" arwah ibu. Kerinduan pada arwah ibu tidak dapat dibohongi lagi. Arwah ibu pergi membawa bersamanya kerinduan pada anak-anak dan cucunya yang tidak mungkin akan tertunai sampai bila-bila pun.

Ibu. Maafkan kami anak-anak dan cucu-cucumu di kejauhan ini. Tapi apalah maknanya menghargai sesuatu hanya setelah kita kehilangannya.


Buat suami-suami, bakal-bakal suami. Ibu-ibu dan bakal-bakal ibu. Ingatlah bahawa anak-anak adalah anugerah Tuhan untuk anda. Kisahilah mereka. Mudah-mudahan kasih sayang yang kita berikan itu berbaloi hendaknya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w amat menyukai anak-anak kecil. Contoh terbaik untuk kita semua. Tiada yang lain lagi.

Razak Nordin berpesan ; Hargai apa yang kita miliki sebelum kehilangannya. Ketentuan Allah mengatasi kehendak manusia selamanya.

Thursday, November 26, 2009

Kem Penghayatan Dan Kepimpinan Islam 2009

I
Pertama kalinya Unit Pendidikan Islam dan Moral berjaya mengadakan Kem Penghayatan Dan Kepimpinan Islam 2009 bertempat di PJ Sentosa, berdekatan dengan puncak Puncak Janing, Kuala Nerang Kedah pada 20-22 November 2009. Walaupun saya diamanahkan untuk menjadi Pengarah Program tersebut, tapi sebetulnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih banyak-banyak kepada Timbalan Pengarah Program iaitu Ustaz Hasminuddin Hashim yang banyak berkorban masa, keringat serta kepayahan demi menjayakan program tersebut. Ucapan terima kasih tidak lupa saya panjangkan juga kepada semua yang terlibat bermula dari Ketua Jabatan yang turut turun padang. Kem Komander, para fasilitator, AJK-AJK yang terlibat serta semua peserta program.

II
Saya juga diamanahkan untuk mengisi satu slot pada hari terakhir di sebelah paginya. Tajuknya ; Kepentingan melibatkan diri dalam organisasi. Alhamdulillah, saya telah cuba mengupas tajuk yang diberikan dengan cara yang tidaklah terlalu berat. Agak santai tetapi yang penting pada saya ada manfaatnya. Bimbang juga kalau-kalau " yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Kalaupun tidak dapat semuanya, tidaklah pula "hilang" semuanya. Semoga ada manfaat walaupun hanya sebesar zarrah sekalipun. Allah akan tetap melihatnya. Itu janji Allah s.w.t.

Ayat 7 dan 8 Surah Az Zalzalah membuktikan.

Maksud firman Allah ;

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya(dalam surat amalnya)(7).

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya
(dalam surat amalnya).(8)

III
Pertamanya ; saya memulakan slot pagi tersebut dengan dua aktiviti bagi menjelaskan kepentingan berorganisasi sebagai set induksinya.

Keduanya ; saya memilih untuk berkongsi tajuk ; Pengurusan Mesyuarat Yang Berkesan. Moga perkongsian ringkas tersebut ada manfaatnya walau sedikit cuma.

Sebahagian gambar aktiviti yang sempat saya lakukan. Gambar "ehsan" tukang gambar. Terima kasih banyak-banyak.


Para peserta yang semuanya "sporting-sporting". Terima kasih banyak-banyak.


Saya agak berisi dari pandangan sisi. Pembiasan cahaya "gamoknya".

Razak Nordin berpesan ; Permulaan  untuk langkah yang lebih panjang dan berterusan.

Wednesday, November 25, 2009

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha dari kami sekeluarga ;


Dari Kanan ;
Razak bin Nordin, Nursyuhada Najihah bt Razak, Norhasnizar binti Khabi dan Ruknuddin Razin Raziq bin Razak.

Kepada ;
1. Kaum keluarga kami di Terengganu dan Perak
2. Pengunjung-pengunjung pokok-kayu.blogspot.com
3. Semua sahabat yang mengenali diri ini dekat dan jauh
4. Pelajar-pelajar SHK 4, DSK 4, DIP 3 dan DOE 3 PTSS Sesi Julai 2009

Razak Nordin berpesan ; Semoga hidup kita terus dirahmati dan direstui Ilahi sentiasa.

Friday, November 20, 2009

Forum Keamanan Sejagat-Suatu Pengalaman Berharga


Keterangan Gambar
Duduk dari kiri ; Razak Nordin(Saya-Pemudahcara), Nur Fazlin(Pemudahcara),Prof. Madya Abdul Rahim Anuar, Kolej Undang-undang Kerajaan & Pengajian Antarabangsa, UUM, Puan Hajjah Hasimah bt Saleh, wakil Aman Palestin, Dr Abdul Waheed Jalal, Kolej Undang-Undang & Pengajian Antarabangsa, UUM, Pn Alwiyah Al- Yafii  Kamal, Timbalan Setiausaha Kehormat Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War dan Mr Naji Shukri, Wakil pelajar palestin, Phd student, UUM.(tiada dalam gambar-terkeluar dari fokus kamera)

Saya kira inilah antara pengalaman yang amat berharga yang pernah saya miliki setelah berkecimpung 10 tahun lebih dalam bidang yang saya lalui sekarang. Menjadi moderator Forum Keamanan Sejagat yang dibarisi ahli panel yang terdiri daripada Prof. Madya, Dr Phd, aktivis masyarakat dan juga "pelajar" yang sedang menyambung pengajian peringkat PHD. Pada saya bukan calang-calang ahli panel.


Terasa juga kecilnya diri ini berada di pentas yang "besar" itu. Tetapi alhamdullilah, dengan sedikit pengalaman yang dimiliki selama ini, semuanya dapat berlangsung dengan lancar walaupun acara berakhir agak lewat sehingga hampir jam 12 malam . Perut pula dipenuhi angin yang sedikit memeningkan kepala membawa ke pagi jumaat ini. Sudahnya mata tidak boleh lelap sehingga jam 3 pagi lebih. Sehinggakan pukul berapa saya terlena pun saya tidak pasti. Yang pasti, "eksos" saya berbunyi kata isteri pagi tadi. Kesannya membawa ke pagi ini. Kepala dan badan terasa seperti berada di "alam maya". Terawang-awangan.


Secara peribadi saya cukup seronok dengan apa yang saya lalui malam tadi. Tidak ada apa yang perlu saya kesalkan. Tidak perlu berpaling lagi. Asah "nipis"kan mana yang "tebal", tajamkan mana yang tumpul.

Razak Nordin berpesan ; Terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberikan sedikit kepercayaan kepada saya. Suatu pengalaman yang dikira berharga.

Thursday, November 19, 2009

Syukur Dalam Sedikit Gundah

Alhamdulillah. Sekali lagi pagi ini saya dengan "sepenuh dan rela hati" ke Klinik Kesihatan Arau untuk melihat keputusan pemeriksaan kesihatan yang telah dibuat tempohari.  Darah untuk diuji telah diambil 2 minggu yang lepas.

Sejujurnya saya katakan. Ada juga sedikit debar di hati. Risau juga "takut-takut" telah "disinggahi" oleh penyakit-penyakit fizikal yang tidak diketahui secara diam.

Nombor giliran 260 terpampang di skrin. Dengan sedikit debar di dada saya masuk ke bilik rawatan untuk berjumpa pembantu perubatan yang bertugas.

"Terserempak" Abe De di muka pintu bilik rawatan . Dan dialog ringkas ini terjadi ;

"Demo keno make ubat". Kata Abe De sambil tersenyum.

"Ya ke". Saya sekadar bertanya. Dan Abe De tidak sempat memberikan jawapan pun.

Saya tambah suspen. Tetapi cuba bertenang seadanya.

"Ya encik, silakan duduk". Kata Pembantu Perubatan tersebut memulakan perbualan ringkas kami.

"Encik kolestrol tinggi ni, 8.8. Kena makan ubat ni. Buku pun kena buka juga ni. Kalau setakat 6 lebih tu kita bagi peluang lagi". Pembantu Perubatan bertugas memberitahu saya dengan penuh tanggungjawab.

"Hati saya ok ke". Saya benar-benar ingin tahu. Kerana hati saya pernah juga dikatakan diselaputi minyak. Hasil ujian darah yang telah dibuat awal 2007 yang lepas kalau tidak silap ingatan.

"Yang lain ok, tapi takperlah, nanti jumpa doktor lain kali. Untuk kali ini saya bagi ubat kolestrol dulu". Katanya mematahkan terus semangat saya untuk bertanya lagi.

"Kalau macam tu takpelah, ikut nasihat perubatanlah". Saya pasrah dan redha.

Hasilnya kali ini saya dapat ini ;


UBAT UNTUK MENURUNKAN KADAR KOLESTROL
(satu jenis je ni-gaya berbeza)



BUKU REKOD UJIAN KESIHATAN





Razak Nordin berpesan ; Makanya 3 Disember 2009 kena jumpa doktor pula jam 2.00 petang. Masih belum terlambat juga rasanya. Pintu-pintu taubat masih terbuka. Insyaallah.

Ingat pesan Rasullullah ; Rebut lima sebelum lima. Salah satunya sihat sebelum sakit. Untuk sehabat-sahabat seusia. Lapangkanlah sedikit masa untuk pemeriksaan kesihatan. Langkah awal yang mungkin berbaloi

Wednesday, November 18, 2009

Izinkan Aku Menangis Sendirian

Sesekali izinkan aku menangis sendirian. Untuk sedikit kelegaan.

HATI
JIWA
PERASAAN
GERAM
MARAH
MENYAMPAH
SEDIH
MELUAT
BUNTU
TERTEKAN
DLL(Dan Lain-Lain)

Kerana aku juga manusia. Mengalir darah merah serupa.

Razak Nordin berpesan ; Beberapa baris ayat cuma. Beribu makna mungkin. Moga Allah s.w.t. sentiasa bersama.

Tuesday, November 17, 2009

Tunaikan Janji Anda

Sebaik sahaja saya membuka pintu rumah apabila pulang dari masjid malam tadi. Saya dikejutkan dengan kata-kata "pedas" ini dari anak sulung saya yang belum pun mencapai 4 tahun genap umurnya.

" Abi tak ajak kakak pun, Abi kata nak bawak kakak, tak nak kawan abi". Kata Along sejujurnya dan saya semacam terpaku seketika tetapi cepat-cepat "mengendurkan" suasana.

"Sorry, maaf, Abi "lupalah". Kata saya cuba mengajuk nada bahasa kartun. Sengaja mahu menutup lupa yang disengajakan itu.

"Jom naik motor". Pujuk saya. Dan alhamdulillah berjaya. Kami bertiga. Abi, Kakak dan Adik. Membelah suasana malam di sekitar kuarters barang seketika dan masuk balik kerana ada rintik-rintik hujan.

PUNCANYA

Akar kepada cerita di atas sebenarnya berlaku sebelum maghrib. Apabila Along nangis-nangis tidak mahu masuk ke rumah kerana belum puas bermain di luar rumah. Saya cuba memujuknya untuk membawanya ke masjid untuk solat isyak. Dia menolak dengan tangisan dan "pemberontakan" yang sederhana lamanya. Sangka saya dia menolak pelawaan itu sungguh-sungguh. Dan ketika ingin ke masjid untuk solat isyak, saya "buat-buat lupa" untuk mengajaknya sekali lagi sambil mengharapkan dia terlupa pelawaan saya tadi.  Rupanya tidak. Buktinya dialog di atas.

Sebuah kisah kecil. Tetapi saya belajar sesuatu sebagai seorang bapa atau Abi. Sempurnakan janji walaupun hanya untuk anak kecil. Kerana sebenarnya itu adalah sebahagian dari pendidikan untuk anak-anak kecil kita. Menusuk secara halus dalam sanubari sucinya itu. Bukan itu yang harus kita "waris"kan untuk anak-anak kecil kita.

Razak Nordin berpesan ; Kadang itu Razak Nordin terlupa juga. Barangkali anda juga. Kecil pada "orang besar", tapi mungkin besar pada anak kecil itu.

Thursday, November 12, 2009

Sesekali Acapkali



"Pelangi Petang Dari D1.1.1 Kuarter PTSS"

Sesekali atau acapkali. Kita harus juga melihat ke "bawah" dan mendengar serta menerima apa-apa yang datang dari "bawah". Melihat dari sudut pandang "orang-orang kecil" dan golongan marhain.  Kata orang "terpesona dengan pelangi di langit luas, rumput di bumi di lupa jangan". Takut-takut dalam keasyikan memandang ke atas, tersepak batu "dijalanan" lalu muka tersemban ke tanah, mulut pula "termakan" rumput yang telah dicemari tahi lembu. Malangnya.

Terowong dan Lori

Saya pernah mendengar dari seseorang tentang cerita sebuah lori yang tersangkut di terowong. Barangkali pemandunya silap percaturan. Ingatlah lepas, rupanya tidak. "Kelamaan" menjadi pemandu mungkin mendorongnya menjadi manusia "sembrono". Ikut kepala dan suka dia sahaja. Terpesona dengan "kelamaan" menjadi pemandu barangkali. Bila sangkut, "susah"kan semua orang. Tolak ke depan tidak "maju". Undur ke belakang pun tidak ber"ensot". Sama ada ia kisah yang betul-betul terjadi atau sekadar cerita-cerita "Israiliyat Melayu", saya tetap ingin berkongsi dari sudut nilai pengajarannya.

Makanya ramailah "orang-orang besar" memberikan pandangan masing-masing. Dan ternyata idea-idea mereka masih "fantasi" walaupun mereka "orang-orang besar".  Semua tidak boleh "pakai" kerana mereka "orang-orang besar" dan tentunya idea-idea mereka pun "besar-besar" juga. Kerana mereka "orang-orang besar" mereka hanya memandang ke atas dan lupa memandang ke bawah sesekali. Padahal masalahnya "cuma" bumbung lori tersebut terlekat "sikit sahaja" di bumbung terowong. Dan penyelesaiannya tidak "semestinya" berada di bumbung juga.

Dengan takdir Tuhan, tiba-tiba seorang budak kecil muncul dan bersuara dalam "kekalutan orang-orang besar itu". Dari mana datangnya budak kecil entahlah. Rasanya tidaklah penting sangat. 

"Macam mana kalau kita buang saja angin tayar lori ini seketika, rasa saya Insyaallah boleh lepas kot terowong ini". kata budak kecil itu "takut-takut" dengan bersandarkan Insyaallah kepada "orang-orang besar".

" Nanti bila dah ok semuanya, kita bubuhlah semula anginnya, tidaklah payah sangat dan tidaklah pula memakan belanja yang besar."  si kecil itu menambah.

Oh ye tak ye juga kan? Sebahagian kecil "orang-orang besar itu"  seakan menyetujui idea dari anak kecil itu. Dan sebahagian lagi masih dalam "dunia orang-orang besarnya".

Dan dalam kebuntuan idea-idea besar itu, idea si kecil itu benar-benar terbukti. Semuanya berakhir dengan selamat, berjaya melepasi terowong  dan hanya kerosakan kecil sahaja yang terjadi.

"Mana mana anak terfikir idea buangkan angin tayar lori ini" tanya seorang orang besar di kalangan orang-orang besar yang terkedu itu. Masih dengan "bahasa orang-orang besarnya".

"Entahlah, mungkin kerana saya budak kecil, saya tak mampu melihat ke atas macam tuan-tuan, jadi saya tengoklah ke bawah dan saya ternampak tayar dan timbullah idea itu" jawab budak kecil itu bersahaja.

'Orang-orang besar' terkedu seketika. Menggaru-menggaru kepala yang tidak gatal selepas seketika. Dan berlalu tanpa ucapan terima kasih pun kecuali beberapa orang sahaja. Itulah "orang-orang besar". Masih dalam "dunianya".

Razak Nordin berpesan ; Sesekali atau acapkali. Kembalilah "menjadi anak kecil" untuk lebih memahami.

Cerita ini telah digarap kembali menggunakan bahasa saya. Terimakasih kepada empunya idea asal cerita ini.

Wednesday, November 11, 2009

"Umpan" Dan "Ugutan"-Wajarkah

Sekadar perbandingan kecil ; Barangkali untuk melihat kepentingan "umpan" dalam aspek yang pelbagai.

Dalam perlawanan takraw antara regu "semestinya" "killer" perlukan "umpan" yang baik untuk "membunuh" bola itu. Rejaman yang baik tentunya memerlukan "umpan" yang baik juga.Walaupun ada kalanya "sangkut" juga.

Memancing ; Pemancing tentunya perlukan umpan yang terbaik untuk "menarik" ikan-ikan, udang-udang atau apa sahaja yang dipancing yang terbaik juga. Walaupun adakalanya "kecewa" juga.

Memancing hati wanita ; "Umpan"nya pun mesti "baek" punyer. Bahasa orang muda-muda sekarang. Walaupun adakalanya "kantoi" juga.

Apa umpannya, terpulanglah kepada "keselesaan" dan "kemampuan" masing-masing. Terimalah hakikat bahawa belum tentu "umpan" terbaik menghasilkan "hasil" yang terbaik juga.

UMPAN DAN UGUTAN
Antara wajar atau tidak. Saya memilih untuk mencuba teknik "umpan" dan "ugut" dalam "menyelesaikan" beberapa "karenah" kecil anak-anak semasa ketiadaan Uminya. "Kecil" tetapi agak "melemaskan" juga. Pertama kali mencuba. Dan Alhamdulillah untuk kali ini."Berjayalah kiranya".

Tetapi "kerisauan" kecil tetap bersarang di hati seorang "Abi separuh tua" seperti aku. Bukan soal mampu atau tidak. Untuk sekadar "gula-gula getah" dan "ring-ring" rasanya masih mampu.

Saya memasang strategi. Kalau masih "berdegil" juga, segala "keduniaan" yang telah dibeli itu  akan ditarik balik serta merta. Dan esok tiada lagi "gula-gula getah" dan "ring-ring". Dengan riak muka yang agak kecewa dan sedikit "pemberontakan" kecil, akhirnya Along akur. Dan sebenarnya jauh disudut hati, saya "kurang selesa" dengan cara ini. "Umpan Dan Ugut". Membantutkan pemikiran "segar' manusia.

UNDILAH SAYA UNTUK GULA-GULA GETAH DAN RING-RING ATAU TUNGGULAH APA AKAN JADI JIKA SAYA KALAH.  

 Wajarkah saya berkata begitu kepada "pengundi-pengundi saya". Kerana saya bukan Tuhan pemberi rezeki. Saya pun "menumpang" rezeki milik Tuhan Yang Maha Esa.

"Kebimbangan" saya sekurang-kurangnya atas dua sebab ;

Pertama   ; "Nilai" dan "khasiat" makanan yang "diminta" oleh anak-anak yang sedang membesar dari sudut kesihatan jangka panjang. Walaupun sikit-sikit. Lama-lama banyak juga.

Keduanya ; Takut "tersalah" dalam mendidik anak-anak dengan nilai "kebendaan" dan "keduniaan" sedari kecil lagi. Sedangkan "kebendaan" dan "kedunian" itu bukan matlamat. Sekadar "alat" untuk mencapai matlamat yang hakiki dan abadi. Kebimbangan utama tetapi di tulis di bilangan dua.

Saya maksudkan begini. Kerisauan saya takut "sikap-sikap tersebut" terus di bawa ke "masa depan"nya. Semuanya perlu "diumpan" dan "diugut". Orang sekarang kata "Ada wang, ada kerja". Saya tidak bermaksud untuk menafikan segala kepentingan "kebendaan" dan "keduniaan". Sesiapapun "memerlukan" dalam meneruskan kelangsungan hidup ini walaupun tidak "semestinya". Bimbangnya "Mendengar kata" hanya bila ada "habuan keduniaan" yang dijanjikan. Bimbang "Menjadi pahat dengan penukul". Semuanya tidak elok untuk "dimiliki" oleh sesiapun.

Dalam dunia moden orang selalu sebutkan begini. "Semuanya perlu disogokkan untuk mencapai matlamat". Sama ada rela dan terpaksa. Matlamat mesti dicapai.

"Cari makan Jak(nama timangan aku). Nak hidup, nak buat macam mana Jak." Suatu pernyataan bukan pertanyaan.

Antara kata-kata yang pernah masuk ke telinga saya. Dari mulut kawan-kawan saya yang telah "berjaya" kerana "cari makan" dan "nak hidup" itu.

Matlamat adakalanya mendorong manusia "menghalalkan" cara yang tidak halal. Titik.

Masih dalam ingatan. Sesekali arwah ibu pernah juga menegurkan kami erti "pengkongsian sebiji roti" untuk cucu-cucunya. "Kesulitan" membesarkan kami anak-anaknya mungkin salah satu sebab yang "menjadikan" ibu begitu. Hakikatnya ia nilai yang baik. Bukan kedekut. Mendidik sedari rebung sebelum menjadi buluh runcing boleh mencedera dan membunuh. Melatih anak-anak nilai "menghargai" sedari kecil lagi. Takut-takut "kemewahan" yang tidak "dipandu secara betul" akan merosakkan. Sama ada hari ini. Esok atau lusa. Lambat laun dia akan singgah jua jika tidak dijaga sedari awal kenal dunianya.

Saya bagaimana? Entahlah.

Realiti dunia akhir zaman semakin menakutkan saya. Untuk anak-anak saya juga.


Razak Nordin berpesan ; Ya Allah, Jika hambaMu tersilap dalam memilih kaedah mendidik anak-anak . Kau ampunkanlah hambaMu ini. Kerana aku insan lemah. Bimbinglah aku ke jalan lurus dan diredhai.

Macam-Macam ...Oh Dunia Ini

Iklan Daging Manusia Yang Paling Mahal

Riwayat atlit amatlah singkat, jadi seseorang atlit itu akan bertungkus lumus mencari duit apabila dirinya dikenali orang ramai. Jadi, sebahagian peninju akan "menjualkan" daging belakangnya, mencontengkan tatoo logo sebuah kasino. Arus ini telah meresap ke bidang sukan-sukan lain, barangkali lambat laun nanti anda akan dapat melihat badan atlit dipenuhi dengan kata-kata iklan. Menjadi "Iklan Daging Manusia" di medan persukanan.

Segelintir peninju di Amerika Syarikat telah menjadi " Iklan Daging Manusia" baru-baru ini. Bahagian belakang mereka yang berdaging liat telah "disewa" kepada sebuah kasino yang beralamat web GoldenPalace.com. Menurut laporan, terdapat seramai 25 orang peninju yang telah menyewa daging belakang mereka. Dan ganjaran yang diperolehi lingkungan 5 ribu hingga 10 juta US dollar(lebih kurang 19 ribu hingga 38 juta)* Tahun 2002.

Menurut seorang wakil, Anson dari kasino, ramai peninju yang minat akan "Iklan Daging Manusia" ini. Katanya : "Riwayat atlit amatlah singkat, jadi seseorang atlit itu akan bertungkus lumus mencari duit. "Menurut Anson lagi, mempelawa peninju "menyewa" mereka cumalah langkah pertama sahaja, dan mereka akan mempelawa atlit-atlit dari bidang persukanan yang lain.  Mereka bolehlah mengukir di bahagian lain selain daripada bahagian bahu contohnya paha, tangan, muka malahan leher.

Arus Baru Pengiklanan

Idea "Iklan Daging Manusia" dicetuskan oleh pengurus Bernard Hopkins dan Anson secara tidak sengaja dalam perbualan. Sebenarnya pengurus Hopkins ingin membuat iklan pada seluar pendek yang dipakai oleh Hopkins dalam perlawanan. Tetapi Anson pula mencetuskan ideanya lalu berkata : "Alangkah kelakarnya kalaulah dia sanggup mengukir nama dan logo syarikat kami di bahagian bahunya. " Idea Anson mendapat persetujuan daripada Hopkins. Dan "Iklan Daging Manusia" mula menjadi satu arus baru dalam bidang pengiklanan. Dan peninju-peninju lain turut menyertai bidang baru ini.

Razak Nordin berpesan ; Mike Tyson menaruh minat ke atas iklan tatoo, dan menjadi "Iklan Daging Manusia Yang Paling Mahal.


Disedut untuk perkongsian dari Koleksi Majalah Cermin, Edisi KEEMPAT PP 12004/10/2002. Halaman 24

Tuesday, November 10, 2009

Aku Makin Mengerti

Ketika aku memulakan tulisan ini kali pertama, jam di laptop menunjukkan tepat pukul 11.12 PM. Anak-anak baru sahaja melelapkan mata setelah "pelbagai" karenah yang dipamerkan sepanjang petang membawa ke malam hari. Sedikit sebanyak menguji kesabaran aku sebagai seorang "Abi" menguruskan "baru" dua orang anak yang sedang membesar tanpa isteri di sisi. Umi "kerja jauh" sampai ke Melaka. Mudah-mudahan selamat pergi dan kembali. Insyaallah.

RAZAK BUJANG LAGI
Hari ini aku bujang lagi. Tapi ini bukan kali pertama.  "Mengambil alih" seketika sebahagian rutin isteri mengurus dan "bersama" anak-anak. Memulakan pagi Isnin dengan sedikit tekanan. Keluar seawal jam 6.45 menghantar anak ke PASTI. Janji dengan pengasuh jam 7.10. Alhamdulillah, tepat seperti yang dijanjikan. Kemudian "berkejar" ke Kangar dengan "tekanan" yang kian terasa. Mengejar waktu di pagi hari. Apa tidaknya. Antara mengejar "punch card" dan kelas tepat jam 8.00 pagi. Kedua-duanya menyumbang kepada "tekanan" itu.

Alhamdulillah. Semuanya seperti yang telah ditakdirkan. "Punch Card" jam 7.56 pagi dan sempat masuk kelas jam 8.00 pagi. Syukurlah. Prinsipku masih belum tergadai. Disiplin yang dibina sekian lama.

AKU MAKIN MENGERTI

Menguruskan anak-anak yang sedang membesar dengan pelbagai karenah "sendirian tanpa isteri seketika", menjadikan aku makin mengerti sesuatu dalam hidup berkeluarga dan berumahtangga. Perlunya saling menghargai antara pasangan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dari sudut manapun. Suami atau isteri sama penting dalam menjayakan sebuah rumahtangga. Ringan dan berat bukan semata pada pandangan mata kasar tetapi pada "merasai sendiri nikmatnya". Menguruskan "makan pakai" anak-anak sendirian rupanya bukan suatu tugas yang mudah. Perlukan daya kesabaran yang "mantop" juga. Sebenarnya aku bukan tidak biasa menguruskan anak-anak. Tetapi tanpa isteri "bersama" ternyata berbeza cabarannya. Sekalung tahniah buat isteri tercinta yang acap kali juga telah melaluinya selama ini dengan tabah dan sabar. Berat rupanya.

Tambah pula dengan "skil" masakan yang semakin pudar setelah lama tidak digilap sejak berkahwin. Sudahnya sup sayur Chef Razak Nordin terlebih bubuh lada hitam. Pedasnya cukup luar biasa. Apa boleh buat. Terlanjur perahu boleh diundur, terlanjur bubuh, pedas terasa. Maafkan Abi anak-anakku. Aku mula rindukan segala-galanya dari sebuah "kehilangan" sementara. Resam hidup manusia barangkali selalunya begitu.


ALONG DAN ADIK "BERSAMA" SUP SAYUR YANG TERLEBIH LADA HITAM


Razak Nordin berpesan ; Tulisan ini di"post"kan agak lewat kerana masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan.

Jam 2:37 hari berikutnya...

Thursday, November 5, 2009

Masih Belum Terlambat

"Pusingan 1"
Hari ini merupakan hari kedua aku "dengan sepenuh dan rela hati" ke Klinik Kesihatan Arau untuk membuat susulan pemeriksaan kesihatan. Abe De pun "tumpang dua kaki" untuk buat pemeriksaan tersebut. Kata orang pemeriksaan awal ada baiknya juga. Langkah pencegahan yang dialu-alukan.

Semalam tekanan darah aku atasnya 135. Bawah pula tidaklah pasti. Kira tinggilah juga dalam usia baru mencecah 37. Hati-hati wahai diri. Untuk kandungan gula dalam darah pula 6.1. Atas pagar atau di luar pagar. Aku pun tidak pasti. Hakikatnya lepas ini aku harus lebih berhati-hati dalam memilih diet yang sesuai.  Hari ini test lagi untuk kepastian. Harap-harap oklah tu. Tapi pagi ni agak mencabar sikitlah. Apa tidaknya. Kalau semalam hanya di hujung jari, pagi ini di lipatan tangan. Jarumnya pula lebih panjang dari semalam.  Pahtu kena 2 "pusingan". "Pusingan" pertama sudah selesai pukul 8 pagi tadi. "Pusingan" ke 2 menyusul lebih kurang pukul 10.15 setelah kami di beri minum air oren gula. Gelasnya pula kira boleh tahanlah juga saiznya.

"Pusingan 2"
Pra Diabetes
Alhamdulillah. Tanda syukur sebelum terlambat. Kadar kiraan biasa sebelum minum air gula masih kekal macam semalam juga 6.1. Kiraan kandungan gula dalam darah menunjukkan 10.4 selepas 2 jam meminum air gula. Alhamdulillah barangkali atas bebeberapa sebab. Pertama ; belum lagi disahkan menghidapi diabetis. Baru pra-diabetis kata pembantu perubatan tersebut. Paras minima untuk disahkan mengidap diabetes adalah 11.1. Keduanya ; Dan masih ada peluang untuk kembali ke"pangkal jalan" tetapi tentunya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Sebagai manusia, ikhtiar dan tawakkal adalah hak kita, kesembuhan dan ketentuan sudah pasti milik Allah. Rentetan itu kenalah menghadiri ceramah kesihatan pada 16 November 2009 jam 2 petang di Klinik Kesihatan Arau. Selepas 4 bulan kena buat pemeriksaan lagi. Harap-harap selepas ini semua akan kembali normal. Ingatan untuk diri. Kembalikan gaya hidup sihat.

Razak Nordin berpesan ; Pada teman-teman yang belum pernah membuat pemeriksaan penuh. Sudi-sudikanlah. Walaupun anda masih sihat hari ini. Mana tahu. Kerana ikhtiar milik kita.

Tuesday, November 3, 2009

Bukan Mudah Rupanya

Ujian kecil Allah masih berterusan nampaknya. Dan seperti biasa kekuatan hanya dari Ilahi aku pohonkan. Bukan dari manusia yang semuanya bersifat baru dan lemah. Paling tidak sedikit sebanyak ujian kecil Allah buat diriku ini "mengganggu" juga rutin hidup sebagai "pengajar". Rupanya bukan mudah untuk menjadi pengajar terutamanya keadaan kesihatan yang agak "kurang stabil". Pengajar sebetulnya bukan sahaja memerlukan kekuatan rohani tetapi juga memerlukan kekuatan fizikal. Betullah bak kata perpatah arab       
"Aqal yang sihat berada dalam badan yang sihat juga."

Dalam sedikit kepayahan itu, ku cuba kuatkan semangat perjuangan seorang "murabbi" berkongsi sedikit ilmu anugerah Ilahi. Sebolehnya segala kepayahan itu biarlah ku simpan sendiri. Untuk anak-anak didik hanyalah senyuman dan semangat waja yang dipamerkan. Itulah aku sebenarnya  sebagai "pengajar". Sentiasa memikirkan yang terbaik untuk anak-anak didik sekalian. Selalu aku sematkan bahawa setiap kali kehadiranku bersama mereka biarlah  di "rasai kehadirannya" walaupun hanya sebesar zarrah yang halus sekalipun. Bukan sekadar pelengkap kekosongan jadual waktu cuma. Kerana aku bukan penyanyi di majlis jamuan makan malam. Tepukan diberi seusai persembahan tapi lirik lagunya barangkali tidak dihayati walau sebaris pun oleh "penepuk-penepuk" tangan tersebut.

Apapun sebagai manusia ada waktunya aku tewas jua. Pada-Mu Ilahi ku pohon semoga ujian kecil-Mu ini hanya seketika. Menyedarkan kealpaanku sebagai manusia biasa.

Buat anak-anak didik ;

SHK  4
DSK  4
DIP    3
DOE  3

Sesi Julai 2009 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin

Ingatlah!!!

Perjuangan kita belum selesai dan berdoalah sama-sama semoga sisa-sisa perjuangan kita yang masih berbaki lebih kurang 3 minggu lagi berakhir dengan semuanya yang indah-indah dan tidak menjadi anti-klimaks.

Doa-doa kalian juga aku harapkan untuk aku dan kalian juga. Dikurniakan nikmat kesihatan yang memberi manfaat bukan nikmat kesihatan yang disia-siakan.

Pada Allah Yang Maha Berkuasa ;

Ku pohon kekuatan berterusan untuk meneruskan perjuangan suci ini.

Buat isteri dan anak-anak ; Terima kasih kerana sudi melumurkan "minyak-minyak" di badan ku dan juga "terpaksa" menghidu bau minyak but-but dan segala macam minyak lagi. Antara teman setia tidur malam-malam kita.

Razak Nordin berpesan ; Ingatlah bahawa Allah tidak pernah "tinggal"kan kita "sendirian".