Ibnul Qayyim Al Jauziyah di dalam Zaadul Ma'ad( Bekal Menuju Akhirat) telah menukilkan tentang saat diam, saat tersenyum dan saat menangis baginda Rasulullah SAW. Pedoman dari seorang Rasul yang padanya ada uswatun dan qudwatun hasanah.
Rasulullah SAW adalah makhluk Allah yang paling fasih, paling merdu kata-katanya, paling lembut tutur katanya, sehinggakan perkataan baginda dapat mempengaruhi hati sekian banyak manusia dan menawan jiwanya. Bahkan musuh-musuh baginda juga mengakui hal ini. Jika berkata, perkataan baginda terinci dan jelas, terkadang diulang-ulang, tidak terlalu cepat dan tidak pula terlalu lambat, tidak terputus-putus atau tersela dengan diam. Terkadang baginda mengulang hingga tiga kali, agar perkataan baginda benar-benar boleh difahami.
Baginda lebih banyak diam jika memang tidak diperlukan untuk berkata-kata. Mengawali dan mengakhiri perkataan dengan hujung bibirnya, berkata-kata dengan menggunakan kata-kata yang banyak kandungan maknanya, tidak terlalu banyak, dan tidak pula terlalu sedikit, tidak membicarakan sesuatu yang tidak diperlukan, tidak berkata kecuali yang diharapkan pahalanya. Jika baginda tidak menyukai sesuatu, maka perkara itu dapat diketahui melalui raut wajah baginda. Tawa baginda berupa senyuman, bahkan semuanya berupa senyuman. Puncak senyuman baginda ialah gigi geraham baginda kelihatan. Baginda tersenyum kerana memang ada sesuatu yang membuat baginda tersenyum, iaitu perkara-perkara yang membuat baginda takjub atau perkara-perkara yang jarang terjadi atau aneh. Baginda juga tersenyum kerana gembira, kerana melihat sesuatu yang menggembirakan atau ikut dalam kegembiraan itu.
Tapi adakalanya baginda tersenyum justeru pada saat yang seharusnya beliau marah. Baginda tersenyum kerana dapat menguasai rasa amarah. Sedangkan tangis baginda juga tidak berbeza jauh dengan senyum baginda, tidak dengan sedu sedan, ratapan dan suara, sebagaimana tawa baginda tidak disertai suara mengekek, tapi hanya berupa senyuman. Saat menangis air mata baginda mengalir hingga bercucuran dan dari dada terdengar suara menggelegak. Tangis baginda terkadang kerana gambaran kasih sayang kepada orang yang meninggal dunia, terkadang kerana rasa takut atas umatnya dan rasa sayang, terkadang kerana takut kepada Allah. Terkadang saat mendengar Al Quran, iaitu merupakan tangis cinta dan pengagungan, yang disertai rasa takut dan khuatir. Ketika putera baginda, Ibrahim meninggal dunia, maka kedua mata baginda menangis dan mencucurkan air mata, sebagai luapan rasa kasih sayang kepadanya. Baginda bersabda saat itu.
"Mata boleh berlinangan air mata, hati boleh bersedih, namun kami tidak mengatakan kecuali yang membuat Rabb kami redha. Sesungguhnya kami benar-benar bersedih atas kematian Ibrahim."(Ditakhrijka Al Bukhari dan Ahmad)
Baginda menangis ketika menyaksikan salah seorang puterinya, ketika Ibnu Mas'ud membacakan surah An Nisa' di hadapan baginda hingga ayat 41, menangis saat Usman bin Mazh'um meninggal dunia, menangis saat ada gerhana matahari, menangis ketika solat gerhana, menangis ketika solat, menangis saat duduk di dekat kuburan salah seorang puteri baginda.
Secara keseluruhannya, tangis baginda itu menggambarkan beberapa keadaan iaitu tangis kasih sayang, takut dan harap, cinta dan rindu, senang dan gembira, sedih kerana menggambarkan siksaan, kesedihan, merasa lemah dan tidak berdaya.
Rasulullah SAW datang bukan sahaja untuk menjadi contoh tetapi juga menunjuk contoh.
No comments:
Post a Comment