Thursday, May 5, 2011

Ya Allah..HambaMu Yang Lemah Sedang Mengadu.

.





Ya Allah, antara firmanMu yang pernah ku baca.

Terjemahannya seperti di bawah.

Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.(Surah Al-Ankabut ayat 2-3)

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”(Al Baqarah ayat 214).

Ya Allah, ketika semua itu telah ditakdirkan, berilah aku kekuatan rohani dan jasmani untuk sentiasa beristiqamah di jalan yang diredhai.

Selama-lamanya.
Cerahkan mata imanku, ketika banyak mata telah pun mula kelabu.
Pimpinlah aku agar tidak meraba dalam kecerahan. Tidak terseradong dalam kegelapan yang sengaja diciptakan.

Ya Allah.

Aku tidak pernah malu untuk terus mengadu dan bermohon harap kepadaMu. Kalau pun ujian-ujian itu tidak sehebat dan seberat hamba-hambaMu yang terdahulu.

Kerana barangkali buat masa ini jiwa dan ragaku tidaklah sekuat mereka-mereka yang telah berjaya melaluinya.

Kekuatan yang engkau telah berikan kepada Nabi Ibrahim a.s ketika Baginda di bakar api oleh kaumnya. Sejuk dan selamat sejahtera dalam 'kepanasan' api yang menjulang-julang.

Kekuatan yang engkau telah berikan kepada Nabi Zakaria yang digergaji hingga terbelah terpisah.

Kekuatan yang engkau berikan kepada semua kekasih-kekasihmu sepanjang zaman hingga kini. Yang tidak mampu ku senaraikan satu persatu.

Kerana ujian-ujian itu.

Sering juga menegangkan urat leher.
Sering juga mengundang resah dan gelisah serta kerisauan.
Sering juga mengganggu lenanya tidur.
Sering juga mempercepatkan degupan jantung.
Sering juga mengganggu emosi, jiwa dan hati.
Sering juga mengundang keruk di muka.
Sering juga menyebabkan tekanan darah semakin tinggi.
Sering juga mengundang kebimbangan tidak berkusudahan.
Sering juga mengganggu ketenangan di jiwa.

Wahai Tuhan.
HambaMu yang lemah sedang mengadu.

Kerana hambaMu ini masih ada rasa peduli.

Tentang kehidupan dan realitinya.

Alhamdulillah, Syukur Atas Segala RahmatNya







Dedikasi buat isteri dan anak-anak. Yang masih setia menemani perjalanan ini.

Wednesday, May 4, 2011

Mesin Lipat Pakaian Pulok Selepas Ini...







Apabila membaca cerita-cerita tentang 'kemajuan dan teknologi' seperti di bawah ini, saya selalu teringatkan kepada mesin untuk melipat pakaian pula.

New Restaurant Ordering Tablets On The Menu
The next time you eat at a restaurant, your waiter may be an electronic tablet. A Silicon Valley-based start-up called E La Carte just launched a new device that lets diners order food, play games and…
AP 

Saya benar-benar maksudkannya, kasihan melihat isteri saban minggu melipat pakaian yang bertimbun-timbun itu.

Bila ada mesin tersebut.

Masukkan sahaja semua pakaian yang telah dikeringkan, yang keluar nanti adalah pakaian-pakaian yang telah sedia berlipat kalaupun tidak mengikut saiz-saiz tertentu.

Impian 'gila' yang lahir dari manusia yang masih waras.

Apabila Berbicara Tentang Kerja Tuhan







Peluru  Dikeluarkan  Dari Kepala Laki-Laki Setelah 23 tahun.
Seorang lelaki yang telah hidup dengan peluru di kepalanya selama 23 tahun berjaya membuat pembedahan pada bulan April di bandar utara China Zhang Jiakou, media kerajaan China melaporkan pada hari Khamis. (April 21)-AP

Tiada yang mustahil pada kuasa Tuhan.

Mustahilnya apabila manusia ingin menjadi Tuhan serta mengambil alih segala tugas-tugasNya.

Dan pastinya, setiap cerita ada Ibrohnya.

Dan ibroh itu hanya untuk orang-orang yang berakal dan berfikir.

Wednesday, April 27, 2011

Kerana Nada Suara Aku Pernah Terkilan







Orang kata, jika seseorang yang sedang bercakap dengan kita mengelak dari melihat atau bertentang mata dengan kita, kemungkinan besar dia sedang menipu dalam percakapannya.

Kerana saya belum pernah berjumpa dengan kajian-kajian ilmiah yang mengesahkan teori tersebut, maka saya memilih untuk mempercayainya buat masa ini.

Dengan sedikit pengalaman sendiri dan orang-orang terdekat dalam hidup saya. Semacam mengesahkan lagi kebenaran tersebut.

Bagaimana pula dengan nada suara?

Dalam kaedah komunikasi, komunikasi dibahagikan kepada dua iaitu komunikasi lisan dan bukan lisan. 
Dan komunikasi secara lisan hanya mewakili 20%, sementara komunikasi secara bukan lisan mewakili 80%.  

Jika dengan mata kita boleh mengesan sama ada 'tuan mata' bercakap benar atau  berbohong atau menipu, nada suara yang berbentuk lisan mewakili 20 % tersebut pula dikatakan boleh melahirkan perasaan yang pelbagai.

  • Kebosanan
  • Kemarahan
  • Tidak yakin
  • Keresahan
  • Kecil hati
  • Bersemangat
  • Berminat
Walaupun peratusnya hanya kecil, namun dari lisan yang kecil peratusnya itu juga boleh menceritakan banyak perkara tentang seseorang kepada diri kita atau tentang diri kita kepada seseorang.

Tidak perlu sebuah karangan serta ulasan berjela-jela untuk menceritakan, cukuplah dengan nada suara untuk menggambarkan perasaan-perasaan yang disebutkan di atas.  

Rasa Terkilan 

Insyaallah.

Majlis konvokesyen akan berlangsung lagi pada 9 Mei 2011.

Harap-harap tahun ini, sebagai 'Floor Manager' saya tidak akan dimaki hamun lagi seperti tahun-tahun sebelumnya.

Terkilan juga, apabila dimaki hamun oleh 'orang-orang' yang anak-anak mereka pernah menjadi pelajar kita di pusat pengajian ini sama ada secara langsung atau pun secara tidak langsung.

Dan banyak lagi cerita terkilan apabila ada 'orang-orang di luar' sana tidak berapa bijak 'bernada suara'  melalui telefon terutamanya dengan insan-insan yang pernah menyumbang bakti untuk anak-anak mereka. Kalaupun sumbangan itu tidaklah setinggi gunung, sehuruf alif juga bernilai ilmu.

Dalam keadaan seperti itu, mampukah diamalkan kaedah berkomunikasi melalui telefon yang pernah diajarkan?

1. Jawab telefon sebelum berdering lebih daripada 3 kali.
2. Senyum apabila menjawab.
3. Jawab menggunakan 4 teknik asas : Ucap selamat, kenalkan lokasi, kenalkan diri, tawarkan bantuan.
4. Tunjukkan kemesraan dalam nada suara anda.
5. Bertanya siapa pemanggil.
6. Bersedia dengan pen dan kertas untuk mengambil maklumat.
7. Ulang dan ringkaskan keperluan pemanggil.
8. Ucap terima kasih kepada pemanggil.
9. Biar pemanggil meletakkan telefon dahulu.

Mungkinkah?

Mungkin tidak banyak.
Mungkin tidak ramai.

Yang membuat 'peel' seperti itu.

Tetapi nada-nada suara seperti itu pernah melukakan hati-hati kami, yang pernah mengajar anak-anak watan tentang adab sopan, tata susila dan budi bahasa.

Saya mewakili diri sendiri, juga bagi pihak kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang pernah menjadi mangsa dan sudi berkongsi bercerita, saya bagi pihak mereka ingin memberitahu.

Membina Kepercayaan Dengan Nilai Positif Dan Pujian?







Permulaan yang positif.

Setelah dua malam melaluinya, mungkin itulah ungkapan yang boleh saya katakan terhadap apa yang ditunjukkan oleh Nursyuhada Najihah, anak sulung saya.

Setakat dua malam yang telah berlalu, percubaan kami melatih anak-anak untuk tidur berasingan dengan kami di bilik mereka sendiri nampaknya menghasilkan sesuatu yang positif.

Cuma barangkali untuk Angah Razin belum mencapai 'target' yang dikehendaki seratus peratus.

Halangannya utamanya setakat ini mungkin kerana dia masih meminta susu pada setiap malam.

Dan setiap kali dia terjaga di tengah-tengah malam untuk meminta dibuatkan susu, si Angah datang mengejutkan saya dan terus 'landing' di bilik kami.

Namun kami yakin, dalam sedikit masa lagi si Angah Razin akan mengikuti jejak langkah kakaknya juga.

Insyaallah.

Untuk malam pertama, saya menemani anak-anak sementara mereka belum lena. Sekurang-kurangnya untuk memberikan semangat serta membina keyakinan diri sebelum menjadi biasa.

Dan untuk malam yang kedua, saya tidak perlu lagi menemani Along Syuhada. Dengan keinginan dan kemahuannya sendiri dia masuk ke bilik untuk tidur.

Barangkali seronok dengan katil baru serta pujian dan nilai-nilai positif yang kami berikan setiap pagi. Soalan positif serta pujian yang bertujuan untuk membina kepercayaan dan keyakinan dirinya.

Soalan-soalan serta pernyataan yang diharap boleh membina nilai positif untuk anak-anak.

Seronok tak?
Baguslah kakak ni?
Nanti Abi belikan hadiah kerana kakak bagus sangat!

Itulah ungkapan paling popular saya dalam dua hari ini untuk Along Syuhada. Cuba membina suatu kepercayaan positif kepada anak yang belum mengerti banyak perkara. Yang belum mampu berimiginasi yang bukan-bukan, sehingga melahirkan sesuatu yang bukan-bukan juga.

Mengelak dari bertanya soalan-soalan serta pernyataan-pernyataan yang berbentuk negatif juga.

Soal takut atau tidak tidur sendiri-sendiri tidak ditanyakan.

Kerana pada saya, soalan seperti itu akan mula membina nilai-nilai negatif untuknya. Secara sedikit sedikit.

Dan Alhamdulillah, setakat ini masih positif.

Sementara Razin pula untuk malam yang kedua, terpaksa diusung kerana 'tertidur' di bilik kami lebih awal. Lebih kurang jam 3 pagi barulah dia datang meminta dibuatkan susu dan terus terlena di bilik kami.

Sesuatu yang dikira berjaya untuknya dalam tempoh percubaan dan peralihan ini.

Mudah-mudahan, kami dapat mengutip sedikit demi sedikit pengalaman dari apa yang sedang kami lakukan.

Melakukan serta merasainya secara praktikal 'hand on' setelah lama 'memahaminya' secara teori.

Semoga ianya akan terus positif.

Suatu pengalaman kecil yang seronok untuk dikongsikan.

Tuesday, April 26, 2011

Kerana Kita Selalu Bertangguh Kot

Setiap tahun, notis yang hampir serupa akan dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Dan selalunya, begitulah saban tahun.

Ketika tarikh akhirnya semakin hampir, maka ramailah yang kelam kelibut di buatnya.

Tidak cukup Isnin hingga Khamis, maka hari minggu pun pejabat LHDN pernah dibuka. Tidak cukup siang, malam juga pernah terjadi.

Khabarnya hujung minggu ini ada pejabat LHDN yang akan dibuka khas untuk pembayar-pembayar cukai yang 'tidak punya banyak masa' ketika lain. 

Kawan saya kata, 'Orang Malaysia, biasalah'.

Saban tahun, begitulah apa yang telah dan sedang berlaku.

Saya pula tidak berhasrat untuk memberikan komen lanjut.  

Buat semua yang berkenaan, selamat menunaikan tanggungjawab anda!!!!

Hayani Dah Pun 76 Hari

Alhamdulillah.

Dengan rahmat Tuhan yang Maha Segala-galanya.

Hari ini Nursyamimi Hayani binti Razak sudah pun berumur 76 hari.

Dan alhamdulillah juga kerana setakat ini Hayani tidak banyak ragamnya. Harapnya begitulah seterusnya.

Hayani mungkin lebih beruntung berbanding kakak dan abang, kerana mendapat rezeki 'neneng' Uminya. Syukur tidak terhingga pada Allah SWT atas kurniaan susu ibu yang tentunya susu terbaik bagi setiap bayi untuk membesar.

Semoga terus membesar dengan iringan doa agar sentiasa mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat.

Sihat rohani dan sihat juga jasmaninya. 

Syukur kepada Allah SWT atas segala kurniaannya dan terima kasih kepada isteri yang banyak berkorban dalam membesarkannya.

Juga kepada pengasuh-pengasuh yang bersusah payah menjaga anak kecil kami.

Tidak lupa kepada semua yang memberikan sokongan.

Dekat dan jauh.

Alhamdulillah.

Amin.