Saturday, January 16, 2010

Diam Tanda Setuju, Setuju Kerana Beberapa Sebab



"Ada ke dalam kelas ni yang bercinta sesama rakan sekelas", saya cuba mengusik pelajar-pelajar salah satu kelas yang pernah saya mengajar Semester Julai 2009 yang lepas. Dengan harapan meredakan sedikit ketegangan pembelajaran yang mungkin ada.

"Ada", jawab mereka seakan hampir serentak, sambil menyebut nama si "pakwenya" dan diikuti gelak tawa. Seronok ingin "mengenakan" kawan-kawan barangkali. "Pakwenya" pula hanya tersipu-sipu.

"Siapa wanita bertuah itu", saya terus "mengusik" dengan gaya benar-benar teruja ingin tahu.

"Hahahaha",mereka hanya ketawa tanpa menyebut siapa orangnya. Tetapi saya perasan ada mata-mata yang menjeling kepada seseorang.

Saya perasan.

Hampir semua pelajar perempuan ketawa kecuali seorang. Dan "seorang" itu pula "kebetulan" tertunduk diam dengan sedikit senyuman semacam malu-malu pada ketika semua kawan-kawan lain ketawa tanda seronok "mengenakan" rakan sekelas.

"Tahu dah, tahu dah", saya cuba meredakan usikan itu.

"Hahaha", mereka ketawa lagi.

"Kamu ni kalau bab-bab pekena orang bukan main seronok",  saya menambah.

Dan seperti biasa mereka ketawa lagi.

"Ok,ok, kita teruskan topik kita", saya menyudahkan usikan itu.

Betul atau silap telahan saya ketika itu entahlah. Saya hanya simpannya dalam diri tanpa memberitahu sesiapa pun ketika itu.

Teori saya ketika itu ; Diam tanda setuju.

Tunduk-tunduk dengan sedikit senyuman semacam malu-malu ketika rakan-rakan lain semuanya teruja ketawa adalah "ukuran" saya masa itu. Dan selepas itu saya telah buktikan bahawa teori saya adalah benar. Betullah dialah wanita bertuah itu. Bagaimana saya mencari jawapan bagi "membenarkan teori" tersebut rasanya tidak perlu dinyatakan di sini.

Begitulah dalam meniti kehidupan.

Diam tanda setuju boleh diterima umum dalam banyak perkara dan keadaan rasanya. Barangkali yang berbeza adalah :

Diam tanda setuju tersebut mungkin kerana sebab-sebab yang berbeza ;

Mungkin kerana ;

Akur arahan ketua.
Tidak suka "kecoh-kecoh".
Malu pada "seseorang".
Kerana tiada pilihan lain.
Untuk kebaikan masyarakat.
Untuk kebaikan institusi.
Untuk kebaikan agama.
Untuk kebaikan bangsa.
Untuk kebaikan negara.
Untuk mencari pengalaman baru.
Menjaga nama baik diri sendiri.
Untuk mengelakkan "kontroversi".
Jika tiada rotan, akar pun berguna juga.
Jika tiada gading bertuah, tanduk pun berguna juga.
Kerana "sakit hati" dan "geram" pada seseorang.
Tiada orang lain sudi untuk memegang orang amanah tersebut.
"Terpaksa atau dipaksa" menerima walaupun merasakan diri bukan yang terbaik.
Kerana memang kita "menghendakinya" cuma "malu-malu" ingin dinyatakan.

Razak Nordin berpesan Tidak kiralah alasan apapun. Jika terpaksa, tentunya dinding itu terpaksa juga diboloskan. Bersedia atau tidak, bolos saja dinding itu.

Friday, January 15, 2010

Bersedia Atau Tidak, Bolos Saja Dinding Itu.

Hidup adakalanya memang begitu.

Bersedia atau tidak. Suka atau terpaksa. Sesuatu yang "terjadi" tetap akan terjadi juga.

Bersedia atau tidak ; hingga ke hari ini :

Siang akan muncul jua sesudah malam walaupun ayam jantan berhenti berkokok "memanggil" matahari.
Malam akan muncul jua selepas siang walaupun anak-anak kecil masih belum pun puas bermain di laman rumah.
Maghrib akan menyusul jua selepas asar  walaupun sesetengah kita masih "ligat" di padang bola.
Tua akan tiba jua selepas dewasa walaupun sesetengah kita masih belum puas menjadi dewasa.
Kematian akan tiba jua tanpa diundang walaupun sesetengah kita masih seronok membilang hari yang menyeronokkan di dunia ini.

Dan. Bersedia atau tidak.

Kelas-kelas untuk semester baru sesi Januari 2010 akan bermula Isnin depan walaupun antara kita mungkin ada yang belum bersedia sepenuhnya. Kerana hakikat hidup memang begitu. Bersedia atau tidak. Yang terjadi tetap terjadi. Adakalanya kita tiada pilihan pun. Kerana itu adalah "dunia kita" buat masa ini.

Razak Nordin berpesan ; Dedikasi buat sahabat-sahabat perjuangan di Jabatan Pengajian Am PTSS. Lelaki dan wanitanya juga. Tuan. Puan. Dan Cik-Ciknya juga. Bersedia atau tidak. Bolos saja dinding itu. Selamat berjuang buat sahabat-sahabat yang amat berdedikasi.

Saturday, January 9, 2010

Skim DH ; Surat Untuk Sahabatku ; Razak Nordin

Salam..

Saudara Razak

Saudara apa khabar? Di kejauhan ini saya doakan saudara sihat sejahtera hendaknya disamping orang-orang yang saudara sayangi dan kasihi. Saya juga doakan mudah-mudahan rahmat Ilahi sentiasa mengiringi perjalanan hidup saudara. Moga Allah s.w.t. panjangkan umur, murahkan rezeki, ditetapkan Iman di atas akidah yang betul serta dipermudahkan segala urusan dunia menuju akhirat yang kekal abadi. Semoga dunia ini menjadi jambatan yang baik untuk menuju akhirat yang pasti.

Maafkan saya jika warkah yang tidak diundang ini sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman saudara. Tetapi sebagai kawan lama rasanya wajar juga untuk saya berkongsi pandangan dengan saudara tentang Skim DH untuk pensyarah politeknik yang sama-sama kita telah pilih itu. Ada orang mengatakan "terpaksa memilih". Terpulanglah. Rela atau terpaksa. Hakikatnya kita sama-sama telah berada di dalamnya. Barangkali tiada lagi jalan pulang dan tiada lagi peluang untuk kembali ke pangkalan jalan.

Saudara Razak,

Saya berpandangan jika tiada jalan kembali, apa gunanya kita menangis sampai keluar air mata darah sekalipun. Tentunya sia-sia sahaja rasanya. Pada saya lebih baik kiranya kita gunakan masa yang ada untuk belajar menerima hakikat serta menyusun strategi untuk mengharungi perjalanan masa hadapan. Saya juga bersetuju dengan ungkapan bahawa langkah seribu bermula dengan langkah yang pertama. Marilah sama-sama kita mulakan langkah pertama bersama-sama. Senang atau susah adalah asam garam yang telah lama merencah dalam hidup manusia.

Saudara Razak,

Dalam kesempatan yang ringkas ini, izinkan saya membawakan dua contoh bagi menjelaskan maksud surat saya ini. Jika contoh perbandingan yang cuba saya bawakan ini tidak sesuai untuk saudara, abaikan sahaja. Namanya pun pandangan peribadi. 

Pertamanya ; 

Realiti hidup manusia di dunia ini tentunya berbeza-beza. Ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana hidupnya, ada yang bahagia, ada yang derita, ada yang sengsara dan segala macam lagi. Manis, pahit, maung, masin, kelat adalah antara istilah yang selalu digunakan orang bagi menggambarkan liku-liku perjalanan hidup ini. Halangan berada di mana-mana. Bukan selalunya bahagia, senang dan mudah. Dan bukan juga selalu derita, sengsara dan diiringi airmata. Adakalanya ia bersilih ganti. Lumrah alam untuk manusia barangkali. 

Persoalannya? Adakah dengan segala halangan serta segala-segala yang tidak "menggembirakan" dalam hidup kita di dunia ini, kita boleh kembali masuk ke dalam perut ibu kerana menyesal dilahirkan lantaran terpaksa menghadapi bermacam "benda yang kita tidak ingini"  dalam hidup ini. Meminta mati tentunya perkara pasti yang amat dilarang oleh agama. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Barangkalinya menyusun strategi dan membuat yang terbaik dalam meneruskan perjuangan hidup ini. Dalam kata lain, hidup mesti diteruskan kerana kita telah berada di dunia dan di hadapan kita hanya ada akhirat. Tiada pilihan lain.

Saudara Razak,  

Keduanya ;

