Thursday, April 19, 2012

Andai Aku Pernah Melukakan






Boleh dikatakan setiap kali memulakan hari-hari baru, saya memasang niat untuk tidak melukakan dan menyakitkan  sesiapa yang hidup di seputar saya. Sama ada ia berpunca dari tindakan atau kerana kata-kata saya.

Namun, dalam memasang niat itu, saya acapkali gagal menjadi pendiam. Dan kerananya, saya selalu bimbang kalau-kalau kata-kata atau kerja buat atau riak muka saya ada yang melukakan atau menyakitkan hati sesiapa sahaja.

Isteri.
Anak-anak.
Sahabat handai.
Rakan sekerja.
Rakan sepermainan.

Dan sesiapa sahaja yang pernah, sedang dan akan berhubung dengan saya atas apa-apa kondisi dan bila-bila masa sekali pun.

Sungguh.

Saya tidak pernah berniat sedemikian.

Dan seandainya ada hati-hati yang pernah dan sedang terguris, saya memohon maaf atas ketidaksengajaan itu.

Dan sebagai muslim, saya ingin menjadi lebah seperti yang pernah dimisalkan oleh Baginda Rasul.

Bandingan seorang mukmin seperti lebah, antara lain maksud sabda Rasul.

Dan lebah sekurang-kurangnya mempunyai lima kelebihan.

1. Sentiasa mencari sesuatu yang terbaik di mana pun ia berterbangan. Sama ada di taman-taman bunga atau di kawasan-kawasan pembuangan sampah. Di taman-taman bunga, yang di cari dan dihisapnya saripati bunga. Di tempat-tempat lain juga, yang dicari dan dihisapnya saripati bunga juga. Dan muslim sepatutnya begitu.

2. Lebah hanya memilih hanya yang terbaik untuk dimakan dan dihisap. Makanan yang baik-baik. Minuman juga bagus-bagus. Halalan dan toyyiban. Bukan membujur lalu, melintar langkah. Perutnya adalah perut yang memilih apa yang boleh dan tidak boleh dimasukkan ke dalamnya. Ini adalah kerana, makanan yang dimakan boleh memberi kesan kepada jasad yang memakannya. Dalam kata lain, makanan membentuk akhlak. Sama ada ia membentuk tenaga baik atau tenaga jahat. Orang mukmin, perutnya selektif, bukan asal makan dan minum. Asal dapat ditelan tekak, semuanya jalan.

3. Lebah menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk manusia iaitu madu. Bukan racun yang boleh merosak dan membunuh manusia. Tanpa saya menghuraikannya pun, saya yakin ramai yang sudah tahu tentang pelbagai khasiatnya untuk perubatan seperti yang disebutkan di dalam Al Quran dan Hadis-Hadis NabiNya. Bermaksud manusia mukmin, kalimah-kalimah yang keluar dari lisannya adalah kalimah-kalimah yang baik. Perbuatan-perbuatannya memberikan manfaat kepada manusia. Dan kakinya pula melangkah hanya ke tempat-tempat yang berfaedah dan ada gunanya.

4. Lebah, di mana pun ia singgah, ia tidak pernah mematahkan dahan pokok tempat ia menumpang bersarang. Manusia mukmin itu. Di mana pun dia tinggal, di mana pun dia pergi, tidak akan menyusahkan orang-orang disekelilingnya. 

5. Lebah tidak mengganggu jika ia tidak diganggu. Namun jika ia diganggu, ia akan menyerangnya. Lalu, jangan cuba-cuba diusiknya. Muslim juga begitu. Musuh tidak pernah dicarinya, tetapi jika bertemu ia tidak pernah undur ke belakang. Jika diusik atas kepentingan agama, mereka mempertahankan diri. Kalau saja-saja, mereka tidak akan menyerang orang lain.   

Dan perbandingan muslim seperti yang disabdakan oleh Rasul itu, begitulah sepatutnya. Dan dalam sepatutnya itu, sifat nasiya seringkali menguasai makhluk bernama manusia.

No comments: