Kalaulah ini suatu nasihat, paling utama, saya tujukan untuk diri saya sendiri.
Sepatutnya Ramadan memberi peluang untuk kita lebih berjimat cermat. Maksud saya, jimat dari segi perbelanjaan harian. Yalah, masa makan yang biasanya enam kali atau lebih sehari sudah bertukar menjadi hanya dua kali sehari iaitu waktu berbuka dan sahur sahaja.
Kalaulah waktu berbuka dijadikan sebagai masa untuk membalas dendam serta mengqada' makan-makan yang terpaksa ditinggalkan pada sebelah siangnya, mungkin ada sedikit kekeliruan sederhana yang berlaku di situ.
Pertamanya, pada saya, perut kecil yang sama mana mungkin dapat menampungnya sekaligus. Sarat muatan selalunya banyak membawa risiko kurang baik sama ada kepada diri sendiri dan juga 'pengguna-pengguna' lain.
Keduanya, mungkin ada hikmah-hikmah puasa yang perlu diperhalusi lagi agar ibadah puasa itu mencapai hikmah yang dikehendaki oleh PENYURUHNYA. Bukan sekadarnya sahaja.
Namun ironinya, ia tidak begitu.
Rasa saya, semua orang ada banyak pengalaman-pengalaman sendiri pada Ramadan-Ramadan yang sebelumnya. Mungkin juga pengalaman-pengalaman orang lain yang telah dikongsikan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Mungkin juga dari pemerhatian secara tidak rasmi.
Rambang mata serta rambang nafsu, selalunya menyebabkan kita hilang perkiraan untuk membezakan antara kemahuan dan keperluan.
Kalau ikutkan rambang mata dan rambang nafsu, semuanya kita mahu. Soalnya adakah semua yang mata dan nafsu kita mahukan itu, merupakan keperluan kita sebenarnya.
Contoh yang sederhana, kalaulah hanya ada dua perut yang perlu diisi, adakah wajar kita menggunakan kesepuluh-puluh jari untuk membimbit plastik-plastik makanan yang dibeli di bazar-bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja. Itu tidak termasuk yang dibimbit oleh suami atau isteri serta anak-anak. Ini antara realiti masa lalu yang sudah menjadi pengalaman kita bersama kalaupun tidak semuanya.
Payah untuk menafikan, kalaulah sekarang ini kita berumur 40 tahun, bermakna sudah kurang lebih 25 tahun kita melepasi umur baligh dari segi matematiknya. Dan kalaulah tempoh itu diambil kira sebagai suatu perbandingan, selama itulah juga kita sudah bertukar silih sahabat-sahabat dan betapa banyaknya pengalaman yang kita kutip bagi menjelaskan maksud di atas.
Kadangkala, kita jarang belajar dari pengalaman hari semalam, di mana sebahagian makanan yang dibeli untuk dijadikan juadah berbuka puasa, namun akhirnya bakul sampah yang juga yang kenyang. Dan hari ini kita mengulangi lagi kesilapan semalam sehinggalah Ramadan berakhir.
Yang sudah tu, sudahlah.
Muslim yang baik, Insyaallah tidak akan disengat dua kali pada tempat yang sama.
Itu antara nasihat Rasul SAW.
Mari, kita mulakan hari ini, pada Ramadan kali ini.
No comments:
Post a Comment