Tuesday, May 12, 2020

Tujuh Tahun Yang Panjang

Ya. enam tahun yang panjang. Kali terakhir saya menulis di blog ini adalah pada tahun 2014. 

Menulis bukan sahaja memerlukan akal dan jari jemari tetapi menulis juga memerlukan 'rasa' dan rasa itulah yang hilang sekian lamanya. 

Dan 19 Ramadhan 1441H bersamaan 12 Mei 2020, adakah rasa itu akan hadir semula. Allahua'lam. 

Ini hanya sebuah permulaan kecil untuk mengembalikan rasa itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan.

Menulis bukan sahaja untuk memberitahu, tapi menulis kadangkala untuk melepaskan yang terbuku. 

Moga baki-baki Ramadhan yang masih ada memberikan kita semua sebuah keampunan disisiNya. 

Peluang akan sentiasa ada dan tidak pernah tertutup untuk kita melangkah semakin dekat kepadanya demi sebuah rahmat dan keampunanan. 

Maka berlumba-lumbalah melakukan kebaikan. PintuNya sentiasa terbuka dan tidak pernah tertutup. 

Taman Merbau Changloon 
12Mei2020 
7.25pagi.


Wednesday, April 23, 2014

Suatu Peringatan Buat Lelaki-Lelaki

Suatu peringatan buat lelaki-lelaki. 
Seseorang perempuan pada hari kiamat nanti akan menarik empat golongan lelaki bersama-samanya ke dalam neraka. Kenyataan ini bukan untuk memperkecilkan kaum wanita tetapi sebaliknya adalah sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya menjadi yang 'sepatutnya' kepada golongan wanita. Mudah-mudahan wanita-wanita kita dan kita-kita semuanya akan menjadi penghuni Syurga yang kekal abadi. Empat golongan itu adalah :-
1. AYAHNYA, apabila si ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya semasa di dunia. Dia tidak memberikan didikan agama yang sepatutnya tetapi sebaliknya membiarkan anak-anak perempuan hidup dalam maksiat kepada Allah SWT. 

2. SUAMINYA, apabila si suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Isteri melanggar perintah-perintah Allah SWT, tetapi si suami tidak menegur dan mencegahnya. Apatahlah lagi hanya berdiam diri walaupun dia sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menegur dan mencegahnya.

3. ABANG- ABANGNYA, apabila abang yang mengambilalih tanggungjawab  ayah untuk menjaga maruah wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya, tidak mengambil kisah tentang mereka. Mengambil kisah hanya kepada keluarganya sahaja tetapi membiarkan mana-mana perempuan di bawah tanggungjawabnya terpesong jauh daripada ajaran Islam.

4. ANAK LELAKINYA, apabila seorang anak tidak menasihati ibunya mengenai mana-mana perbuatannya yang terpesong dan menyimpang daripada ajaran Islam. Tidak menghalang ibunya daripada membuat perkara-perkara mungkar kepada Allah SWT. 

Ayahnya.
Suaminya.
Abang-abangnya.
Anak lelakinya. 

Itu adalah kita.

Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha menjadi Ayahnya, Suaminya, Abang-Abangnya serta Anak lelaki yang tidak termasuk ke dalam golongan-golongan yang telah dijelaskan di atas.

Friday, April 18, 2014

Mulakan Yang Mudah-Mudah Hari Ini

Menulis peringatan untuk diri dan sahabat-sahabat yang dikasihi.

Mulakan dengan  yang mudah-mudah bermula hari ini untuk akhirat kita.
1. Mulakan solat witir walaupun satu rakaat sama ada selepas solat isyak atau sebelum subuh.
2. Mulakan solat sunat Dhuha walaupun dua rakaat sekali sebulan, dua kali sebulan, tiga kali sebulan dan seterus menjadi amalan harian. Setelah ada kekuatan, tambahkan pula jumlah rakaatnya. Jika belum hafal doa solat dhuha, boleh lekatkan  kat dinding atau guna buka atau simpan dalam telefon serta macam-macam cara lagi.

3. Mula biasakan diri bersedekah setiap hari serendah 10 sen tetapi istiqamah.

4. Mula beristighfar setiap hari walaupun serendah bilangan satu kemudian setiap hari berikutnya ditambahi lagi  sehingga menjadi istiqamah dengan angka seratus.

5. Mula pastikan bahawa langkah masuk ke tandas menggunakan kaki kiri dan keluar menggunakan kaki kanan.

6. Mula pastikan bahawa langkah anda masuk ke masjid atau surau menggunakan kaki kanan dan keluar menggunakan kaki kiri.

7. Mulakan berdoa sebelum  masuk dan keluar tandas.

8. Mulakan memberi salam apabila memasuki rumah.

9. Mulakan amalan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis. Sebagai permulaan boleh mulakan dua hari dalam sebulan dahulu, kemudian 4, 6 dan 8 hari.

10. Mula semua perkara yang baik dengan bacaan Bismillah walaupun sekecil perkara.

Semua yang disenaraikan di atas Insya Allah adalah amalan mampu milik buat kita semua. Perkara-perkara 'kecil' yang sering kita lupa. Semoga kita semua diberikan kekuatan oleh Allah SWT melaksanakan apa yang kita cakap dan tuliskan. Usahakan sehingga semua itu menjadi rutin yang sebati.

Thursday, March 6, 2014

Pesan Seorang GURU

GURU itu pernah berpesan
Tidak ada dosa kecil kalau ia dikerjakan berterusan. Dan tidak ada dosa besar, kalau setiap hari disucikan dengan istighfar.
Jangan lihat kecil besarnya dosa, tapi lihat kepada siapa engkau kerjakan. Kalau kamu mendapat nikmat, jangan juga lihat kecil besarnya nikmat itu, tapi lihat siapa yang memberikan nikmat itu.

Wednesday, February 19, 2014

10000-Sama Tapi Tidak Serupa

"I fear not the man who was practised 10,000 kicks once, but i fear the man who was practised one kick 10,000 times." Bruce Lee

Friday, February 14, 2014

Februari Ini

Disebalik segala macam perkara yang berlaku diseputar hidup ini. Setidaknya dua perkara ini boleh saya raikan pada Februari ini. 

8 Februari pada tahun ini merupakan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke 9. Mudah-mudahan perjalanan dulu, kini dan akan datang terus dirahmatiNya. Antara manis, masam, pahit, kelat dan segala macam rasa yang ada, saya masih dan sedang belajar menjadi suami dan Abi yang baik kepada isteri serta anak-anak mengikut acuan yang dikehendaki Tuhan. RahmatNya sentiasa saya harapkan, dalam membawa diri sendiri, isteri dan anak-anak mencari bahagia dunia dan akhirat.

10 Februari pula adalah hari ulangtahun kelahiran ke 3 anak perempuan saya yang ini :-
Dan InsyaAllah, hujung Mac ini lahirlah seorang lagi umat Nabi Muhammad SAW dalam keluarga kami. Semoga semuanya berjalan lancar. Doakan yang terbaik untuk dunia dan akhirat kami. Amin.

Tuesday, October 29, 2013

Tazkirah Pagi Selasa

Dua tiga malam yang lepas, saya berkesempatan untuk mendengar kuliah maghrib di sebuah masjid di pekan Changloon.

Dan pag ini, saya ingin berkongsi satu perkara.

Satu kata-kata yang kurang lebihnya berbunyi begini 'Manusia menderita bukan kerana sesuatu yang ditakdirnya kepadanya, tetapi manusia menderita kerana tidak dapat menerima takdir yang pada perkiraannya tidak sesuai dengan kehendaknya' 

Lagi ditambah dengan ungkapan sepatutnya-sepatutnya dan kalau-kalau. Menambah derita manusia atas takdir yang terjadi itu.

Saya bersetuju dengan kata-kata di atas.

Namun menjadi segalanya reda itu bukanlah sesuatu yang mudah. 

Mencari makan reda memerlukan latihan dan mujahadah yang bukan sedikit. 

Marilah sama-sama kita bertatih mencarinya. Moga dipermudahkan oleh EmpunyaNya.

Friday, October 25, 2013

Pantun Hari Ini

Pagi Sabtu ke Pekan Kodiang
Singgah dipasar membeli baulu
Senyum gelak tampak girang
Hati menangis siapa yang tahu.

Thursday, October 24, 2013

Daging Tumis Terengganu Ala Jak Din

Gambar di atas adalah antara menu kegemaran saya zaman kanak-kanak dan remaja dulu. Kalau tak silap arwah mak selalu masak macam ini.(selalu maksudnya bila 'taing' ada daginglah)
Yang ni saya masak pagi tadi, sebagai bekal pergi ke pejabat hari ini. Sebabnya, malas nak keluar cari makan tengahari. 

Masa bujang-bujang dulu, inilah antara lauk yang suka saya masak. Lagi best kalau guna tulang rusuk lembu. Sekilo tulang rusuk lembu, kira sekali hadap jer.

Menu di atas pada saya ringkas dan kena dengan selera saya. Dan kena juga dengan selera anak-anak. Tapi kalau untuk makan bersama anak-anak saya kurangkan cili gilingnya. Versi hari ni agak pedas sikit pasal untuk selera sendiri.Pasal tu warnanya nampak merah semacam jer. Biasalah hari Khamis, kena bagi garang sikit yer.

Tapi yang ni saya ubah stail sikit. Masih lagi saya namakan daging tumis tapi versi atau ala Jak Din(sayalah tu).

Cara masak.

1. Mula-mula rebuskan daging yang telah dihiris dan dibasuh bersih menggunakan kuali(ada sebab). Kandungan air bergantung kepada bahan rebusan. Kalau daging sahaja tidak perlulah air terlalu banyak. Kalau direbus bersama tulang, perlukan air yang lebih sedikit.Tambahkan sedikit halia dan asam gelugur. Orang tua-tua kata kalau nak bagi mudah empuk daging yang direbus, masukkan sudu besi dalam bekas rebusan tersebut. Saya pun pernah cuba, tanpa pernah bertanya apakah rasionalnya.

2. Apabila air sudah tinggal satu pertiga. Masukkan minyak zaiton atau minyak masak dalam jumlah yang munasabah. 

3. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Tapi jangan lupa kuahnya akan dimasak sehingga kering yang sedikit basah. Jadi jumlah garamnya mesti bersesuaian dengan masa keringnya.

3. Apabila air sudah tinggal satu perempat, masukkan cili giling(orang ganung panggil cili bor) mengikut selera kepedasan anda. Biarkan ia mendidih sehingga memasakkan cili giling tersebut.

4. Biarkan kuahnya mendidih sehingga hampir kering  barulah dimasuk bawang putih, bawang merah dan bawang besar(jika mahu). 

5. Selepas satu minit, padamkan api dan siap untuk dihidangkan.

*Jika untuk diratah sahaja, buh sikit garam puh jadilah yer. Jika ingin makan bersama nasi bagilah masin sikit. Yang kurang garam, sesuai juga dimakan dengan nasi tetapi yang masin tiak sesuai untuk diratah.

Sebelum Jam 8

Ya Allah.

Permudahkan segala urusan hidupku hari ini. Sama ada ia berkaitan dengan hubungan ku dengan Mu atau hubunganku dengan  sesama manusia dan juga makhluk-makhluk yang lain. 

Ya Allah.

Permudahkan segala urusan kerja-kerjaku hari ini. Jadikan segala kerja buatku semuanya mempunyai nilai ibadah serta diberikan ganjaran yang baik di sisiMu. Dan jadikanlah rezeki yang diperolehi darinya adalah rezeki-rezeki yang halal lagi baik. 

Ya Allah.

Buangkanlah segala sifat Mazmumah tercela yang ada ada pada diriku dan Engkau gantikanlah dengan segala sifat Mahmudah yang terpuji.

Mudah-mudahan.

Wednesday, October 2, 2013

Sabarlah Sesaat..Diamlah Buat Seketika

Sehingga kini, saya masih percaya bahawa kesabaran sesaat boleh menyelamatkan banyak perkara. Sudah acapkali saya alami, dari dulu hingga sekarang.

Sehari dua ini adalah beberapa perkara yang boleh menyebabkan saya melaharkan kemarahan bagi melempiaskan kemarahan tersebut. Hati yang  membara.

Hanya satu yang boleh dikongsi. 
 
Sungguh, saya amat-amat bersyukur kepada Allah SWT  kerana memberikan peluang kepada saya untuk sabar sesaat. Kerananya saya tidak jadi melaharkan kemarahan yang akan merosakkan diri sendiri itu. Dan mungkin juga merosakkan orang lain.

Ketika saya boleh memilih untuk mencarut, maki hamun dan segala macam bentuk lempias kemarahan lagi, Allah memberikan kekuatan untuk sabar sesaat. Sabar itu pada kali pertama. Itu antara pesan Nabi Junjungan. 

Cara Allah menyusun kadangkala sungguh halus. Dan kita hanya tersedar setelah tahap kepanasan darah kita turun semula. 

Saya tidak dapat bayangkan apakah kata-kata yang akan saya 'bubuh' kalaulah panggilan telefon saya tadi dijawab oleh orang yang ditelefon itu. Saya sedar saya sedang marah. Cuma saya terlupa sehingga menelefon orang tersebut ketika hati saya sedang panas. Kemarahan selalunya menyebabkan orang sedang mengalaminya menjadi tidak waras sepanjang kemarahan itu.

Namun Allah yang menyusun dengan cara yang cukup munasabah. Panggilan telefon tersebut tidak dijawab.

Setelah sembang sepatah dua dengan sahabat yang agak 'cool', barulah saya tersedar bahawa pagi ini Allah telah menyelamatkan saya dari terus terbakar. 

Caranya mudah sahaja.

Panggilan telefon saya tidak dijawab.

Monday, September 30, 2013

Kata-Kata Mutiara Hasan Al Basri

Kata mutiara 1
“Wahai anak Adam! Kalian tidak lain hanyalah kumpulan hari, setiap satu hari berlalu maka sebagian dari diri kalian pun ikut pergi.”
Kata mutiara 2
“Diantara tanda berpalingnya Allah Subhanahu Wata’ala dari seorang hamba adalah Allah menjadikan kesibukannya pada hal-hal yang tidak bermanfaat baginya.”
Kata mutiara 3
“Semoga Allah merahmati seorang hamba yang merenung sejenak sebelum melakukan suatu amalan. Jika niatnya adalah kerana Allah, maka ia melakukannya. Tapi jika niatnya bukan kerana Allah maka ia mengurungkannya.”
Kata mutiara 4
“Tidaklah datang suatu hari dari hari-hari di dunia ini melainkan ia berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah hari yang baru, dan sesungguhnya aku akan menjadi saksi (di hadapan Allah) atas apa-apa yang kalian lakukan padaku. Apabila matahari telah terbenam, maka aku akan pergi meninggalkan kalian dan takkan pernah kembali lagi hingga hari kiamat.”
Kata mutiara 5
“Janganlah anda tertipu dengan banyaknya amal ibadah yang telah anda lakukan, kerana sesungguhnya anda tidak mengetahui apakah Allah menerima amalan anda atau tidak.”
Kata mutiara 6
“Jangan pula anda merasa aman dari bahaya dosa-dosa yang anda lakukan, kerana sesungguhnya anda tidak mengetahui apakah Allah mengampuni dosa-dosa anda tersebut atau tidak.”
Kata mutiara 7
“Saya belum menemukan dalam ibadah, sesuatu yang lebih sulit dari pada salat di tengah malam.”
Kata mutiara 8
“Seorang mukmin hidup di dunia bagaikan seorang tawanan yang sedang berusaha membebaskan dirinya dari penawanan dan ia tidak akan merasa aman kecuali apabila ia telah berjumpa dengan Allah Subhanahu wata’ala.“
Kata mutiara 9
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kematian, sakit dan sehat (bagi setiap hamba-Nya). Barang siapa mendustakan takdir maka sesungguhnya ia telah mendustakan al-Qur’an. Dan barang siapa mendustakan al-Qur’an, maka sesungguhnya ia telah mendustakan Allah.”
Kata mutiara 10
“Wahai anak Adam, juallah duniamu untuk akhiratmu, niscaya kamu untung di keduanya, dan janganlah kamu jual akhiratmu untuk duniamu, kerana kamu akan rugi di keduanya. Singgah di dunia ini sebentar, sedangkan tinggal di akhirat sana sangatlah panjang.”

Siapa Kata Penidur Itu Pemalas.

Selalulah berehat, dan berehatlah sebelum kita berasa penat-Dale Carnegie

Winston Churchill masih mampu selama 16 jam sehari walaupun berusia antara lewat 60-an dan awal 70-an. Bertahun-tahun beliau mengetuai Empayar British dalam peperangan. Ini suatu pencapaian yang cukup luar biasa. Rahsia? Setiap hari beliau bekerj adari tempat tidurnya sehingga jam 11. Beliau membaca laporan, mengeluarkan arahan, membuat panggilan telefon, serta mengadakan mesyuarat penting dari situ. Selepas makan tengahari, beliau kembali ke katil dan tidur selama sejam. Pada sebelah petang pula, sementara menunggu waktu makan malam pada jam lapan, sekali lagi beliau masuk tidur. Kali ini beliau tidur selama dua jam. Beliau berbuat begini bukannya kerana ingin mengurangkan keletihan, sebaliknya ingin mengelakkan keletihan. Oleh kerana kerap berehat, beliau mampu meneruskan pekerjaannya dalam keadaan cergass dan bertenaga sehingga ke tengah malam.

John D. Rockefeller pula berjaya mencatatkan dua kejayaan yang luar biasa. Pertama, beliau adalah individu yang paling kaya di dunia pada masa itu. Manakala yang kedua, beliau mampu hidup sehingga berusia 98 tahun. Bagaimana beliau berjaya mencatatkan dua kejayaan yang luar biasa? Sebab utamanya sudah tentu kerana beliau mempunyai kecenderungan ingin hidup lama. Selainitu, beliau juga mempunyai tabiat suka tidur sekejap. Setiap hari beliau pasti tidur sekejap selama setengah jam pada waktu tengahari di pejabatnya. Semasa beliau berbaring di sofa pejabatnya, tidak ada sesiapapun boleh mengganggu beliau, malah Tuan Presiden Amerika Syarikat sendiri tidak boleh menghubungi beliau semasa beliau sedang berdengkur!

Henry Ford pernah ditanya sejurus sebelum hari jadinya yang ke 80 kenapa beliau dilihat betapa cergas dan sihatnya beliau. Beliau berkata, "Saya tidak pernah berdiri apabila saya boleh duduk dan saya tidak pernah duduk apabila saya boleh berbaring."

Dipetik dari sebahagian kisah yang diceritakan oleh Dale Carnegie di dalam bab 23 di dalam bukunya How To Stop Worrying and Start Living.

Dua Ungkapan Di Petang Isnin

Kebodohan bukan hanya dinilai dari kata-kata yang kita ucapkan. Tetapi kebodohan juga dapat dinilai melalui cara kita bertindak. 

Tidak perlu meminta maaf kepada orang lain atas tindakan kita, kerana semua orang berhak berbuat sesuatu yang dia rasakan betul dan perlu dalam hidup mereka.

Alangkah Indahnya...

Alangkah indahnya hidup ini.

Seandainya jantung hatimu sentiasa tenang

Hatimu tenang ketika senang mahupun susah.
Hatimu tenang ketika dikritik, dihina serta diherdik mahupun dicerca.
Hatimu tenang ketika sakit menderita mahupun sihat walafiat.
Hatimu tenang ketika siang terang mahu pun malam gelap gelita.
Hatimu tenang ketika kenyang mahupun lapar serta dahaga. 
Hatimu tenang ketika lapang mahupun sempit. 
Hatimu tenang ketika bekerja dan bersama keluarga. 
Hatimu tenang ketika menang mahupun kalah.
Hatimu tenang ketika engkau masih di atas atau engkau jatuh ke bawah. 
Hatimu tenang ketika senyum dan marah.
Hatimu tenang ketika di rumah mahupun diluar. 
Hatimu tenang ketika ribut melanda mahupun ketika angin bertiup sepoi. 

Alangkah..
Alangkah..
Alangkah..

Ya Tuhanku, aku sudah tidak sanggup lagi berjuang secara bersendirian. Aku memerlukan  bantuan daripadaMU, dan kasih sayangMU. Ampunilah segala dosa-dosaku. Sucikanlah hatiku daripada segala kejahatan. Tunjukkanlah kepadaku cara memperolehi kedamaian, ketenangan dan kesihatan. Dan isikanlah hatiku dengan kasih sayang walaupun kepada musuh-musuhku.

Sunday, September 29, 2013

Terlalu Letih Rasanya.

Sungguh.

Terlalu letih rasanya.

Terlalu letih rasanya.

Terlalu letih rasanya.

Jika tanpaMU.

Entahlah.

Friday, September 27, 2013

Apa Lagi Yang Hendak Dikata

Kelas pagi ini sepatutnya bermula pada pukul 8 pagi.
Semasa saya mula menulis cerita ini, jam di laptop sudah menunjukkan pukul 8.42 pagi.

Saya sedang menunggu anak-anak jantan yang seorang pun belum sampai ke kelas. Anak-anak perempuan, alhamdulillah. Semuanya sudah berada di kelas semasa saya sampai sebelum jam 8 lagi.

Entahlah.

Apa lagi yang hendak dikatakan.

Titik.


Thursday, September 26, 2013

Lihatlah Bagaimana Allah Menyusunnya

Kisah Tertinggal Ubat Dalam Kereta

Begini kisahnya.

Malam tadi, anak lelaki saya mencari ubat-ubat yang ingin dimakannya kerana masalah alahan dan gatal-gatal. 

Rupa-rupanya ubat tersebut tertinggal di dalam kereta saya ketika pulang pada sebelah petangnya. Dengan penuh kemalasan atas paksaan anak lelaki saya, saya gagahkan diri jua bangun untuk mengambil ubat-ubat tersebut. 

Semasa ingin membuka pintu dan grill, saya perasaan bahawa kunci saya tiada pada tempat biasa kunci tersebut disangkut. Begitu juga ditempat kunci yang satu lagi. Kebetulannya kami mempunyai dua tempat untuk menyangkut kunci-kunci. 

Sambil mulut bising-bising bertanyakan isteri di mana dia telah meletakkan kunci saya, saya menggunakan kunci milik isteri untuk membuka grill tersebut. Kerana sebelum itu, kami sekeluarga keluar dan baru pulang ke rumah. Isteri saya yang membuka pintu pagar dan juga pintu rumah.

Ketika saya sedang mengambil ubat di dalam kereta, isteri saya 'terjumpa' kunci yang tersangkut elok di pintu utama di sebelah luarnya. Barangkali semasa membuka pintu dan grill, dia menggunakan kunci milik saya tetapi semasa menguncinya dari dalam dia menggunakan kunci miliknya. Dan kami sama-sama tidak perasan kunci yang tertinggal itu. Pintu dan grill dikunci tetapi kunci-kuncinya ditinggalkan dipintu sebelah luarnya, apalah ayat paling sesuai yang boleh saya susunkan bagi situasi ini.

Namun, syukur alhamdulillah. 

Allah sengaja membuatkan kami lupa ubat tersebut yang tertinggal di dalam kereta. Rupanya Allah ingin memberitahu bahawa ada kunci yang tertinggal di pintu melalui ubat yang tertinggal tersebut. Dan keduanya, Allah menolak saya untuk mengambil ubat tersebut atas paksaan dengan tangisan anak saya walaupun pada mulanya saya amat-amat keberatan untuk mengambilnya.

Selepas itu saya tersedar. 

Sungguh. Betapa halusnya Allah telah menyusunnya untuk kami, terutamanya saya.

Kisah Stiker Baru Dan Mesin Faks

Begini kisahnya.

Pagi tadi saya telah ke kedai koperasi untuk menghantar surat melalui faks. Namun malangnya faks di koperasi mengalami masalah talian. 

Dengan sedikit rasa kecewa saya balik semula ke jabatan untuk menyelesaikan kerja-kerja lain yang sepatutnya. 

Dengan ilham daripada Allah, tiba-tiba saya teringat untuk mendapatkan stiker kereta yang baru di Jabatan Hel Ehwal Pelajar. Tanpa berlengah saya terus ke pejabat HEP setelah mencabut stiker lama di kereta untuk ditukarkan dengan stiker baru. 

Namun sekali lagi saya kecewa kerana stiker tersebut telah kehabisan dan diberitahu akan sampai pada petang ini. Rasanya seolah-olah rasa kecewa itu datang bertindih, sudahlah mesin faks ada gangguan talian, bergegas ke HEP, stiker pula kehabisan. 

Susunan Allah.

Entah macam mana, mulut saya gatal bertanya mengenai mesin faks. Ada katanya. Atas budi bicara pegawai tersebut dapatlah saya menghantar surat tadi melalui mesin faks tersebut. 

Sekali lagi. Syukur alhamdulillah.

Tahulah saya. Rupanya Allah menghantar saya ke HEP bukan untuk mendapatkan stiker baru, tetapi untuk sesuatu yang lebih penting kepada diri saya pada masa ini. Fakskan surat tidak dapat difakskan sebentar tadi.

Kisah ubat, kunci, mesin faks dan stiker. Antara pelbagai cara Allah mahu mendidik manusia-manusia.

Kedua-dua kisah ringkas ini saya tuliskan sebagai ibrah untuk saya dan sesiapa sahaja yang membaca kisah ini.

Orang Cerita Tentang Itik


Baru-baru ini ada orang bercerita tentang itik, khususnya tentang 'perangai' itik.

Itik dan air ibarat irama dengan lagu. Ibarat isi dengan kuku.

Jumpa air bersih pun dia suka, jumpa air kotor pun dia suka.

Kadang tu,  baru saja lepas mandi air bersih, bila jumpa air kotor dia sudu lagi. Lepas tu bila jumpa kolam atau sumber air bersih, dia mandi lagi. Bila jumpa air kotor dia sudu lagi. Begitulah kurang lebih kurangnya.

Orang tu katalah, ibaratnya kita ni sudahlah bersih sepanjang Ramadan, lepas sahaja Ramadan  kita kembali menjadi kotor. 

Banyak yang baik-baik yang kita buat sepanjang Ramadan pula banyak yang telah kita tinggalkan.

Wal Hasil Balik Asal.

Entahlah, betul ke tidak cerita yang dibaratkan oleh orang tu.

Bolehlah kot yer.