Thursday, September 29, 2011

Dua Cerita Satu Rasa







Saya tidak bermaksud ingin mengulang-ulang cerita yang hampir serupa.

Namun oleh kerana saya termotivasi barang sedikit dengan apa yang berlaku pagi ini, maka saya memilih untuk menulisnya menjadi salah satu catatan diari hidup saya untuk hari ini.

Dengar, tulis dan sampaikan.
Baca, tulis dan sebar luaskan.

Mudah-mudahan kedua-duanya proses belajar dan mengajar, menerima dan memberi. Manfaat untuk diri dan orang-orang lain juga. Kata orang, dengan mengajar, sebenarnya kita sedang belajar. Dengan memberi, kita sedang menambah untuk diri sendiri.

Bersulam dua cerita.

Saya termotivasi dengan kata-kata ringkas dari seseorang pagi ini.

'Sehebat mana pun, ianya hanya sementara, sehina mana pun, ia hanya sementara. Semuanya akan mati dan meninggalkan segala-galanya."

Hebat jangan sampai lupa diri, hina pula jangan sampai hidup ini seperti tiada gunanya lagi.

Lalu kenapa mesti bersusah hati sangat. Gembira-gembirakanlah hati dengan yang sepatutnya.

Semuanya yang sedang dimiliki oleh semua manusia dalam bentuk apa jua pun hanyalah sementara bersifat pinjaman. Tidak perlulah disenaraikan satu persatu bagi menjelaskan maksud di atas.

Kata-kata yang sudah acapkali benar saya dengar dan selalu juga diulang sebut. Ia semacam sudah saya semat kemas dalam fikiran dan hati saya sebagai bahan motivasi diri. Namun bukan setiap masa, tempat dan ketika ianya boleh menjadi motivasi untuk diri sendiri. Kadangkala ia memerlukan orang lain untuk 'menepuk bahu' serta memberikan 'pelukan erat' bagi membangkitkan semula rasa dan harapan. Adakalanya kita perlu dirangsang, untuk terangsang selain kita terangsang secara semulajadinya.

"Sarapan pagi" yang ringkas, namun ianya saya kira baik untuk kesihatan emosi serta nurani saya, setidak-tidaknya bagi saya memulakan pagi ini.

Iman bertambah dan berkurang, masakan tidak perkara-perkara lain dalam jasad seorang manusia. 

Maka, bersulamlah dua cerita.

Ketika saya masih termotivasi dengan kata-kata di atas, saya menerima panggilan dari emak saudara sebelah isteri saya.

Pada mulanya teruja juga, kerana jarang sekali saya menerima panggilan darinya.

Teruja berubah menjadi terharu walaupun tanpa airmata.

Mungkin kerana sudah faham benar keadaan saya, soalan pertama tentunya tentang status kesihatan saya. Dan seperti biasa saya menjawab "Alhamdulillah, bolehlah."

Alhamdulillah, bermaksud agak sihat daripada biasa.

Bolehlah, bermaksud, sihat namun tidak sepenuhnya.

"Makti dengan Ayah Nuar nak gi buat Haji bulan sepuluh ni, Ajak ada nak pesan apa-apa ke." Tanyanya di hujung talian.

"Oooo..Kalau boleh, nak mintak doakan supaya sihat emosi(rohani) dan jasmani juga, itulah yang selalu duk pesan kat kawan-kawan yang pergi Haji atau Umrah."

Ringkas dan fokus.

Pesanan-pesanan lain biarlah terkandung dalam pesanan yang satu itu.

Tuhan yang sama, tapi keberkatan boleh berada di tempat yang berbeza dan ketika yang berlainan. 

Tidaklah lama kami berbual.

Namun, banyak juga nasihat serta panduan yang dikongsikan.

Dia mencurahkan pengalaman, saya menadah untuk dijadikan panduan dan sempadan.

Dia menasihati, saya mengiakannya, sambil mengukuhkan keazaman diri.

Mudah-mudahan, ujian kecil dari Tuhan yang sudah hampir 7 tahun itu menjadikan saya lebih dekat dengan Allah SAW.  

Ujian-ujian, salah satu cara Allah SAW mendidik hamba-hambaNya.

Dari Perlis, bumi Tuhan ini saya mendoakan, semoga mereka berdua dipermudahkan segala urusan 'menuju Haji'.

Sebelum, semasa dan selepas serta mendapat anugerah Haji Mabrur, Insyaallah.

Dengan khauf dan raja', semoga doa-doa mereka untuk saya di sana nanti dimakbulkan Ilahi hendaknya.

Kerana saya 'jauh amat' berbanding Nabi Ayyub AS dalam sabar dan kepasrahannya. Walaupun yang tinggal bukan juga hanya sepotong lidah.

Hidup tidak pernah mudah, namun hati yang tabah dipohonkan untuk melaluinya.

Dua cerita, satu rasa...masih ada raja', harapnya tidak hanya seketika, saya menutup bicara ini.

No comments: