Friday, October 1, 2010

Soalan "Lisan", Jawapan Dengan "Amali"







Dalam khutbah jumaat yang disampaikan oleh Khatib tengahari tadi, saya dapat 'menangkap" suatu hadis yang telah disebutkan. Barangkali boleh dijadikan renungan dan tindakan bersama. Peringatan untuk diri sendiri dahulu, ahli keluarga sendiri kemudian barulah untuk orang lain yang sudi mengambil pengajarannya.

Bukankah Allah SWT telah berpesan dalam surah At Tahriim ayat 6, antara lain bermaksud ;

"6. Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala Yang diperintahkan."



Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.

Bukan pula jagalah dirimu dan orang lain serta biarlah keluargamu terbakar oleh api neraka.

Dan bukan juga jagalah orang lain dan biarlah dirimu terbakar oleh api neraka.  

Saling mengingati adalah lebih baik dari hanya saling mencari kelemahan orang lain di mana ada.

Inilah maksud hadis yang saya maksudkan ; Antara lain menjelaskan beberapa perkara yang menuntut rasa peduli sesiapa sahaja yang ingin peduli.

Tidak berganjak dari sisi Allah kedua tapak kaki manusia pada Hari Kiamat (kelak) sehingga dia ditanya tentang lima perkara:
1. Tentang umurnya – untuk apa ia dihabiskan.
2. Tentang masa mudanya – untuk apa ia digunakan.
3. Tentang hartanya – dari mana ia diperolehi,
4. (Tentang hartanya) – kepada apa ia dibelanjakan,
5.  Dan apa yang dia amalkan dari ilmu yang dimiliki.  Shahih Sunan al-Tirmizi.

Semua soalannya berbentuk "lisan".

Tetapi semuanya jawapannya adalah berbentuk "amali". Tunjukkan buktinya dengan amalan, bukan sekadar teori tanpa pembuktian.

Bukan untuk orang lain.
Tapi untuk aku dan engkau.
Yang masih ada rasa peduli. Walaupun sebesar zarrah. Bukan semata kerana kecil dan besarnya.

Bukankah dalam surah  Al Zalzalah ayat 7 dan 8 Allah SWT sudah memperingatkan ;

7. maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! 
8. dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!


Razak Nordin berpesan ; Semoga Allah SWT sentiasa memandu kita semua supaya sentiasa berada di jalan yang diredhai sepanjang perjalanan hidup ini. Kita redha Allah SWT, Allah SWT pun meredhai kita juga.

No comments:

Share/Bookmark