Tuesday, February 14, 2012

Pantai Lagikan Berubah

Sekali air bah, sekali pantai berubah.

Inikan manusia yang punya hati dan perasaan. Manusia yang hatinya sentiasa berbolak balik. Manusia yang Imannya kadang bertambah, kadang berkurang.

Begitulah dengan saya.

Misalnya.

Selepas kematian ibu tercinta pada tahun 1999, saya mengubah peraturan balik kampung pada musim perayaan yang telah dimeterai bersama isteri. Kalau dahulunya, balik kampung hanya mengikut giliran yang telah dipersetujui dan bermakna suami atau isteri hanya dapat berjumpa ibu bapa, adik beradik serta saudara mara hanya sekali dalam masa dua tahun. Saya maksudkan, perjumpaan pada hari raya Aidil Fitri. Tidak termasuk balik kampung pada masa-masa yang lain.

Namun selepas itu, berlaku sedikit penyesuaian. Saya mengekalkan giliran yang sepatutnya, tetapi pada hari raya ketiga atau keempat, kami akan berkonvoi pula ke kampung pasangan masing-masing. Setelah saya tersedar selepas terantuk, bahawa kasih sayang serta hubungan silaturrahim, rupanya tiada harga jika dibandingkan dengan mata benda dunia. Kejauhan geografi bukan lagi ukurannya kepada sebuah 'gurisan hati.'

Kata orang.

Kita mungkin boleh membeli rumah, tetapi kita tidak boleh membeli sebuah kediaman.
Kita mungkin boleh membeli hiburan, tetapi kita tidak boleh membeli sebuah kegembiraan.
Kita mungkin boleh membeli tilam yang empuk, tetapi kita tidak boleh membeli lenanya tidur.
Kita mungkin boleh membeli makanan yang enak-enak serta lazat-lazat, tetapi kita tidak boleh membeli selera untuk makan.

Tentang Cuti.

Dan apabila saya bercadang untuk bercuti dan hanya berada di rumah, ada kawan-kawan yang perasan dan 'hairan' tentang perubahan 'prinsip' itu.

Kerana, dulu-dulu saya berpandangan bahawa cuti bermakna saya mesti 'melarikan diri' dari bumi PTSS. Ke mana pun tak kisahlah, yang penting PTSS tiada dalam pandangan mata kalau pun tidak hilang dari ingatan. Lama saya memegang prinsip peribadi tersebut sehinggalah ia berubah setidak-tidaknya bermula tahun 2012 ini.   

Minggu lepas saya telah mengambil cuti selama dua hari. Kononnya untuk berehat di rumah. Rupanya 'cuti rehat' itu hanyalah alasan dalam catatan. Fizikal dan mental saya tidak pula mampu berehat seperti yang sepatutnya dan diinginkan.  

Dan minggu depan, sambil-sambil mengambil kesempatan cuti semester selama satu minggu, saya bercadang untuk mengambil cuti selama lima hari.

Satu minggu penuh.

Hanya untuk berada di rumah. Kerana isteri bekerja dan anak-anak pula bersekolah.

Jangan ditanya panjang lebarnya.

"Kalau Kau Menjadi Aku, Aku Yakin Kau Akan Mengerti"

Bila sesekali air bah. Maka pantainya pun turut berubah.

Begitulah.

Bila akal semata tanpa wahyu.

Sampai masanya ia akan menemui jalan buntu.  Kesempurnaan yang diharapkan sering dikurangi oleh kecacatan yang tidak pernah difikirkan oleh keterbatasan akal. Relevennya barangkali mengikut perubahan masa, tempat dan keadaan.

Releven kelmarin, mungkin bukan hari ini dan esok.
Releven disini, mungkin tidak releven di sana.
Releven di watan ini, mungkin tidak releven di watan lain.

Tiada peliknya bagi sesuatu prinsip yang kadangkala hanya berajakan nafsu tanpa wahyu.

Seperti Titanic, Kapal Nabi Nuh tanpa atau dengan Bi A’yuninaa Wa Wahyinaa

Apakah kamu tidak melihat, berfikir dan mengambil iktibar?

No comments: