Sejak berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, rutin raya kami disusun secara ber"jadual". Bergilir-gilir antara Terengganu dan Perak. Bermakna hanya satu lokasi sahaja, bagi setiap kali sambutan raya kecuali apabila "kena" giliran beraya di Terengganu. Apabila "kena" giliran beraya di Terengganu, kami akan cuba juga untuk singgah "barang" semalam di Kamunting, Perak. Barangkali kerana letaknya kebetulan di "tengah-tengah" laluan perjalanan ke Perlis. "Menyelam sambil minum air kalau bukan di bulan Ramadan", apa salahnya.
Ada beberapa sebab kenapa saya memilih rutin begitu. Dulu-dulu.
Antaranya.
Kerana jarak kilometer antara Kamunting, Taiping, Perak dengan Kg. Bukit Kulim, Marang, Terengganu. Tambahan pula pada musim perayaan. Tentu banyak cabarannya. Fizikal dan mental juga.
Kerana ketidaksanggupan menghadapi kesesakan jalanraya pada musim perayaan terutama di kawasan Tanah Merah hingga ke Jeli di Kelantan. Juga di lokasi-lokasi lain sepanjang perjalanan.
Kerana ketidaksanggupan saya berada lama-lama di jalan raya pada musim perayaan. Sejujurnya memandu pada musim perayaan banyak memberikan tekanan kepada saya berbanding kegembiraan. Tangan dan kaki selalunya "sejuk-sejuk" walaupun tanpa penghawa dingin. Lambang ketakutan,kegelisahan dan kerisauan yang bersarang dalam diri. Atas banyak sebab dan kemungkinan.
"TERPAKSA BERUBAH"
Bermula tahun ini, rutin raya saya sedikit berubah.
Sambil mengharapkan anugerah kekuatan jasmani dan rohani dari Allah s.w.t., sedaya upaya saya cuba membuang segala "kerana-kerana" yang ditulis di atas dan "kerana-kerana" yang tidak tertulis di atas.
Dengan kekuatan itu, mudah-mudahan perubahan rutin tersebut akan mendapat restu Ilahi jua.
SEBABNYA
Apa yang terjadi 1 Syawal tahun lalu, banyak juga mengubah prinsip hidup saya. Kehilangan ibu tercinta di pagi Syawal lalu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan. Rupanya kelamaan masa semata-mata belum cukup memudarkan ingatan itu walaupun sedikit cuma. Saya berfirasat, Ibu pergi dengan penuh dambaan kerinduan dan kasih sayang terhadap anak-anak serta cucu-cucu yang takdirnya ramai yang tinggal berjauhan. Dan selepas apa yang telah berlaku itu, menyebabkan saya seringkali berfikir. Antara prinsip dan pelangi hidup, mana yang perlu didahulukan.
Lalu akhirnya, saya memilih untuk menjadikan sebahagian hidup ini adalah pelangi, kalau pun tidak semuanya.
Mengubah rutin raya yang telah menjadi "prinsip" itu, untuk menjadikan sebahagian nikmat hidup ini seumpama pelangi.
Sementara masih ada upaya dan kekuatan.
Selagi dalam diri ini masih ada kasih dan sayang untuk dicurahkan.
Selagi dalam hidup ini masih ada insan-insan untuk disayangi dan dikasihi.
Selagi dalam hidup ini masih ada insan-insan yang masih menyayangi dan mengasihi diri ini.
Selagi dalam hidup ini masih ada lagi rindu merindui sesama insan.
Berkorbanlah. Selagi mampu dan berupaya. Kerana hidup ini umpama pelangi.
Tidak kiralah sama ada ia pelangi pagi, pelangi tengahari atau pelangi petang. Ia tetap keindahan.
Selagi masih mampu........
Selagi masih mampu........
Ya, Allah. Seandainya aku lakukan semua ini kerana Mu, maka Engkau permudahkanlah jalannya.
Razak Nordin berpesan ; Ameen.
No comments:
Post a Comment