Wednesday, April 27, 2011

Kerana Nada Suara Aku Pernah Terkilan







Orang kata, jika seseorang yang sedang bercakap dengan kita mengelak dari melihat atau bertentang mata dengan kita, kemungkinan besar dia sedang menipu dalam percakapannya.

Kerana saya belum pernah berjumpa dengan kajian-kajian ilmiah yang mengesahkan teori tersebut, maka saya memilih untuk mempercayainya buat masa ini.

Dengan sedikit pengalaman sendiri dan orang-orang terdekat dalam hidup saya. Semacam mengesahkan lagi kebenaran tersebut.

Bagaimana pula dengan nada suara?

Dalam kaedah komunikasi, komunikasi dibahagikan kepada dua iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan. 
Dan komunikasi secara lisan hanya mewakili 20%, sementara komunikasi secara bukan lisan mewakili 80%.  

Jika dengan mata kita boleh mengesan sama ada 'tuan mata' bercakap benar atau  berbohong atau menipu, nada suara yang berbentuk lisan mewakili 20 % tersebut pula dikatakan boleh melahirkan perasaan yang pelbagai.

  • Kebosanan
  • Kemarahan
  • Tidak yakin
  • Keresahan
  • Kecil hati
  • Bersemangat
  • Berminat
Walaupun peratusnya hanya kecil, namun dari lisan yang kecil peratusnya itu juga boleh menceritakan banyak perkara tentang seseorang kepada diri kita atau tentang diri kita kepada seseorang.

Tidak perlu sebuah karangan serta ulasan berjela-jela untuk menceritakan, cukuplah dengan nada suara untuk menggambarkan perasaan-perasaan yang disebutkan di atas.  

Rasa Terkilan 

Insyaallah.

Majlis konvokesyen akan berlangsung lagi pada 9 Mei 2011.

Harap-harap tahun ini, sebagai 'Floor Manager' saya tidak akan dimaki hamun lagi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Terkilan juga, apabila dimaki hamun oleh 'orang-orang' yang anak-anak mereka pernah menjadi pelajar kita di pusat pengajian ini sama ada secara langsung atau pun secara tidak langsung.

Dan banyak lagi cerita terkilan apabila ada 'orang-orang di luar' sana tidak berapa bijak 'bernada suara'  melalui telefon terutamanya dengan insan-insan yang pernah menyumbang bakti untuk anak-anak mereka. Kalaupun sumbangan itu tidaklah setinggi gunung, sehuruf alif juga bernilai ilmu.

Dalam keadaan seperti itu, mampukah diamalkan kaedah berkomunikasi melalui telefon yang pernah diajarkan?

1. Jawab telefon sebelum berdering lebih daripada 3 kali.
2. Senyum apabila menjawab.
3. Jawab menggunakan 4 teknik asas : Ucap selamat, kenalkan lokasi, kenalkan diri, tawarkan bantuan.
4. Tunjukkan kemesraan dalam nada suara anda.
5. Bertanya siapa pemanggil.
6. Bersedia dengan pen dan kertas untuk mengambil maklumat.
7. Ulang dan ringkaskan keperluan pemanggil.
8. Ucap terima kasih kepada pemanggil.
9. Biar pemanggil meletakkan telefon dahulu.

Mungkinkah?

Mungkin tidak banyak.
Mungkin tidak ramai.

Yang membuat 'peel' seperti itu.

Tetapi nada-nada suara seperti itu pernah melukakan hati-hati kami, yang pernah mengajar anak-anak watan tentang adab sopan, tata susila dan budi bahasa.

Saya mewakili diri sendiri, juga bagi pihak kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang pernah menjadi mangsa dan sudi berkongsi bercerita, saya bagi pihak mereka ingin memberitahu.

No comments: