Monday, January 31, 2011

Nak Cerita Apa Ye?







Pagi ni, nak citer apa ye?

Kepala rasa macam berat je ni, entahlah apa yang sedang menghempuknya, tapi rasa macam nak cerita juga.

Mana tau, boleh redakan ringankan kepala yang berat tu.

Omega 3 dah makan, madu lebah dah telan, kopi radix dah minum, susu nestiva dah minum, pelawas dah telan, ener g dah telan, tuju angin pun dah telan.

Minggu ni ambik cuti tiga hari, Isnin, Selasa dan Rabu, tambah cuti CNY Khamis dan Jumaat. Jadi 5 hari semua cutinya.

Bukan pasal kurang sihat, itu dah biasa sangat, pasal nak balik hantar bini nak bersalin anak, bukan bersalin kulit.

Tengahari jap lagi nak balik Kamunting, terpaksa hantar bini balik kampung untuk bersalin anak ketiga kami. Moga semuanya selamat.

Oh lupa, pagi tadi lepas subuh pi beli nasi lemak depan kedai Shahrom B, sedap. Yang hairannya macam mana makcik tu boleh tahu bini aku ngandung. Siap dia tanya, isteri dah bersalin ke? Terkejut aku dibuatnya.

Aku jawab : Hari nilah nak balik kampung, bersalin kat sana. 

Anak-anak tak bangun lagi, bini duk tengok movie, aku duk ngadap laptop, huhuhu.

Kelmarin.

Tak g mana2 pun. Duk umah jer. Tak tau nak p mana. Layan anak-anak, layan internet. Bini pun layan juga, tapi takleh citer lebih2.

Tengahari makan nasi lauk ikang panggang cicoh budu kampung. Sedap. Sekali hadap habis semua anak-anak ikan tu. Ikan termenung borik, bini beli bukan aku beli.

Petang nak main takraw pun tak boleh, ramai pemain cuti dan balik kampung, dahlah pemainnya cukup-cukup jer. Duduklah aku terperuk di rumah menunggu maghrib. Perkara yang jarang-jarang berlaku.

Dalam kebanyakan masa, jiwa banyak gelisah daripada sakinah.

Kadang-kadang aku pun tak faham, bukan ada kaitan sangat pun ngan hidup aku.

Mungkin banyak angin dalam badan, fikir macam-macam, entahlah.

Pasal tu merapu-merapu.

Sebuah cerita tanpa tajuk.

Tiba-tiba sakit perut, bye dulu yer, nanti aku sambung lagi.

Kali ni Razak Nordin tak nak pesan apa-apa.

Mood : Kisah benda yang tak perlu, sehingga ganggu jiwa dan perasaan, jadah apakah semua itu?

Saturday, January 29, 2011

BREAKING NEWS UPDATE : Officials: 38 dead in Egypt protests since Friday







CAIRO – Egyptian medical officials say 38 people have died and 2,000 have been wounded in anti-government demonstrations since Friday, bringing the death toll in the week's unrest to at least 45.

The officials say that among the dead in the past two days of clashes were 10 policemen. They spoke on condition of anonymity because they were not authorized to brief journalists.

Hundreds of anti-government protesters returned to the battered streets of central Cairo on Saturday, shouting for Hosni Mubarak to step down and attacking police even as the Cabinet resigned on the orders of the Egyptian president.

The protesters are calling on Mubarak to resign, too.

Sumber asal

1. 38 orang mati dan 2, 000 telah tercedera dalam demonstrasi anti-kerajaan sejak Jumaat, membawa angkan korban sekurang-kurang 45 termasuk 10 polis.

2. Ratusan penunjuk perasaan anti-kerajaan kembali ke jalan-jalan kota Kaherah pada hari Sabtu, meminta Husni Mubarak untuk turun dan menyerang polis.

3. Para penunjuk perasaan meminta Mubarak untuk mengundurkan diri juga.

Razak Nordin berpesan : Apabila hidup penuh derita dan kesengsaraan..apa lagi yang 'orang-orang kecil' harapkan?

Facebook : Enam Perkara Anda Tidak Perlu Dedahkan







Izinkan saya berkongsi satu artikel yang pada pandangan saya ada patutnya dikongsi bersama. Mana tahu, langkah-langkah segera boleh dibuat demi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Fenomena keseluruhan rangkaian sosial mempunyai berjuta-juta pengikut di seluruh dunia. Mereka berkongsi gambar mereka, lagu-lagu kegemaran dan butiran tentang reunion kelas mereka di Facebook, MySpace, Twitter dan puluhan laman serupa. Tetapi ada beberapa maklumat peribadi yang anda tidak harus beritahu jika anda tidak mahu penjahat - cyber atau sebaliknya - untuk merompak anda, menurut Beth Givens, Pengarah Eksekutif Privasi Rights Clearinghouse.

Anda pasti dapat menikmati koleksi-koleksi foto dan berkongsi, tetapi anda harus tahu bahawa berkongsi beberapa maklumat menempatkan anda pada risiko. Apa yang anda pernah  nyatakan di Facebook, Twitter atau laman rangkaian sosial yang lain?

Tarikh dan Tempat Anda Lahir. Tentu, anda boleh mengatakan hari apa anda lahir, tetapi jika anda memberikan tahun dan di mana anda dilahirkan juga, anda baru saja memberikan pencuri identiti kunci untuk mencuri kehidupan kewangan anda, kata Givens. Sebuah kajian yang dilakukan oleh Carnegie Mellon menunjukkan bahawa tarikh dan tempat lahir boleh digunakan untuk memprediksi paling - dan kadang-kadang semua - dari nombor di nombor Jaminan Sosial, katanya.

Percutian Yang Dirancang. Masukkan foto-foto  anda di Facebook setelah anda kembali, jika anda suka. Tapi jangan mengundang penjahat dengan memberitahu mereka ke  mana anda akan pergi.

Alamat rumah. Sebuah kajian baru-baru ini dikeluarkan oleh Institut Ponemon mendapati bahawa pengguna laman Social Media berada pada risiko yang lebih besar dari kecurian fizikal dan identiti kerana maklumat yang mereka kongsikan. Sekitar 40% dinyatakan alamat rumah mereka di laman web, 65% bahkan tidak mampu untuk menghalang orang asing melihat sesuatu yang privasi. Dan 60% mengatakan mereka tidak yakin bahawa "teman" mereka benar-benar hanya orang yang mereka kenal.

Tempat Pengakuan. Anda mungkin membenci pekerjaan anda; menipu cukai anda, atau menjadi pengguna dadah, namun ini bukan tempat untuk mengaku. Majikan biasanya membaca dengan teliti laman rangkaian sosial untuk menentukan siapa untuk diupah - dan, kadang-kadang, siapa yang harus dipecat. Perlu bukti? Hanya dalam beberapa minggu terakhir, Penghantar segera dipecat di Wisconsin kerana mendedahkan penggunaan dadah; pelayan  mengeluh tentang pelanggan dan maskot Pittsburgh Pirate dibuang kerana menghentam pasukan tersebut di Facebook. Satu kajian dilakukan sejak tahun lalu menganggarkan bahawa 8% dari syarikat memecat seseorang kerana "penyalahgunaan" media sosial.

Password Penggunaan. Jika anda punya akaun dalam talian, anda mungkin menjawab sedozen pertanyaan keselamatan yang berbeza, memberitahu bank anda atau nama sebenar syarikat broker anda ibu anda, gereja anda berkahwin, atau nama-nama lagu kegemaran anda. Didapati bahawa perkara yang sama ada pada halaman maklumat profil Facebook anda? Anda telah memberikan penjahat cara yang mudah untuk meneka password anda.

Tabiat/Perangai Berisiko. Pihak insuran semakin beralih ke web untuk mencari tahu apakah pemohon mereka dan pelanggan meletakkan kehidupan mereka atau harta berisiko, menurut Insure.com. Setakat ini, tidak ada cara yang efisen untuk mengumpul data, sehingga pembatalan dan kenaikan kadar adalah jarang. Namun teknologi cepat berkembang, menurut sebuah makalah yang ditulis oleh Celent, kajian perkhidmatan kewangan dan syarikat perunding.

Sedutan dan terjemahan 'amatur' bebas dari SINI 

Razak Nordin berpesan : Pro dan kontra, rencah hidup yang berterusan.

Thursday, January 27, 2011

Bilionair Juga Berjimat Cermat!






Pagi ini saya ingin kongsikan salah satu info terbaru yang dikirimkan oleh Dr. Ifran Khairi ke email saya.

Bilionair juga berjimat cermat!
Oleh: Irfan Khairi

Terkejut apabila saya terbaca berita di Internet mengatakan antara orang terkaya di dunia hidup berjimat cermat.

Pemilik Wal-Mart, antara pasaraya terbesar di US, Jim Walton, hanya membawa kereta nya yang berumur 15 tahun ke kerja.

Ingvar Kamprad, pemilik Ikea di Sweden membawa kereta Volvo berumur 15 tahun, terbang menaiki kelas ekonomi sahaja, dan makan di restoran-restoran murah

Warren Buffet, billionaire terkenal dan antara orang terkaya di dunia, tinggal di rumahnya yang dibeli pada harga US31,000 sejak 50 tahun lalu!

Azim Premji, Tycoon perniagaan dari India hanya membawa kereta Toyota Corolla

Billionaire John Caudwell and David Cheriton pilih untuk memotong sendiri di rumah sahaja tanpa pergi kedai gunting rambut mahal.

Dapatkan role model dalam bidang kewangan. Ia tidak semestinya orang yang anda kenali, seperti ikon di TV, ataupun orang yang anda kenali, jiran, rakan sekerja atau ahli keluarga. Billionaire seperti Warren Buffet menjalankan hidup secara sederhana. Ini boleh menjadi role model kewangan kita.

Ataupun anda mempunyai pakcik yang menjalankan perniagaan yang berjaya tetapi hidup sederhana bersama keluarga. Atau anda mengenali seorang CEO syarikat besar, tetapi tetap merendah diri dari segi kewangan.

Tan Sri Mokhtar Bukhari adalah role model yang hebat, sebagai bumiputera terkaya di Malaysia, tetap menderma berjuta RM dibawah Yayasan Al Bukhari untuk mereka yang kurang bernasib baik.

Dapatkan role model (tidak semestinya seorang sahaja) dan ikuti tabiat kewangan mereka. Manusia mudah belajar daripada melihat manusia yang lain. Kuncinya adalah, pastikan role model yang dipilih adalah role model yang betul!

ps: Teringat saya lagu 'Bilionaire' nyanyian Bruno Mars! ;)

Razak Nordin berpesan : Saya terima, saya baca, saya kongsikan.

Wednesday, January 26, 2011

Kenapa Saya Menulis?

Secara ringkas.

Sepatutnya perkara ini tidak perlu diberitahu pun.

Tetapi apabila ada yang bertanya secara 'tidak rasmi' kenapa saya menulis 'macam-macam' di blog-blog saya. Dan padanya ada perkara yang tidak patut dan tidak perlu pun dikongsi dan dituliskan.

Maka, terasa menjadi keperluan untuk saya menjelaskan.

Bermula.

Semuanya bermula dengan 'di sini kita berkongsi cerita hidup'. Namun, bukan sekadar 'di sini kita berkongsi cerita hidup'. Tersuratnya, berkongsi cerita hidup, tersiratnya, mengambil tauladan di sebalik apa yang berlaku.

Iktibar, inzar dan muhasabah.

Terpenting, sebagai ingatan dan muhasabah untuk diri sendiri.

Blog boleh jadi 'album' saya.
Blog boleh jadi 'nota maya' saya.
Blog boleh jadi catatan diari hidup saya.
Dan blog boleh jadi macam-macam pada saya.


Ketiga-tiga blog yang diharap dapat menyumbang mengikut 'posisi dan kapisiti' masing-masing.

Dan dalam macam-macam itu.
Harapnya, setiap apa yang saya tuliskan mempunyai nilai ibadah. Ada nilai dan balasan baik bagi setiap patah perkataannya.

Adakalanya.

Saya fikir, saya tulis dan kongsikan.
Saya baca, saya salin dan kongsikan.
Saya ingat, saya tulis dan kongsikan.
Saya nampak, saya tulis dan kongsikan.
Saya alami, saya cerita dan kongsikan.
Saya 'terjumpa', saya salin dan kongsikan.
Saya tahu, saya tulis dan kongsikan.

Dalam apa keadaan pun, saya masih berpegang dengan kaedah ; "Pengajaran diambil dari lafaz yang umum, dan bukan kerana sebab-sebab yang khusus".

Kecil atau besar, sedikit atau banyak, saya yakin benar bahawa setiap yang berlaku sudah tentu ada nilainya. Ada pengajaran sama ada yang tersurat atau tersirat juga.

Ada kisah keluarga.
Ada kisah diri sendiri.
Ada tentang manusia.
Ada juga tentang alam.
Dan ada macam-macam lagi.

Pendek kata, semuanya ada dan pernah saya tuliskan.

Bukan cerita besar dan agung, cuma cerita kecil dan picisan.

Penutup.

Dari semua itu, saya sentiasa mengharap yang ini :-

"Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya dalam surat amalnya, dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya dalam surat amalnya". (Surah Az Zalzalah : Ayat 7 dan 8).

Terjemahan dari Mushaf Malaysia Rasm Uthmani, Tafsir Pimpinan Ar Rahman Kepada Pengertian Al Quran, Dar Al Kitab-Malaysia.

Mudah-mudahan.

Razak Nordin berpesan : Saya mohon menjelaskan.

Monday, January 24, 2011

Tip Pengerat Cinta Suami Isteri : 'Apa Macam, Ada Berani'






Tip-tip di bawah bukan saya yang 'punya'. Saya hanya ingin berkongsi tip-tip yang dijumpai dalam majalah yang dibaca.

Jika anda 'ada berani'. Cubalah mana-mana yang disenaraikan di bawah ini.

Mana tahu, anda(saya juga) mungkin boleh mengubah kebiasaan yang sedang diamalkan.

  • Cium tangan suami dan dahi isteri setiap kali sebelum berpisah ke tempat kerja masing-masing.
  • Jika berpisah lebih dari sehari seperti untuk tugasan luar daerah, tambah rutin harian tadi dengan pelukan dan ciuman di bibir.
  • Walau sesibuk mana sekalipun, luangkan masa untuk menelefon pasangan sekurang-kurangnya sekali walau sekadar untuk bertanya apa yang dilakukan.
  • Sentiasa ucapkan kata-kata sayang seperti I Love U sepenuh hati sebelum keluar ke mana-mana, menamatkan perbualan telefon dan sebelum tidur.
  • Sentiasa mencari peluang untuk makan tengahari bersama kerana pastinya ia tiada gangguan anak-anak jika pada hari bekerja.
  • Amalkan bertanya apa yang berlaku sepanjang hari selepas pulang dari kerja sebagai tanda mengambil berat dan memberi peluang pasangan meluahkan perasaan.
  • Luangkan masa untuk berbual tentang apa saja dari isu rumah tangga hinggalah politik semasa sebelum tidur.
  • Mudah berbaik jika berlaku sebarang pertelingkahan, jangan biarkan berlarutan walau untuk satu jam sekalipun apatah lagi berhari-hari.
  • Teman pasangan semasa menonton rancangan kegemaran mereka walau sambil membaca akhbar misalnya, kerana apa yang penting ialah berada di sisi pasangan.
  • Jangan sesekali berpisah tempat tidur walau anak sudah berderet atau usia sudah meningkat kerana ia adalah salah satu amalan penting untuk mengeratkan kasih sayang.
  • Amalkan solat berjemaah semasa di rumah, berdoa bersama serta bersalam-salaman selepas bersolat.
  • Biasakan bergilir gelas atau pinggan semasa makan serta tidak segan atau geli untuk menghabiskan makanan atau minuman isteri atau suami.
  • Sesekali, buatlah kejutan seperti membeli hadiah atau kad untuk peristiwa tertentu, memakai pakaian dalam yang seksi atau apa sahaja yang anda tahu pasangan anda pasti menyukainya.
  • Senda gurau dalam rumah tangga amat penting, ceritalah sesuatu yang kelakar, teka-teki atau apa sahaja yang membolehkan anda ketawa bersama.

    Dipetik dari Mingguan Wanita September 2004. Halaman 111.

    Razak Nordin berpesan : Apa macam..ada harapan? Pakat kongsi sorang sikit.

Sunday, January 23, 2011

Anak-Anak : Antara Pesan Kita Dan Pesan Luqman






Untuk anak-anakku yang sedang membesar.
Anak-anakku,

Abi mungkin bukanlah bapa terbaik untuk memberikan nasihat-nasihat terbaik juga. Tetapi izinkan Abi memetik kata-kata nasihat Luqman Hakim semasa menasihati anak-anak kesayangannya.

Mudah-mudahan nasihat-nasihat tersebut menjadi nasihat untuk anakanda-anakanda juga.

Antara pesanan-pesanan Luqman untuk anak kesayangannya.

1. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

2. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

3. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

4. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

5 . "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Razak Nordin berpesan : Pesanan kita untuk anak-anak kesayangan kita, bagaimana?

Saturday, January 22, 2011

Pejuang, Ilmuan dan Hartawan Ke Neraka?






Berlumba-lumbalah buat kebaikan dan kebajikan, bukan berlumba-lumba menunjuk-nunjuk kebaikan dan kebajikan yang dilakukan.

Kenyataan yang selalu juga saya sebutkan.

Peringatan untuk diri dan sesiapa yang sudi menerimanya.

Sepatutnya apa yang diceritakan di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menggentarkan  semua orang yang masih ada rasa peduli tentang agama, tentang pahala dan dosa, tentang syurga dan neraka, tentang hari kiamat dan hari pembalasan.

Mudah-mudahan kita tidak menjadi pedagang yang muflis di negeri akhirat apabila bertemu Allah SWT nanti.

Dalam sebuah hadis Rasullullah yang panjang, diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Hurairah ada diceritakan bahawa pada hari kiamat, ada tiga golongan manusia yang diadili terlebih dahulu oleh Allah SWT iaitu para pejuang, orang berilmu dan hartawan.

Diriwayatkan dalam hadis bahawa proses terhadap setiap golongan tersebut adalah untuk memberi gambaran niat mereka di dunia dan tempat mereka di akhirat.

Perjuang ditanya : " Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?(yang melayakkan kamu dimasukkan ke syurga?).

"Aku berjuang dan bertempur pada jalan Allah SWT sehingga aku tewas dalam medan peperangan", katanya.

Allah berfirman : " Engkau berdusta. Engkau tewas bukan kerana engkau mempertahankan agama atau berjuang pada jalan Allah, tetapi hanya mengharapkan supaya engkau dikatakan orang seorang pahlawan. Oleh itu, tempatmu adalah neraka."

Kemudian disoal pula orang yang berilmu :
" Apakah yang telah engkau kerjakan di dunia?(yang melayakkan kamu dimasukkan ke syurga?).

Jawabnya : "Aku menuntut ilmu kemudian aku ajarkan kepada orang lain. Dalam pada itu aku sentiasa membaca Al Quran".

Allah berfirman : "Engkau berdusta, sebab engkau belajar dan mengajar supaya dikatakan orang bahawa engkau ulama dan cendiakiawan dan engkau selalu membaca Al Quran supaya engkau disebut sebagai qari. Oleh itu tempatmu juga di neraka".

Yang terakhir disoal adalah golongan hartawan :
Tuhan telah melapangkan hidupmu dan mengurniakan rezeki serta harta yang banyak kepadamu. Apakah yang dilakukan dengan nikmat-nikmat itu dalam kehidupanmu di dunia?"

Jawab si hartawan itu : " Aku menafkahkan harta yang dikurniakan itu ke jalan Allah". 

Allah berfirman : "Engkau berdusta kerana engkau nafkahkan harta itu hanyalah supaya engkau disebut orang sebagai seorang dermawan. Oleh itu tempatmu di dalam neraka."

Razak Nordin berpesan : Awas dan berwaspadalah!!! Semoga semua itu dijauhkan dari kita semua.

Bersyukurkah Umat Atas Cintanya






..Tidak lama kemudian Jibril pun turun dan duduk sebelah Rasulullah dan Rasulullah bersabda.

" Tidakkah kamu tahu bahawa ajalku sudah hampir selesai. Kerana itu tolong beritahu pahala dan kemuliaan yang Allah SWT sediakan bagiku disisiNya".

"Semua pintu langit telah terbuka dan malaikat sedang berbaris menunggu kedatanganmu, demikian juga pintu syurga", jawab Jibril a.s.

Rasulullah bertanya, "Bagaimana keadaan umatku pada hari kiamat nanti?".

"Percayalah kepadaku bahawa Allah SWT telah melarang semua Nabi-Nabi dan umatnya masuk ke Syurga sebelum kamu dan umatmu memasukinya", jelas Jibril lagi.

Begitulah Rasulullah SAW.

Saat-saat genting di penghujung usianya, ketika hampir rohnya akan dicabut oleh Malaikat Maut, ingatan berkekalannya tidak pernah padam untuk umatnya yang akan ditinggalkan.

Rasul yang sentiasa memikirkan umatnya. Di kala senang dan susah.

Sebelum itu.

Rasulullah SAW yang mendengar ketukan bersabda, "Tahukah engkau siapa dia?

"Tidak", jawab Fatimah, anak perempuan kesayangannya.

"Dialah Malaikat Maut yang akan mencabut segala macam kelazatan serta nafsu syahwat. Dialah yang akan memisahkan antara kita", jawab Baginda.

Fatimah kemudian menangis.

Ummati, Ummati, Ummati.

Solah.
Solah.
Solah.

Antara ungkapan terakhir seorang Rasul yang amat peduli tentang umatnya yang akan ditinggalkan.

Firman Allah SWT Surah Al Nisa' ayat 80 yang bermaksud :- 

80. Sesiapa Yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa Yang berpaling ingkar, maka (janganlah Engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan).
Dan Firmannya, Surah Ali Imran ayat 144:-

144. Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul Yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? dan (ingatlah), sesiapa Yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur (akan nikmat Islam Yang tidak ada bandingannya itu).

Razak Nordin berpesan :Pedulikah sebahagian umat dengan kepedulian itu.

Saturday, January 15, 2011

Kehidupan Lelaki Bermula Umur 40?

Orang kata, kehidupan lelaki bermula umur 40.

Saya pun tidak pasti kerana belum melalui umur tersebut. Kalau ada rezeki dan ditakdirkan, saya akan merasai sendiri pengalaman tersebut tahun hadapan untuk hidup yang lebih menjanjikan. Untuk dunia dan akhirat juga. 

Harapnya 'kata orang' itu ada benarnya. Setelah melalui zaman 30-an dengan 'sedikit hambar' dengan beberapa ujian yang tidak perlu diulang sebut di sini.

Menyelusuri Perjalanan Menuju Umur 40

Saya 'terjumpa' beberapa gambar dari koleksi rakan-rakan dan juga koleksi peribadi. Melihat saya berubah dari segi fizikal dan mental.
Ketika zaman persekolahan menengah, kalau tidak silap semasa tingkatan 5.
Berumur 17 tahun.
 Tahun 1989.
 Gambar dari album facebook Abu Hakim.
Semasa bekerja di Politeknik Kota Kinabalu Sabah.
Sekitar tahun 2000.
  Berumur 28 tahun.

Tahun 2005.
Berumur 33 tahun.
Dua bulan lebih sedikit selepas berkahwin. Walaupun agak terlewat, tapi syukur atas segala hikmahnya.  
Terima kasih kepada En. Rashdan atas kedua-dua gambar di atas dan di bawah ini :-
Tahun 2006.
Berumur 34 tahun.
Tahun 2010.
Berumur 38 tahun.
12 Jan 2011.
Berumur 39 tahun.

'Menunggu' dengan sabar angka 40. Tahun 2012.

Ingin melihat dan merasai sendiri bagaimana dikatakan bahawa kehidupan seorang lelaki bermula pada usia tersebut.

Jika ditakdirkan Tuhan.

Apa yang paling penting pada saya ialah pesanan di bawah untuk diri sendiri. Tanpa perlu menunggu usia meningkat ke angka 40:-

Razak Nordin berpesan : Semoga perjalanan hidup dan segala 'mehnah'nya yang telah, sedang dan bakal dilalui biarlah sebagai seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Mudah-mudahan setiap detik yang telah, sedang dan akan dilalui semuanya mempunyai nilai ibadah. 

Wednesday, January 12, 2011

Tabik Spring Untuk Datuk Lee Chong Wei






Letakkan di tepi segala perbezaan yang ada dan izinkan saya 'tabik spring' kepada Datuk Lee Chong Wei.
Secara peribadi, tidak salah rasanya apabila saya merasa tersentuh dengan sikap yang ditunjukkan oleh Datuk Lee Chong Wei dengan kata-kata yang merendah diri dan penuh berhikmah, sedangkan dia 'boleh berkata-kata' lebih daripada itu kerana dia adalah pemain nombor satu dunia ketika ini dalam bidangnya iaitu badminton.

Namun sikap rendah diri serta tahu mengenang budi, kelebihan dan status yang ada padanya tidak pula menjadikannya besar kepala dan mudah lupa jasa-jasa orang lain yang pernah membimbing serta memberikan tunjuk ajar kepadanya. Orang yang 'menjadikannya' seperti hari ini.  

Lihatlah kata-kata di bawah ;

Saya masih perlukan Misbun: Chong Wei

"Saya tidak boleh buat apa-apa kerana Misbun letak jawatan pada saat-saat akhir sebelum saya bersiap sedia pergi ke Taiwan. "Saya memang perlukan khidmat dia (Misbun) dan jelas mengganggu konsentrasi dan fokus saya semasa di Taiwan," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Taiwan, di sini hari ini.

Katanya, walaupun Misbun telah meletak jawatan jurulatih perseorangan badminton negara berkuatkuasa 31 Disember lalu, "sifunya" tetap mengikuti perkembangan beliau semasa kejohanan di Taiwan itu.

