Thursday, August 11, 2011

Bagaimana Ingin Ku Pujuk Hati Ini







Bagaimana ya?

Ingin dipujuk hati yang 'sekeping' ini ; 'sekeping' itu yang seringkali juga mengganggu seluruh rohani dan jasmani pemiliknya.  Kata orang, bahagia hati, bahagialah rohani dan sihat jasmaninya. Derita hati, deritalah rohani dan sakitlah jasmaninya. Kata orang yang mungkin ada kebenarannya.

Susah dan sukar benar rasanya.

Supaya hiduplah untuk hari ini, bukan untuk semalam yang telah berlalu dan bukan juga kebimbangan serta kerisauan hari esok yang belum muncul. Memujuk hati agar semalam dan esok tidak perlu mengganggu hidup hari ini. Nikmatilah hidup hari ini dan biarlah esok datang untuk menjadi hari ini yang seterusnya.

Susah dan sukar benar rasanya.

Barangkalinya, lebih mudah memujuk orang lain untuk bersabar atas segala ujian daripada memujuk hati sendiri agar redha, tabah serta pasrah atas segala takdir dariNya. Lebih mudah mencari hikmat atas ujian ke atas orang lain berbanding menggali muhasabah di sebalik ujian dan dugaan yang ditakdirkan ke atas diri.

Bagaimana ya?

Ingin dipujuk hati ini, bahawa ujian-ujian yang ada terlalu kecil dan 'kerdil' berbanding ujian-ujian yang telah ditakdirkan menjadi milik idola-idola masa lampau. Para Rasul, Nabi-nabi, serta penyambung-penyambung kebenaran selepasnya. Apakah bentuk bebanan emosi dan fizikal yang tidak pernah dialami? Tali gantung hanyalah umpama buaian dan penjara umpama 'homestay' tempat mereka berehat sementara dari kelelahan duniawi. Dan seandainya nyawa yang menjadi taruhan, itulah peluang untuk menemui Kekasih yang sekian lama dirindui. PenciptaNya.

Susah dan payah benar rasanya.

Acapkali juga kisah-kisah agung dibaca untuk memujuk hati ini yang seringkali rasa ngilu dan sayu. Timbul dan tenggelam dalam selang masa yang tidak lama.

Dan mudah-mudahan saatnya tiba jua ; dengan dorongan ini.

Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya ia amatlah berat dan payah kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.

Dengan khauf dan raja', kita hamba yang tidak pernah berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Lebih-lebih pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

Muhasabah dan memperbaiki diri.

Memberi apa yang kita ada, menampung kekurangan diri.

Ameen.

No comments: