Monday, August 16, 2010

Hikmahnya Tersimpan Di Sisi Allah

Hari ini.
Isnin. 16 Ogos 2010  bersamaan 6 Ramadan 1431H.

Saya terpaksa mengambil cuti kecemasan untuk menjaga anak jantan saya yang demam sejak semalam. Ingatkan biasa-biasa sahaja. Rupanya melarat sampai ke hari ini. 

Sambut Awal Ramadan Dengan Demam.

Telah ditakdirkan.
Minggu "sebelum minggu lepas", minggu lepas dan minggu ini adalah minggu demam untuk keluarga kami barangkali.

Mendahului senarai adalah anak perempuan sulung saya. Seminggu lebih juga masa yang terpaksa diambil bagi memastikan demamnya benar-benar kebah.

Belum pun sempat Along kebah sepenuhnya, Umi pula menambah senarai pada Ramadan yang kedua. Dan saya tidak menunggu lama untuk menambah senarai itu.

Dan hari ini, Umi masih demam-demam tetapi tetap mahu pergi bekerja juga. Akhirnya saya yang masih berbaki demamnya ini terpaksa mengambil cuti bagi menjaga "sibotak" yang baru memenuhi senarai terbaru demam dalam keluarga kami.

Walaupun demam, dengan segala kudrat yang masih ada, hujung minggu yang baru berlalu, saya gagahkan diri jua untuk memandu membawa kami sekeluarga balik ke Kamunting demi memenuhi hajat berbuka puasa bersama keluarga mertua. Itu pun perjalanan terpaksa dilewatkan ke hari Sabtu kerana pada petang Jumaat tersebut, saya tiada kekuatan untuk memandu memandangkan badan yang membahang panasnya serta sendi-sendi pula lenguh-lenguh. Pendek kata, ingin mengangkat kaki sendiri pun tidaklah larat. Inikan pula ingin memandu sejauh itu.    

Sehingga malam Ahad, anak jantan saya itu masih ampuh bertahan kerana dia satu-satunya dalam keluarga kami yang tidak demam pada awalnya. Dan sehinggalah malam semalam, dia juga akhirnya memasuki senarai terbaru. Tetapi mujurlah Along pula sudah pun baik sepenuhnya dari demamnya yang panjang itu. Mudah-mudahan ia tidak berulang lagi dalam tempoh terdekat ini.

(Umi baru membuat panggilan dari klinik memberitahu bahawa dia terpaksa dimasukkan air kerana tekanan darahnya rendah sangat ketika ini. Bersemangat juga untuk pergi bekerja walaupun demam yang masih belum baik sepenuhnya itu datang kembali. Dan akhirnya ke klinik juga sudahnya. Moga cepat sembuh).

Dan saya mendapat "demam pakej". Tiga dalam satu. Demam, batuk dan selesema.

Beberapa hari yang dilalui, hampir satu keluarga diuji pula dengan deman, bukanlah sesuatu yang mudah.  

Menyediakan juadah berbuka dan sahur satu hal. Melayan karenah anak-anak pula satu hal yang lain pula.

Dalam keadaan badan yang kurang larat dan kurang bermaya tersebut, tahap kesabaran adakalanya banyak teruji.

Atas semua itu.

Sama ada hikmat itu yang boleh dilihat atau tersimpan di sisi Allah s.w.t.

Mudah-mudahan hadis di bawah boleh menjadi penawarnya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya, daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.

Dan juga hadis di bawah ini.

 
Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Razak Nordin berpesan ; Semoga Allah sentiasa memberikan kita semua segala kekuatan untuk menghadapi segala ujianNya. Ameen.

No comments:

Share/Bookmark