Ketika saya bersyukur dan bergembira dengan rahmat Allah SWT dengan genapnya 40 tahun umur saya pada hari ini, saya dikejutkan dengan berita sedih pemergian Danny dan Dina buat selama-lamanya. Pergi menemui penciptaNya.
Biarpun Danny dan Dina hanya dua ekor binatang, kadang-kadang belajar darinya tentang kasih sayang lebih baik daripada belajar dengan sesetengah manusia.
Dulu, Danny dan Dina tinggal bersama kami. Namun atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, kami terpaksa menghantarnya ke sekolah isteri saya sebagai salah satu aktiviti pelajar selain terapi berkebun, membuat kek dan sebagainya.
Dan pagi tadi, isteri saya menelefon dengan esak dihujung talian memberitahu bahawa Danny dan Dina telah mati. Dan saya menahan hela nafas, agar air mata tidak cepat tumpah. Walaupun sebenarnya hati kecil saya ada tersentuh dengan berita itu.
Dan ketika air mata hampir menitis, saya katakan pada isteri, takdir Allah telah tiba untuknya. Redhalah atas apa yang telah terjadi.
Entahlah apa puncanya. Tapi caranya agak tragis kerana ada anggota-anggota badan yang terpisah dari jasadnya.
Dan alhamdulillah, Danny dan Dina telah selamat disemadikan pagi tadi.
Sesuatu yang menyedihkan kami yang pernah membela, menjaga dan membelainya agak lama juga.
Kerana itu takdirNya, kami pohon pada Allah SWT, kurniakan kami sifat redha, tenang, ikhlas dan sabar sepanjang menjalani hidup yang pelbagai kemungkinan ini.
Bersamadilah dengan aman Danny dan Dina.
No comments:
Post a Comment