Secara peribadi, saya masih berpegang bahawa 'cubaan' mengubah manusia dengan hanya mengubah sistem adalah sesuatu yang tidak 'solid'.
Bukan bermakna saya mengatakan bahawa 'sistem-sistem' tidak penting untuk 'mensistemkan' manusia. Namun pada saya, ianya memerlukan dua sistem yang saling lengkap melengkapi.
Pertama, mensistemkan sistem yang bersifat keras tanpa 'unsur dalaman dan mata hati'
Dan keduanya, mensistemkan rohani manusia yang ingin disistemkan oleh sistem yang tiada 'unsur dalaman dan mata hati' tersebut.
Banyaknya sistem dibuat untuk mendisiplinkan manusia.
Sekadar beberapa contoh.
ISO.
Amalan 5S.
Sistem Biometrik.
Dan banyak lagi yang tidak disenaraikan di sini.
Sudahnya sistem ISO selalu juga diakronimkan dengan istilah 'Ikut Suka Orang' dan berkemungkinan banyak melahirkan 'pelbagai keputusan yang baik pada pandangan mata'. Tetapi yang tersurat dan tersirat barangkali berbeza.
Menukar sistem 'punch card' yang menggunakan 'kertas tebal' kepada sistem biometrik yang menggunakan jari jemari dan memerlukan pemiliknya hadir sendiri, memungkinkan kehadiran masuk dan keluarnya adalah 'complete' tetapi adakah jasadiahnya juga 'complete' di tempat yang sepatutnya jasad tersebut berada pada masa yang betul.
"Berada di tempat yang betul, pada masa yang betul", terjemahan dari perpatah orang putih.
Dan banyaknya juga kursus yang telah dihadiri.
Dan terbaru, pada 15-17 Mac 2011 yang lalu, saya telah menghadiri satu lagi kursus iaitu Operasi Kaunter Berkesan.
Secara fizikalnya, saya menghadiri kursus tersebut 100%. Tetapi secara rohaninya, saya tidak 'menghadiri' kursus tersebut 100%. Ada banyak perkara yang membelenggu fikiran ketika itu. Menyebabkan saya sungguh tidak bersedia untuk melaluinya selama 3 hari tersebut. Dari segi mentalnya.
Tapi alhamdulillah, setelah saya cuba positifkan apa yang sedang dialami, akhirnya saya berjaya juga melalui 'detik-detik sukar' tersebut.
Hari pertama dilalui penuh tekanan. Tetapi hari kedua dan ketiga, lebih baik apabila aura positif lebih banyak menguasai minda.
Ada maklumat-maklumat baru yang diterima dan ada juga yang sudah biasa didengar lewat kursus-kursus yang pernah dihadiri sebelum ini, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Terima kasih kepada Dr. Mohd Khair Bin Md. Som atas perkongsian selama 3 hari tersebut.
'Khulasah'nya.
Menghimpunkan semuanya, dari dulu hingga kini, lalu saya membuat satu kesimpulan bahawa lebih susah mengamalkan apa yang telah diketahui daripada mengambil tahu apa yang belum diketahui.
Lebih mudah memberi tahu dan 'ambil tahu'. Melaksanakan apa yang diketahui mungkin lebih susah dan banyak cabarannya.
Mungkin benarlah kata Maududi.
"Islam bukan semata-mata bergantung kepada undang-undang untuk mewujudkan keadilan sosial, tetapi juga penting mengubah rohani manusia melalui keimanan(faith), sembahyang, pendidikan dan latihan moral, untuk mengubah keutamaan pilihan dan cara berfikir serta menanam semangat tanggungjawab moral yang tinggi dan menjadikannya adil. Andainya cara-cara ini gagal, maka masyarakat Islam sepatutnya berupaya untuk mempengaruhi individu untuk mematuhi 'had-had'. Sekiranya cara ini juga menemui jalan buntu maka Islam boleh menggunakan kuasa undang-undang untuk mewujudkan keadilan".
(lihat : Pemikiran Ekonomi Islam, Suatu Tinjauan Penulisan Semasa oleh Muhammad Nejatullah Siddiqi dan diterjemahkan oleh Mohd. Amin Abdullah pada halaman 15).
Razak Nordin berpesan : Adakalanya yang diketahui lebih banyak berbanding 'kemampuan' untuk mengimplikasikan dalam amalan seharian.