Saya sebenarnya bukanlah peminat filem-filem "buatan" Malaysia. Untuk rekod, bagi tahun 2009, inilah kali pertama saya menonton drama Melayu dari awal sehingga tamat. Sekadar perkongsian.
Bertarikh 27 November 2009. 10 Zulhijjah 1430H. 10 malam. TV3.
Barangkali atas dua sebab ;
Pertama ; Ditakdirkan bilik "homestay" kami di rumah 203 Jalan Limbat, Taman Lela 1, Kamunting, Perak tiada siaran astro.
Kedua ; Drama tersebut paling "menarik perhatian saya" jika dibandingkan dengan saluran-saluran lain ketika itu.
Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan telemovie Taubat Nasuha. Dan pertama kalinya saya menitiskan sedikit airmata di penghujungnya.
Sejak dari awalnya lagi watak yang di bawa oleh Fauzi Nawawi mengundang rasa marah saya yang bukan sedikit. Saya bermonolog sendirian dalam bilik gelap itu ketika isteri dan anak-anak sudah lena diulit mimpi malam Aidil Adha. Semuanya berbaur kemarahan ;
"Jika tak boleh nak jaga anak, kenapa dulu gatal nak kawin".
"Jika tak sanggup nak menghadapi karenah anak-anak, takyahlah kawin awal-awal".
"Orang lain pun sibuk jugok, tapi ada jugok masa untuk anak-anak".
"Apa kejadahnya orang tua ni, asyik nak marah je".
Dan macam-macam lagi seranah yang tidak ditulis di sini kerana tidak sesuai untuk bacaan umum. Ketika itu hanya diri sendiri yang mendengarnya selain Allah s.w.t dan para malaikatnya. Semuanya berpunca dari "kemarahan" saya terhadap watak bapa yang "haprak" itu.
Yalah. Bila balik ke rumah asyik marah-marah kepada anak-anak dan isteri. Tiada senyuman. Hanya tengkingan dan maki hamun. Sedangkan di luar bukan main "beradab dan bersopan" dengan betina lain. Apa tidaknya, bila di rumah, pantang anak-anak tersilap sedikit pun diberinya penampar serta ditarik-tariknya telinga-telinga kecil itu. Dikipasnya kepala lembut itu. Jiwa-jiwa kecil yang "selalu dan masih" mendambakan kasih sayang seorang bapa.
Kata orang, drama itulah cerminan realiti masyarakat hari ini. Dan saya mula berfikir. Masih adakah bapa-bapa seperti itu di dunia ini. Entahlah. Jika tiada masakan ia boleh menjadi sebuah drama. Dan seandainya ia betul-betul terjadi, akal waras saya masih tidak dapat menerimanya.
Dan kesudahannya. Anak-anak serta isteri yang tidak "dikehendaki" itu menemui Tuhan mereka dalam keadaan yang cukup tragis. Dibunuh oleh sekumpulan perompak yang memasuki rumah mereka sedangkan si suami dan bapa haprak itu "tidak sudi" pun menjawab panggilan isteri yang dalam keadaan cukup terdesak itu.
Sudahnya ; dialog ini menyebabkan sedikit air mata saya menitis.
"Anak-anak adalah pemberian dari Tuhan, jika kita tidak "menghendakinya", Ia akan mengambilnya semula dari kita setelah Ia memberinya seketika". ujar bapa kepada anaknya. Suami dan bapa yang "haprak" itu. Si datuk berlinang air mata kerana kehilangan anak dan cucu-cucu tersayang. Si bapa "haprak" pula berteriak kerana kehilangan isteri dan anak-anak yang tidak "dikehendaki" itu. Hakikatnya air mata dan teriakan itu tidak akan mengubah ketentuan yang telah pasti.
Dan saya tersandar dibirai katil bersama linangan air mata. Menoleh ke dalam diri seketika. Serentak itu ingatan ini "mencari" arwah ibu. Kerinduan pada arwah ibu tidak dapat dibohongi lagi. Arwah ibu pergi membawa bersamanya kerinduan pada anak-anak dan cucunya yang tidak mungkin akan tertunai sampai bila-bila pun.
Ibu. Maafkan kami anak-anak dan cucu-cucumu di kejauhan ini. Tapi apalah maknanya menghargai sesuatu hanya setelah kita kehilangannya.
Buat suami-suami, bakal-bakal suami. Ibu-ibu dan bakal-bakal ibu. Ingatlah bahawa anak-anak adalah anugerah Tuhan untuk anda. Kisahilah mereka. Mudah-mudahan kasih sayang yang kita berikan itu berbaloi hendaknya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w amat menyukai anak-anak kecil. Contoh terbaik untuk kita semua. Tiada yang lain lagi.
Razak Nordin berpesan ; Hargai apa yang kita miliki sebelum kehilangannya. Ketentuan Allah mengatasi kehendak manusia selamanya.
No comments:
Post a Comment