Saturday, July 21, 2012

Jadikan Ramadan Bulan Berjimat

Kalaulah ini suatu nasihat, paling utama, saya tujukan untuk diri saya sendiri.

Sepatutnya Ramadan memberi peluang untuk kita lebih berjimat cermat. Maksud saya, jimat dari segi perbelanjaan harian. Yalah, masa makan yang biasanya enam kali atau lebih sehari sudah bertukar menjadi hanya dua kali sehari iaitu waktu berbuka dan sahur sahaja.

Kalaulah waktu berbuka dijadikan sebagai masa untuk membalas dendam serta mengqada' makan-makan yang terpaksa ditinggalkan pada sebelah siangnya, mungkin ada sedikit kekeliruan sederhana yang berlaku di situ.

Pertamanya, pada saya, perut kecil yang sama mana mungkin dapat menampungnya sekaligus. Sarat muatan selalunya banyak membawa risiko kurang baik sama ada kepada diri sendiri dan juga 'pengguna-pengguna' lain.

Keduanya, mungkin ada hikmah-hikmah puasa yang perlu diperhalusi lagi agar ibadah puasa itu mencapai hikmah yang dikehendaki oleh PENYURUHNYA. Bukan sekadarnya sahaja. 

Namun ironinya, ia tidak begitu.

Rasa saya, semua orang ada banyak pengalaman-pengalaman sendiri pada Ramadan-Ramadan yang sebelumnya. Mungkin juga pengalaman-pengalaman orang lain yang telah dikongsikan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Mungkin juga dari pemerhatian secara tidak rasmi.

Rambang mata serta rambang nafsu,  selalunya menyebabkan kita hilang perkiraan untuk membezakan antara kemahuan dan keperluan. 

Kalau ikutkan rambang mata dan rambang nafsu, semuanya kita mahu. Soalnya adakah semua yang mata dan nafsu kita mahukan itu, merupakan keperluan kita sebenarnya. 

Contoh yang sederhana, kalaulah hanya ada dua perut yang perlu diisi, adakah wajar kita menggunakan kesepuluh-puluh jari untuk membimbit plastik-plastik makanan yang dibeli di bazar-bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja. Itu tidak termasuk yang dibimbit oleh suami atau isteri serta anak-anak. Ini antara realiti masa lalu yang sudah menjadi pengalaman kita bersama kalaupun tidak semuanya. 

Payah untuk menafikan, kalaulah sekarang ini kita berumur 40 tahun, bermakna sudah kurang lebih 25 tahun kita melepasi umur baligh dari segi matematiknya. Dan kalaulah tempoh itu diambil kira sebagai suatu perbandingan, selama itulah juga kita sudah bertukar silih sahabat-sahabat  dan betapa banyaknya pengalaman yang kita kutip bagi menjelaskan maksud di atas.

Kadangkala, kita jarang belajar dari pengalaman hari semalam, di mana sebahagian makanan yang dibeli untuk dijadikan juadah berbuka puasa, namun akhirnya bakul sampah yang juga yang kenyang.  Dan hari ini kita mengulangi lagi kesilapan semalam sehinggalah Ramadan berakhir.

Yang sudah tu, sudahlah.

Muslim yang baik, Insyaallah tidak akan disengat dua kali pada tempat yang sama.

Itu antara nasihat Rasul SAW.

Mari, kita mulakan hari ini, pada Ramadan kali ini.

Thursday, July 19, 2012

Mengcangkul Dalam Angan-Angan Tidak Meratakan Busut

Julai yang nekad.

Mungkin begitulah bahasa brutalnya. Kerana nekad itu bukan semata datang daripada manusia, tetapi dorongan itu datangnya daripada Allah SWT, lalu dengannya Allah SWT permudahkan untuk melaksanakannya dengan jaya. Semata nekad, tanpa bantuan Allah SWT, ia tetap tidak akan berlaku. Begitulah maksud saya.

Bahasa agamanya.

Julai yang sedikit sebanyak memahamkan saya ungkapan "Dan apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah".

Kebetulannya pula semua yang ingin saya kongsikan kali ini berlaku pada bulan Julai 2012. Ketika usia saya genap 40 tahun pada 4 Julai 2012. Dan alhamdulillah, semuanya dipermudahkan Allah untuk saya.

Kehidupan seorang lelaki 'bermula' umur 40. Begitulah bunyinya sesetengah ungkapan. Benar atau tidak ungkapan tersebut, saya sendiri pun tidak berani mengia atau menidakkannya. Tetapi yang pasti banyak 'hutang tertunggak' berjaya saya langsaikan pada Julai ini.

Nekad pertama. Pasal motor.

Bayangkan, setelah 'tertunggak' lebih 5 tahun lamanya, akhirnya motor saya berjaya mendapatkan cukai jalan pada 2 Julai 2012. Entah mengapa, tiba-tiba saya menjadi nekad untuk membawanya ke bengkel untuk dibaiki dan seterusnya dibawa ke Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) untuk dibuat pemeriksaan wajib bagi mendapatkan cukai jalannya. Dipandu ke bengkel tanpa insuran dan cukai jalan bukanlah sesuatu yang mudah kepada orang yang 'penakut'(baca : patuh undang-undang) seperti saya. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan.

Setelah keluar dari bengkel sehari sebelumnya, keesokannya, seawal jam 7.40 pagi, sekali lagi saya nekad membawanya ke JPJ Kangar Perlis. Belum pun sampai 10 kilometer perjalanan, hujan lebat membasah kuyupkan baju dan seluar serta kasut yang dipenuhi air. Namun, alhamdulillah, berjaya juga saya sampai ke JPJ Kangar dengan selamat walaupun basah kuyup kecuali dokumen-dokumen penting yang sedia diletakkan di dalam beg galas yang kalis air.

Setelah menyelesaikan beberapa perkara perlu seperti mendapatkan insuran baru, menemui pegawai untuk mendapatkan pengesahan, pemeriksaan nombor enjin serta casis motor, dalam tempoh kurang dari dua jam, akhirnya motor saya sah dan selamat untuk dipandu di atas jalan raya.

Hanya kurang dari 5 hari saya perlukan untuk menyelesaikan 'masalah' yang telah tertunggak lebih 5 tahun itu.

Nekad kedua. Pasal LCD Projector.

Atas beberapa sebab, 'impian' untuk membeli dan memiliki sendiri LCD memang sudah lama dicita-citakan. Namun semangat tersebut kadangkala pasang, banyak pula yang surutnya. Sudahnya, tidaklah jadi membelinya juga. Namun kali ini dengan hanya sekali pelawaan seorang kawan, saya terus bersetuju untuk membelinya walaupun tanpa melihat fizikalnya terlebih dahulu. Sebuah LCD kecil jenis Acer bersaiz poket dengan harga yang berpatutan. Dengan sedikit penerangan ringkas melalui telefon, dalam tempoh kurang seminggu, LCD tersebut telah menjadi milik saya. Bertahun dalam impian, alhamdulillah, dengan nekad itu, Allah SWT permudahkan.

Nekad ketiga. Pasal printer.

Secara 'paksa rela' saya membeli printer untuk kegunaan kerja-kerja pejabat setelah hampir 3 minggu ia hanya berlegar dalam fikiran. Walaupun sebenarnya printer gunasama telah sedia ada. Namun demi keselesaan sendiri, setelah printer BJC 265 yang sudah berusia lebih 10 tahun sudah tidak boleh meneruskan khidmat,  juga untuk membuktikan bahawa 'wang tidak boleh membeli segala-galanya', saya mendapatkan printer baru dengan harga yang tidaklah terlalu mahal. Biarlah berhabis duit barang sedikit, namun saya lebih selesa begini. Untuk membuat keputusan dan membelinya, saya mengambil masa kurang dari sejam. Putuskan, pergi ke kedai komputer dan terus membelinya. Dan uruskan jualbeli hanya mengambil masa kurang dari 10 minit.  Sekali tengok berkenan, dengan sedikit penerangan, setuju dan  bayar.

Nekad keempat. Pasal gigi geraham.

Kisahnya, sudah acapkali kali juga saya bertangguh untuk mencabut gigi geraham yang bermasalah ini. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, cuma bulan sahaja yang belum berganti menjadi tahun. Dan semangatnya bersilih ganti antara tegang dan kendur. Dari sehari ke sehari ia bertangguh, namun pagi kelmarin selepas menghantar hantar ke sekolah dan nursery(kebetulan cuti rehat), saya bertekad betul-betul ingin ke klinik gigi di Kangar ketika tangan hampir-hampir menjolok kunci untuk membuka tombol pintu rumah. Sudahnya, seawal jam 8 pagi, saya telah tercegak menunggu di pintu klinik sedangkan klinik hanya akan dibuka pada jam 8.30 pagi. Dan alhamdulillah, walaupun tanpa janji temu, saya menjadi orang pertama mendaftar dan menjadi orang kedua dipanggil masuk.

Walaupun cerita-cerita di atas hanyalah kisah-kisah sederhana sahaja, namun secara peribadi setidak-tidaknya ia membawa saya kepada satu kesimpulan bahawa 'Bertahun-tahun mengcangkul dalam angan-angan tidak akan merata walaupun hanya busut yang kecil, lagikan pula gunung yang tinggi.'  

Apabila kamu berazam, maka bertawakallh kepada Allah SWT, Insyaallah dengan nekad dan kesungguhan itu, Allah akan sentiasa permudahkan jalannya. 

Tuesday, July 17, 2012

Razak Bujang Hampir Seminggu

Saya bujang hampir seminggu.

Ya, itulah hakikatnya.

Bermula hari Ahad dua hari lepas, insyaallah sampai hari Jumaat ini.

Ummi Niza atas tugas-tugas rasmi terpaksa terbang ke Sarawak walaupun agak keberatan meninggalkan anak-anak dan juga 'anak mak mertua' yang seorang ini.  

Harapnya, ianya tidaklah menjadi seminggu yang panjang. Alhamdulillah, setakat hari ini semuanya berjalan lancar. Menguruskan tiga selang bunga itu tidaklah sesusah yang dibayangkan. Sikit-sikit biasalah. Nama pun budak-budak. Harap-harap begitulah sampai akhirnya.

Makan, pakai, tidur, mandi dan sebagainya.

Dua malam berlauk sup bukanlah sesuatu yang menjemukan. Terutama Along yang boleh dikatakan sebagai hantu sup.

Malam pertama, sup perut lembu. 'Lincin' dibalunnya. Bapa borek, anak rintik. Begitulah kata perpatah. Pada usia 7 tahun, semacam tidak percaya dia boleh meminati sangat-sangat sup perut lembu. Bahkan ini bukanlah kali pertamanya dia membalun dengan seleranya sup perut lembu.

Malam tadi, sup tulang lembu bersama telur dadar. Dan seperti biasa, kalau berlaukkan sup, nasinya pasti bertambah.

"Sedapnya Abi masak, kakak suka." Itulah bahasa ambil hati yang selalu diucapkan apabila masakan tersebut kena dengan seleranya.

Dan insyaallah, malam ini jika diizinkanNya, Chef Ajak akan masak Nasi Goreng Pataya versi campak sahaja mana yang ada.

Sayang Isteri Tinggal-Tinggalkan

Begitulah antara bunyi perpatah Melayu. Sayangkan anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan.

Tinggalkan sementara, sama ada suami meninggalkan isteri atau isteri meninggalkan suami, perpatah tersebut masih lagi releven rasanya.

Bila sesekali berjauhan begini, barulah tahu rupanya rindu itu masih membara.

Yang terpisah cuma jasad, yang menjarakkan hanyalah ruang dan masa. Namun jiwa yang disatukan atas dasar cinta, kasih dan sayang itu sentiasa saling memerlukan dan merindui.

Setidak-tidaknya, itulah salah satu ibrohnya.

Wednesday, July 4, 2012

Kembalilah Dengan Damai Wahai Danny Dan Dina

Ketika saya bersyukur dan bergembira dengan rahmat Allah SWT dengan genapnya 40 tahun umur saya pada hari ini, saya dikejutkan dengan berita sedih pemergian Danny dan Dina buat selama-lamanya. Pergi menemui penciptaNya.

Biarpun Danny dan Dina hanya dua ekor binatang, kadang-kadang belajar darinya tentang kasih sayang lebih baik daripada belajar dengan sesetengah manusia.

Dulu, Danny dan Dina tinggal bersama kami. Namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menghantarnya ke sekolah isteri saya sebagai salah satu aktiviti pelajar selain terapi berkebun, membuat kek dan sebagainya.

Dan pagi tadi, isteri saya menelefon dengan esak dihujung talian memberitahu bahawa Danny dan Dina telah mati. Dan saya menahan hela nafas, agar air mata tidak cepat tumpah.  Walaupun sebenarnya hati kecil saya ada tersentuh dengan berita itu.

Dan ketika air mata hampir menitis, saya katakan pada isteri, takdir Allah telah tiba untuknya. Redhalah atas apa yang telah terjadi.

Entahlah apa puncanya. Tapi caranya agak tragis kerana ada anggota-anggota badan yang terpisah dari jasadnya.

Dan alhamdulillah, Danny dan Dina telah selamat disemadikan pagi tadi.

Sesuatu yang menyedihkan kami yang pernah membela, menjaga dan membelainya agak lama juga.

Kerana itu takdirNya, kami pohon pada Allah SWT, kurniakan kami sifat redha, tenang, ikhlas dan sabar sepanjang menjalani hidup yang pelbagai kemungkinan ini.

Bersamadilah dengan aman Danny dan Dina.

Alhamdulillah, Genaplah 40 Tahun

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT dan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat-sahabatnya.

Itulah sebaik-baik ucapan yang patut diucapkan tanda syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana sehingga ke saat ini, saya masih dipanjangkan umur oleh Allah SWT. Dengan rahmatNya jua.

Hari ini, genaplah 40 tahun umur saya.

Syukur atas segalanya nikmatNya, sepanjang perjalanan hidup ini. Nikmat yang jika dihitung, nescaya tidak mampu untuk sesiapapun untuk menghitungnya.

Mudah-mudahan masa lalu yang telah ditinggalkan penuh dengan catatan kebaikan keranaNya, dan segala cacat celanya diampunkan oleh Allah SWT jua.

Dan masa depan, saya serahkan kepada Allah SWT menentukan apa yang baik untuk saya. Apabila kamu berazam, maka bertawakallah kepada Allah.

Ya Allah, jangan Engkau serahkan walau sesaat pun kepada diriku untuk menguruskan hidupku, kerana aku tidak mampu untuk menguruskannya. Dan janganlah engkau serahkan kepada orang lain untuk menguruskannya, nescaya mereka akan mensia-siakannya.

Biarlah masa lalu, kini dan masa depan jika ditakdirkan masih ada, dilalui dengan rahmat Allah SWT yang berkekalan. Dan umur yang diberi pinjam itu, biarlah umur yang penuh keberkatan.

Ameen.