Barangkali kita biasa mendengar ungkapan yang menyebutkan bahawa jika Tuhan memberi kamu pangkat atau kuasa, jangan kamu takbur. Takbur adalah pemusnah kasih sayang. Orang yang takbur tidak disayangi Tuhan, tidak disayangi mereka yang berada di sekelilingnya. Mereka tersenyum di hadapanmu, tetapi mengutuk di belakangmu. Perasaan hormat tidak boleh dipaksa, ia datang dari jiwa yang ikhlas, ia datang dari mata yang melihat peribadimu. Jika kamu mahu dihormati, kamu perlu menghormati anak buah kamu, sayangi mereka terlebih dahulu nescaya kamu disayangi. Hulurkan tanganmu ketika mereka memerlukan bantuan.
Nabi yang penuh kasih sayang sentiasa memalingkan wajahnya selepas solat memerhatikan siapakah sahabat yang tiada dalam jemaah. Dia akan bertanya di manakah sahabat pergi, adakah ia sakit, adakah ia ada masalah jika dilihat sahabat itu tiada. Dia tidak pernah memalingkan wajahnya ke arah lain ketika sahabatnya bercakap, sehingga semua orang merasai dirinya dihargai dan dihormati.
Dalam organisasi, yang menghidupkan dan menguatkan ialah kerjasama yang jitu antara pemimpin dan anak buah. Kasih sayang adalah ubat yang mujarab kepada apa jua masalah dan ia juga bagaikan api yang dapat menjana kekuatan. Hidupkan suasana kasih sayang dalam organisasi, jadikan pejabat bagaikan rumah yang ceria dengan suasana kekeluargaan. Sentiasa pastikan hubungan yang rapat dan menjaga perkara yang boleh membawa kemusnahan kasih sayang.
Pemimpin yang baik memastikan unsur takbur, dengki, umpat tiada dalam organisasinya. Kerana semua itu adalah pemusnah kasih sayang, ia adalah pelemah kekuatan organisasi. Didiklah anak buah kepada keimanan dan kebersihan jiwa. Jadikan mereka kumpulan yang hatinya penuh dengan kasih sayang. Walau bagaimana hebat pun seorang pemimpin, organisasi tidak akan berjaya jika tidak mendapat sokongan padu dari kumpulannya. Begitu juga betapa hebat pun kumpulan jika tidak memiliki pemimpin yang hebat dan pemikiran yang ke depan, ia tidak membawa ke mana-mana jua.
Hari ini, kebanyakan organisasi walaupun hebat dalam penyusunan dan perancangan dari sudut kebendaan tetapi mereka gagal dari sudut pengurusan kejayaan manusia. Lahirlah kepincangan, ketua tidak dihormati atau anak buah banyak memberi masalah. Hubungan pekerja dingin dan yang malangnya berlaku jatuh menjatuh sesama sendiri.
Peranan pemimpin adalah amat penting dalam apa jua keadaan. Kelemahan pemimpin akan mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang boleh menguasai suasana, bukan terikut dengan suasana. Ingatlah. Jangan sesekali bersikap meninggi diri di hadapan anak buah, komunikasi perlu dijaga supaya wujudnya kasih sayang.
Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang mempunyai empat ciri.
Pertama, dia bagaikan ayah yang sentiasa mengambil berat kebajikan anaknya. Sehingga jika melihat anaknya termenung, dia tahu masalah yang difikirkan si anak. Sebagaimana Nabi SAW ketika melihat seorang sahabat yang miskin termenung, baginda bertanya, adakah sahabat itu ingin berkahwin. Lalu kata sahabat tadi, "Siapakah wanita yang ingin berkahwin dengan saya?". Lalu Nabi SAW menyuruhnya meminang anak perempuan seorang hartawan atas perintah Baginda.
Kedua, dia bagaikan seorang sahabat yang boleh berbincang apa jua masalah dan menyimpan rahsia serta keaibannya.
Ketiga, dia bagaikan guru yang sentiasa memberi tunjuk ajar dengan baik jika anak buahnya melakukan kesilapan.
Keempat, dia adalah pemimpin yang boleh membuat keputusan yang tepat dan tegas tanpa dipengaruhi emosi demi kebaikan anak buah dan organisasinya.
Lontarkanlah kasih sayang nescaya kasih sayang akan melantun kembali kepada kita. Mereka adalah keluarga kita yang kita perlu jaga bukan sahaja dalam hal-hal dunia tetapi juga hal-hal berkaitan dengan keimanan. Firman Allah SWT, "Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka."
Dan sabda Nabi SAW, "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya."
Hidayat Nur Wahid mengungkapnya : "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."
Kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."
Sebagai pekerja, hormatilah pemimpin selagi ia benar kerana ia adalah melambangkan keimanan. Di samping mendapat rezeki, kita juga perlu bersyukur. Bersyukur sebagai kakitangan ialah memberi perkhidmatan yang baik. Ingatlah rezeki yang kita perolehi adalah untuk menjadi makanan kepada diri dan keluarga. Oleh itu, jangan masukkan makan yang tidak baik ke dalam perut anak-anak dan isteri kita yang bersih. Tidak amanah dengan masa dan tidak memberi perkhidmatan yang baik akan menjadikan rezeki yang kita terima sebagai perkara syubhah.
Kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."
Sebagai pekerja, hormatilah pemimpin selagi ia benar kerana ia adalah melambangkan keimanan. Di samping mendapat rezeki, kita juga perlu bersyukur. Bersyukur sebagai kakitangan ialah memberi perkhidmatan yang baik. Ingatlah rezeki yang kita perolehi adalah untuk menjadi makanan kepada diri dan keluarga. Oleh itu, jangan masukkan makan yang tidak baik ke dalam perut anak-anak dan isteri kita yang bersih. Tidak amanah dengan masa dan tidak memberi perkhidmatan yang baik akan menjadikan rezeki yang kita terima sebagai perkara syubhah.
Nabi SAW satu ketika pernah menangis sehingga ditanya oleh sahabatnya mengapa beliau berkeadaan demikian. Lalu Baginda yang amat mengasihi umatnya bersabda, "Umatku di akhir zaman ramai yang makan rezeki dari sumber yang syubhah."
Jauhkan diri kita dari umpat, dengki dan takbur kerana ia pembunuh kasih sayang. Manusia akan menjauhi kita kerana sikap kita sendiri yang menjadi penghalang dengan mereka. Bersyukurlah jika kita memiliki majikan yang baik, jagalah akhlak kita dengannya dan berilah ketaatan kepadanya kerana Allah SWT.
Organisasi yang berpecah, tiada kasih sayang dan tiada tersusun kukuh, tidak dikasihi Tuhan, tiada pertolongan Tuhan, tiada keberkatan, tiada kekuatan. Kasih sayang adalah sumber kekuatan dan penyelesaian masalah. Tanpa kasih sayang, masalah kecil menjadi besar, tetapi dengan kasih sayang masalah besar menjadi kecil. Mereka bertindak dengan hati yang padu, fikiran yang kreatif, tidak bertindak sendirian, bergerak secara kumpulan, membantu pemimpin di saat susah dan senang. Tolong menolong atas dasar takwa, tolong menolong untuk membina kejayaan, bantu membantu menuju keredhaan Allah SWT.
Ulama sufi amat menekankan empat perkara pada organisasinya.
Pertama, menjaga akhlak dengan pemimpin supaya tidak menyinggung perasaannya. Kalau melihat kelemahannya atau kesilapannya, tutuplah dan tegurlah ia dengan baik. Berilah nasihat dengan suasana hormat walau pun ia kawan kamu, walaupun ia bergaul dengan kamu bagai kawan, jagalah batas-batasnya dan janganlah kamu mengambil kesempatan ke atasnya.
Kedua, sentiasalah ringan tulang dan memberi sokongan serta membantunya untuk menjayakan segala perancangan dan kerjanya.
Ketiga, sentiasa taat kepadanya dengan tidak banyak kerenah, menunjukkan sikap yang tidak baik atau bersikap acuh tidak acuh arahan yang diberi olehnya.
Keempat, menanamkan rasa kasih sayang kepadanya selagi ia menghormati dan menjaga kebajikan pekerjanya.
Oleh itu jadikan diri kita para pekerja organisasi yang mudah berurusan dengan orang dan orang mudah berurusan dengan diri kita.
Sebuah syair mengatakan : "Aku melewati rumah si Laila, ku cium dinding rumah itu. Sebenarnya aku bukan mencintai rumahnya, tetapi mencintai penghuni rumah itu." Oleh itu, berusahalah menjaga hak dan kewajipan kasih sayang, semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menolong kita.
Ingatlah ,ada di antara rakan sekerja kita yang tidak memerlukan bantuan harta, kerana Allah telah melimpahkan kurnia-Nya atau telah ada orang yang memenuhi keperluannya. Akan tetapi ia sangat memerlukan lidah dan hati kita iaitu nasihat dan kebaikan kita.
Apa gunanya harta benda dan bantuan kita , jika disertai dengan kata-kata yang meyinggung perasaan. Apa gunanya erti harta dan nasihat kita jika tidak disertai kesetiaan dan kasih sayang serta keikhlasan. Oleh itu peliharalah hak-hak saudara kita atas lidah dan hati kita.
Seorang penyair pernah berkata, "Menyendiri atau bergaullah dengan temanmu, kerana kadang kala ia membuat kesalahan dan kadang-kadang menjauhinya. Jika kamu setiap saat kamu mencela saudaramu, kamu tidak akan dapat menemui orang yang tidak dapat dicela".
Penyair lain mengatakan, "Maafkan kecacatan atau keaiban saudaramu sebagai simpanan kebaikan bagimu. Hindarkan umpatan-umpatan keji sebagai kebaikan hatimu."
Penyair lain pula mengatakan, "Ambillah yang baik daripada saudaramu, tinggalkanlah yang mengandungi kerosakan kerana umur lebih pendek daripada pekerjaan mencela satu sama lain".
Allah memerintahkan agar selalu memaafkan orang lain seperti yang terdapat dalam banyak ayat didalam kitab-Nya yang mulia. Di antaranya ialah :
"Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya ditangan Allah. Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim". (Asy-Syura : 40)
Imam Al-Ghazali pernah berkata : "Kalau kita memutuskan hubungan dengan saudara kita, dari satu segi kita telah kehilangan kesempatan untuk mengembalikannya ke jalan yang baik."
Akhirnya, sebagai sebuah organisasi yang mana anggotanya saling perlu memerlukan, kita mestilah sentiasa berada dalam hubungan kasih sayang dengan majikan, rakan sekerja serta mereka yang sentiasa berada di sekililing kita. Pandanglah dengan penglihatan kasih sayang, bukan dengan pandangan dengki, benci dan marah . Kebencian dan kemarahan hanya akan merosakkan sedangkan kasih sayang yang terarah bukan sahaja boleh memberi kebaikan kepada organisasi bahkan boleh melahirkan keamanan dunia seluruhnya. Sebuah organasasi yang mantap bukan sahaja memerlukan prasana yang baik tetapi juga emosi pekerjanya yang stabil, tenang dan bahagia bagi memastikan organisasi sama-sama dipacu ke arah kecemerlangan.
ISI TEKS INI SAYA SEDIAKAN HASIL ADUNAN DARI BEBERAPA SUMBER SERTA TOKOK TAMBAH IDEA SENDIRI SEBAGAI UCAPAN TUAN PENGARAH PTSS KETIKA ITU SEMPENA PERHIMPUNAN BULANAN PTSS BAGI BULAN MEI 2008 DI BAWAH TAJUK : SIFAT RAHMAH(KASIH SAYANG) MENJANA ORGANISASI.
No comments:
Post a Comment