"Misbun ada menelefon saya di sana dengan membuat analisis perlawanan saya. Meskipun jauh, saya tetap gembira kerana dia tetap mengikuti perkembangan saya ketika itu," katanya.

Ditanya mengenai hasratnya untuk keluar daripada naungan BAM, Chong Wei berkata beliau menunggu perkembangan terakhir isu peletakan jawatan Misbun sebelum membuat keputusan.

"Saya mahu mengetahui keputusan penuh sebelum saya betul-betul membuat keputusan sama ada menarik diri atau terus di bawah persatuan itu," katanya.

Disedut  dari sini

Apa salahnya kita belajar sesuatu darinya. Paling tidak pun untuk sebuah nilai kemanusiaan.

Ketika mana, sedikit kelebihan yang ada telah banyak menjadikan manusia besar kepala dan lupa diri bahawa dirinya adalah manusia yang saling memerlukan.

Razak Nordin berpesan : Ketika di puncak kejayaan dan kemegahan, bukan mudah untuk manusia tunduk merendah.

Monday, January 10, 2011

Kebaikan Yang 'Mampu Milik'







Walaupun al Quran dan Sunnah tidak menjelaskan definisinya namun demikian dijelaskan sebahagian dari contoh-contohnya, demi untuk menarik perhatian manusia supaya diberikan penumpuan dan keutamaan.

1. Ilmu dan hikmat adalah kebaikan.

2. Menunjuk kepada kebaikan dan memandu orang lain tidak kurang pentingnya dari mengamalkan kebaikan itu sendiri.

3. Baik hati.

4, Bertolak ansur.

5. Rahmat.

6. Lemah lembut.

7. Diberi faham dalam agama.

8. Diberikan ilham kepada kebenaran.

9. Akhlak yang baik.

10. Usaha dengan tangan sendiri.

11. Meringankan beban.

12. Simpati kepada kesusahan.

13. Bekerja dengan tangannya, lalu ia dapat memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.

14. Menolong orang yang memerlukan pertolongan sama ada yang teraniaya atau yang lemah. Itu sedekah.

15. Menyuruh pada yang makruf. Itu sedekah.

16. Menahan dari melakukan kejahatan. Itu juga sedekah.

17. Menanam pokok, lalu dimakan sebahagiannya oleh manusia atau binatang ataupun sesuatu melainkan ianya menjadi sedekah.

18. Kalimah yang baik menghindari api neraka.

19. Peliharalah dari api Neraka walaupun dengan secebis buah tamar.

20. Amalan seseorang itu akan dihisab walau sekecil atom sekalipun.

21. Bersedekah walaupun hanya dengan sebutir anggur.

22. Bersedekah walaupun hanya dengan dua biji tamar.

23. Senyum ketika bertemu adalah sedekah.

24. Membuang sesuatu yang bahaya dari tengah jalan.

25. Melangkah ke masjid.

26. Beramal dengan ilmunya.

27. Membelanjakan untuk kebajikan dari lebihan hartanya.

28. Menahan lebihan dari kata-katanya.

Razak Nordin berpesan : Sesuatu yang 'mampu milik' oleh golongan 'marhain' untuk berbuat kebaikan dan kebajikan. 

Saturday, January 8, 2011

Kembar Tak Jadi Takperlah







Kandungan anak ketiga kami kali ini dibayangi satu dua 'kontroversi'.

Di awal kandungan sekitar bulan ke 3 atau 4 dikatakan bahawa kandungan tersebut adalah kembar. Namun 'semakan semula' doktor mengesahkan bahawa kandungan tersebut bukanlah kembar tetapi berlaku kesilapan 'teknikal' pada pemeriksaan kali pertama.

Dan sebagai manusia bertaraf hambaNya, kami menerima segala ketentuannya. Tidak kiralah sama ada kandungan tersebut kembar atau tidak, apa yang penting bagi kami adalah semuanya baik-baik belaka. Ibu yang mengandung dan juga anak yang sedang dikandung. Dari segala seginya. Jasmani dan rohani juga.

Dan pada hari Rabu yang baru lalu, kontroversi serupa berulang lagi. Pemeriksaan 'tidak rasmi' di sebuah klinik swasta 'mengesahkan' bahawa kandungan isteri saya adalah kembar. Dan ketika kandungan sudah memasuki minggu ke 35, 'pengesahan' itu menyebabkan isteri saya tidak lena tidur malam dan saya pula 'sejuk kaki tangan' dalam dua tiga hari ini.  Antara teruja dan gelisah jiwa hanya Tuhan yang tahu.

Antara teruja dan gelisah jiwa itu, seawal pagi tadi kami 'bergegas' ke salah sebuah pusat pemeriksaan pakar di Alor Setar untuk mendapatkan pengesahan. Dari orang yang lebih pakar dalam bidangnya. Mudah-mudahan teka-teki yang sedang membelenggu jiwa tersebut bakal terjawab. Agar bebanan jiwa tersebut menjadi ringan sedikit selepas itu.

Perjalanan dari Ulu Pauh ke Alor Setar pagi tadi penuh 'suspen' dan serba gelisah. Jiwa, hati dan perasaan juga. Namun saya sembunyikan semua itu dari isteri sekurang-kurang untuk memberikan keyakinan kepadanya yang sudah terlalu 'terganggu' antara rasa percaya dan tidak dengan berita yang diterimanya tempohari.  

Dan ketika isteri masuk membuat pemeriksaan, saya kelu di kerusi hujung, sesekali menelan liur kerana gelisah dan berdebar-debar sambil memantau anak-anak yang sedang bermain sesama mereka. Sesekali menjeling pintu bilik pemeriksaan. Adakala mata memandang merata tetapi fokus minda saya hanya pada isteri. Berita apakah yang bakal dibawanya keluar dari bilik pemeriksaan tersebut. Dan jadinya, jiwa sedikit kacau dan dada pula berdebar-debar.

'Macam mana, seorang ke kembar', soalan pertama yang terpacul dari mulut saya sebaik sahaja isteri keluar dari bilik pemeriksaan. Seakan tidak sabar kerana teruja dan gelisah jiwa itu.

'Sorang je, XX, perempuan', jawab isteri menyelesaikan teka-teki tersebut.

'Baru lega rasa hati, tak kiralah seorang atau kembar, yang penting selamat dan baik-baik belaka', saya menambah, sambil kami menuju ke kereta.

Dan tangan serta kaki saya, sejuknya semakin berkurang sedikit demi sedikit.

Dan sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Terang atau tersembunyi.

Dan semoga seorang yang bakal dilahirkan itu baik-baik belaka hendaknya. Hanya kepadaMu wahai Tuhan, kami bermohon.

Dengan sabar menanti tarikh 3 Febuari 2011 dan 'sekitarnya'. 'Due date' baru yang diberikan oleh doktor tadi.

Seminggu lebih awal berbanding 'due date' sebelum ini iaitu pada 8 Februari 2011.

Razak Nordin berpesan : Permudahkan untuk kami semuanya wahai Tuhan yang Maha Berkuasa.

Friday, January 7, 2011

Pesanan Ringkas Untuk Homosepian

Homosepian.

Jika engkau tidak mampu untuk :-

Menggembirakan orang lain.
Menyenangkan orang lain.
Membantu orang lain.
Membahagiakan orang lain.
Membuatkan orang lain tersenyum.
Meringankan beban orang lain.
Mertertawakan orang lain.
Menyembuhkan orang lain.

Janganlah pula engkau memilih untuk :-

Membuatkan orang lain menangis.
Menyusahkan orang lain.
Membebankan orang lain.
Menderitakan orang lain.
Membuatkan orang lain masam mencuka.
Menyakitkan orang lain.
Mengadu-domba orang lain.

Kerana kau dan orang lain itu, sama-sama Homosepian.

Razak Nordin berpesan ; Ingatlah bahawa nama-nama besar dunia seperti Firuan, Qarun, Hamman, Namrud dan yang lain-lainnya tiada yang menongkat langit untuk hidup kekal lagi abadi di dunia ini.

Kalau Boleh, Antara Seronok Dan Keletihan Itu Biarlah Berbaloi






Banyak yang kita lalui dalam kehidupan. Adakalanya seronok dan ada ketikanya penat,lelah dan letih juga.

Tetapi kalau boleh biarlah antara seronok, penat, letih dan lelah itu berbaloi kiranya.
Berbaloi dunia dan akhirat juga.

Adakalanya ;-

Menghantar anak ke sekolah, letih dan penat tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Melakukan macam-macam kerja, masuk kelas serta segala tugas sampingan lain, mengundang rasa letih, penat dan tertekan tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Tersenyum manis dan ketika lain tersenyum pahit pula tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Bermain, berseronok dengan hobi dan kesukaan masing-masing tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Bersembang, bermesra, berkawan serta bersahabat tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Bercuti, berkorban tenaga dan wang ringgit tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Menangis, berduka dan berlara tetapi mudah-mudahan di dalamnya ada nilai ibadah.

Dan segala macam rencah hidup yang telah, sedang dan akan dilalui, Insyallah.

Sama ada manis atau pahit, mudah-mudahan di dalamnya ada nilai-nilai ibadah.

Untung di dunia pun dapat, untung di akhirat pun dapat.

Semoga ianya menjadi antara yang baik-baik antara banyak yang baik-baik untuk kita.

Homosepian.

Razak Nordin berpesan ; 'Menyelam sambil-sambil minum air yang telah 'diklorinkan', berbaloi juga'.

Tuesday, January 4, 2011

Pertanyaan Dari Langit






Apabila Allah 'bertitah' dan 'bertanya'?  

1. (Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.

2. Dia lah Yang telah mengajarkan Al-Quran.

3. Dia lah Yang telah menciptakan manusia; -

4. Dia lah Yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.

5. matahari dan bulan beredar Dengan peraturan dan hitungan Yang tertentu;

6. dan tumbuh-tumbuhan Yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya.

7. dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta ia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan,

8. supaya kamu tidak melampaui batas Dalam menjalankan keadilan;

9. dan betulkanlah cara menimbang itu Dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang Yang ditimbang.

10. dan bumi pula dijadikannya rata untuk kegunaan manusia dan makhluk-makhlukNya Yang lain:

11. terdapat padanya berbagai jenis buah-buahan dan pohon-pohon kurma Yang ada kelopak-kelopak mayang;

12. demikian juga terdapat biji-bijian Yang ada jerami serta daun, dan terdapat lagi bunga-bungaan Yang harum;

13. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan (Wahai umat manusia dan jin)?

14. ia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar,

15. dan ia telah menciptakan jin dari lidah api Yang menjulang-julang;

16. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

17. (Dia lah) Tuhan Yang mentadbirkan dua timur, dan Tuhan Yang mentadbirkan dua barat.

18. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

19. ia biarkan air dua laut (yang masin dan Yang tawar) mengalir, sedang keduanya pula bertemu;

20. di antara keduanya ada penyekat Yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya;

21. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

22. dari kedua laut itu, keluar mutiara dan marjan;

23. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

24. dan Dia lah Yang Menguasai kapal-kapal Yang belayar di laut, Yang kembang tinggi layarnya seperti gunung-ganang;

25. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

26. Segala Yang ada di muka bumi itu akan binasa:

27. dan akan kekalah zat Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan:

28. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

29. sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. tiap-tiap masa ia di Dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!

30. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan)?

31. Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) Wahai manusia dan jin!

32. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

33. Wahai sekalian jin dan manusia! kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan kami), maka cubalah kamu menembus keluar. kamu tidak akan menembus keluar melainkan Dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan kami; Masakan dapat)!

34. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

35. kamu (Wahai golongan Yang kufur ingkar dari kalangan jin dan manusia) akan ditimpakan Dengan api Yang menjulang-julang dan leburan tembaga cair (yang membakar); Dengan Yang demikian, kamu tidak akan dapat mempertahankan diri (dari azab seksa itu);

36. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

37. selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak;

38. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

39. pada masa itu tiada sesiapapun, sama ada manusia atau jin, Yang akan ditanya tentang dosanya (kerana masing-masing dapat dikenal menurut keadaannya);

40. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

41. orang-orang Yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

42. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

43. (lalu dikatakan kepada mereka): "Inilah neraka jahannam Yang selalu orang-orang Yang berdosa mendustakannya ".

44. mereka (terus diseksa) berulang-ulang di antara api neraka Dengan air Yang menggelegak Yang cukup masak panasnya!

45. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

46. dan orang Yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga, -

47. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

48. (dua syurga) Yang ada berjenis-jenis pohon dan buah-buahan; -

49. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

50. pada kedua-dua syurga itu terdapat dua matair Yang mengalir; -

51. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan.

52. pada kedua syurga itu terdapat dua macam dari tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan Yang luar biasa).

53. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

54. mereka (bersenang-senang di tempat masing-masing Dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, Yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya - dari sutera tebal Yang bersulam; dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.

55. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

56. di Dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari Yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), Yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin;

57. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

58. bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.

59. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

60. Bukankah tidak ada balasan bagi amal Yang baik - melainkan balasan Yang baik juga?

61. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

62. dan selain dari dua syurga itu, dua syurga lagi (untuk menjadi balasan bagi golongan peringkat Yang kedua);

63. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

64. kedua-duanya menghijau subur tanamannya;

65. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

66. Dalam kedua-dua syurga itu terdapat dua matair Yang terus menerus memancutkan airnya:

67. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

68. pada keduanya juga terdapat buah-buahan, serta pohon-pohon kurma dan delima,

69. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

70. Dalam kedua-dua syurga itu juga terdapat (teman-teman) Yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya;

71. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

72. ia itu bidadari-bidadari, Yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing;

73. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

74. (Bidadari-bidadari itu) tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan tidak juga oleh jin;

75. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

76. penduduk syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar Yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani Yang sangat indah.

77. maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?

78. Maha Sucilah nama Tuhanmu Yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.

Razak Nordin berpesan ; Apalagi yang mampu didustakan manusia?

Saturday, January 1, 2011

Apa Yang 'Seronok' Tentang Tahun Baru







Tahun baru bukan sekadar pesta dan bunga api. Bukan juga secukup ucapan-ucapan.

Jangan sesekali lupa bahawa setiap kali munculnya tahun baru ia membawa banyak makna sama ada yang tersurat dan juga yang tersirat.

Pasti ada yang akan berkurang dan bertambah bagi setiap saat yang berdetik. Begitulah juga setiap kali bertambahnya tahun-tahun dalam kehidupan dunia.

Tahun baru boleh jadi(baca sebenarnya) bermakna ;

Bertambah lagi usia kita.
Kita menjadi semakin tua.
Kulit tegang makin mengendur.
Wajah segak semakin berkedut dan kusam.
Sisa usia semakin berkurang.
Sisa tenaga semakin menurun.
Bertambahnya amanah dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan.
Pandangan mata makin kabur.
Sendi-sendi pula makin longgar serta sakit-sakit pula.
Hitam rambut makin berkurang.
Uban pula makin bertambah.
Kehidupan dunia semakin ditinggalkan.
Kehidupan akhirat semakin hampir.

Umur dunia semakin berkurang.
Kiamat semakin hampir.
Dan pastinya kematian semakin menghampiri.

Dan mungkin banyak lagi yang bertambah dan berkurang yang tidak dituliskan setiap kali munculnya tahun baru.

Cuba-cubalah perasan dan ambil peduli. Sikit-sikit kalau pun tidak banyak.

Kerana manusia adalah hamba dan khalifah yang ada amanah dan tanggungjawab multi demensi.

Dunia dan akhirat juga.

Razak Nordin berpesan ; Mudah-mudahan kita tidak salah dalam 'memandang'. Berseronok dengan 'kehilangan' dan 'kekurangan'. Pada saya pelik juga tu!!!