Monday, October 11, 2010

Al Nafs Al-Lawwamah ; Sakit Yang Masih Ada Harapan Sembuh







Kerana kita manusia.

Acapkali juga 'kemarahan' kita terlepas dari ikatan kesabaran. Namun saya masih percaya bahawa sabar sesaat lebih baik dan dapat menyelamatkan banyak perkara dalam hidup ini. Ada pengalaman peribadi yang tidak perlu rasanya saya kongsikan di sini bagi tujuan coretan ini.

Namun, tiada jaminan ianya pasti berjaya pada semua masa, keadaan dan tempat.

Menahan marah, kegeraman serta sakit hati bukanlah sesuatu yang mudah. Tersimpan di dada selalu menyesakkan. Tambahan pula jika perkara serupa yang berulang dan mengharapkan reaksi yang serupa juga berulang.

Hidup ini bukan wayang atau filem yang selalunya berakhir dengan 'happy ending'. Hidup ini adalah realiti yang berpijak di bumi nyata. Cubit yang merasai sakitnya, penampar yang merasai pedihnya.  

Menginsafi setelah 'ketelanjuran' kata dan tindakan menandakan kita sebenarnya masih beruntung. 

Dalam bahasa agama ia disebut sebagai nafsu lawwamah @ al Nafs al Lawwamah. Peringkat kedua bagi nafsu. Peringkat ini lebih baik berbanding peringkat pertama iaitu nafsu Ammarah yang dianggap sebagai yang terendah sekali. Hanya menyuruh kepada kejahatan dan keburukan. Jika membuat kebaikan pun hanyalah sebagai topeng atau jalan untuk kejahatan. Diri insan nafsaninya telah dikuasai sepenuhnya oleh unsur kejahatan dan kerendahan. Pada diri yang serendah ini nilai baik dan buruk tidak bermakna dan tidak penting. Tetapi yang penting baginya ialah dapat menunaikan keinginan hawa nafsunya.

Malah manusia yang sedemikian akan mendabik dada, kerana berbangga dengan kejahatannya. Tiada sebarang kekesalan, tiada rasa bersalah dan tiada rasa terkilan atas kesalahan yang dilakukan.

Beruntunglah jika masa ada 'al Lawwamah'.

Kerana Insan Nafsani pada peringkat ini akan merasa kesal atas ketelanjuran melakukan kesalahan atau kekurangan dalam menunaikan kewajipannya. Dirasakan dalam diri insan nafsaninya semacam ada sesuatu yang mengutuk dan mencela. Adanya suara kutukan atau celaan dalam diri ini menunjukkan bahawa insan nafsaninya masih hidup, walaupun berpenyakit tetapi penyakit masih belum parah menjadi barah dan masih menerima rawatan dan pemulihan melalui usaha tazkiyah untuk kembali sembuh.

Razak Nordin berpesan ; Sesekali 'terlepas ikatan' juga. Tapi masih 'beruntung' jika ia peringkat Lawwamah. Kerana masih ada jalan pulang.

No comments: