Thursday, September 29, 2011

Dua Cerita Satu Rasa







Saya tidak bermaksud ingin mengulang-ulang cerita yang hampir serupa.

Namun oleh kerana saya termotivasi barang sedikit dengan apa yang berlaku pagi ini, maka saya memilih untuk menulisnya menjadi salah satu catatan diari hidup saya untuk hari ini.

Dengar, tulis dan sampaikan.
Baca, tulis dan sebar luaskan.

Mudah-mudahan kedua-duanya proses belajar dan mengajar, menerima dan memberi. Manfaat untuk diri dan orang-orang lain juga. Kata orang, dengan mengajar, sebenarnya kita sedang belajar. Dengan memberi, kita sedang menambah untuk diri sendiri.

Bersulam dua cerita.

Saya termotivasi dengan kata-kata ringkas dari seseorang pagi ini.

'Sehebat mana pun, ianya hanya sementara, sehina mana pun, ia hanya sementara. Semuanya akan mati dan meninggalkan segala-galanya."

Hebat jangan sampai lupa diri, hina pula jangan sampai hidup ini seperti tiada gunanya lagi.

Lalu kenapa mesti bersusah hati sangat. Gembira-gembirakanlah hati dengan yang sepatutnya.

Semuanya yang sedang dimiliki oleh semua manusia dalam bentuk apa jua pun hanyalah sementara bersifat pinjaman. Tidak perlulah disenaraikan satu persatu bagi menjelaskan maksud di atas.

Kata-kata yang sudah acapkali benar saya dengar dan selalu juga diulang sebut. Ia semacam sudah saya semat kemas dalam fikiran dan hati saya sebagai bahan motivasi diri. Namun bukan setiap masa, tempat dan ketika ianya boleh menjadi motivasi untuk diri sendiri. Kadangkala ia memerlukan orang lain untuk 'menepuk bahu' serta memberikan 'pelukan erat' bagi membangkitkan semula rasa dan harapan. Adakalanya kita perlu dirangsang, untuk terangsang selain kita terangsang secara semulajadinya.

"Sarapan pagi" yang ringkas, namun ianya saya kira baik untuk kesihatan emosi serta nurani saya, setidak-tidaknya bagi saya memulakan pagi ini.

Iman bertambah dan berkurang, masakan tidak perkara-perkara lain dalam jasad seorang manusia. 

Maka, bersulamlah dua cerita.

Ketika saya masih termotivasi dengan kata-kata di atas, saya menerima panggilan dari emak saudara sebelah isteri saya.

Pada mulanya teruja juga, kerana jarang sekali saya menerima panggilan darinya.

Teruja berubah menjadi terharu walaupun tanpa airmata.

Mungkin kerana sudah faham benar keadaan saya, soalan pertama tentunya tentang status kesihatan saya. Dan seperti biasa saya menjawab "Alhamdulillah, bolehlah."

Alhamdulillah, bermaksud agak sihat daripada biasa.

Bolehlah, bermaksud, sihat namun tidak sepenuhnya.

"Makti dengan Ayah Nuar nak gi buat Haji bulan sepuluh ni, Ajak ada nak pesan apa-apa ke." Tanyanya di hujung talian.

"Oooo..Kalau boleh, nak mintak doakan supaya sihat emosi(rohani) dan jasmani juga, itulah yang selalu duk pesan kat kawan-kawan yang pergi Haji atau Umrah."

Ringkas dan fokus.

Pesanan-pesanan lain biarlah terkandung dalam pesanan yang satu itu.

Tuhan yang sama, tapi keberkatan boleh berada di tempat yang berbeza dan ketika yang berlainan. 

Tidaklah lama kami berbual.

Namun, banyak juga nasihat serta panduan yang dikongsikan.

Dia mencurahkan pengalaman, saya menadah untuk dijadikan panduan dan sempadan.

Dia menasihati, saya mengiakannya, sambil mengukuhkan keazaman diri.

Mudah-mudahan, ujian kecil dari Tuhan yang sudah hampir 7 tahun itu menjadikan saya lebih dekat dengan Allah SAW.  

Ujian-ujian, salah satu cara Allah SAW mendidik hamba-hambaNya.

Dari Perlis, bumi Tuhan ini saya mendoakan, semoga mereka berdua dipermudahkan segala urusan 'menuju Haji'.

Sebelum, semasa dan selepas serta mendapat anugerah Haji Mabrur, Insyaallah.

Dengan khauf dan raja', semoga doa-doa mereka untuk saya di sana nanti dimakbulkan Ilahi hendaknya.

Kerana saya 'jauh amat' berbanding Nabi Ayyub AS dalam sabar dan kepasrahannya. Walaupun yang tinggal bukan juga hanya sepotong lidah.

Hidup tidak pernah mudah, namun hati yang tabah dipohonkan untuk melaluinya.

Dua cerita, satu rasa...masih ada raja', harapnya tidak hanya seketika, saya menutup bicara ini.

Saturday, September 24, 2011

Satu Dua Yang Saya Belajar Hari Ini

Sekurang-kurangnya saya belajar sesuatu pagi ini.

Antara pelajarannya ialah jangan ambil mudah benda yang selalunya mudah-mudah selama ini dalam semua keadaan dan ketika yang berbeza.

Perkataan 'biasanya ok' selalu juga mengundang masalah yang memercikkan peluh dingin di dahi.

Sebiasa mana pun sesuatu itu kepada kita, kita mungkin dan mesti bersedia untuk menerima masalah kecil yang boleh mencacatkan perjalanan sesuatu program atau majlis.

Pagi ini saya mengalaminya. 

Hendak dijadikan cerita, LCD yang selalunya ok, tiba-tiba tidak berfungsi sebagaimana biasa apabila hendak digunakan semasa Kursus Pra Perkahwinan Siri 5 2011  iaitu ketika hendak memulakan slot taklimat dan slot pertama kursus.

Ringkasnya, empat biji LCD telah dicuba, namun semuanya tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

Dianognis dibuat, mustahil semua LCD tersebut bermasalah. Mungkin 'cable'nya yang rosak, lalu ditukar dengan 'cable' yang baru.

Betullah.

Rupa-rupanya bukan LCD yang rosak, tapi 'cable' dari laptop ke LCD yang bermasalah.

Alhamdulillah, syukur pada Allah SAW, walaupun ianya hanya dapat diselesaikan ketika slot pertama hampir sampai ke penghujungnya.

Mohon maaf kepada semua peserta yang mungkin terganggu dan keliru dengan apa yang berlaku.

Mohon maaf juga kepada pihak yang memberikan kursus iaitu Syarikat Titian Perdana, khususnya pada beberapa orang yang terlibat dan juga penceramah untuk slot yang pertama.

Selepas maaf tentunya ada ucapan terima kasih.

Terima kasih tidak terhingga kepada ;

Semua peserta Kursus Pra Perkahwinan Siri 5 2011.
Pihak Titian Perdana
Pihak Penyelenggaraan PTSS
Ust Borhanuddin

; atas segala bantuan dan kerjasama hingga masalah kecil itu dapat diselesaikan juga akhirnya.

Apa yang berlaku itu mengesahkan lagi benarnya, bahawa manusia hanya mampu merancang segala-segalanya tapi Allah SAW yang menentukan di mana sudah dan penamatnya segala 'cerita'.

Dengan segala hikmat yang jelas lagi nyata atau pun hikmat yang tersirat lagi tersembunyi.

Alhamdulillah.

Wednesday, September 21, 2011

Perjalanan Yang 7 Tahun Itu


Sebuah perjalanan yang tidak pernah bernoktah melainkan di syurga, Insyaallah.
Solo

Tahun 2005, berdua-duan
Alhamdulillah, Tahun yang sama, penghujung 2005, sudahpun bertiga.
Tahun 2008, sudah pun berempat dengan sepasang cahaya mata.
Sehingga kini, 2011, berlima berselang bunga.

Syukur pada Allah SAW atas segala rahmatNya dan terima kasih kepada isteri serta anak-anak kerana sudi menemani diri ini yang acapkali  juga 'mengabaikan' hak-hak mereka atas keuzuran yang tidak disengajakan.

Semoga kita semua terus diberikan hati yang tabah serta sabar untuk menghadapi perjuangan hari esok andai ia muncul.

Dan sama-sama belajar dari kesilapan hari semalam untuk kebaikan hari ini. 

Ameen.

Sunday, September 18, 2011

Mudahkah Menjadi Seperti Itu?







"Bukankah aku hamba Allah yang semestinya melaksanakan tugasku sebagai hamba. Kalaupun Allah telah menjaminkan Syurga untukku, itu hakNya. Tetapi hak aku ialah mensyukuri nikmat pemberianNya. Sepatutnya akulah yang paling banyak berterima kasih kerana terlalu banyak nikmat yang dikurniakan".

Itu jawapan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW bila ditanya untuk apa Baginda sembahyang sehingga bengkak-bengkak kakinya.

Itulah Rasulullah SAW, padanlah Baginda hamba yang paling Allah kasihi. Merendah diri yang sudah sebati dengan dirinya. Berstatus yatim piatu. Namun Baginda menjadi yang paling banyak mensyukuri nikmat kurniaan Allah, sekalipun telah dijamin Syurga untuknya.

"Dalam diam" Rasulullah SAW mengajar umatnya, bahawa inilah antara ciri-ciri hamba yang paling Allah suka. Walaupun dapat menyempurnakan amal ibadah, namun masih merasa dirinya tidak selamat. Sentiasa mengharap rahmat Allah, rasa malu, bimbang dan cemas dengan kemurkaan Allah. 

Sebaliknya orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang langsung tidak ambil peduli untuk beramal. Malahan sombong, takabbur dan tidak takut akan ancaman Allah. Namun pada masa yang sama dia yakin Allah Maha Pengasih dan merasakan Allah akan menyelamatkan dirinya di akhirat kelak.

Apa salahnya, bawalah sifat hamba walau ke mana jua dan di mana sahaja kita berada. Tiada ruginya bahkan Allah akan lebih mengasihi dan merahmati, Insyaallah. 

Dan tiada ruginya juga melazimi sudahi segala amalan kita dengan ucapan, "Tidak ada daya kekuatan melainkan Allah jua."

Mudahkah untuk kita?

Yang acapkali juga terlupa betapa lemahnya kita sebagai hamba dan khalifah di sisiNya. 

Thursday, September 8, 2011

Dua Baris Ayat Untuk Aku Dan Kamu-Kamu Juga







Meminjam kata bijak pandai, “Jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya.”

Sunday, September 4, 2011

Ilusi Mata Ciptaan Ilahi


Cuba lihat pada 3 TITIK di kalimah ALLAH selama 10 saat sambil berselawat kemudian alihkan pandangan pada dinding kosong selama 10 saat juga.......Subhanallah.

Selamat mencuba dan rasai kebesaranNya atas segala kecil besar yang terjadi.