Kalau boleh saya buat andaian. Katalah,  kita kini dalam ekspidisi pendakian gunung Kinabalu setelah melalui kesusahan penerbangan dan segala kesusahan lain untuk sampai ke bumi Sabah apatah lagi untuk sampai ke puncak Gunung Kinabalu tentunya. Dan ketika kita sudah semakin hampir sampai ke puncak Gunung Kinabalu, tentunya semua pendaki merasa penat, letih dan sebagainya. Adakah patut ketika itu kita saling menyalahkan, menyatakan penyesalan atau hanya duduk di situ sambil menunggu-nunggu keajaiban akan berlaku tanpa membuat apa-apa kecuali merungut-rungut sahaja? Pada saya ia sesuatu yang tidak wajar dan tidak patut. Ketika itu pada saya, kita hanya ada tiga pilihan, meneruskan pendakian sampai ke puncaknya atau turun balik sebelum sampai ke puncak dan semuanya menjadi sia-sia sahaja. Harus ditanya juga. Berbaloikah kita turun ketika kita sudah hampir sampai ke kemuncaknya.  Atau kita boleh terjun ke bawah "melepaskan" kekesalan, kebencian dan kemarahan kita, lalu kita hilang dan berkubur tanpa nisan entah di mana. Saya berpandangan begini. Mahu tidak mahu, ketika saat-saat yang genting seperti itu, ada baiknya kita bertenang seketika, mengumpulkan tenaga, menyusun strategi terbaik, bekerjasama antara kita dan meneruskan pendakian sampai ke puncak gunung Kinabalu dengan jayanya.  

Saudara Razak,

Begitulah dua contoh yang boleh saya bawakan untuk kita kongsikan bersama. Bandingannya. Hakikatnya, kita telah dan sudah pun memilih atau terpaksa memilih Skim DH. Seperti yang saya katakan di atas tadi. Memilih atau terpaksa memilih, kita telah pun berada di dalamnya. Pada saya, kita tiada banyak pilihan. Yang terbaik ketika ini pada saya adalah "buatlah apa yang patut daripada tidak buat langsung apa-apa yang patut". 

Saudara Razak,

Sebagai kawan lama,  pesan di bawah mungkin ada manfaatnya untuk kita bersama.
"Jika kita menunggu kesempurnaan, tunggulah sampai bila-bila". 

Saudara Razak,

Untuk kali ini, rasanya setakat ini sahaja coretan saya untuk saudara. Jika ada kelapangan masa bolehlah kita berlepak cara moden di facebook atau berbalas email. Jika segan bercakap di telefon. 

Sebelum mengundur diri, izinkan saya memohon maaf jika bahasa yang saya gunakan ada kesilapan di mana-mana, mengguris hati dan juga perasaan saudara. Saya menyerahkan bulat-bulat kepada saudara sama ada ingin menerima atau menolak pandangan saya itu. Pilihan tetap di tangan saudara. Tiada paksaan. Tentunya dari sahabat untuk sahabatnya jua. Sehingga ketemu lagi.

Sahabat lamamu.
Pokok bin Kayu
Politeknik Tepi Tasik
Pauh Ulu
60020
Uara
Lisper.

p.s ; bila nak tambah sorang lagi? Untuk kita-kita aje...huhuhu.... Apa-apa hal emaillah ke alamat email di atas atau jumpa di facebook, kita lepak gaya moden.

Adat Hidup Berkampung ; Tradisi Yang Masih Hidup

Selepas isyak malam tadi, saya bersama En. Hamdan Zakaria (Mede) dan En. Nadzri Che Kamis(Cikkar) sempat juga menghadirkan diri ke tempat penyembelihan lembu di kampung Padang Siding.

Tujuannya.  Bersama-sama untuk menyiang daging lembu untuk kenduri anak lelaki Tuan Pengarah PTSS pada hari ini.
Atas dasar ;
Kata orang "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing"
Dalam memberi pula "Sedikit tanda ingat, banyak tandanya ada".

Ramai juga staf PTSS yang hadir memberikan khidmat mereka. Tidak ketinggalan juga orang-orang kampung sekitar yang ramai juga bilangannya. Semuanya nampaknya semacam tidak sabar untuk menyiang daging-daging tersebut. Apa tidaknya. Belum pun selesai lembu tersebut dilapah, tukang-tukang siang sudah bersedia di posisi masing-masing.

Dalam "kegelisahan" hidup moden ini. Hati kecil saya tersentuh bukan sedikit. Saya menjumpai sesuatu di sini ; indahnya kebersamaan. Menjurangkan perbezaan, meraikan persamaan. Insyaallah, barangkali hidup ini akan lebih mendamaikan. Buktikan bahawa adat hidup berkampung ; Tradisi yang masih hidup dan akan terus hidup hendaknya kerana antara manusia memang saling memerlukan.


Sempatlah juga saya "tangkap" beberapa keping gambar untuk dimasukkan ke dalam blog ini. Bukan sekadar hiasan. Tapi yang tersirat juga. Iktibar dan muhasabah diri. Demi kesinambungan warisan berzaman.


Kerja-kerja melapah sedang berjalan dengan lancar.


Semuanya tidak sabar menunggu "ketibaan" daging-daging. Terutamanya dua orang yang berbaju kuning.


Masih menunggu "ketibaan".


Antara tukang lapah yang power malam tadi.


Semuanya tekun melapah-lapah...saya pula pisaunya tak lut..tapi dapatlah juga sedikit...frustlah wei...


Antara orang-orang kampung turut sama menyiang daging.(Maaf! Gambar kurang jelas)




Razak Nordin berpesanSesekali teringat juga kepada Pak Pandir dan Mak Andehnya. Hari ini hari orang. Esok hari kita pula. Tak gitu Mak Andehnya. Manusia saling memerlukan.

Friday, January 8, 2010

Jika Gatal, Garulah Sambil Berjalan



"Saya tidak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya, tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya; sebab jika saya menyibukkan diri untuk membaca cercaan tersebut, saya akan kehabisan waktu untk berbuat sesuatu bagi rakyatku," Abraham Lincoln.

Hanya kata-kata manusia biasa.

Bukan dari Quran.
Juga bukan dari hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Juga bukan kata-kata sahabat-sahabat Nabi.

Tetapi pengajarannya tetap ada.

Hidup ini ;

19:51Razak
hidup adakalanya begitu

19:52Has
seringkali begittu..

19:52Razak
dan sesekali itulah....
menyebabkan ada antara hati2 yang derita dan sengsara

19:53Has
krn mnjga hati2 insan lain

19:56Razak
aku makin mengerti

Dalam menyelusuri perjalanan hidup seringkali juga kita mengalaminya ;

Merasa malas
Bosan
Kecewa
Menyampah
Hilang arah
Sakit hati
Jemu
Meluat
Gembira
Suka
Tangis
Tawa
Dikritik
Dimaki hamun
Dibenci
Disayangi
Dicerca
Rasa tersinggung
Dimalukan
Diaibkan
Hilang punca
Ditertawakan
Diperlekehkan
Tidak dihargai.

Dan segala macam lagi.

Tapi...ingatlah..

Razak Nordin berpesan ; Itulah barangkali kemuncup-kemuncup yang "menggatalkan kulit"  dalam kehidupan. Anda tidak perlu berhenti. Jika gatal, garulah sambil berjalan. Perjalanan masih jauh jika ditakdirkan.

Gambar ; Yang Tersurat Dan Tersirat

Hanya gambar tanpa cerita tetapi di dalamnya ada "cerita-cerita" ; Yang tersurat dan tersirat juga.

Sekitar Jamuan Kesyukuran dan Hari Jadi Along


Jemputan dari Kg. Kelubi, Pasir Puteh, Kelantan dan Permatang Pauh, Pulau Pinang.




Ummi Niza dan ahli keluarganya




Terima kasih buat semua.


Dan syukur pada Ilahi. Satu tanda barangkalinya nilai ukhwah sesama kita masih utuh. Moga terus utuh. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir tanda "ukhwah" masih hidup di sini.

Rombongan Dari Terengganu Menjamu Selera Malam Sebelum Kenduri Sebenar.


Pekena Satay "Solo" Jawa dan macam-macam lagi.






Semoga ikatan kekeluargaan ini akan terus harmoni dan damai selamanya. Untuk kita juga.

Mandi Manda Di Kolam Renang Pauh Inn, PTSS






Semoga semuanya akan bertambah erat.

Razak Nordin berpesan ; Adakalanya tidak perlu bersuara pun. Cukuplah dengan apa yang kita lakukan. Bukti kita sebenarnya saling harga menghargai sesama insan.

Sunday, January 3, 2010

Facebook : Mungkin Satu Antara Berjuta

Mungkin apa yang saya kongsikan ini "terjadi" hanya satu antara berjuta manusia yang menggunakan facebook. Mungkin juga hanya satu-satunya manusia yang sudi berkongsi rahsia dari berjuta manusia yang derita hati batinnya kerana perkara yang serupa.

Tetapi rasanya tidak salah kita sama-sama renung-renungkan. Untuk kita juga.Ini yang telah terjadi. 

Kerana semua sakit adalah "sakit". Tidak seperti rahsia. Kerana tidak semua rahsia "boleh dan perlu" dikongsikan. Memetik kata-kata seseorang tempohari. Saya pun turut bersetuju. Saya pun sebenarnya sudah lama bercadang menulis sesuatu tentang "rahsia" tetapi belum menjumpai mood yang sesuai. Mudah-mudahan "moodnya sampai" dalam masa terdekat.

Razak Nordin berpesan ; Sekadar perkongsian. Tanpa ulasan.

Masih Adakah Air Mata Untuk Aku Menangis

Dalam hidup ini ;

banyaknya :



yang perlu dijaga....

Sedangkan saya hanya punya satu 

sahaja.

Razak Nordin berpesan ; Biarlah. Aku sudah tidak punya airmata untuk dicurahkan. Mungkin telah ditakdirkan. Teruskan langkah selagi mampu. Kerana saya ; manusia biasa juga.