Friday, April 27, 2012

40 : Antara Manusia Dan Helang


Belajar dari makhluk ciptaan Tuhan.

Mungkin begitulah antara tujuan maksud perkongsian ini. Dan kebetulan pula, dari segi matematiknya, 2012 bermakna genaplah umur saya 40 tahun.

Belajar Dari Burung Helang.

Dikisahkan, bahawa burung helang merupakan sejenis unggas yang mempunyai umur paling panjang di dunia, umurnya dikatakan dapat mencapai sehingga 70 tahun lamanya. Namun untuk mencapai umur itu seekor burung helang mesti membuat keputusan besar ketika umurnya yang ke 40 tahun.

Ketika itu, kuku-kukunya mulai menua, paruh menjadi panjang dan membengkok hingga hampir menyentuh dada. Sayapnya menjadi sangat berat kerana bulunya telah tumbuh lebat dan tebal, sehingga menyusahkannya ketika terbang.

Dan ketika itu, pilihannya hanya dua :

Menunggu kematian.
Atau menjalani proses transformasi yang menyakitkan selama 150 hari.

Saat melakukan transformasi itu, ia harus berusaha semaksima mungkin untuk terbang ke atas puncak gunung untuk membuat sarang di tepi jurang, berhenti dan tinggal di sana selama proses berlangsung.

Pertama, ia harus mematukkan paruhnya pada batu sehingga paruh tersebut tercerai dari mulutnya, kemudian menunggu tumbuhnya paruh baru. Dan dengan paruh yang baru tumbuh itu, ia harus mencabut satu persatu kuku-kukunya dan ketika kuku yang baru sudah tumbuh, ia akan mencabut bulu badannya satu demi satu. Suatu proses yang panjang dan menyakitkan.

Dalam tempoh lima bulan seterusnya, bulu-bulu yang baru telah tumbuh dengan sempurnanya. Dan ia mulai dapat terbang kembali. Dengan paruh dan kuku baru, ia mulai menjalani 30 tahun kehidupan barunya dengan penuh energi!

Namun realitinya, ada yang lebih payah daripada percaya dan berjaya iaitu berubah.

Dan untuk berjaya, manusia-manusia biasa tersebut perlu memiliki sifat-sifat yang luarbiasa pula. Bukan manusia luarbiasa yang mempunyai sifat yang biasa-biasa.

Meleraikan paruh.
Mencabut kuku dan mencabut bulu-bulu.

Untuk masa yang lama dan sangat menyakitkan.

Demi untuk terus terbang dan hidup penuh energi tentunya bukan usaha semata.

Thursday, April 26, 2012

Bukan Hanya Sekadar

Guru itu adalah ;

Seorang Mu'allim : Menyampaikan ilmu yang benar.

Seorang Murabbi : Mengasuh dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang.

Seorang Muaddib : Membentuk adab-adab dan akhlak anak-anak.

Seorang Muthabbit : Membina keyakinan dan kekuatan dalaman anak-anak sebagai qudwah hasanah iaitu memberikan contoh teladan yang terbaik kepada anak didik.

Thursday, April 19, 2012

Andai Aku Pernah Melukakan






Boleh dikatakan setiap kali memulakan hari-hari baru, saya memasang niat untuk tidak melukakan dan menyakitkan  sesiapa yang hidup di seputar saya. Sama ada ia berpunca dari tindakan atau kerana kata-kata saya.

Namun, dalam memasang niat itu, saya acapkali gagal menjadi pendiam. Dan kerananya, saya selalu bimbang kalau-kalau kata-kata atau kerja buat atau riak muka saya ada yang melukakan atau menyakitkan hati sesiapa sahaja.

Isteri.
Anak-anak.
Sahabat handai.
Rakan sekerja.
Rakan sepermainan.

Dan sesiapa sahaja yang pernah, sedang dan akan berhubung dengan saya atas apa-apa kondisi dan bila-bila masa sekali pun.

Sungguh.

Saya tidak pernah berniat sedemikian.

Dan seandainya ada hati-hati yang pernah dan sedang terguris, saya memohon maaf atas ketidaksengajaan itu.

Dan sebagai muslim, saya ingin menjadi lebah seperti yang pernah dimisalkan oleh Baginda Rasul.

Bandingan seorang mukmin seperti lebah, antara lain maksud sabda Rasul.

Dan lebah sekurang-kurangnya mempunyai lima kelebihan.

1. Sentiasa mencari sesuatu yang terbaik di mana pun ia berterbangan. Sama ada di taman-taman bunga atau di kawasan-kawasan pembuangan sampah. Di taman-taman bunga, yang di cari dan dihisapnya saripati bunga. Di tempat-tempat lain juga, yang dicari dan dihisapnya saripati bunga juga. Dan muslim sepatutnya begitu.

2. Lebah hanya memilih hanya yang terbaik untuk dimakan dan dihisap. Makanan yang baik-baik. Minuman juga bagus-bagus. Halalan dan toyyiban. Bukan membujur lalu, melintar langkah. Perutnya adalah perut yang memilih apa yang boleh dan tidak boleh dimasukkan ke dalamnya. Ini adalah kerana, makanan yang dimakan boleh memberi kesan kepada jasad yang memakannya. Dalam kata lain, makanan membentuk akhlak. Sama ada ia membentuk tenaga baik atau tenaga jahat. Orang mukmin, perutnya selektif, bukan asal makan dan minum. Asal dapat ditelan tekak, semuanya jalan.

3. Lebah menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk manusia iaitu madu. Bukan racun yang boleh merosak dan membunuh manusia. Tanpa saya menghuraikannya pun, saya yakin ramai yang sudah tahu tentang pelbagai khasiatnya untuk perubatan seperti yang disebutkan di dalam Al Quran dan Hadis-Hadis NabiNya. Bermaksud manusia mukmin, kalimah-kalimah yang keluar dari lisannya adalah kalimah-kalimah yang baik. Perbuatan-perbuatannya memberikan manfaat kepada manusia. Dan kakinya pula melangkah hanya ke tempat-tempat yang berfaedah dan ada gunanya.

4. Lebah, di mana pun ia singgah, ia tidak pernah mematahkan dahan pokok tempat ia menumpang bersarang. Manusia mukmin itu. Di mana pun dia tinggal, di mana pun dia pergi, tidak akan menyusahkan orang-orang disekelilingnya. 

5. Lebah tidak mengganggu jika ia tidak diganggu. Namun jika ia diganggu, ia akan menyerangnya. Lalu, jangan cuba-cuba diusiknya. Muslim juga begitu. Musuh tidak pernah dicarinya, tetapi jika bertemu ia tidak pernah undur ke belakang. Jika diusik atas kepentingan agama, mereka mempertahankan diri. Kalau saja-saja, mereka tidak akan menyerang orang lain.   

Dan perbandingan muslim seperti yang disabdakan oleh Rasul itu, begitulah sepatutnya. Dan dalam sepatutnya itu, sifat nasiya seringkali menguasai makhluk bernama manusia.

Berbaloikah Stress?

Barangkali kita biasa mendengar ungkapan yang menyebutkan bahawa jika Tuhan memberi kamu pangkat atau kuasa, jangan kamu takbur. Takbur adalah pemusnah kasih sayang. Orang yang takbur tidak disayangi Tuhan, tidak disayangi mereka yang berada di sekelilingnya. Mereka tersenyum di hadapanmu, tetapi mengutuk di belakangmu. Perasaan hormat tidak boleh dipaksa, ia datang dari jiwa yang ikhlas, ia datang dari mata yang melihat peribadimu. Jika kamu mahu dihormati, kamu perlu menghormati anak buah kamu, sayangi mereka terlebih dahulu nescaya kamu disayangi. Hulurkan tanganmu ketika mereka memerlukan bantuan.

Nabi yang penuh kasih sayang sentiasa memalingkan wajahnya selepas solat memerhatikan siapakah sahabat yang tiada dalam jemaah. Dia akan bertanya di manakah sahabat pergi, adakah ia sakit, adakah ia ada masalah jika dilihat sahabat itu tiada. Dia tidak pernah memalingkan wajahnya ke arah lain ketika sahabatnya bercakap, sehingga semua orang merasai dirinya dihargai dan dihormati.

Dalam organisasi, yang menghidupkan dan menguatkan ialah kerjasama yang jitu antara pemimpin dan anak buah. Kasih sayang adalah ubat yang mujarab kepada apa jua masalah dan ia juga bagaikan api yang dapat menjana kekuatan. Hidupkan suasana kasih sayang dalam organisasi, jadikan pejabat bagaikan rumah yang ceria dengan suasana kekeluargaan. Sentiasa pastikan hubungan yang rapat dan menjaga perkara yang boleh membawa kemusnahan kasih sayang.

Pemimpin yang baik memastikan unsur takbur, dengki, umpat tiada dalam organisasinya. Kerana semua itu adalah pemusnah kasih sayang, ia adalah pelemah kekuatan organisasi. Didiklah anak buah kepada keimanan dan kebersihan jiwa. Jadikan mereka kumpulan yang hatinya penuh dengan kasih sayang. Walau bagaimana hebat pun seorang pemimpin, organisasi tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan padu dari kumpulannya. Begitu juga betapa hebat pun kumpulan jika tidak memiliki pemimpin yang hebat dan pemikiran yang ke depan, ia tidak membawa ke mana-mana jua.

Hari ini, kebanyakan organisasi walaupun hebat dalam penyusunan dan perancangan dari sudut kebendaan tetapi mereka gagal dari sudut pengurusan kejayaan manusia. Lahirlah kepincangan, ketua tidak dihormati atau anak buah banyak memberi masalah. Hubungan pekerja dingin dan yang malangnya berlaku jatuh menjatuh sesama sendiri.

Peranan pemimpin adalah amat penting dalam apa jua keadaan. Kelemahan pemimpin akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang boleh menguasai suasana, bukan terikut dengan suasana. Ingatlah. Jangan sesekali bersikap meninggi diri di hadapan anak buah, komunikasi perlu dijaga supaya wujudnya kasih sayang.

Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mempunyai empat ciri.

Pertama, dia bagaikan ayah yang sentiasa mengambil berat kebajikan anaknya. Sehingga jika melihat anaknya termenung, dia tahu masalah yang difikirkan si anak. Sebagaimana Nabi SAW ketika melihat seorang sahabat yang miskin termenung, baginda bertanya, adakah sahabat itu ingin berkahwin. Lalu kata sahabat tadi, "Siapakah wanita yang ingin berkahwin dengan saya?". Lalu Nabi SAW menyuruhnya meminang anak perempuan seorang hartawan atas perintah Baginda.

Kedua, dia bagaikan seorang sahabat yang boleh berbincang apa jua masalah dan menyimpan rahsia serta keaibannya.

Ketiga, dia bagaikan guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar dengan baik jika anak buahnya melakukan kesilapan.

Keempat, dia adalah pemimpin yang boleh membuat keputusan yang tepat dan tegas tanpa dipengaruhi emosi demi kebaikan anak buah dan organisasinya.

Lontarkanlah kasih sayang nescaya kasih sayang akan melantun kembali kepada kita. Mereka adalah keluarga kita yang kita perlu jaga bukan sahaja dalam hal-hal dunia tetapi juga hal-hal berkaitan dengan keimanan. Firman Allah SWT, "Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka."

Dan sabda Nabi SAW, "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya."

Hidayat Nur Wahid mengungkapnya : "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."

Kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."

Sebagai pekerja, hormatilah pemimpin selagi ia benar kerana ia adalah melambangkan keimanan. Di samping mendapat rezeki, kita juga perlu bersyukur. Bersyukur sebagai kakitangan ialah memberi perkhidmatan yang baik. Ingatlah rezeki yang kita perolehi adalah untuk menjadi makanan kepada diri dan keluarga. Oleh itu, jangan masukkan makan yang tidak baik ke dalam perut anak-anak dan isteri kita yang bersih. Tidak amanah dengan masa dan tidak memberi perkhidmatan yang baik akan menjadikan rezeki yang kita terima sebagai perkara syubhah.

Nabi SAW satu ketika pernah menangis sehingga ditanya oleh sahabatnya mengapa beliau berkeadaan demikian. Lalu Baginda yang amat mengasihi umatnya bersabda, "Umatku di akhir zaman ramai yang makan rezeki dari sumber yang syubhah."

Jauhkan diri kita dari umpat, dengki dan takbur kerana ia pembunuh kasih sayang. Manusia akan menjauhi kita kerana sikap kita sendiri yang menjadi penghalang dengan mereka. Bersyukurlah jika kita memiliki majikan yang baik, jagalah akhlak kita dengannya dan berilah ketaatan kepadanya kerana Allah SWT.

Organisasi yang berpecah, tiada kasih sayang dan tiada tersusun kukuh, tidak dikasihi Tuhan, tiada pertolongan Tuhan, tiada keberkatan, tiada kekuatan. Kasih sayang adalah sumber kekuatan dan penyelesaian masalah. Tanpa kasih sayang, masalah kecil menjadi besar, tetapi dengan kasih sayang masalah besar menjadi kecil. Mereka bertindak dengan hati yang padu, fikiran yang kreatif, tidak bertindak sendirian, bergerak secara kumpulan, membantu pemimpin di saat susah dan senang. Tolong menolong atas dasar takwa, tolong menolong untuk membina kejayaan, bantu membantu menuju keredhaan Allah SWT.

Ulama sufi amat menekankan empat perkara pada organisasinya.

Pertama, menjaga akhlak dengan pemimpin supaya tidak menyinggung perasaannya. Kalau melihat kelemahannya atau kesilapannya, tutuplah dan tegurlah ia dengan baik. Berilah nasihat dengan suasana hormat walau pun ia kawan kamu, walaupun ia bergaul dengan kamu bagai kawan, jagalah batas-batasnya dan janganlah kamu mengambil kesempatan ke atasnya.

Kedua, sentiasalah ringan tulang dan memberi sokongan serta membantunya untuk menjayakan segala perancangan dan kerjanya.

Ketiga, sentiasa taat kepadanya dengan tidak banyak kerenah, menunjukkan sikap yang tidak baik atau bersikap acuh tidak acuh arahan yang diberi olehnya.

Keempat, menanamkan rasa kasih sayang kepadanya selagi ia menghormati dan menjaga kebajikan pekerjanya.

Oleh itu jadikan diri kita para pekerja organisasi yang mudah berurusan dengan orang dan orang mudah berurusan dengan diri kita.

Sebuah syair mengatakan : "Aku melewati rumah si Laila, ku cium dinding rumah itu. Sebenarnya aku bukan mencintai rumahnya, tetapi mencintai penghuni rumah itu." Oleh itu, berusahalah menjaga hak dan kewajipan kasih sayang, semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menolong kita.

Ingatlah ,ada di antara rakan sekerja kita yang tidak memerlukan bantuan harta, kerana Allah telah melimpahkan kurnia-Nya atau telah ada orang yang memenuhi keperluannya. Akan tetapi ia sangat memerlukan lidah dan hati kita iaitu nasihat dan kebaikan kita.

Apa gunanya harta benda dan bantuan kita , jika disertai dengan kata-kata yang meyinggung perasaan. Apa gunanya erti harta dan nasihat kita jika tidak disertai kesetiaan dan kasih sayang serta keikhlasan. Oleh itu peliharalah hak-hak saudara kita atas lidah dan hati kita.

Seorang penyair pernah berkata, "Menyendiri atau bergaullah dengan temanmu, kerana kadang kala ia membuat kesalahan dan kadang-kadang menjauhinya. Jika kamu setiap saat kamu mencela saudaramu, kamu tidak akan dapat menemui orang yang tidak dapat dicela".

Penyair lain mengatakan, "Maafkan kecacatan atau keaiban saudaramu sebagai simpanan kebaikan bagimu. Hindarkan umpatan-umpatan keji sebagai kebaikan hatimu."

Penyair lain pula mengatakan, "Ambillah yang baik daripada saudaramu, tinggalkanlah yang mengandungi kerosakan kerana umur lebih pendek daripada pekerjaan mencela satu sama lain".

Allah memerintahkan agar selalu memaafkan orang lain seperti yang terdapat dalam banyak ayat didalam kitab-Nya yang mulia. Di antaranya ialah :

"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya ditangan Allah. Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim". (Asy-Syura : 40)

Imam Al-Ghazali pernah berkata : "Kalau kita memutuskan hubungan dengan saudara kita, dari satu segi kita telah kehilangan kesempatan untuk mengembalikannya ke jalan yang baik."

Akhirnya, sebagai sebuah organisasi yang mana anggotanya saling perlu memerlukan, kita mestilah sentiasa berada dalam hubungan kasih sayang dengan majikan, rakan sekerja serta mereka yang sentiasa berada di sekililing kita. Pandanglah dengan penglihatan kasih sayang, bukan dengan pandangan dengki, benci dan marah . Kebencian dan kemarahan hanya akan merosakkan sedangkan kasih sayang yang terarah bukan sahaja boleh memberi kebaikan kepada organisasi bahkan boleh melahirkan keamanan dunia seluruhnya. Sebuah organasasi yang mantap bukan sahaja memerlukan prasana yang baik tetapi juga emosi pekerjanya yang stabil, tenang dan bahagia bagi memastikan organisasi sama-sama dipacu ke arah kecemerlangan.

ISI TEKS INI SAYA SEDIAKAN HASIL ADUNAN DARI BEBERAPA SUMBER SERTA TOKOK TAMBAH IDEA SENDIRI SEBAGAI UCAPAN TUAN PENGARAH PTSS KETIKA ITU SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN PTSS BAGI BULAN MEI 2008 DI BAWAH TAJUK : SIFAT RAHMAH(KASIH SAYANG) MENJANA ORGANISASI.

Tuesday, April 3, 2012

Lidah Nan Sejulur


Pada lidah nan sejulur.

Bukan sekadar untuk merasa pahit, masin, masam dan manis.

Tapi ia boleh mengubah hidup ramai manusia menjadi pahit, masin, masam, manis malah kelat serta kelam.

Oh.. lidah nan sejulur...di sebalik lentur lembutnya, ia mampu juga bertikam. Walaupun tanpa luka dan darah tetapi ia tetap 'melukakan dan mendarahkan' pada qalbu yang ditusuk.

Tidakkah engkau mahu berfikir?

Soalan yang sering ditanya Tuhan.

Monday, April 2, 2012

Ketika Allah Menarik Sedikit Nikmat Itu

Sungguh.

Ada ketikanya saya terasa lelah dan penat untuk berkata-kata. Dengan lisan ini, yang boleh membawa pemiliknya, sama ada ke syurga atau sebaliknya.

Walaupun berkata-kata itu juga adalah salah satu nikmat hidup, adakalanya nikmat juga ada pada melihat, merenung, memerhati dan membawanya masuk terus ke hati.  

Di bidang ini, terasa penat untuk berkata-kata, mungkin satu masalah juga.

Bukan hanya kepada saya, tetapi juga orang-orang yang berada di sekeliling saya.

Di rumah, kepada isteri dan anak-anak.

Di luar rumah, kepada kawan-kawan serta sahabat handai.

Di tempat kerja, kepada para pelajar.

Dan saya perasan, 'terpaksa' bercakap dengan 'lelah dan penat' yang masih melekat pada rohani dan jasmani, butir tutur katanya banyak yang hampas dari yang berisi . Kurang tersusun dan idea-ideanya acapkali berterabur.

Dan kepada Allah jualah saya bermohon, agar 'lelah dan penat' itu hanya seketika.

Semoga hutang kelas yang masih berbaki, dapat dilangsaikan dan tidak pula di bawa sebagai beban sesudah mati.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan hujan, petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya sinar. Rupanya-rupanya Allah hendak hadiahkan kita PELANGI.

Harap-harap begitulah hendaknya.