Wednesday, December 23, 2009

Hanya Satu Kekosongan Tapi Ruangnya Cukup Luas

Tiada lagi pelukan eratnya.

Tiada lagi jernih dan panas airmatanya.

Tiada lagi "tazkirah" ringkasnya.

Tiada lagi suara kerinduannya.

Tiada lagi rintih dan luahan hatinya.

Tiada lagi segala-galanya darinya.

Yang ada hanyalah ;

Pusaranya.

Dia Ibu kandungku. Fatimah binti Mohd.

Ya. Hanya satu kekosongan tetapi ruangnya cukup luas.

Balik kampung kali ini terasa benar bezanya. Satu kekosongan yang amat sangat. Semuanya seakan tawar dan hambar. Pemergian ibu pagi Syawal yang baru lalu masih berbekas di hati dan sentiasa melekat dalam ingatan ini.

Selalunya.

Hari kedua kami pulang ke kampung, kami akan luangkan masa sedapat mungkin untuk mengubati kerinduan ibu dengan menziarahinya di Pondok Pinang Merah,Paka,Dungun. Walau hanya seketika tetapi sedikit sebanyak mungkin juga terubat kerinduan ibu untuk saya, anak keduanya, isteri saya menantunya dan anak-anak saya, cucu-cucunya. Dan terubat juga kerinduan saya buat ibu yang ditakdirkan hidup berjauhan.

Dan macam-macamlah cerita ibu. Ada yang gembira dan tentunya banyak yang duka juga. Kesempatan itu selalunya diambil ibu untuk memenuhi kehendaknya yang tidak tercapai sebelum ini. Dalam kekalutan kadang itu "penat" juga memenuhi permintaan ibu. Seronoknya "benar-benar" terasa.  Hanya setelah kehilangannya. Setelah segala-galanya tidak dimiliki lagi.

Ke pasar mencari lauk yang sudah lama teringin.

Membeli syampu Syurah, bekalan milo, susu dan sebagainya.

Membeli almari baju yang sekian lama diinginkan.

Dan ada sahaja keperluan yang ingin dibelinya. Banyak juga untuk dituliskan semuanya.

Semua itu hanya kenangan masa lalu. Tidak mungkin akan kembali dan berulang lagi. Kerana ibu hanya seorang dan ibu telah pergi mengadap Nya. Tinggallah saya. Hanya mampu mengenang kisah lampau.

Hari ini dan semalam. Lama saya merenung teratak usang kami, tempat kami lahir dan dibesarkan. Lama benar rasanya ibu meninggalkan teratak ini setelah berpisah dengan "Cik" kira-kira 15 tahun dulu. Dan teratak ini sudah banyak yang berubah. Dan ibu tidak pernah kembali ke sini lagi hingga akhir "dagang"nya di dunia ini.

Dan ibu berkelana serata bumi Allah. Meneruskan perjuangan hidup yang penuh onak dan duri. Saya mengetahui dan amat memahami segala-galanya tentang ibu. Kerana antara kami selalu menitiskan airmata bersama. Bila berbicara tentang kehidupan ini.

Tapi "kelamaan" rupanya tidak semua memudarkan kenangan lalu.

Saya masih nampak ibu di mana-mana.

Saya masih mendengar suara ibu "berleter-leter" sambil menyapu-nyapu sampah.

Saya masih nampak ibu sedang memasak di dapur menyiapkan hidangan untuk kami.

Saya masih nampak ibu "memproses" ayam kampung untuk di gulai.

Saya masih nampak ibu tidur di penjuru rumah melepaskan lelah selepas zohor.

Dan tentunya saya ingat benar. Ibu tidak pernah lupa memasak "ikang singgang" untuk saya.

Mana mungkin saya boleh melupakan semuanya. Dan masih banyak yang tidak mampu untuk dicoretkan.

Razak Nordin berpesan ; Semuanya hanya tinggal kenangan. Untuk kami anak-anak mu, wahai Ibu.

2 comments:

anN said...

huhu.. sayu je baca.. huhu

adanz said...

entri berra air mato...