Acapkali memang begitulah yang terjadi.
Selagi hidup.
Banyak perkara yang sering membelenggu fikiran. Rela atau terpaksa, kita dipaksa untuk berfikir. Kecil, sederhana, besar. Penting atau tidak penting. Berkaitan atau tidak berkaitan.
Kata orang semata berfikir tidak menyelesaikan masalah. Namun mahu bertindak, 'jenuh' mencari pangkalnya.
Namun, yang sering terjadi kita tidak pernah menemui jawapan yang pasti dan cerita itu pula tidak pernah ada kesudahannya.
Bahkan plot ceritanya makin celaru dan berliku-liku. Tepu. Semacam tiada lagi pintu dan jalan keluar.
Ketika kita memejamkan untuk tidur pada malamnya, kita mengharapkan hari esok kita akan hidup lagi. Sambil mengharapkan esok akan lebih baik dari semalam. Dalam segala hal.
Namun hidup bukan matematik. Campur, tolak, bahagi serta darab, hasilnya begini dan begitu.
Yang telah terjadi.
Bila terjaga paginya, kita cuba lalui hari baru dengan harapan baru. Namun sehingga kita tidur semula malamnya, ternyata 'matematik akal' mengatakan aduh, hari ini masih seperti semalam. Dan malam ini kita mengharap lagi. Moga esok akan lebih baik dari hari ini.
Hikmah terus dicari. Dan acapkali kita buntu.
Mencari Ayyub AS di akhir zaman, barangkali sesusah mencari seekor gagak putih di celah jutaan gagak-gagak hitam di dataran Perancis.
Bagaimana mampu aku jelasnya lagi? Kerana berat bukan pada memandang, tapi berat itu pada memikulnya. Itu pasti.
Dan semoga suatu masa yang belum pasti bila, ada kesudahan pada segala cerita-cerita itu. Kesudahan yang bahagia dunia, bahagia akhirat.
Selagi nadi ini berdenyut. Hidup bagai mimpi, yang realiti.
Allah, Allah, Allah.
No comments:
Post a Comment