Friday, January 27, 2012

Pada Menyayangi Binatang







Semasa saya menulis cerita tentang Arnab : Antara Dua Sifat, saya tidak pernah terfikir bahawa suatu masa arnab akan menjadi sebahagian dari 'ahli keluarga' kami.

Dan, alhamdulillah, bermula semalam dua ekor arnab telah menjadi sebahagian dari keluarga kami. Semoga ada rahmat yang turun kerana berkasih sayang sesama makhluk.

Dengan takdir Allah dan juga meraikan minat anak-anak, akhirnya ia menjadi sebuah kenyataan yang telah ditakdirkan.

Mungkin inilah yang dirangkapkan dalam pantun Melayu.

Dari mana punai melayang
Dari paya turun ke padi
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati.

Mungkin inilah antara contoh bagaimana rakan sebaya boleh mempengaruhi. Keinginan anak-anak untuk memiliki 'rabbit' sendiri menjadi 'semakin memuncak' apabila kami sekeluarga berkunjung ke rumah ipar saya di Ipoh, Perak, lebih kurang sebulan yang lalu.

Kebetulan pula, sepupu kepada anak-anak saya juga membela arnab. Dan sejak itu anak-anak selalu menyebut-nyebut untuk memilikinya juga.

Dan seperti biasa, isteri yang selalunya lebih prihatin dengan kehendak anak-anak. Ketika saya sudah ingat-ingat lupa tentang permintaan anak-anak tersebut, saya diberitahu oleh isteri bahawa dia telah menempah dua ekor arnab untuk anak-anak.

Dan tengahari semalam, semua itu telah tertunai.

Kasih pada binatang pernah membawa pelacur ke Syurga, apakah manusia tidak mengambil fikir.

Dan kerana menganiaya binatang, seorang perempuan pernah dihumban ke Neraka, semoga ia menjadi iktibar yang baik untuk semua.

Selamat datang, arnab masih tanpa nama ke dalam keluarga kami dengan segala rahmatNya.

Insyallah.

No comments: