Merasai sendiri dan melihat sahabat-sahabat yang dekat dan jauh menerima ujian Tuhan dalam pelbagai bentuk dan keadaan mendorong saya untuk menulis tentang perkara di atas. Paling tidak pun, sebagai suatu 'inzar' dan bahan renungan buat diri sendiri dan sesiapa yang sudi menerima peringatan.
Bentuk ujian pula pelbagai bentuk dan keadaan.
Ada yang diuji dengan sakit yang lama dan berpanjangan. Namun belum ada kesembuhan sepenuhnya walaupun pelbagai usaha telah dilakukan. Kejerihan dan wang ringgit usah dikirakan. Dan doa pula tidak pernah putus-putus terus dipanjatkan. Dengan khauf dan raja' pada Ilahi.
Tidakkah semua itu patut menginsafkan? Bahawa kita adalah hamba yang tiada upaya kecuali yang dipinjamkan.
Sementara.
Apabila kekayaan tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila pangkat tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila keturunan tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan.
Apabila segala yang dimiliki di dunia ini tidak boleh membeli kesihatan.
Dan.
Sakit itu pula berbagai-bagai bentuk pula.
Sakit lutut, sakit kepala
Ada yang diuji dengan kehilangan.
Ada yang diuji dengan kemalangan.
Ada yang diuji dengan tekanan perasaan.
Dan bermacam-macam bentuk ujian lagi.
Masih Berbakikah Ego Manusia?
Kehidupan dan ujian hidup yang tidak mungkin berpisah. Akan sentiasa ada, bezanya cuma mungkin kecil besar, ringan atau berat, lama atau sekejap.
Pengalaman sendiri.
Sekurang-kurangnya sejak lima tahun kebelakangan ini, bermula 2005 sehingga kini, tahap kesihatan saya agak kurang stabil. Bermula apabila saya terjatuh di Alor Star Mall sekitar Ogos 2005 sehingga kini, sejak itulah saya tidak pernah berputus asa berjuang untuk terus hidup sihat dan terus hidup.
Sudah tidak terkira berapa banyaknya Ringgit Malaysia yang terpaksa dihabiskan dalam usaha mendapatkan rawatan-rawatan serta membeli ubat-ubatan dalam usaha menyembuhkan diri dan hidup yang sihat. Dan betapa banyaknya ubat-ubat yang ditelan sama ada secara rela atau terpaksa. Berbagai-bagai jenis, bentuk dan rasa pula.
Menjelajahi bumi Tuhan mencari penawar di mana ada. Kadangkala banyak menyembunyikan kesakitan dan kegelisahan di sebalik senyum dan tawa yang sengaja dimaniskan. Nanti dikata berlebih-lebihan dan tidak rela menerima ujian Tuhan.
Bagaikan orang yang sangat-sangat mengantuk lalu disorongkan bantal.
Mungkin begitulah sifatnya orang-orang yang sakit dan tidak sabar-sabar untuk sembuh. Apa sahaja produk atau ubat-ubatan baru yang diperkenalkan, pasti akan dicuba sehingga kadangkala terlupa soal wang dan kesan sampingan, berkesan atau tidak.
Tidak Pernah Berhenti Berharap
Doa kesembuhan untuk diri sendiri dan juga sahabat-sahabat yang sedang diuji dengan sakit yang belum ada kesembuhan.
Semoga kesakitan dan kelamaan merasai segala ujian itu menjadikan kita semua semakin dekat denganNya.
Semoga kita tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah.
Cuma mungkin itulah takdirnya untuk kita buat masa ini dan harinya masih belum tiba untuk kita menerima rahmat kesembuhan itu.
Kepada yang belum merasai.
Rasanya tidak perlulah menunggu keegoan hidupmu ditundukkan oleh kesakitan dan segala macam ujian lain yang tiada penyembuhnya kecuali KEMATIAN.
Razak Nordin berpesan ; Aku yang pernah dan sedang merasai.