Friday, October 1, 2010

Dilema Hidup Seronok 'Kontroversi'






Cerita lama. Kisah dulu-dulu.

Saya pernah duduk serumah dengan "seorang kawan ini" dan seorang kawan lagi. Atas beberapa sebab yang tidak perlu dinyatakan, nama 'seorang kawan ini' dan tempat 'kejadian" perlu dirahsiakan. Kerana tujuan perkongsian ini bukan untuk mencari aib sesiapa tetapi sebaliknya mencari iktibar dari satu peristiwa yang telah berlaku walaupun sedikit jika ada.

Dan selalunya saya memang gemarkan memasak. Walaupun ringkas dan tidak sesedap mana pun. Cuma semenjak berkahwin, minat saya terhadap dunia masak-memasak semakin hari semakin pudar.

Hendak dijadikan cerita, sehingga diingat sampai hari ini.

Suatu hari, saya masak ringkas sahajalah. Goreng ikan dan beberapa menu lain. Sementara menunggu ikan goreng masak, saya mengambil peluang ke ruang tamu sebentar untuk menonton tv seketika.

Tiba-tiba dalam "keasyikan" menonton itu, datanglah 'seorang kawan ini' memberitahu bahawa ikan goreng sudah masak dan hampir hangit.

"Dah tu angkat tak", tanya saya spontan.

"Tak pun", jawapnya sambil tersenyum. 'Sardin' saja mukanya.

Fuh...terbakar juga hati ini. Kalau sudah tahu nak hangit, angkat jelah. Paling tidak pun, 'tutuplah apinya' dahulu.

Inikan tidak.

Sudahlah hubungan yang sedia ada tidaklah sehangat mana pun. Lalu apa yang berlaku itu menambah kedinginanlah jadinya.

Padahal sama-sama ingin makan. Lagi pun bukan berat sangat pun kalau sekadar 'tutup api' dapur gas atau angkat ikan goreng dari kuali tersebut. Semuanya sudah tersedia.

Kehidupan Dan Kontroversi

Barangkali begitulah yang banyak berlaku diseputar hidup kita kini. Orang lebih suka berkontroversi daripada berusaha menyelesaikan masalah.

Mencari kesilapan orang bukan untuk diperbaiki. Bukan untuk menukar kelam kepada cahaya, tetapi untuk dicaci maki dan di'wajah hodoh'kan dengan pelbagai cara. Supaya orang lain dilihat busuk dan jijik. Tidak sesuci dirinya.

Jika dalam kes tadi.
Matikan api, angkat ikan dan sama-sama makan. Selesai. Kenapa perlu yang menggorengnya juga untuk buat semuanya kalau sekiranya kita sudah melihat keadaan 'genting' itu terjadi di hadapan mata kita?

Kalau terbakar sungguh macam mana. Sama-sama kempunanlah jawabnya.

Kenapa perlu diriuh-ruihkan jika kita sudah mampu menghalau lalat yang seekor itu seorang diri?

Kenapa perlu diisukan sesuatu perkara sekiranya perkara tersebut boleh diselesaikan secara baik?

Kenapa bertelur sebiji riuhnya sekampung, sedangkan padi, biji penuh di tangkai, menunduk merendah diri. Walaupun ia pula adalah makanan asasi.

Dan banyaknya kenapa, kenapa, kenapa yang berada dalam kepala saya ini. Dan saya tidak bercadang untuk menyenaraikannya satu persatu.

Menganggap itu dan ini hanya untuk orang itu dan ini sahaja. Dan kita hanyalah menilai tanpa berbuat apa-apa.

Cukup saya katakan kali ini.

Kalau kita mampu.

Lakukanlah.
Laksanakanlah.
Sempurnakanlah.
Tidak perlulah menunggu orang lain berbuat sesuatu bagi memuaskan hati kita. 

Semakin kita mencari kesempurnaan maka kepincanganlah yang selalunya kita akan nampak. Dan melihat kepincangan itu pula berpunca dari orang lain, bukan dari kita.

Kerana kita adalah pengkritik tanpa alternatif.

Razak Nordin berpesan ; Kita hanyalah salah satu mata rantai dari mata-mata rantai yang entah berapa banyak itu. Apa sangat yang kita ingin 'bangga'kan? 

No comments: